Monday, July 25, 2016

Kenaikan Gaji Tahunan (KGT)

Kenaikan Gaji Tahunan (KGT)
Kenaikan Gaji Tahunan (KGT)

TERIMA DAN GAJI NAIK

1. Syukur dan gembira terima gaji, ada yang 'lompat bintang' dapat kenaikan gaji.

2. Gaji diterima sebagai pekerja, simpanlah dulu baru belanja.

3. Beringat selalu bila 'shopping' atau berbelanja, terus tingkatkan prestasi sebagai pekerja.

4. Ada yang setiap tahun dapat kenaikan gaji, tapi sayang bila tak pernah terlintas mendaftar haji.

5. Walaupun gaji diterima dan naik tidak seberapa, hulurkanlah sedikit buat ibu atau bapa.

6. Gaji naik sebaiknya tingkatkan simpanan, bukanlah belanja sakan apa yang berkenan.

7. Asingkan gaji 10%-15% jadikan simpanan, barulah masa depan kita ada jaminan.

8. Naik gaji fokus miliki rumah atau harta, lupakan dahulu hasrat untuk tukar kereta.

9. Sebaiknya elakkan tengok katalog tudung mahupun jubah, gaji naik tak semestinya gaya hidup perlu berubah.

10. Apabila gaji diterima dan semakin meningkat, sedekah dan zakat usah dilupa agar bertambah berkat.

11. Majikan harapkan kita menjadi pekerja pakar, bukannya yang asyik merungut dan buat kelakar.

12. Kita ini hanyalah pekerja, janganlah berbelanja macam maharaja.

13. Kenaikan gaji penjawat awam beberapa ratus, janganlah terlintas nak buat hutang tak putus-putus.

KENAIKAN GAJI TAHUNAN

Esok ramai yang bakal terima gaji, malah ada yang 'lompat bintang' kerana mendapat kenaikan gaji. Mana tak gembiranya, lebih-lebih lagi buat 1.6 juta penjawat awam yang bakal menerima 2 kali kenaikan gaji pada tahun ini.

Malah berdasarkan Bajet 2016 lalu, hampir 406 ribu penjawat awam akan mendapat manfaat kesan daripada penambahbaikan 252 skim perkhidmatan kerajaan. Bukan itu sahaja, pastinya penetapan gaji mininum RM1200 sebulan dan pencen minimum RM950 sebulan sudah tentu ada yang senyum sokmo sampai ke telinga.

Ada yang tertanya-tanya cara pengiraan kenaikan gaji tahunan bagi tahun 2016 kali ini. Ada yang telah memperolehi pergerakan kenaikan gaji pada Januari atau April yang lalu. Mulai Julai ini, penjawat awam akan memperolehi sekali lagi kenaikan gaji.

Berikut contoh pengiraan:
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Jawatan: Pembantu Tadbir (Gred N17)

Tarikh Pergerakan Gaji: April

Gaji minimum - maksimum: RM927.03 - RM3098.68

Kenaikan Gaji Tahunan (KGT): RM95.00

Gaji akhir 1 Januari 2016: RM2709.68(P3)

Gaji baru 1 April 2016 = RM2709.68 + RM95.00 = RM2804.68 (maksimum).

Gaji baru pada 1 Julai 2016 = RM2804.68 + RM95.00 = RM2899.68 (maksimum).

Sekadar ingatan buat kita semua khususnya buat penjawat awam, apabila gaji diterima dan semakin meningkat, sedekah dan zakat usah dilupa agar bertambah berkat.

Sebaiknya elakkan tengok katalog tudung mahupun jubah, gaji naik tak semestinya gaya hidup perlu berubah. Beringat selalu bila 'shopping' atau berbelanja, terus tingkatkan prestasi sebagai pekerja.

Sekadar perkongsian dari kejauhan.

Sayonara! Sampai jumpa lagi.

Wednesday, July 20, 2016

Julai Naik Gaji

sekolah rendah di Jepun
Program pelajar sekolah dengan orang-orang tua di sekolah rendah Jepun

JULAI NAIK GAJI

1. Julai ini ramai yang akan naik gaji, akhir bulan bakal terima apa yang dijanji.

2. Gaji naik tak semestinya tukar kereta, sebaiknya belilah rumah atau miliki harta.

3. Asingkan 10% gaji dahulu untuk simpanan, barulah masa depan kita ada jaminan.

4. Gaji naik fokus dahulu langsaikan hutang, bukannya menambah lagi bebanan hutang.

5. Semua orang harapkan setiap tahun gaji mereka naik, tapi elaun bulanan buat orang tua tak pula terfikir nak beri atau tak naik-naik.

6. Bila naik gaji elakkan lihat katalog tudung mahupun jubah, gaji naik tak semestinya belanja kita perlu turut meningkat atau berubah.

7. Bersyukurlah kita sama ada bergaji kecil ataupun besar, simpanan perlu diutamakan dan gaya hidup usahlah tersasar.

8. Apa guna kita bergaji tinggi ataupun besar, sayang sekali apabila duit buat orang tua masih tak diberi walaupun anak dah besar.

9. Gaji besar atau kecil bukanlah alasan, perlu wujudkan 3-6 bulanan simpanan untuk dana kecemasan.

10. Apabila gaji kita semakin meningkat, amanah dan tanggungjawab perlu dijaga agar bertambah berkat.

11. Bila tak naik gaji ramai yang terngangga, yang gaji naik senyum mereka sampai ke telinga.

KOHAGI MATSURI

Baru-baru ini saya berpeluang mengikuti program anjuran sekolah anak yang dikenali sebagai 'Kohagi Matsuri'. Umumnya, 'matsuri' itu bermaksud perayaan, manakala 'ko' membawa maksud kecil. 'Hagi' pula adalah sejenis tumbuhan. Bahasa yang mudah, anak-anak kecil di sekolah ini ibarat 'pohon kecil yang sedang membesar'.

SEKOLAH DI JEPUN

Sewaktu 'Kohagi Matsuri' ini, para pelajar darjah 3 - 6 akan menganjurkan program, permainan atau pelbagai aktiviti di kelas mereka. Manakala, aktiviti bebas bagi pelajar darjah 1 - 2 dan digalakkan mereka melihat serta sertai aktiviti yang dianjurkan oleh senpai (senior). Ada kelas yang mengadakan rumah hantu, permainan menangkap penjenayah, aktiviti kraftangan, permainan sembunyi barang, menonton 'movie', pakaian tradisional dan pelbagai lagi.

'HAPPY' DI SEKOLAH

Pada hari tersebut para pelajar akan bergembira dan merupakan masa untuk mereka berinteraksi sesama rakan kelas yang lain. Tujuan utama program tersebut adalah untuk mendidik agar para pelajar membuat perancangan, berorganisasi dan kepimpinan. Antara aktiviti yang menarik perhatian saya adalah interaksi di antara para pelajar sekolah ini dengan orang-orang tua. Kelihatan orang tua yang hadir begitu teruja dan seronok sekali apabila dapat berinteraksi dan menerangkan permainan tradisional Jepun pada generasi muda.

ORANG TUA DI JEPUN

Sekolah di Jepun
Isteri saya berpeluang bermain permainan tradisional Jepun
Sepanjang berada di sini, kelihatan ramai orang tua Jepun yang keseorangan dan kesunyian. Program-program seperti ini dilihat seakan 'menghidupkan' jiwa mereka. Apabila melihat orang-orang tua di Jepun, saya terfikir apa kata kita gunakan sedikit duit kenaikan gaji untuk kerap hubungi orang tua atau pulang ke kampung.

HARGAI ORANG TUA

Bagi mereka yang selalu beralasan tidak cukup bila ingin hulurkan duit elaun buat orang tua, apa kata ambil peluang gaji meningkat ini untuk hulurkan sedikit buat mereka. Tak kiralah keluarga mertua ataupun ibu tiri, elaun bulanan sebaiknya konsisten diberi. Apabila gaji kita semakin meningkat, amanah dan tanggungjawab perlu juga dijaga agar bertambah berkat. Sebaiknya juga elakkan melihat katalog tudung mahupun jubah, gaji naik tak semestinya belanja kita perlu turut meningkat atau berubah.

Bila tak naik gaji ramai yang terngangga, yang gaji naik senyum mereka sampai ke telinga.

Sekadar perkongsian dari kejauhan.

Sayonara! Sampai jumpa lagi .

***Perkongsian ini pernah dikongsikan di laman muka buku (facebook) saya di https://goo.gl/WCcJqI

Tuesday, July 19, 2016

Nikmati dan Sayangi Kerja Kita

Meiji-Maru
Kapal ini dikenali sebagai Meiji-Maru (Sumber gambar: pinterest.com)

NIKMATI DAN SAYANGI KERJA KITA

1. Jangan kita terlalu memilih kerja, maklumlah kita bukan 'boss' tapi pekerja.

2. Nikmati dan sayangilah kerja kita, kerana dari situ kita beroleh rezeki dan mengumpul harta.

3. Laksanakan tugas dan tunaikan janji, barulah layak fikirkan kenaikan gaji.

4. Kerja itu juga merupakan ibadah, bila ikhlas semuanya jadi mudah.

5. Tak kiralah kerja di 'office' atau di kilang, waktu bekerja janganlah 'mengulau' atau menghilang.

6. Kerja itu juga sumber rezeki kita, tak perlulah membenci atau mengata.

7. Bila bekerja janganlah banyak sangat merungut, tak berkat jika gaji diterima tapi asyik 'melangut'.

8. Tak suka kerja ada pilihan untuk berhenti, tidak bersedia berhenti kenapa tidak pilih untuk dinikmati.

9. Bila kita sayang dan nikmati kerja kita, 'boss' dan kawan pun sayang pada kita.

10. Semakin kita benci pada kerja kita, semakin susah kejayaan dapat dicipta.

UMI NO HI

Hari ini merupakan cuti umum Jepun bagi memperingati peristiwa yang dinamakan 'Umi no hi' atau secara literal 'Hari Laut'. Perayaan dan cuti 'Hari Laut' ini merupakan manifestasi warga Jepun dalam mengucapkan terima kasih kepada samudera kerana mengurniakan hasil lautan kepada mereka.

SUSHI DAN HARI LAUT

Matshushima dekat dengan Sendai
Matshushima merupakan tempat paling hampir di Sendai untuk melihat kapal dan menikmati hasil laut.

Sememangnya Jepun terkenal dengan pelbagai hasil laut dan atas sebab itu 'sushi' terkenal dan mendapat sambutan di sini. 'Umi no hi' disambut setiap Isnin minggu ke tiga pada bulan Julai. Pada awalnya perayaan ini disebut 'Hari Memperingati Laut', namun pada 1996 kerajaan Jepun mengubah nama perayaan ini menjadi 'Hari Laut'. Di Tokyo University of Marine Science & Technology, terdapat sebuah kapal besi tertua di Jepun yang dikenali sebagai Meiji-maru. Kapal inilah yang menjadi pencetus kepada wujudnya cuti umum 'Umi no hi' ini.

KAPAL TENGGELAM

Apabila membicarakan tentang kapal dan laut, saya teringatkan satu perumpamaan kehidupan.

"Kapal tidak tenggelam kerana berat besi kapal tersebut. Tetapi ia tenggelam kerana air yang masuk ke dalam kapal tersebut."

Itulah hakikat kehidupan kita, jika kita selalu memikirkan perkara yang negatif dalam kehidupan kita, maka hasil yang negatif juga yang bakal kita perolehi. Jika kita selalu membenci kerja kita, bagaimana pula kerja dan rakan sekerja akan suka pada kita. Jika tidak suka pada kerja, kita ada pilihan untuk berhenti. Jika tidak bersedia untuk berhenti, kenapa tidak pilih untuk sayangi kerja dan dinikmati.

Percayalah bila kita sayang dan nikmati kerja kita, 'boss' dan kawan pun sayang pada kita. Semakin kita benci pada kerja kita, semakin susah kejayaan dapat dicipta.

Sekadar perkongsian dari kejauhan.

Sayonara! Sampai jumpa lagi.

***Perkongsian ini pernah dikongsikan di laman facebook saya di https://goo.gl/HGSjsI

Monday, July 18, 2016

Miliki Rumah Sebelum Usia 30

menulis impian semasa perayaan Tanabata di Jepun
Sambutan Tanabata di mulakan dengan menulis 'Impian Hidup'

MILIKI RUMAH SEBELUM '30'

1. Targetlah sebelum usia 30 membeli rumah, pastikan simpanan kita mantap dan tidak lemah.

2. Mulakan dengan membeli rumah pertama, baru ber'couple' elakkan beli rumah atas 'nama bersama'.

3. Carilah rumah di lokasi yang strategik, rumah lelong dan kecil tak perlu rasa malu dan 'jijik'.

4. Usah merungut harga rumah semakin meningkat, nak beli rumah kena kumpul duit dan tiada jalan yang singkat.

5. Masih ada rumah yang dijual bawah harga pasaran, tingkatkan dulu ilmu membeli rumah adalah disaran.

6. Jika terlintas nak tukar kereta baru, ingatkan diri rumah yang perlu kita buru.

7. Bagi mereka yang masih bujang, tingkatkan simpanan dan berfikir panjang.

8. Harga rumah di lokasi strategik susah nak turun, ikutkan rekod harganya naik turun-temurun.

9. Biasanya beli rumah perlukan deposit, dengan ilmu boleh beli rumah 'zero deposit'.

10. Harga rumah naik usahlah merungut dan marah, dilihat pasaran hartanah kini agak cerah.

11. Jika sudah cukup duit simpanan, bolehlah membeli rumah sebelum kempunan.

12. Targetlah membeli rumah di usia muda, lagi rugi jika asyik tertunda.

13. Rumah boleh dijadikan aset ataupun harta, usah fikirkan sangat apa orang kata.

14. Memanglah tak salah hidup menyewa, rumah dibeli pun boleh tinggal atau disewa.

15. Orang beli kereta baru dah selalu, beli rumah barulah teruja dan 'berbulu'.

TANABATA

Tanabata di Jepun
Tanabata di Jepun

Salah satu tradisi dan kebudayaan di Jepun mulai 7 Julai hingga 7 Ogos adalah sambutan Tanabata. Sambutan Tanabata atau 'Perayaan Bintang' ini seakan disambut meriah oleh masyarakat Jepun dengan dentuman dan percikan bunga api (hanabi). Apa yang menarik perhatian, disaat awal sambutan Tanabata ini, terdapat tradisi mereka yang mengingatkan saya betapa pentingnya kita menulis 'impian hidup'.

TULIS IMPIAN HIDUP

Amalan menulis impian dan pesta Tanabata yang diamalkan oleh orang Jepun ini dikatakan telah diamalkan semenjak zaman Edo (1603-1867). Di kala 'Perayaan Bintang' ini, mengikut tradisi orang Jepun mereka menulis impian pada kertas kecil berwarna-warni. Kertas impian tersebut akan digubah cantik dan digantung pada pohon buluh yang diberi nama 'Sasa'. Pokok buluh ini turut dihias cantik. Tradisi mengantung impian di pohon buluh ini akan berakhir pada 13-15 Ogos di kala cuti panjang Jepun sempena menyambut 'Obon Matsuri'. Cuti panjang 'Obon Matsuri' ini merupakan perayaan mengenang orang yang telah meninggal dunia.

ORISHIME DAN KENGYUU

Sudah tentu saya sendiri dan ramai orang Jepun tidak percaya kisah dongeng dan dewa-dewi pasangan kekasih yang terpisah dalam kisah Tanabata ini. Dikisahkan iaitu Orihime (Puteri Menjahit) dan Kengyuu (Pengembala Lembu) telah dipisahkan kerana lalai melaksanakan tugas mereka menjahit dan mengembala lembu. Sungguh saya tidak percaya!

HIDUP TERARAH

Namun, saya percaya dengan menulis 'impian hidup' akan menjadikan kita lebih terarah dalam menuju dan menjalani kehidupan. Barangkali atas sebab itu, budaya menulis impian ini turut diamalkan di sini. Oleh itu, usah malu menulis dan menggantung atau menampal 'impian hidup'. Jika kita tidak menulis impian hidup, barangkali perjalanan hidup hanya sekadar terikut-ikut orang lain atau boleh diibaratkan 'main bola, tanpa tiang gol!' Sepatutnya, sebelum kita 'berlepas' menuju ke destinasi, kita perlu kenal pasti terlebih dahulu ke mana arah tujuan hidup kita.

HIDUPKAN IMPIAN HIDUP

Oleh itu, jika kita ada 'impian hidup', hidupkanlah impian tersebut dengan menulis, menggantung atau menampal impian tersebut agar terus menjadi doa dan terpahat di minda bawah sedar kita (sub-conscious mind). Nasihat saya buat golongan muda, jadikan juga target memiliki rumah sebelum usia 30 sebagai impian hidup. Belilah rumah di usia muda, lagi rugi jika asyik tertunda. Orang beli kereta baru dah selalu, beli rumah barulah teruja dan 'berbulu'.

Sebagai muslim, jangan lupa juga jadikan 'Tunaikan Haji' matlamat kewangan dan impian hidup.

Hari minggu ini, nak belajar nihongo (bahasa Jepun) dengan menyanyi lagu Tanabata.

Sasano wa sara sara 
(Daun buluh gemersik dengan lancar)

Nokiba ni yureru 
(Hujungnya bergoyang-goyang)

Ohoshisama kira kira 
(Bintang-bintang berkerdipan)

Kin gin sunago 
(Bertaburan bagai emas perak)

Goshiki no tanzaku 
(Warna warni impian dan doa)

Watashi ga kaita 
(Impian yang aku tulis)

Ohoshisama kira kira
(Bintang-bintang berkerdipan)

Sora kara miteru 
(Dapat dilihat dari langit)

Sekadar perkongsian dari kejauhan.

Sayonara! Sampai jumpa lagi.

***Perkongsian ini pernah dikongsikan di laman facebook saya di https://goo.gl/Jo2vGT

Sunday, July 17, 2016

Buktikan Sayang Isteri

Mama-chari di Jepun
Basikal ini lebih dikenali sebagai 'Mama-chari' di Jepun

BUKTIKAN SAYANG ISTERI

1. Isteri berkorban dan kuat bekerja, dari pagi sampai lewat malam ada sahaja kerja. 

2. Isteri kenalkan suami 'mee' dan 'spaghetti', celik mata makan minum terhidang dan sedia menanti. 

3. Balik kerja terus bergegas masak lauk dan nasi, perut anak dan suami sentiasa dijaga dan diisi. 

4. Hari minggu pula sibuk dengan kain, dari basuh, jemur, angkat dan lipat kain. 

5. Suami selalu kata 'siapa tak sayang isteri', ingatkan diri hidup berkeluarga saling memberi. 

6. Hari minggu isteri tak berehat dan masih bekerja, suami hulurkan bantuan dan usahlah duduk goyang kaki sahaja. 

7. Lewat malam barulah isteri dapat lelapkan mata, berikan bantuan dan pujilah dengan kata-kata. 

8. Pujilah isteri kita semakin cantik, sesekali bawalah isteri pergi ke butik. 

9. Berilah elaun tetap buat si isteri, hargailah pengorbanan yang telah mereka beri. 

10. Bantulah cuci periuk belanga, pinggan dan mangkuk, pastinya hidung isteri kita 'kembang semangkuk'.

MAMA-CHARI DI JEPUN

Basikal seperti ini dikenali sebagai 'mama-chari' di Jepun. Basikal ini sangat popular di kalangan ibu-ibu di sini. Umumnya, orang Jepun jarang mempunyai anak ramai dan dilihat 2 orang merupakan bilangan anak yang ideal. 

PEMBANTU RUMAH DI JEPUN

Berdasarkan pengalaman kami di sini, budaya pembantu rumah (maid) jarang sekali di amalkan masyarakat Jepun. Menurut satu kajian, hampir 41.6% wanita yang berkerjaya akan berhenti kerja bagi memberikan tumpuan kepada keluarga setelah mereka berumahtangga. Ini secara tidak langsung memberi kesan terhadap target yang disasarkan oleh Shinzo Abe, Perdana Menteri Jepun yang terkenal dengan jolokan 'Abenomic'. Beliau meletakkan sasaran 30% pengurus wanita di Jepun. 

CUTI BERSALIN 1 TAHUN

Menurut rakan kami nihonjin (orang Jepun), wanita yang bekerja dibenarkan untuk mengambil cuti bersalin sehingga 1 tahun. Ini disebabkan kos menghantar bayi ke nurseri agak tinggi dan bagi memberikan tumpuan kepada perkembangan dan membesarkan anak. Walau bagaimanapun, ramai ibu-ibu di Jepun memilih untuk berhenti kerja kerana ingin memberikan tumpuan sepenuhnya pada keluarga di samping tekanan (stress) bekerja. 

ISTERI BERKERJAYA

Atas sebab itu, kita patut kagum dengan wanita yang berkerjaya dan dalam masa yang sama menjadi ibu dan suri di rumah. Pesan buat diri sendiri dan insan bernama suami, sayang isteri tidak hanya sekadar dengan kata-kata. Apa kata hari minggu ini kita mulakan dengan bantu mereka cuci periuk belanga, pinggan dan mangkuk. Pastinya hidung isteri kita 'kembang semangkuk'.

Sekadar perkongsian dari kejauhan. 

Sayonara! Sampai jumpa lagi.

***Perkongsian ini pernah dikongsikan di laman facebook saya di https://goo.gl/FY8phw

Thursday, July 14, 2016

Hamba Kereta

jangan jadi hamba kereta
Kereta Sensei Saya Yang Berstatus Professor

HAMBA KERETA

1.  Elakkan duit bocor kerana kereta, lebih baik membeli rumah ataupun harta.

2.  Belilah kereta mengikut keperluan, bukannya terlalu mengikut kemahuan.

3.  Tak salah kita membeli kereta, jika itu memang keperluan kita.

4.  Apa guna 'spoiler' kereta dipasang tinggi, kereta dibeli nilainya menyusut dan semakin rugi.

5.  Masa depan tak akan terang jika kereta dipasang 'sport light' atau dihias lampu, fikirkan dahulu sebelum membeli kereta yang paling mampu. 

6.  Hamba kereta asyik dengan pujian dan kata-kata, usah dibiarkan duit habis menghias dan 'modify' kereta. 

7. Seronok tukar 'sportrim' dan ganti tayar, jangan sampai duit PIBG dan buku anak susah pula nak bayar. 

8.  Kereta dibasuh, dijaga dan sayangnya tidak terperi, malulah jika duit bulanan buat orang tua pun tak mampu nak beri.

9.  Memiliki kereta mahal memanglah bergaya, tapi itu tak menjanjikan kita untuk kaya.


10. Janganlah kita menjadi hamba kereta, fokuslah dalam membeli rumah atau mengumpul harta. 



INFO GAMBAR


Kereta kecil atau lebih dikenali sebagai keijidousha (軽自動車) ini merupakan kereta milik sensei saya. Walaupun beliau merupakan seorang Professor do 'Graduate School' kami, beliau tetap memilih kereta K-Cars (Compact Car) sebagai kereta pilihan. 

Menurut sensei saya, tidak dinafikan kos memiliki kereta yang tinggi dan kecekapan pengangkutan awam di Jepun menjadi fakto dan penyebab beliau memilih keijidousha ini. 

Menurut sensei saya, tidak dinafikan kos memiliki kereta yang tinggi dan kecekapan pengangkutan awam di Jepun menjadi faktor dan penyebab beliau memilih keijidousha ini. 

Namun, kata-kata beliau begitu menarik perhatian saya. Kata sensei saya:
"Hidup ini penuh pilihan. Saya boleh memilih pelbagai model kereta yang ada di pasaran Jepun. Namun, saya memilih kereta berdasarkan keperluan dan fokus kepada penambahan aset."

Menurut rakan saya nihonjin (orang Jepun), walaupun kereta yang dimiliki oleh sensei saya ini kelihatan biasa-biasa, tetapi saya dimaklumkan beliau juga merupakan oyasan (tuan rumah) yang luar biasa.

Namun, kata-kata beliau begitu menarik perhatian saya. Kata sensei saya:
"Hidup ini penuh pilihan. Saya boleh memilih pelbagai model kereta yang ada di pasaran Jepun. Namun, saya memilih kereta berdasarkan keperluan dan fokus kepada penambahan aset."

Menurut rakan saya nihonjin (orang Jepun), walaupun kereta yang dimiliki oleh sensei saya ini kelihatan biasa-biasa, tetapi saya dimaklumkan beliau juga merupakan oyasan (tuan rumah) yang luar biasa. 

Barangkali suatu hari nanti saya juga boleh belajar rahsia dan ilmu menjadi oyasan yang berjaya seperti sensei.

Arigatou sensei!

Sekadar perkongsian dari kejauhan.

Sayonara! sampai jumpa lagi. 

Perkongsian ini pernah dikongsikan di facebook saya di https://goo.gl/8o8qTQ

Friday, July 8, 2016

7 Idea Urus Duit Raya Anak

Urus Duit Raya Anak
Kegembiraan Anak Sampai Bawa Ke Tidur Duit Raya


7 IDEA URUS DUIT RAYA ANAK

1.  Melentur buluh biarlah daripada rebung, ingatkan anak duit raya bolehlah dibuat menabung.

2.  Didiklah anak hulurkan sedikit duit raya untuk sedekah, pesanlah pada anak dengan bersedekah hidup bertambah barokah. 

3.  Boleh belikan juga anak apa yang dia berhajat, khuatir simpan semua duit raya mereka pula yang terperanjat.

4.  Duit raya anak sebaiknya tidak dibuat belanja makan, lebih baik fokus untuk dijadikan dana pendidikan.

5.  Boleh juga simpan di Tabung Haji, agar usia muda dapat pergi tunaikan haji.

6.  Jika terpaksa guna duit anak diwaktu 'sesak', catat dan bayar semula dikala berduit dan 'tidak sesak'.

7. Duit raya anak adalah amanah, uruslah dengan baik dan jangan dimusnah. 


INFO GAMBAR


Kelmarin kami sekeluarga berkesempatan menghadirkan diri ke jemputan mini 'open house' anjuran salah seorang rakan di sini. 

Di waktu pulang, tanpa diduga anak-anak saya menerima duit raya. Kegembiraan mereka tergambar sampaikan terbawa hingga ke tidur. Barangkali disebabkan kami sekeluarga sudah beraya di sini masuk tahun ke dua, anak-anak jarang sekali menerima duit raya. Sudah tentu bila sesekali mendapat duit raya kegembiraan mereka tidak terkata. 

Sememangnya duit raya ini memberikan seribu makna dan kegembiraan buat anak-anak kecil seperti anak-anak saya. Tidak dinafikan duit raya ini bukanlah tuntutan agama. Ia lebih kepada budaya dan adat. Ada yang menganggapnya sebagai sedekah. Terpulang pada individu asalkan tidak membebankan. 

Bagi ibu bapa seperti kami, selalu saya ingatkan diri yang duit raya anak ini adalah amanah. Perlu diuruskan dengan baik dan janganlah dimusnah. Bak kata pepatah, "melentur buluh, biarlah dari rebung." Ingatkan juga anak duit raya bolehlah dibuat menabung. 

Sempena hari Jumaat yang mulia ini, apa kata bawa anak ke masjid dan didiklah anak hukurkan sedikit duit raya untuk sedekah. Pesanlah oada anak dengan bersedekah hidup bertambah barokah. 

Didoakan semoga insan-insany yang sudi memberikan duit raya dimurahkan rezeki dan dipermudahkan segala urusan olehNya. Amin. 

Sekadar perkongsian dari kejauhan.

Sayonara! sampai jumpa lagi. 

Perkongsian ini pernah di kongsikan di facebook saya di https://goo.gl/201ibx

Thursday, July 7, 2016

Beraya, Bergaya dan Kaya

Anak sekolah di Jepun
Anak-anak ke sekolah seperti biasa walaupun hari raya ke-2

BERAYA, BERGAYA DAN KAYA

1.  Syawal hari kemenangan dan untuk beraya, bukannya masa nak promosi skim cepat kaya.

2.  Tak salah kita berimpian untuk kaya, jauhi pura-pura kaya atau asyik bergaya.

3.  Raya bukan medan untuk tunjuk aku yang lebih kaya, utamakan agama bukannya adat dan juga budaya.

4.  Eratkan silaturahim sesama kita, elakkan berbicara pasal harta dan juga kereta.

5.  Salam dihulur dan kemaafan dapat diberi, ingatlah masih ada insan tak dapat beraya tanpa kita sedari.

6. Tak semua adik-beradik dan saudara mara kita senang, orang yang kurang berkemampuan perlu juga dirai dan dikenang.

7.  Idulfitri bermaksud kembali kepada fitrah, bila memandu cubalah tahan rasa nak marah. 

8.  Kaya itu mulia dan tak salah disisi agama, ambillah peluang ziarah dan beraya ke rumah saudara dan rakan lama. 

9.  Jika ada yang promosi kita skim cepat kaya, berhati-hati jangan cepat teruja ataupun terpedaya. 

10. Usahlah malu jika kelihatan miskin atau belum lagi kaya, apa guna jika kita pura-pura kaya atau sekadar terlebih bergaya. 


INFO GAMBAR

Seperti biasa anak-anak ke sekolah pagi ini. InsyaAllah Sabtu dan Ahad ini sambutan Aidilfitri warga Malaysia di Sendai, Jepun. 

Bagi mereka yang berpeluang menyambut Syawal, ambillah peluang ini untuk ziarah dan beraya ke rumah sanak saudara dan rakan lama. 

Hulurkan salam dan semoga kemaafan juga dapat diberi, ingatlah masih ada insan yang tak dapat beraya tanpa kita sedari. 

Bagi mereka yang kurang berkemampuan, usahlah malu jika kelihatan miskin atau belum lagi kaya, apa guna jika kita pura-pura kaya atau sekadar lebih bergaya. 

Sekadar perkongsian dari kejauhan. 

Sayonara! Sampai jumpa lagi.

**Perkongsian ini perlu dikongsikan di facebook saya di https://goo.gl/7Dg3XN

Sunday, July 3, 2016

Didik Anak Erti Duit Raya

Duit Raya
Pagi Raya Anak-Anak Ke Sekolah Pada Tahun Lepas

DIDIK ANAK ERTI DUIT RAYA


1.  Beraya bukannya nak dapatkan duit raya, didiklah anak erti sebenar kita beraya.

2.  Apa kata anggaplah duit raya itu sedekah, suburkan juga anak-anak amalan suka bersedekah.

3.  Ziarah dan bermaafan sangat digalakkan di hari raya, bukan bertandang kerana inginkan duit raya.

4.  Duit raya ini hanyalah adat dan budaya, pesan anak-anak usah menrengek jika tak dapat duit raya.

5. Beraya utamakan pahala ziarah, tegurlah anak bukan diherdik atau dimarah.

6. Dapat duit raya ucapkan syukur Alhamdullilah, anak-anak dididik agar kembali pada Allah.

7.  Ingatkan anak 'sampul duit' hanya dibuka dalam kereta, agar pemberi tak berkecil hati dengan kata-kata. 

8.  Pesan anak-anak ucapkan teriima kasih, itu tandanya kita bersyukur dan berterima kasih. 

9. Anak doakan pakcik makcik dimurahkan rezeki, ajari mereka dapat berziarah dan air kosong pun itu rezeki. 

10. Ziarah juga nak yatim, fakir dan miskin, tunjukkan pada anak contoh yang baik sebagai pemangkin. 

11. Tidak kiralah duit raya dapat banyak atau sedikit, ingatkan mereka juga agar menabung untuk keperluan di kala 'sakit'. 

12. Anak-anak masih kecil dan belum mengerti, didiklah mereka dengan sabar dari hati. 

INFO GAMBAR


Beraya di peratauan sudah tentulah tidak sama sepertimana di tanahair. Lebih-lebih lagi, dijangkakan raya kali ini akan jatuh pada hari biasa dan bukannya pada hari minggu.

Sepertimana tahun lepas, rutin seperti biasa anak-anak di waktu pagi akan ke sekolah dan saya pula setelah solat sunat Aidilfitri ada sesi pembentangan di universiti. Kesibukan dengan aktiviti masing-masing menjadikan Syawal yang sepatutnya disambut gembira seakan berlalu begitu sahaja.  

Oleh itu, bagi mereka yang berpeluang menyambut Syawal, raikan ia secara bersederhana. Sudah tentu juga 'duit raya' antara yang menjadi penyeri di hari lebaran khususnya buat anak-anak kecil. Ingatkan anak-anak, ziarah dan bermaafan sangat digalakkan di hari raya, bukannya bertandang kerana inginkan duit raya. 

Beraya bukannya nak dapatkan duit raya, fahamkan mereka erti sebenar kita beraya. Anak-anak masih kecil dan belum mengerti, didiklan mereka dengan sabar dari hati. 

Sekadar perkongsian dari kejauhan. 

Sayonara! Sampai jumpa lagi.

**Perkongsian ini pernah dikongsikan di laman facebook saya di https://goo.gl/JIoH0U.

Friday, July 1, 2016

12 Tip Urus Wang Sebelum Raya

Bunga api atau Hanabi di Jepun
Bunga Api atau Lebih dikenali sebagai Handi di Jepun

12 TIP URUS WANG SEBELUM RAYA

1.  Zakat fitrah rukun Islam yang ke empat, disegerakan bayaran khuatir terlupa atau tak sempat.

2.  Cuti raya paling lama pun seminggu, sediakan juga bajet raya sebelum kita menangis tak berlagu.

3.  Ansuran rumah dan kereta dibayar dulu, jangan sampai bank 'call' kita yang malu.

4.  Hutang kad kredit jangan pula dibayar lewat, bank bukannya nak dengar alasan walaupun ekonomi kita gawat.

5.  Caj dan faedah kad kredit sangatlah tinggi, ingatkan diri selalu tiada bank yang nak rugi.

6.  Asingkan juga duit buat keluarga mertua dan ibu bapa, hulurlah lebih sedikit kerana duit bulanan pun selalu 'miss' atau bagi tak seberapa.

7.  Sediakan peruntukan untuk duit raya, ikut kemampuan bukannya nak tunjuk aku yang lebih kaya.

8.  Kereta diservis dan tengok juga kondisi tayar, pastikan keadaan kereta 'tip top' sebelum caj 'pomen' dibayar.

9.  Jangan lupa duit tol dan duit minyak, perjalanan perlu dirancang bukannya 'main lanyak'.

10. Sediakan juga dana kecemasan walaupun sedikit, banyakkan berdoa agar kereta kita tak meragam ataupun 'sakit'.

11. Duit dapur orang tua 'tong-tonglah' adik-beradik, ini barulah anak dan menantu yang prihatin lagi cerdik.

INFO GAMBAR

Hanabi di Jepun
Pelbagai Hanabi yang mudah kelihatan di pasaraya-pasaraya Jepun

Sekarang kami di sini sedang memasuki fasa musim panas (natsu). Seperti biasa, apabila memasuki msuim baru biasanya cuaca tidak menentu dan hujan berpanjangan untuk beberapa hari. Pada waktu ini, kita akan mudah kelihatan jualan mercun dan bunga api atau lebih dikenali sebagai 'hanabi' di pasaraya-pasaraya Jepun. 

Hanabi dalam bahasa Jepun berasal daripada dua perkataan iaitu 'hana' yang bermaksud kembang atau bunga dan juga 'bi' yang membawa maksud api. 

Semasa musim panas, pesta hanabi anata yang dinantikan oleh warga Jepun. Ia seakan menjadi temasya atau acara tahunan yang bermula pada Julai sehingga Ogos. Walaupun 'hanabi' kelihatan mudah dijual, perlu difahami untuk bermain mercun dan bunga api di sini bukanlah semudah yang disangka. 

Terdapat beberapa peraturan perlu dipatuhi termasuklah menyediakan bekas untuk sampah bunga api dan lebih penting tidak menganggu jiran tetangga. Jika tidak, bersedialah kita untuk menerima kunjungan daripada pihak polis. 

Bila membicarakan bunga api dan mercun, jika pada raya kali ini anak kita berhasrat hendak membeli mercun janganlah diberi. Kecualialah, ingin melihat anak kita bersalaman tanpa jari!

Sekadar perkongsian dari kejauhan.

Sayonara! Sampai jumpa lagi. 

**Perkongsian ini pernah dikongsikan di facebook saya di https://goo.gl/SHrDAo