Tuesday, April 21, 2015

7 Nasihat 'Rich Dad Poor Dad'

Buku 'Rich Dad, Poor Dad'
Buku 'Rich Dad, Poor Dad'

Pagi ini saya sempat membaca satu artikel yang bertajuk Gold & Silver To Hit New Highs: Rich Dad Poor Dad Author. Walaupun artikel ini telah dikeluarkan agak lama (2013), tapi persoalan dan maklumat dalam artikel tersebut dilihat boleh digunakan sebagai panduan dalam pengurusan kewangan. Menurut Robert Kiyosaki, penulis buku Rich Dad Poor Dad beliau sering diajukan soalan seperti dibawah:

"I have $10,000.....what should I invest in?"

Saya bersetuju dengan jawapan beliau bahawa adalah agak sukar untuk memberikan jawapan yang standard bagi semua orang kerana kedudukan kewangan setiap orang berbeza di antara satu dengan yang lain. Ia seperti membaca transkrip jawapan pelajar bagi soalan esei. Bukan mudah seperti menanda dan memberikan markah bagi soalan betul/salah ataupun soalan bersifat aneka pilihan jawapan. Perlu difahami dan dibaca dengan teliti barulah diberikan markah. Begitu juga dalam mengetahui kedudukan kewangan mahupun tahap 'kesihatan' kewangan, perlu difahami dengan teliti dan hanya individu itu sendiri lebih memahami. 

Terdapat beberapa 7 NASIHAT penting yang boleh saya buat kesimpulan dalam artikel tersebut. Nasihat ini berdasarkan pandangan saya secara peribadi dan mungkin maksud asal yang ingin disampaikan dalam artikel tersebut sedikit berbeza.

NASIHAT #1 - MELABUR UNTUK ILMU

Sepertimana dalam artikel saya sebelum ini Lebih Baik 'Labur' Daripada 'Lebur', sebaik-baiknya laburkan dulu sedikit wang untuk ilmu pengurusan kewangan. Banyak buku-buku di pasaran dan blog-blog yang menulis tentang ilmu pengurusan kewangan. Fahami dulu konsep asas seperti simpanan, aset, liabiliti, perbelanjaan, pelaburan, pinjaman dan lain-lain. Jika konsep-konsep asas ini masih keliru, dikhuatiri kita melabur kerana 'terikut-ikut'. Sebagai langkah awal, boleh mulakan dengan membaca secara santai buku-buku, blog-blog mahupun artikel yang mudah dicapai melalui internet dalam memantapkan diri dengan ilmu pengurusan kewangan. Jika saya diberi pilihan, saya lebih suka membaca buku (hardcopy) berbanding (softcopy). 

NASIHAT #2 - MELABUR PERSIS 'USAHAWAN'

Seseorang usahawan apabila memulakan perniagaan pastinya memerlukan strategi. Paling asas, strategi pemasaran 4 P's akan diguna pakai sama ada secara langsung atau tidak langsung. Sebagai contoh, berniaga perlu ada PRODUCT (Produk) tidak kira sama produk atau perkhidmatan kerana kedua-dua merupakan produk yang akan dijual. Kedua PRICE (Harga), penetapan strategi harga akan di kaji terlebih dahulu dalam memastikan mendapat untung dan bukannya mengundang kerugian. Ketiga PLACE (Tempat), merujuk kepada dimana produk tersebut akan dijual atau dipasarkan. Pemilihan lokasi ini perlu diambil kira bagi memastikan produk yang ingin dijual dan harga yang ditetapkan sentiasa berterusan mendapat pemintaan. Terakhir, PROMOTION (Promosi) perlu dalam membezakan produk yang ditawarkan dengan pesaing yang lain serta meningkatkan jualan. Maka, sama juga seperti pelaburan memerlukan strategi. Faham dulu matlamat kewangan dan bertindaklah dalam pelaburan persis seorang 'Usahawan' dalam mengatur strategi perancangan kewangan. 

NASIHAT #3 - PELBAGAIKAN PELABURAN

Bila sudah faham konsep-konsep asas dalam pengurusan kewangan maka kita boleh mempelbagaikan jenis pelaburan. Ada yang melabur dalam hartanah, amanah saham, IPO, emas dan lain-lain. Kepelbagaian dalam pelaburan mengurangkan risiko dalam pelaburan. 

NASIHAT #4 - MULAKAN MODAL KECIL


Jangan terlalu ghairah dan 'tamak' dalam membuat pelaburan. Mulakan modal yang kecil. Sebagai contoh, pelaburan emas melalui Gold Accumulation Program (GAP) yang diperkenalkan oleh Public Gold dilihat boleh dijadikan sebagai permulaan untuk berjinak-jinak dalam pelaburan emas secara kecil-kecilan. Boleh juga beli mana-mana emas tulen yang dapat disimpan di tangan. Ini bagi memastikan duit lebihan tidak 'terbeli' barang-barang yang tidak diperlukan. Maka, kebocoran wang boleh dielakkan. 

NASIHAT #5 - EMAS 'PELINDUNG KEKAYAAN'

Emas boleh dijadikan sebagai Wealth Protection (Pelindung Kekayaan). Ini kerana, menurut beliau sifat emas yang harganya naik dalam tempoh yang panjang boleh dijadikan sebagai alternatif lain untuk menyimpan dan 'pelindung kekayaaan'. Hasil keuntungan daripada simpanan emas boleh dijadikan modal untuk membeli aset lain seperti hartanah pada masa hadapan.

Didalam artikel tersebut, Robert Kiyosaki juga menggambarkan 3 kumpulan manusia. Saya permudahkan dalam konsep yang saya fahami iaitu:

Kumpulan #1 - Minda 'Miskin'
Kumpulan #2 - Minda 'Pertengahan'
Kumpulan #3 - Minda 'Kaya'

Boleh merujuk artikel tersebut untuk memahami lebih mendalam maksud yang ingin disampaikan oleh beliau. Barangkali akan datang saya akan menulis tajuk spesifik berkaitan pemahaman saya terhadap 3 Kumpulan Manusia yang digambarkan oleh beliau. 

NASIHAT #6 - BERGURU

Nasihat Rich Dad, Poor Dad
Anisah Humairah mengangkat tangan menjawab soalan. 
Robert Kiyosaki juga turut menceritakan bahawa beliau mempunyai rakan-rakan dalam sesuatu bidang pelaburan yang beliau terlibat. Sebagai contoh, beliau menyebut dalam artikel tersebut nama-nama seperti Ken McElroy sebagai rakan dalam bidang hartanah (real estate), Blair Singer rakan lama dan baik dalam perniagaan dan mengajar beliau dalam aspek jualan, Tom Wheelwright yang juga rakan dan penasihat dalam aspek cukai, Jim Roger rakan dalam bidang komoditi dan ramai lagi mereka yang pakar dalam bidang mereka di jadikan rakan atau guru dalam aspek pengurusan kewangan ini. Maka, bergurulah dengan banyakkan bertanya bagi mendapatkan panduan dalam menguruskan kewangan. 

NASIHAT #7 - JADILAH USAHAWAN

Akhir sekali, beliau turut mencadangkan untuk menceburkan diri dalam dunia 'Keusahawanan'. Boleh memulakan sesebuah perniagaan secara kecil-kecilan dan 'suka-suka'. Saya suka tengok bekas pelajar-pelajar saya yang menggunakan laman sosial untuk memulakan perniagaan. Barangkali artikel Mulakan Secara Kecil-Kecilan yang pernah diterbitkan dalam Majalah HALUAN dapat memberikan idea kepada anda bagi memulakan sesebuah perniagaan.  

Kesimpulan, pandangan Robert Kiyosaki dalam artikel tersebut boleh memberikan pemahaman awal jika seseorang ingin berjinak-jinak dalam pelaburan. Saya sendiri, berhasrat untuk membaca bahan-bahan berkaitan pengurusan kewangan di kala penat membaca artikel dan memahami penyelidikan saya di sini. Bagi saya, bacaan pengurusan kewangan ini boleh dijadikan bahan bacaan santai di kala keletihan seharian di lab mahupun di perpustakaan. Begitu juga dalam penulisan blog, bagi saya ia boleh menjadi terapi diri dalam mengajak diri saya untuk terus berfikir.

Ganbatte untuk diri sendiri!

Related Posts

7 Nasihat 'Rich Dad Poor Dad'
4 / 5
Oleh

Perkongsian Akan Datang

Anda Suka 'Post' Ini? Anda Akan Lebih Suka 'Post' Yang Akan Datang:).

Menarik Lagi Tertarik! × +

7 comments

Write comments
avatar
August 24, 2015 at 7:36 PM

TQ untuk info best ni. Macam best jer buku ni. :)

Reply
avatar
August 24, 2015 at 8:21 PM

Terima kasih Dr. Ain kerana sudi singgah di blog ini. Buku ini antara buku berkaitan pengurusan kewangan dan pelaburan yang baik untuk dibaca. Sayonara dan sampai berjumpa lagi.

Reply
avatar
August 25, 2015 at 7:45 PM

saya sangat bersetuju dengan nasihat yang pertama tu. apa pun yang kita buat mesti kena ada ilmu. begitu juga nak laburkan wang kita. tanpa ilmu semua usaha pasti akan menemui kegagalan.

Saya bangga dengan encik sebab encik adalah seorang ahli akademik. Insha Allah...saya pun nak jadi seorang ahli akademik suatu hari nanti.

Reply
avatar
August 25, 2015 at 9:19 PM

Terima kasih M.N. HAZIQ kerana sudi singgah dan baca di post ini. Sudah pasti dengan ILMU kita dapat membezakan antara hak dan batil, ILMU juga membezakan di antara baik atau buruk. Dalam pelaburan, orang yang tanpa ILMU akan buat sesuatu disebabkan 'terikut-ikut' dan dikhuatiri menemui kegagalan. Didoakan impian M.N. HAZIQ untuk menjadi ahli akademik pada masa akan datang dipermudahkan olehNya. Amin.

Reply
avatar
August 26, 2015 at 3:38 AM

Singgah pagi..berniaga kn usaha dan amanah..hehe

Reply
avatar
August 26, 2015 at 10:07 AM

Betul tu Nor Azman, bukan sahaja berniaga perlu usaha dan amanah. Malah, kehidupan kita juga perlu berusaha yang terbaik dan amanah pada Pencipta dan yang apa dicipta olehNya.

Reply
avatar
August 26, 2015 at 10:07 AM

Betul tu Nor Azman, bukan sahaja berniaga perlu usaha dan amanah. Malah, kehidupan kita juga perlu berusaha yang terbaik dan amanah pada Pencipta dan yang apa dicipta olehNya.

Reply