Thursday, September 17, 2015

Asingkan Sampah/ Sisa Pepejal: Pengalaman di Jepun

Asingkan Sampah/ Sisa Pepejal
Tempat buang sisa pepejal di Jepun

ASINGKAN SISA PEPEJAL

Mulai 1 September 2015 lalu bermulanya detik bersejarah apabila beberapa buah negeri di Malaysia mulai melaksanakan mewajibkan pengasingan sisa pepejal isi rumah khususnya bagi negeri-negeri yang tertakluk kepada Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672). Antara negeri-negeri yang terlibat adalah Pahang, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Perlis, Kedah dan wilayah Putarajaya serta Kuala Lumpur.  

AKTA SISA PEPEJAL

Malaysia kini telah mengorak langkah dengan pelaksanaan Akta 672 yang merupakan peruntukan bagi dan mengawalselia pengurusan sisa pepejal terkawal dan pembersihan awam bagi menyenggarakan berkaitan kebersihan serta perkara-perkara yang berkaitan. Bahasa yang mudah, tindakan dan peruntukan undang-undang boleh diambil bagi mereka yang tidak mematuhi peraturan pembuangan sampah yang dilaksanakan bagi negeri-negeri yang menerima pakai akta tersebut. Saya yang didedahkan mengenai 'Pengurusan Persekitaran' (Environmental Management) di Tohoku University, Jepun melihat akta ini perlu segera dilaksanakan untuk kebaikan generasi akan datang. Bukan itu sahaja, berdasarkan pengalaman kami di Jepun amalan pengasingan sisa pepejal ini juga dapat memupuk kesedaran ke arah negara bersih, indah dan sejahtera kepada ahli keluarga khususnya anak-anak.  

Asingkan Sampah Sisa Pepejal
Mulai 1 September 2015 di Malaysia

KEBAIKAN ASING SISA PEPEJAL

Sememangnya tidak dinafikan banyak kebaikan di sebalik mengasingkan sisa pepejal. Melalui keedah ini akan mengelakkan daripada membuang bahan-bahan yang boleh dikitar semula. Bukan itu sahaja, setiap jenis sampah juga memerlukan tempoh masa dan teknik untuk dilupuskan yang berbeza. Selain itu, ia akan dapat mengurangkan jumlah sisa pepejal yang dihantar ke tempat pembuangan sampah dan seterusnya menjadikan pengurusan sisa pepejal lebih cekap dan terkawal. 

BAHAN BAKAR SISA PEPEJAL

Pusat Informasi Sisa Pepejal di Sendai, Jepun
Pusat Informasi Sisa Pepejal di Sendai, Jepun


Teringat saya semasa membawa keluarga saya ke pusat akuatik (swimming pool) yang terletak tidak jauh daripada tempat tinggal kami. Sebelum kami naik ke tingkat 2 bangunan tersebut, terdapat pusat pameran sisa pepejal yang memberikan pemahaman berkaitan kitar semula dan isu alam sekitar. Kelihatan maklumat yang disediakan di pusat ini memberikan tumpuan khusus kepada kanak-kanak. Ini bermakna, pendedahan awal mengenai pembuangan sampah dan kebaikan sistem pengasingan sisa pepejal telah diterapkan sejak peringkat awal di sekolah rendah lagi. Saya dimaklumkan tempat ini juga menerima kedatangan pelajar-pelajar sekolah sebagai aktiviti lawatan dan pengajaran di sekolah. Atas sebab itulah pusat ini kelihatan seperti taman permainan yang lengkap dengan info dan carta yang mudah difahami oleh kanak-kanak. 

INSINERATOR DAN SISA PEPEJAL

Pusat Informasi Sisa Pepejal di Sendai, Jepun
Bangunan ini terletaknya kolam renang (swimming pool)
Pelaksanaan pengasingan sisa pepejal juga membolehkan pelupusan sisa tersebut dengan menggunakan teknologi insinerator. Tenaga yang terhasil daripada pembakaran sampah melalui insinerator ini turut digunakan sebagai pemanas air di kolam renang yang terletak di pusat ini. Insinerator merupakan teknologi pembakaran sampah yang terbaik kerana sangat kurang pencemaran. Barangkali teknologi ini akan digunakan secara meluas di Malaysia kelak. 

ELEKTRIK SISA PEPEJAL

Berdasarkan kuliah dan pendedahan saya di sini, hasil kecekapan pembakaran menggunakan insinerator mampu menghasilkan methanol daripada pemabakaran 'organic waste'. Methanol ini boleh digunakan sebagai bio-diesel dan seterusnya menjana kilowatt or megawatt kuasa elektrik daripada pembakaran sampah ini. Hasilnya, kolam renang serba lengkap ini dibuka kepada orang awam dengan sedikit bayaran. Terkebil-kebil mata anak-anak saya apabila cuba memahami penerangan abah mereka. 

ASING 'SISA PEPEJAL' DI JEPUN

Kaedah pelaksanaan pengasingan sisa pepejal di Malaysia saya yakin tidak jauh berbeza dengan pengalaman kami di Sendai, Jepun ini.  Peringkat awal tidak dinafikan memang sedikit kekok kerana kurang biasa dan sukar sedikit memahaminya kerana halangan Bahasa Jepun. Namun, terdapat banyak maklumat dalam Bahasa English yang memudahkan untuk kita memahami pendekatan yang digunakan oleh pihak penguasa tempatan di sini. Teringat semasa proses 'temuduga' bagi menjadikan Tohoku University sebagai penjamin untuk rumah sewa turut diberikan maklumat dan panduan berkaitan pengasingan sisa pepejal ini. 

PLASTIK SISA PEPEJAL BERBEZA

Asingkan sampah sisa pepejal
Plastik sampah yang digunakan di Jepun


Secara umum, di Sendai terdapat 2 jenis plastik berbeza iaitu warna hijau dan merah. Hanya 2 jenis plastik ini sahaja digunakan dan boleh dibeli di mana-mana kedai yang berkaitan termasuklah di kedai serbaneka yang dibuka 24 jam. Plastik berwarna hijau (sisa-sisa makanan dan sisa pepejal mudah urai) berharga 270 yen bersamaan RM8.10 bagi 10 helai, manakala plastik merah (sampah plastik) pula berharga 160 yen bersamaan RM4.80 bagi 10 helai. Plastik sampah lain tidak boleh digunakan dan plastik ini berbeza mengikut daerah di Jepun. Manakala, pelbagai jenis botol dan kertas tiada plastik khas dan perlu diletakkan di tempat pembuangan sisa pepejal pada hari yang sama. Perlu diingatkan plastik yang membaluti botol (label) dan juga penutup botol perlu di cabut atau diasingkan.

SISA PEPEJAL BESAR

Asingkan sampah sisa pepejal
Sisa Pepejal Besar



Manakala bagi sisa pepejal atau sampah yang besar seperti kerusi, tilam, karpet dan barang-barang elektik agak sukar untuk dibuang begitu sahaja. Setiap orang perlu membeli pelekat (sticker) khas yang perlu ditampal di barang yang ingin dibuang. Pelekat tersebut boleh dibeli di kedai serbaneka dan juga majlis daerah/ perbandaran (city hall/ ward office) di daerah masing-masing. Setiap jenis sampah berbeza caj yang dikenakan dan hanya sampah yang mempunyai pelekat tersebut akan di ambil. Perlu diingatkan juga, pembuangan sisa pepejal besar juga perlu dimaklumkan kepada pihak majis daerah/ perbandaran untuk proses pengambilan. Bahasa yang mudah, sememangnya agak sukar bagi membuang sisa pepejal atau sampah yang besar di Jepun ini.

Antara Kedai Barang Terpakai di Jepun

KESUKARAN MEMBUANG SISA PEPEJAL

Di Sendai ini juga terdapat banyak kedai-kedai yang menjual barang-barang terpakai. Pelbagai jenis daripada pakaian, perabot, buku-buku dan barangan elektrik. Disebabkan agak sukar untuk membuang barang-barang tersebut dan masih boleh dimanfaatkan oleh orang lain. Maka, kebanyakan orang Jepun di sini akan menghantar barang-barang tersebut di kedai-kedai barang terpakai seperti 2nd Street, Book Off dan pelbagai lagi. Kedai-kedai ini akan memilih barang barang tersebut mengikut kriteria pemilihan mereka dan barangan yang dipilih akan dibeli oleh pihak mereka. Pengalaman kami menghantar dan cuba menjual barang-barang terpakai di kedai-kedai tersebut di sekitar Sendai kelihatan agak sukar dan boleh dikatakan tidak berbaloi dengan kos perjalanan. Oleh itu, adalah lebih baik untuk diberikan kepada rakan-rakan lain yang memerlukan daripada dijual di kedai barangan terpakai tersebut. 

Related Posts

Asingkan Sampah/ Sisa Pepejal: Pengalaman di Jepun
4 / 5
Oleh

Perkongsian Akan Datang

Anda Suka 'Post' Ini? Anda Akan Lebih Suka 'Post' Yang Akan Datang:).

Menarik Lagi Tertarik! × +

4 comments

Write comments
avatar
September 17, 2015 at 1:10 PM

Saya ada menonton beberapa video cara masyarakat Jepun mengasingkan sampah di youtube... kalau tgk betul2, rasa macam tak terbuat... tapi saya memang kagum dgn disiplin dan menghidu udara segar di Osaka dan Kyoto yang sempat saya lawati baru2 ni... rindunya udara di sana!

*saya suka sangat baca entri2 tentang jepun yg dikongsikan dlm blog ni... ni baru first time saya drop comment...* thanks sharing ya... :D

Reply
avatar
September 18, 2015 at 6:54 AM

Terima kasih Nora Karim kerana sudi singgah di blog ini. Benar tu, kalau betul-betul nak ikut cara mereka di sini memang sedikit sukar. Sebagai contoh, anak-anak saya di sekolah ada cara atau kaedah untuk lipat setiap kotak minuman selepas habis digunakan. Kami buat mana yang termampu dan sememangnya bersetuju bahawa pengasingan sisa pepejal memberikan kebaikan kepada generasi akan datang. Diharapkan pelaksanaan pengasingan pepejal di Malaysia akan dapat dilaksanakan secara meluas. Terima kasih sekali lagi. Sayonara dan sampai berjumpa lagi.

Reply
avatar
September 23, 2015 at 10:08 PM

Ya Allah.... betul... mereka buka kotak air minuman yg dah habis... kemudian, lalukan dengan air paip dan dibiarkan sehingga kering baru dimasukkan ke dlm plastik!

Reply
avatar
September 23, 2015 at 10:51 PM

Terima kasih sekali lagi Puan Nora Karim atas kesudian singgah dan beri komen untuk post ini. Betul tu, kalau ikutkan yang sebenarnya memang ada kala tak terikut. Saya pun pernah menonton video tersebut. Baru-baru ini saya membawa anak-anak ke Traffic Park (Kotsu Koen). Tempat belajar trafik dan jalanraya secara percuma khas buat kanak-kanak. Menariknya, hampir semua taman disini tidak disediakan tong sampah. Biasanya kami bawa balik sampah sendiri untuk dibuang di rumah. InsyaAllah akan dikongsikan pada post akan datang. Sayonara, sampai jumpa lagi.

Reply

Tudung kanak-kanak