Sunday, May 11, 2008

Hub Halal Dunia 2010: Realiti atau Fantasi?


Oleh: Isma Addi Jumbri

PENDAHULUAN
Penubuhan Perbadanan Kemajuan Industri Halal (HDC), peruntukan-peruntukan dan insentif lain oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semasa membentangkan Rancangan Malaysia Ke-Sembilan (RMK-9) memperlihatkan kepada kita betapa kerajaan serius dan komited dalam menuju ke arah Hab Halal Dunia 2010. Bukan itu sahaja, berkuatkuasa pada 17 April 2008 HDC telah mengambilalih tugas mengeluarkan sijil halal Malaysia yang sebelum ini dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) ke-lima yang diadakan pada 7 hingga 11 Mei 2008 menjadikan usaha ke arah matlamat tersebut semakin menjadi realiti. Pada kali ini, MIHAS yang diadakan di Pusat Pameran dan Konvensyen Matrade (MECC) Kuala Lumpur, dijangka melibatkan seramai 500 penyertaan dari 30 buah negara serta lebih daripada 40,000 pelawat. Perlu disedari konsep halal bukan hanya terhad kepada sektor makanan dan minuman sahaja. Oleh itu, bertepatan dengan kehadiran MIHAS yang turut meliputi lima sektor utama semasa pameran iaitu makanan dan minuman, farmaseutikal dan produk herba, kosmetik dan penjagaan kesihatan, perbankan dan kewangan dan jentera pemprosesan serta pembungkusan makanan.

PERKEMBANGAN MIHAS

Cetusan MIHAS yang bermula pada 2004 bukan hanya seperti pameran biasa. Bahkan, MIHAS turut berupaya mewujudkan peluang kepada peniaga dan pengguna industri halal untuk membentuk kerjasama perniagaan dan perdagangan baru menerusi Misi Pembelian Masuk (IBM) yang dilaksanakan semasa pameran. Oleh itu, MIHAS dilihat sebagai platform terbaik khususnya kepada usahawan Muslim di Malaysia yang majoritinya berketurunan Bumiputera dan berbangsa Melayu untuk mewujudkan jaringan perniagaan dan memperluaskan pasaran ke arena global, mengetahui kaedah pengeluaran serta pemprosesan terkini dalam meningkatkan kualiti serta produktiviti produk keluaran mereka.

Berdasarkan statistik MIHAS yang lepas, pada 2005 MIHAS telah berjaya menarik 332 penyertaan dan meningkat kepada 392 pada 2006. Impak positif daripada MIHAS ini telah menarik seramai 426 penyertaan pula pada 2007. Manakala, penglibatan negara yang menyertai MIHAS juga menunjukkan perkembangan yang positif. Bermula hanya 18 buah negara pada 2005 dan 17 buah negara pada 2006, ia telah meningkat kepada 26 buah negara pada 2007. Bukan itu sahaja, kesedaran akan kepentingan produk halal dalam kehidupan telah memberi petunjuk positif apabila bilangan pengunjung ke pameran ini bertambah setiap tahun. Sebagai perbandingan, terdapat peningkatan hampir tiga kali ganda jumlah pengunjung ke MIHAS jika dibandingkan pada 2005 dengan tahun 2007.

MIHAS ke-lima kali ini memperkenalkan sektor baru iaitu sektor jentera pemprosesan dan pembungkusan makanan buat pertama kali pada tahun ini. Sektor ini sangat bertepatan kerana konsep halal bukan hanya terbatas kepada bahan asas yang digunakan dalam menghasilkan produk akhir semata-mata. Malah, ia mencakupi konsep yang lebih luas iaitu bermula dari peringkat awal hinggalah ke peringkat akhir dan sehinggalah sesuatu produk itu sedia untuk dimakan. Penggunaan jentera dalam pemprosesan dan pembungkusan makanan bukan sahaja berupaya menjadikan pengeluaran lebih berkualiti, produktif, efektif dan efisyen. Bahkan, kehadiran sektor ini turut dilihat berupaya menangani krisis kekurangan bahan makanan yang melanda seluruh dunia pada masa kini.

PRODUK HALAL BERPOTENSI TINGGI

Berdasarkan kepada perkembangan semasa, produk halal sememangnya mempunyai potensi besar dan permintaan yang tinggi. Misalnya, jika sebelum ini penyertaan MIHAS didominasi oleh negara-negara ASEAN, kini ia turut mendapat sambutan dari negara lain. Sebagai bukti, penyertaan MIHAS 2007 telah berjaya menarik perhatian lima buah negara iaitu Argentina, Kanada, Croatia, Kuwait dan Morocco. MIHAS yang lalu turut melibatkan penyertaan daripada negara-negara bukan Islam seperti Australia, Belanda, United Kingdom dan Amerika Syarikat. MIHAS 2007 juga telah berjaya memperolehi jualan sebenar dan berpotensi kira-kira RM260 juta dan angka ini dijangka akan bertambah sehingga 30 peratus pada MIHAS 2008 kali ini. Ini berikutan dengan penambahan bilangan gerai kepada 600 berbanding 500 gerai pada tahun lalu.

Penduduk Islam yang hampir mencapai dua billion orang dan 60 peratus terdiri daripada penduduk di Asia menjadikan hasrat Malaysia sebagai Hab Halal Dunia 2010 suatu realiti. Sebagai perbandingan, jika diambil pasaran bagi negara Asia Tenggara sahaja yang merangkumi Malaysia, Indonesia, Brunei, Singapura, Thailand, China dan ditambah dengan pasaran Asia Barat dianggarkan mencecah satu billion orang sasaran pasaran produk halal ini. Ini tidak termasuk dengan pasaran dari negara Islam lain seperti negara Timur Tengah misalnya Saudi Arabia dan Emiriyah Arab Bersatu (UEA) yang sememangnya menjadikan pasaran produk halal begitu besar dan mempunyai prospek yang tinggi. Ditambah lagi dengan nilai pasaran global bagi produk halal yang dianggarkan sebanyak RM8 trillion setahun. Maklumat daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang menunjukkan pasaran beku halal dijangka berupaya mencapai RM193 billion menjelang 2010 menjadikan hala tuju Malaysia ke arah Hab Halal Dunia 2010 suatu realiti dan bukan fantasi. Tidak hairanlah, Singapura juga pernah menyatakan hasrat dan menawarkan diri sebagai negara pengeluar produk halal dunia.

Namun, jika Malaysia alpa dan rakyat negara ini khususnya mereka yang beragama Islam tidak mengambil peluang serta melibatkan diri bersama-sama dalam merealisasikan Malaysia ke arah Hab Halal Dunia 2010. Pastinya, hasrat ini hanyalah fantasi dan boleh diibaratkan “pungguk rindukan bulan”. Oleh itu, adalah sangat digesa agar umat Islam di Malaysia khususnya golongan Bumiputera dan Melayu yang majoritinya beragama Islam menyedari, bangun dan mengambil langkah dengan melibatkan diri dalam industri halal ini. Jangan dibiarkan berterusan industri halal dikuasai dan dimonopoli oleh bukan Islam. Jangan nanti kita hanya sebagai pengguna akhir dan situasi pada masa itu ibarat “kerbau punya susu, sapi dapat namanya”.

HALAL SEBAGAI JENAMA DUNIA

Penyerahan tanggungjawab pengeluaran sijil Halal Malaysia yang sebelum ini dikendalikan Jakim dan kini diserahkan kepada HDC dilihat sebagai langkah positif dalam memartabatkan halal sebagai jenama dunia. Menurut Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz pengambilalihan tugas ini juga bermakna HDC turut bertanggungjawab mengeluarkan sijil halal Malaysia termasuk bagi produk dari negara luar yang menggunakan logo Jakim sebelum ini. Persoalan pembayaran untuk mendapatkan pensijilan dari peringkat antarabangsa juga akan diserahkan kepada HDC. Manakala, semua pengiktrafan oleh negara Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terhadap sijil halal yang dikeluarkan Jakim yang dahulunya ditadbir urus oleh Jakim kini akan diuruskan oleh HDC yang berpangkalan di Cyberjaya.

Hasilnya, peranan yang dimainkan oleh HDC bukan lagi bersifat lokal malah kini meliputi aspek yang lebih global. Dengan ini, ia meningkatkan lagi martabat dan menjadikan penerimaan pensijilan halal Malaysia di peringkat dunia. Jika ini berlaku dan menjadi realiti, kita sebagai rakyat Malaysia amnya dan umat Islam khususnya akan berbangga kerana halal menjadi jenama dunia dan produk halal menjadi pilihan di seluruh dunia. Kenapa tidak? Sepertimana semua maklum, konsep halal juga sangat memberikan penekanan kepada aspek kebersihan dalam pemprosesan keseluruhan penghasilan makanan. Aspek kebersihan merupakan aspek yang universal dan diterima oleh semua orang tanpa mengira latar-belakang keturunan, agama, bangsa dan negara. Perubahan yang melanda, menjadikan Malaysia sekali gus sebagai pusat rujukan halal dunia dan hab halal dunia suatu realiti menjelang 2010.

Namun, penambahbaikan perlu dibuat dari semasa ke semasa bagi menjadikan pensijilan halal Malaysia diakui dan diterima di peringkat antarabangsa. Perlu juga disedari penjenamaan halal sebagai jenama dunia harus dibuat dengan lebih berhati-hati dan diperhalusi setiap tindak-tanduk yang bakal dilaksanakan. Ini kerana ia ditakuti musuh-musuh Islam akan mengambil kesempatan terhadap istilah halal yang sinonim dengan Islam. Lebih-lebih lagi jika sesuatu yang negatif berlaku terhadap produk yang mendapat pensijilan halal dari Malaysia dan jangan nanti “kerana nila setitik, susu sebelanga rosak binasa”.

SUATU REALITI BUKAN FANTASI

Penglibatan semua pihak terutama umat Islam di Malaysia dalam industri halal menjadikan lagi hasrat negara ke arah Hab Halal Dunia 2010 suatu realiti dan bukannya fantasi. Namun, jika umat Islam terus leka dan alpa dek kerana hiburan realiti, mencari idola dan rentak juara yang tiada berkesudahan, pastinya ia hanya sebagai fantasi. Jangan nanti nasib umat Islam di Malaysia diibaratkan seperti “sepuluh jung masuk pelabuhan, anjing bercawat ekor juga”. Bersamalah kita menceburkan diri dalam industri halal ini.

Bagi merealisasikannya, setiap individu perlu memainkan peranan dan melibatkan diri secara langsung mahupun tidak langsung. Penglibatan diri dalam industri halal meliputi skop yang luas sama ada kita melibatkan diri sebagai pemasar, pemborong, pengedar, peruncit, penyedia, pembekal atau pun pengguna yang mengutamakan produk halal. Adakah kita menyedari kebanyakan pembekal bahan mentah makanan kita pada masa ini dikuasai dan dimonopoli oleh bukan Islam? Jangan dibiarkan ia berterusan dan bersama-samalah menjadikan Malaysia Hab Halal Dunia 2010 suatu yang realiti dan bukannya fantasi.

Tuesday, May 6, 2008

5 Tanggapan Salah Terhadap Kerjaya Seorang Usahawan


USAHAWAN

Seseorang usahawan biasanya dikenali sebagai seorang yang kreatif, dinamik dan inovatif. Peranan yang dimainkan oleh mereka bukan saja mampu mencipta kerjaya buat diri mereka sendiri malah turut mencipta kerjaya buat orang lain. Ini kerana bidang keusahawanan dilihat bukan sahaja penyumbang kepada peningkatan pendapatan per kapita malah bertindak sebagai pemangkin perubahan struktur sosial dan masyarakat. Teringat satu soalan yang pernah diajukan oleh salah seorang pelajar semasa saya mengajar subjek Keusahawanan di kelas tutorial. "Encik Isma, saya nak bertanya. Benarkan golongan usahawan merupakan mereka yang ketinggalan dalam pelajaran dan bidang ini merupakan pilihan terakhir apabila tidak mendapat pekerjaan ?" tanya Aisyah. Salah seorang pelajar saya yang suka bertanya dan terkenal dengan kepetahannya.

Tanggapan sedemikian bukanlah satu perkara yang asing didengar malah terdapat pelbagai lagi tanggapan yang salah terhadap kerjaya sebagai seorang usahawan. Tanggapan yang salah dan negatif ini bukan sahaja menyempitkan bidang keusahawanan malah turut membunuh semangat dan minat membina kerjaya sebagai seorang usahawan terutama di kalangan Bumiputera. Antara tanggapan salah tersebut adalah :

Tanggapan Salah 1 : Pilihan terakhir dan ketinggalan dalam akademik.

Tanggapan ini timbul kerana segelintir pemilik perniagaan memulakan perniagaan mereka hanya apabila mereka ketinggalan dalam pelajaran atau diberhentikan kerja. Sejarah telah membuktikan bidang keusahawanan tidak mengenali tahap pendidikan seseorang. Belum tentu lagi seseorang yang mempunyai ijazah kedoktoran (PhD) dalam bidang pengurusan perniagaan mampu memiliki perniagaan yang besar dan menjadi seorang usahawan yang berjaya serta disegani ramai. Sekarang, usahawan bukan sahaja sebagai satu cabang kerjaya malah diktiraf sebagai kerjaya profesional.

Tanggapan Salah 2 : Lahir sebagai usahawan.

Kebanyakan di antara kita mudah berkata dan mengeluh bahawa "aku tak ada ciri-ciri sebagai seorang usahawan, jadi aku tak layak jadi usahawan". Ada juga yang menyatakan "aku tak dilahirkan sebagai seorang usahawan, jadi aku memang tak pandai berniaga". Kata-kata negatif dan sempit ini merupakan tanggapan yang salah kerana kajian menunjukkan bidang keusahawanan boleh dipelajari. Keusahawanan mempunyai model, proses dan terdapat kajian kes yang menunjukkan mereka yang tiada ciri-ciri sebagai seorang usahawan boleh dibimbing untuk menjadi seorang usahawan. Asasnya seseorang itu perlu ada minat dan kesungguhan untuk dijanakan menjadi seorang usahawan.

Tanggapan Salah 3 : Usahawan memerlukan nasib yang baik.

Terdapat juga tanggapan yang menyatakan untuk menjadi seorang usahawan memerlukan nasib yang baik. Tanpa nasib yang baik maka usaha sebagai seorang usahawan hanyalah sia-sia. Tanpa nasib yang baik juga kelangsungan kerjaya sebagai usahawan tak akan kekal lama. Adakah kita menyedari bahawa "nasib baik hanya hadir apabila peluang menepati persiapan". Maksudnya walaupun mungkin kita memperolehi nasib yang baik, tanpa persediaan untuk mengapai peluang yang hadir kita tetap akan terlepas dan tidak bernasib baik. Ini bermakna sebagai seseorang usahawan perancangan yang rapi, persediaan dan juga ilmu pengetahuan sangatlah penting selain hanya bergantung kepada nasib.

Tanggapan Salah 4 : Usahawan pengambil risiko yang tinggi.

Konsep risiko dalam menjalankan perniagaan merupakan satu kebiasaan. Setiap perniagaan mempunyai risiko tersendiri sama ada tinggi atau rendah risikonya. Seringkali kita tersilap mentafsirkan bahawa "high risk, high return" atau "tinggi risiko maka tinggilah pulangannya". Kerana dek terpengaruh dengan pepatah tersebut tanpa mengetahui maksud sebenarnya. Maka dengan mudah kita katakan sebagai seorang usahawan mereka risiko yang tinggi. Ini tanggapan yang silap kerana seseorang usahawan yang matang senantiasa mendapatkan maklumat dan membuat perancangan rapi sebelum membuat sesuatu tindakan. Ini bermakna mereka bukan penggambil risiko yang tinggi tetapi seseorang yang mengamalkan "moderate risk" atau "pengambil risiko yang sederhana".

Tanggapan Salah 5 : Usahawan selalu gagal.

Tidak dinafikan ramai usahawan pernah mengalami kegagalan sebelum mereka berjaya. Ia merupakan perkara yang lumrah dalam kehidupan bukan sahaja dalam kerjaya sebagai usahawan malah dalam bidang lain juga ada "jatuh dan bangunnya". Jatuh dan bangun semula merupakan perkara yang biasa. Tetapi, jatuh tak bangun-bangun merupakan satu yang luar biasa. Malahan, kegagalan memberi erti seribu pengajaran yang berguna buat seseorang usahawan dalam menuju kejayaan. Usahawan juga sentiasa belajar dari kegagalan diri sendiri dan orang lain sebagai panduan dan petunjuk ke destinasi bernama kejayaan.

Oleh itu, jelaslah tanggapan salah, negatif dan tidak berasas ini perlu dikikis dan dibuang jauh-jauh kerana ia memberikan implikasi yang negatif khususnya dalam membangunkan usahawan Muslim di Malaysia.

Tudung kanak-kanak