Showing posts with label Anak-anak. Show all posts
Showing posts with label Anak-anak. Show all posts

Friday, July 8, 2016

7 Idea Urus Duit Raya Anak

Urus Duit Raya Anak
Kegembiraan Anak Sampai Bawa Ke Tidur Duit Raya


7 IDEA URUS DUIT RAYA ANAK

1.  Melentur buluh biarlah daripada rebung, ingatkan anak duit raya bolehlah dibuat menabung.

2.  Didiklah anak hulurkan sedikit duit raya untuk sedekah, pesanlah pada anak dengan bersedekah hidup bertambah barokah. 

3.  Boleh belikan juga anak apa yang dia berhajat, khuatir simpan semua duit raya mereka pula yang terperanjat.

4.  Duit raya anak sebaiknya tidak dibuat belanja makan, lebih baik fokus untuk dijadikan dana pendidikan.

5.  Boleh juga simpan di Tabung Haji, agar usia muda dapat pergi tunaikan haji.

6.  Jika terpaksa guna duit anak diwaktu 'sesak', catat dan bayar semula dikala berduit dan 'tidak sesak'.

7. Duit raya anak adalah amanah, uruslah dengan baik dan jangan dimusnah. 


INFO GAMBAR


Kelmarin kami sekeluarga berkesempatan menghadirkan diri ke jemputan mini 'open house' anjuran salah seorang rakan di sini. 

Di waktu pulang, tanpa diduga anak-anak saya menerima duit raya. Kegembiraan mereka tergambar sampaikan terbawa hingga ke tidur. Barangkali disebabkan kami sekeluarga sudah beraya di sini masuk tahun ke dua, anak-anak jarang sekali menerima duit raya. Sudah tentu bila sesekali mendapat duit raya kegembiraan mereka tidak terkata. 

Sememangnya duit raya ini memberikan seribu makna dan kegembiraan buat anak-anak kecil seperti anak-anak saya. Tidak dinafikan duit raya ini bukanlah tuntutan agama. Ia lebih kepada budaya dan adat. Ada yang menganggapnya sebagai sedekah. Terpulang pada individu asalkan tidak membebankan. 

Bagi ibu bapa seperti kami, selalu saya ingatkan diri yang duit raya anak ini adalah amanah. Perlu diuruskan dengan baik dan janganlah dimusnah. Bak kata pepatah, "melentur buluh, biarlah dari rebung." Ingatkan juga anak duit raya bolehlah dibuat menabung. 

Sempena hari Jumaat yang mulia ini, apa kata bawa anak ke masjid dan didiklah anak hukurkan sedikit duit raya untuk sedekah. Pesanlah oada anak dengan bersedekah hidup bertambah barokah. 

Didoakan semoga insan-insany yang sudi memberikan duit raya dimurahkan rezeki dan dipermudahkan segala urusan olehNya. Amin. 

Sekadar perkongsian dari kejauhan.

Sayonara! sampai jumpa lagi. 

Perkongsian ini pernah di kongsikan di facebook saya di https://goo.gl/201ibx

Saturday, August 29, 2015

Warnai '#SehatiSejiwa' Dari Jepun

Warnai #sehatisejiwa 1












JAUH DI MATA, DEKAT DI HATI

Sudah pasti apabila berada di negara orang kita akan merasakan ada kekurangan berbanding semasa berada di negara sendiri. Sebagai contoh, pada tahun ini sambutan Aidilfitri bagi kami sekeluarga sungguh berbeza memandangkan ini merupakan kali pertama menyambutnya di perantauan. Sememangnya tiada cuti umum mahupun sambutan dibuat malah pada hari raya pertama saya sendiri perlu menghadiri sesi pembentangan. Anak-anak seperti biasa ke sekolah di pagi hari, manakala saya akan membentangkan hasil penyelidikan di tengahari. Namun, saya masih dikira bernasib baik kerana terdapat juga rakan-rakan yang perlu melangkah masuk ke dewan peperiksaan di pagi Syawal. Dikala situasi ini, barulah memahami "jauh di mata, dekat di hati".

KEMERDEKAAN MALAYSIA




Begitu juga dengan sambutan kemerdekaan Malaysia kali ini sudah pasti tiadanya gantungan dan kibaran bendera serta dendangan lagu #sehatisejiwa di radio mahupun televisyen. Apabila berada diperantauan, kita sendiri yang mencoraknya kerana setiap individu merupakan 'duta kecil' kepada negara. Selalu juga ingatkan diri dan anak-anak walaupun tinggal bertahun di negara orang kita masih tetap warga Malaysia. Tidak mahu apabila melihat keindahan atau kebaikan di negara orang langsung lupa warna-warni pelangi dan memori indah di negara sendiri. Tidak mahu juga apabila selesa di negara orang, terlupa dan alpa sehingga menjadi penjaja cerita yang  kurang enak tentang negara sendiri. Berhikmahlah dalam bertindak dan berbicara.

SEHATI SEJIWA

Warnai #sehatisejiwa 2

Dihujung musim panas baru-baru ini terfikir untuk mengajak anak-anak mewarni #sehatisejiwa sebagai usaha turut merasai kehangatan kemerdekaan Malaysia dari kejauhan. Asalnya sengaja ingin mengisi cuti musim panas yang masih berbaki  sebelum sesi persekolahan kembali bermula. Dikala aktiviti mewarna #sehatisejiwa dapatlah berbual-bual dengan mereka disamping mengingatkan diri dan anak-anak agar 'membugarkan semula' tujuan dan matlamat hidup dengan memahami serta membentuk hati agar sentiasa "kaya dengan memberi". Barangkali ini boleh dijadikan falsafah hidup dalam memandu tujuan hidup. Bagi saya mana mungkin dapat memahami konsep #sehatisejiwa jika masih kabur tentang tujuan hidup.

MEMBERI SEPENUH HATI

Warnai #sehatisejiwa 3

Seringkali kita terlepas pandang dengan melihat kekayaan hanya bersifat material semata-mata. Adakala terlupa bahawa ketenangan hati, kesihatan dan kebahagiaan seluruh isi keluarga dalam kehidupan juga merupakan KEKAYAAN. Teringat pesanan guru saya bahawa konsep memberi atau bersedekah bukan hanya bersifat fizikal atau material semata-mata. Mengajar dengan ilmu yang ada juga memberi, berkongsi sesuatu yang berguna juga memberi, menghulurkan bantuan dan pertolongan juga memberi, mengasihi dan mendoakan sepenuh hati juga turut memberi. Jangan tunggu kaya baru hendak memberi kerana khuatir nyawa  dijemput sebelum sempat menjadi kaya. Memberi juga membentuk hati, kerana 'tidak mahu hidup rasa kurang ditengah lapang' atau 'rasa miskin, dikala dilimpahkan dengan kekayaan'. Terlalu banyak yang boleh diberikan atas konsep memberi atau bersedekah. Atas dasar itu bersamalah kita berusaha untuk MEMBERI dengan sepenuh #sehatisejiwa. 

HATI DAN JIWA

Warnai #sehatisejiwa 4

Bagi anak-anak mewarnai #sehatisejiwa sebagai aktiviti menghiasi ruangan dengan warna-warni dan lakaran dalam mencantikkan kertas itu. Sudah pasti setiap individu termasuklah diri kita sendiri melihat kertas putih itu dari sudut pandangan yang berbeza mengikut rentak hati. Melalui hati inilah yang memandu akal dan mengarahkan tindakan seseorang. Jika hati itu baik, maka baiklah juga pemikiran dan tindakannya. Oleh itu, warnai dan didiklah hati untuk sentiasa memberi. Keikhlasan dalam memberi bukan sahaja beroleh kekayaan material, tetapi lebih mendamaikan apabila mendapat KEKAYAAN HATI.

Semoga tagline #sehatisejiwa bukan sahaja dalam menghayati Kemerdekaan Malaysia malah turut membentuk HATI dan JIWA setiap insan.

Bersamalah warnai #sehatisejiwa!

Semoga bermanfaat. 

Thursday, July 23, 2015

Elaun Kanak-Kanak (Jido Teate)

Waktu Rehat dan Makan Bersama Rakan-rakan serta Guru di dalam Kelas


ANAK SEKOLAH DI JEPUN

Baru-baru ini saya mendapat e-mail daripada pembaca Travelog ISMA yang merupakan seorang ibu kerisauan kerana akan membawa anak-anaknya tinggal di Osaka, Jepun pada September akan datang. Sepertimana dahulu sebelum ke Sendai saya turut risaukan mengenai persekolahan anak-anak dan kos-kos yang berkaitan dalam membesarkan anak-anak di sini. Maklumlah, dalam usia yang semakin meningkat baru 'berpeluang' untuk melanjutkan pengajian di luar negara. Syukur ke hadrat Ilahi dan terima kasih juga kepada kerajaan Malaysia serta Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) atas tajaan belajar di sini. Bukan mudah tanpa tajaan untuk mengharungi kehidupan di negara maju seperti Jepun ini dengan kos dan juga cukai yang agak tinggi. Pernah berbual dengan rakan-rakan Jepun, mereka juga turut kadang-kala mengeluh dengan tekanan ekonomi dan cukai di Jepun yang dijangka akan meningkat lagi. 

Perlu membuat permohonan bagi mendapatkan 'Jido Teate' di 'City Hall' masing-masing.

BANTUAN DAN ELAUN ANAK DI JEPUN

Namun, mungkin barangkali pelbagai kemudahan bantuan dan infrastruktur yang disediakan oleh pihak kerajaan mereka menjadikan rakyat Jepun khususnya pembayar-pembayar cukai di sini seakan menerima dengan baik. Jalan-jalan yang kurang kelihatan berlubang, pengangkutan awam yang sememangnya 'tip-top', elaun dan bantuan buat kanak-kanak, bantuan untuk orang-orang tua serta pelbagai lagi menjadikan ia berkadar langsung dengan cukai yang perlu dibayar. Secara peribadi, kami sekeluarga sangat bersetuju dan memahami peribahasa "hujan emas di negara orang, hujan batu di negara sendiri, lebih baik di negara sendiri". Banyak faktor lain yang lebih penting berbanding pengalaman hidup di negara orang khususnya dalam kehidupan berkeluarga dan mempunyai anak-anak sedang membesar di sini.  

PENGALAMAN DI SENDAI, JEPUN

Bagi mereka yang bertanya mahupun rakan-rakan lain seakan risau akan persekolahan anak-anak di Jepun barangkali perkongsian ANAK-ANAK SEKOLAH DI SENDAI, JAPAN boleh dijadikan panduan. Namun, perlu diingatkan perkongsian saya berkisarkan pengalaman kami di Sendai, Jepun. Barangkali ia berbeza dengan tempat-tempat lain di Jepun. Namun, secara umumnya rakan-rakan kami di Yamagata, Nagoya, Osaka, Kyushu dan beberapa tempat lain pernah menceritakan pengalaman yang hampir sama sepertimana kami di Sendai ini. 

ELAUN KANAK-KANAK (JIDO TEATE)

Japan Residence Card

Sehingga pengkongsian ini ditulis, elaun kanak-kanak atau juga dikenali sebagai 'Jido Teate' dan terdapat juga mereka yang menyebut 'Kodomo Teate' turut diberikan kepada bukan warganegara Jepun. Maksudnya, orang luar yang datang belajar mahupun bekerja di Jepun dan mempunyai Japan Residence Card turut layak memohon 'Jido Teate' ini. Saya pernah mendengar cerita yang pihak kerajaan Jepun ada ura-ura untuk menarik-balik bantuan elaun kanak-kanak ini selepas tragedi Tsunami dan kesan Fukushima Nuklear. Namun, sehingga kini kami dan warga asing lain masih diberi peluang oleh kerajaan Jepun untuk menikmati 'Jido Teate' ini. Atas sebab itulah, kami menggunakan sepenuhnya elaun tersebut bagi menampung perbelanjaan persekolahan anak-anak di sini. Bagi memastikan duit elaun bantuan ini digunakan sepenuhnya untuk keperluan anak-anak sekolah dan membesar, saya telah membuka akaun khas di JP Bank. Ini bagi keperluan 'auto-debit' perbelanjaan sekolah anak-anak daripada akaun tersebut. Saya pernah kongsikan pengalaman membuka akaun bank di JP Post di PANDUAN ATM 77 BANK (77 BANK ATM GUIDELINE).

PERBELANJAAN SEKOLAH DI SENDAI, JEPUN

1.   Bayaran PTA

Secara umum, bayaran sekolah anak-anak yang meliputi bayaran Parents Teacher Association (PTA) atau di Malaysia di kenali sebagai yuran Persatuan Ibu Bapa & Guru (PIBG) di antara 5000 - 6500 yen sebulan bagi setiap orang. Yuran ini termasuk duit makanan untuk anak-anak di sekolah. Alhamdullilah, pihak Kunimi Elementary School menyediakan makanan Halal buat para pelajar yang beragama Islam di sini. Syukur Alhamdullilah juga pihak sekolah turut menyediakan ruang untuk anak-anak solat di sekolah.

Anggaran kami bayar setahun = 6500 yen sebulan x 3 orang x 12 bulan = 234,000 yen/ setahun.

Anisah Humairah beratur mengambil makanan.
2.  Bayaran Aktiviti dan Latihan di Sekolah

Pada setiap akhir bulan juga anak-anak akan menyerahkan sampul surat kepada ibu/bapa. Oleh itu, kami perlu memasukkan wang tunai mengikut amaun yang tertera di sampul surat tersebut. Anggaran sebulan seorang anak yang bersekolah rendah, ibu bapa perlu menyediakan di antara 1500 - 2000 yen sebulan bagi kegunaan aktiviti dan latihan di sekolah. Sebagai contoh, anak-anak saya seringkali terlibat dengan lawatan di luar dan hampir setiap hari ada sahaja latihan-latihan kerja sekolah yang diberikan oleh guru-guru mereka. Kesemua aktiviti dan latihan-latihan ini menggunakan duit bayaran bulan tersebut. 

Anggaran kami bayar setahun = 2000 yen sebulan x 3 orang x 12 bulan = 72,000 yen/ setahun.

Kesemua bayaran tersebut kami tolak daripada pemberian elaun kanak-kanak yang dikreditkan ke akaun pada setiap Jun, Oktober dan Februari. Kebiasaannya, pihak sekolah akan meminta ibu bapa membuat perkhidmatan 'auto-debit' bagi yuran PTA. Manakala duit bayaran aktiviti dan latihan sekolah pula melibatkan pembayaran secara tunai. 

ELAUN: JIDO TEATE/ KODOMO TEATE

Saya dimaklumkan 'Kodomo Teate' dijenamakan semula kepada 'Jido Teate' pada tahun 2012. Apa pun istilahnya, tidak dinafikan pemberian elaun kanak-kanak ini dapat meringankan perbelanjaan sekolah anak-anak kami di sini. Bagi saya, elaun ini tertakluk kepada budi-bicara pihak kerajaan Jepun. Mereka boleh memberikan elaun ini kepada warga asing dan juga boleh menarik-balik elaun tersebut. Itu hak mereka! Saya pasti, jika bantuan ini hanya diberikan kepada rakyat Jepun, sudah pasti mereka yang bukan warganegara Jepun dan tinggal di sini akan merasai kepayahan hidup di negara orang. Lebih payah jika mereka yang hidup di sini tanpa bantuan elaun atau biasiswa, pastinya juga akan merasai betapa sukar untuk mengharungi kehidupan di negara maju ini. Atas sebab itu, pulanglah ke tanahair dengan membawa kejayaan masing-masing untuk memberikan sumbangan semula khususnya kepada negara dan institusi yang menaja. 

Berikut kadar bantuan Elaun Kanak-Kanak:

Jadual kadar elaun mengikut umur.
Berdasarkan jadual di atas, kadar pemberian elaun bagi kanak-kanak berbeza mengikut bilangan anak dan umur. Bagi anak berusia 0 - 3 tahun pemberian elaun sebanyak 15,000 yen sebulan. Manakala, bagi anak yang berusia 3 - 15 tahun sebanyak 10,000 yen. Namun, bagi anak yang ke 3 dan ke atas akan mendapat 15,000 yen sebulan bagi setiap orang. Namun, bagi mereka yang pendapatan melebihi daripada kadar limit yang ditetapkan hanya mendapat 5,000 yen sebulan. Bagi mereka yang berhasrat untuk tinggal di Sendai boleh dapatkan maklumat lanjut di laman web SENDAI CITY.

ELAUN ANAK-ANAK

Bagi mereka yang berpeluang mendapat bantuan 'Jido Teate' ini gunakanlah sebaiknya untuk pendidikan dan persekolahan anak-anak dan amanah dalam menguruskan duit anak ini. Saya pernah melihat duit makan anak seakan 'dicatu' hanya semata-mata untuk digunakan elaun tersebut bagi kegunaan lain. Saya juga pernah melihat baju terpakai jadi pilihan, walaupun duit elaun tersebut berupaya membeli baju anak-anak yang agak baik dan bukan baju terpakai jika pandai mencari dan memilihnya. Tidak semestinya murah mesti terpakai. Masih banyak lagi pilihan yang murah tetapi bukan semestinya terpakai. Jika ingin membeli barang mainan pendidikan dan baju sejuk anak-anak, barangkali terpakai tiada salahnya. Bersyukur dan gunakanlah sebaiknya! 

Akhir kata, bagi mengingatkan kita dalam mendidik anak-anak barangkali perkongsian MEREKALAH 'ANAK-ANAK' boleh dijadikan panduan. Jaga amanah sebagai rakyat Malaysia yang mendapat tajaan dan jagalah juga amanah sebagai ibu bapa yang menjadi pemegang amanah buat anak-anak kita. 

Semoga bermanfaat!

Tuesday, July 21, 2015

1 Sen vs 1 Yen

1 SEN

"Kenapa di Malaysia tiada duit 1 sen abah?", soal Humairah anak saya ke tiga. 

"Ada", jawab saya.

"Tak pernah guna pun abah!", kata Anis pula. 

"Dulu ada, selepas tu tiada", jawab saya ringkas.  

"Kenapa dah tiada pula abah?", soal Afifah anak saya yang sulung pula. 

"Tahun 2008 Bank Negara Malaysia buat keputusan duit 1 sen tidak dikeluarkan lagi", jawab saya.

"Oooo", anak-anak seakan memahami.

1 YEN 

Di Sendai, Jepun ini mudah bagi kami menemui kedai-kedai berkonsepkan 100 yen seperti Seria dan juga Daiso. Melalui kedai-kedai inilah anak-anak saya memahami nilai 1 yen. Pantang jumpa duit 1 yen, pasti mereka akan berebut hendak menyimpannya. Mana taknya dengan nilai 1 yen ini jugalah mereka boleh menampung membeli barang-barang yang mereka suka di kedai-kedai 100 yen. Nilai 1 yen jika dikumpul boleh menampung cukai barangan dan perkhidmatan (GST) di Jepun iaitu 8%.

TERINGAT SAYA...

Teringat #1

Teringat saya tarikh 1 April 2008 apabila kerajaan Malaysia melalui Bank Negara membuat keputusan untuk duit 1 sen tidak lagi dikeluarkan. Ini kerana, dimaklumkan kos pengeluaran bagi duit 1 sen adalah bersamaan RM0.42. Dimaklumkan juga duit 1 sen dibuat dengan gangsa pada tahun 1967 hingga 1972 dan kemudian ditukar kepada keluli bersalut tembaga mulai tahun 1973. Mulai pada tarikh 1 April 2008 itu juga berkuatkuasanya konsep pembundaran harga atau pembelian kepada 5 sen yang terdekat dalam pembelian barangan dan juga perkhidmatan. 

Teringat #2

Teringat saya juga dalam urus niaga amanah saham atau nilai saham seunit dikira sehingga empat angka bagi nilai sen. Sebagai contoh, ada harga saham seunit saham yang dibeli pada harga RM0.7321. Namun, kita hanya menyebut nilai saham tersebut hanya 73 sen sahaja. Agak sukar untuk memberikan nilai kepada RM0.0021 tersebut. Namun, bayangkan jika nilai saham tersebut meningkat kepada RM0.75 (75 sen) saya pasti ramai pemegang saham akan tersenyum gembira walaupun saham dibeli meningkat hanya RM0.02 (2 sen) sahaja. Jika seseorang itu memiliki sebanyak 100,000 unit keuntungan yang diperolehi adalah sebanyak RM2000. 

Teringat #3

Saya juga teringat dalam perniagaan runcit untung sesuatu barangan yang dijual juga adalah di antara 5 sen hingga 50 sen sahaja. Nampak sedikit, tetapi disebabkan para peniaga sangat menghargai keuntungan yang sedikit itu menjadikan mereka boleh mengumpul harta. Ramai peniaga kedai runcit yang saya kenali bermula dengan perniagaan kecil kini memiliki pasaraya. Tidak kurang juga peniaga runcit yang saya kenali memiliki hartanah dan berupaya membesarkan anak-anak mereka sehingga ada yang berjaya melanjutkan pengajian di luar negara. Nilai 1 sen nampak kecil tapi sangat bermakna.

Teringat #4 

Saya juga teringat sekitar tahun 1990-an pernah digemparkan seorang pekerja bank yang merompak dalam senyap setiap 5 sen bagi setiap transaksi para pelanggan mereka sehingga boleh bergelar dan memiliki kekayaan seseorang yang bergelar jutawan. Ini kerana, tidak ramai yang mengambil peduli dan perasan kehilangan nilai traksaksi 5 sen tersebut sehingga ada mereka yang tidak amanah yang mengambil kesempatan. 

PEMBUNDARAN/ PENGGENAPAN

Barangkali sudah masanya Malaysia memperkenalkan semula duit 1 sen lebih-lebih lagi dalam menghadapi GST ini. Tidak dinafikan konsep pembundaran/penggenapan boleh memberikan kelebihan kepada para pelanggan jika jumlah bil yang berakhir dengan 1, 2, 6 dan 7 sen akan diturunkan kepada 5 sen terdekat. Manakala, bagi jumlah bil keseluruhan yang berakhir 3, 4, 8 dan 9 sen akan dinaikkan kepada 5 sen terdekat. Berikut contoh pengiraan yang diperolehi di laman web Bank Negara.  

KEUNTUNGAN ATAU KEKAYAAN

Namun, perlu disedari juga proses dan konsep pembundaran ini juga boleh meningkatkan lagi keuntungan pemilik perniagaan. Sebagai contoh diatas, jika bila RM82.03 akan memberikan keuntungan yang mudah kepada peniaga sebanyak RM0.02 (2 sen). Bagi anak-anak saya nilai 1 yen begitu bermakna buat mereka untuk membeli barangan di kedai 100 yen dan bagi kami pula nilai 1 yen juga bermakna untuk melunaskan pembayaran bil-bil elektrik, air dan gas serta yang lain. Benarlah nilai 1 yen mahupun 1 sen juga boleh diibaratkan seperti "sikit-sikit, lama-lama jadi bukit". Bukit digambarkan sebagai KEUNTUNGAN atau KEKAYAAN bagi mereka yang memahami dan menghargai nilai 1 sen atau 1 yen tersebut. 

Sekadar perkongsian dan pandangan. 

Sunday, June 7, 2015

Keliru Hijau Atau Biru di Jepun




MIDORI (HIJAU) ATAU AOI (BIRU)

"Abah tahu tak orang Jepun sebut apa kalau warna HIJAU?", soal kakak semasa saya sedang memandu.

"Mestilah (midori) 緑 (みどり), macamlah abah tak tahu", jawab saya. 

"Tapi kalau lampu isyarat warna HIJAU orang Jepun sebut apa abah?", soal kakak lagi.

Belum sempat saya menjawab, Anis mencelah "mestilah (midori) 緑 (みどり) juga!", telahan Anis.

"Tak! Orang Jepun tak sebut (midori) 緑(みどり) untuk warna HIJAU bagi lampu isyarat", tegas kakak.

"Habis tu, warna apa kakak?", tanya Humairah pula. 

"Orang Jepun sebut aoi shingou. Aoi 青 (あお) itu maksudnya BIRU", jelas kakak lagi. 

"Ooooo!", serentak Anis dan Humairah seakan mula memahami. 

SOALAN DEMI SOALAN

Saja sengaja ajak anak-anak berbual dengan bertanya soalan demi soalan.

"Kakak, kenapa orang Jepun tak kata (midori) 緑 (みどり) untuk warna HIJAU?", saya bertanya pula.  
"Tak tahu", jawab ringkas kakak.

"Mana kakak tahu orang Jepun cakap aoi 青 (あお(BIRU) untuk lampu isyarat?", soal saya lagi.

"Masa lawatan ke Ibu Pejabat Polis Sendai tempohari", jelas kakak lagi. 

"Kenapa kakak tak tanya polis tu sebab apa tak sebut (midori) 緑 (みどり)?", saya bertanya lagi.

"Kakak nak tanya, tapi kakak tak tahu macamana", jelas kakak lagi. 

"Oooo, agak-agak siapa tahu kenapa orang Jepun tak sebut midori untuk lampu isyarat?", saya meneruskan perbualan.

"Entah!", jawab Humairah yang kurang cakna.

"Anis agak mereka 'buta warna' kot", telahan Anis.

"Haha", kami semua gelak. 

PELIK TAPI BENAR

Memang benar orang Jepun tidak sebut (midori) 緑 (みどり) untuk hijau bagi lampu isyarat. Jika belajar memandu di sini turut diajar warna lampu kuning (kiiro) 黄 (き), merah (aka) 赤(あかdan bukannya hijau (midori) 緑 (みどり) tetapi BIRU (ao) 青 (あお). Maka anak-anak turut diajar di sekolah untuk menyeberangi jalan apabila lampu isyarat bertukar kepada warna BIRU (ao) 青 (あお).

Ini kerana dikatakan orang Jepun zaman dulu tidak mengenali warna HIJAU (midori) 緑 (みどり). Mereka mengkategorikan HIJAU dan BIRU dalam kumpulan yang sama. Istilah HIJAU hanya dikenali pada zaman Heian (794 - 1185). Sehingga sekarang warna BIRU dan HIJAU sedikit keliru di kalangan masyarakat Jepun. Saya dimaklumkan, buah epal (apple) hijau juga disebut ao ringo (青りんご), daun hijau pula disebut ao ba 青葉 (あおば), rumput hijau juga disebut ao shiba 青芝 (あおしば). 



Menurut satu kajian yang dibuat oleh Francis Conlan, bagi memastikan rakyat Jepun tidak keliru dengan warna HIJAU dan BIRU pada lampu isyarat maka pada tahun 1973 pihak Jepun mengarahkan untuk lampu isyarat HIJAU ditukar kepada menghampiri BIRU. Maka tidak perlu di tukar daripada (ao) 青 (あおkepada (midori) 緑 (みどり). (Sumber: The Japan Times).

Sehingga kini kekallah disebut BIRU dan bukannya HIJAU bagi lampu isyarat walaupun warnanya benar-benar HIJAU!

Thursday, June 4, 2015

Merekalah 'Anak-Anak'

Ke Sekolah di Jepun
Ke Sekolah di Jepun

SEKOLAH DARJAH 1

Di Jepun sudah menjadi kebiasaan kanak-kanak seusia 7 tahun (darjah 1) sudah mulai berjalan kaki ke sekolah tanpa di temani ibu bapa atau penjaga mereka. Semasa minggu pertama sesi persekolahan disini, ibu bapa diminta untuk menghantar dan mengambil anak-anak mereka di sekolah. Setelah itu, pada minggu ke dua guru-guru akan terlibat dalam membimbing dan menunjuk-ajar kanak-kanak ini khususnya mereka yang darjah 1 berkaitan laluan perjalanan, peraturan lalu-lintas dan bergerak dalam kumpulan. Umumnya, para pelajar darjah 1 akan dibahagikan dalam kumpulan mengikut lokasi tempat tinggal mereka. 

SENSEI DI SEKOLAH 

Teringat lagi pesanan Miyazaki sensei merupakan guru di sekolah anak yang berupaya berkomunikasi dalam Bahasa English yang baik untuk kami mengambil anak-anak kami di Tohoku Fukushi University. Ia tidak jauh dari rumah dan merupakan 'check point' terakhir anak-anak akan dihantar pada minggu ke dua. Selepas ini, ibu bapa atau penjaga boleh mengambil anak-anak di sekolah atau membiarkan mereka pergi/ pulang sendiri ke sekolah. Maka, bermulalah episod baru pada minggu ke tiga di mana-mana kanak-kanak darjah 1 sudah mulai berjalan sendiri ke sekolah dan sangat sedikit kelihatan ibu bapa mahupun penjaga yang menghantar anak-anak mereka.

JALAN KAKI KE SEKOLAH

Secara peribadi, saya kagum melihat reaksi kanak-kanak di sini yang telah dilatih berdikari ke sekolah sejak diawal usia. Kami yang baru menyesesuaikan diri dengan sistem disini masih 'agak sukar' pada peringkat awal untuk 'melepaskan' anak-anak walaupun kelihatan mereka seakan 'meronta-ronta' mahu ke sekolah bersendirian. Setelah minggu ke 4, barulah kami boleh memberikan kebenaran kepada anak-anak untuk berjalan kaki pulang dari sekolah sendirian tanpa ditemani.

PERJALANAN KE SEKOLAH

Kami tidak nafikan persekitaran juga mempengaruhi dalam membuat keputusan membenarkan anak-anak ke sekolah sendirian tanpa ditemani. Jalanraya yang tidak terlalu sibuk, tiada banyak kenderaan, kurangnya motosikal dan laluan khas untuk pejalan kaki turut menjadi faktor pendorong utama dalam kami membuat keputusan. Persekitaran yang selamat dan sangat sedikit ancaman kepada anak-anak memberikan kami sinar keyakinan untuk akur dengan permintaan anak-anak bagi berjalan kaki pulang dari sekolah. Setakat hari ini, kami hanya membenarkan anak-anak untuk berjalan kaki sendiri bagi perjalanan pulang dari sekolah sahaja kerana kami sendiri tidak mahu rasa 'kekurangan' untuk mendengar dan bersembang dengan anak-anak. Bagi saya dikala berjalan kaki ke sekolah inilah kami dapat bersembang dan berbual dengan anak-anak secara santai. Selain itu, perjalanan berjalan kaki selama 15 minit sekurang-kurangnya juga menjadi senaman (exercise) buat kami di waktu pagi. 

BERBUAL-BUAL KE SEKOLAH

Saya teringat pesanan rakan saya Ustaz Hasrizal Abdul Jamil dalam tulisan beliau di Abah.My yang bertajuk Sunnah Berbual Dalam Pendidikan Anak-Anak. Satu perkongsian yang sangat menarik dalam mengingatkan saya agar 'azam dan berusaha' mencari masa untuk berbual dengan anak-anak. Memang susah untuk mendengar celoteh anak-anak di kala kita penat pulang dari universiti setelah seharian 'bergelumang' dengan kerja-kerja penyelidikan. Selalunya, setelah menghantar anak-anak ke sekolah saya akan terus ke lab atau perpustakaan sehingga bila pulang di rumah anak-anak sudah mulai mengantuk dan ada kala sudah tertidur.

Situasi yang sama juga bagi ibu/ bapa yang seharian bekerja ada di kalangan mereka yang langsung tidak berkesempatan untuk berbual dengan anak-anak. Sungguhpun saya bertuah kerana ada isteri yang dapat mengisi keperluan anak-anak yang teruja mahu dan suka bercerita. Namun, kadang-kala terasa 'tersentap' adakah tugas bapa hanya mencari rezeki dan pulang lewat? Bagaimana pula dengan tanggungjawab kita sebagai ayah/abi/abah/papa atau apa sahaja panggilan yang merujuk kita sebagai seorang bapa dalam mendidik anak-anak? Sudahkah kita cuba sedaya upaya mendidik anak-anak dan berbual-bual dengan mereka? Saya masih ingat lagi perkongsian ringkas saya sebelum ini iaitu Jadilah Seorang Bapa, Ganbatte! Diulang-ulang 'video' tersebut dan dibiarkan ia berbicara. 

MASA DENGAN ANAK-ANAK

Terima kasih Ustaz Hasrizal Abdul Jamil, rakan lama melalui Abah.My kerana ingatkan kami sedaya-upaya mencari masa untuk bersembang dengan anak-anak. Kami tidak mahu rasa 'kekurangan' dan 'penyesalan' sehingga sukar nanti mencari jalan 'U-Turn'. Khuatir juga sekiranya anak-anak mencari 'teman sembang' mereka bagi menggantikan diri kita yang tenggelam dengan alasan 'penat dan kesibukan' kepada orang lain yang lebih mesra dengan mereka.

Merekalah Anak-anak
Ustaz Hasrizal Abdul Jamil

Terima kasih juga ingatkan bahawa sayangilah anak-anak tanpa syarat! Suka mereka di kala bayi yang comel, suka juga mereka di kala membuat 'perangai'. Suka juga mereka dikala tidak banyak ragam, suka juga mereka di kala bergaduh dan membuat 'bingit'. Suka di kala mereka menghiburkan dan juga perlu suka di kala mereka 'memeningkan'. Inilah anak-anak kita yang akan menginjak usia ke alam dewasa.

Bersedia Ke Sekolah di Jepun
Bersedia Ke Sekolah di Jepun

Saya juga diingatkan:

Sejak dilahirkan, mereka adalah anak-anak.

Semasa bayi comel, juga anak-anak.

Semasa kanak-kanak, mereka anak-anak.

Semasa mereka remaja, mereka anak-anak.

Apabila dewasa, mereka juga anak-anak.

Dikala mereka sudah berkeluarga dan menjadi ibu bapa serta telahpun mempunyai anak-anak, mereka tetap menjadi anak-anak.

Terima kasih sekali lagi tidak terhingga buat rakan lama yang memberikan sentuhan di hati dalam tulisan beliau Apabila Anak Bukan Lagi Kanak-Kanak agar mematangkan diri kami sebagai ibu/bapa seiring dengan proses kematangan anak-anak. Tidak salah seorang ibu/bapa menyedari kesilapan dan sentiasa muhasabah serta memperbaiki diri untuk menjadi seorang ibu/bapa sebenar. Atas sebab itu saya ingatkan diri dalam perkongsian 'Bina Keluarga' vs 'Bina Hutang' agar memberikan keutamaan terhadap keluarga. Sentiasa juga ingatkan diri dalam 'Hutang Mahu' atau 'Hutang Perlu' agar masa yang ada turut diperuntukkan untuk anak-anak dan bukannya leka berterusan membina hutang atau alpa mengejar harta.

Sentiasa juga ingatkan diri ini untuk belajar dan mencari identiti terbaik sebagai seorang IBU/BAPA kerana mereka adalah anak-anak kita yang merupakan HARTA yang paling utama!

Friday, May 29, 2015

Kun Anta (Be Yourself)


LIRIK LAGU KUN ANTA (BE YOURSELF) - BAHASA MALAYSIA

Kun Anta Lagu Dan Lirik Nyanyian Humood AlKhudher


Lagu Kun Anta atau maksudnya Be Yourself nyanyian Humood AlKhudher kini menjadi viral di kalangan peminat muzik Nasyid di Malaysia. Sebelum ini nama seperti Maher Zain pernah turut menjadi viral dan mendapat sambutan di Malaysia. 
My name is Humood Alkhudher. I was born in Kuwait in 1989. I was blessed with an educated, wise, and friendly father and a lovely mother. My father is a professor in psychology. He received his PhD degree from Great Britain, which is where I spent most of my childhood. My mother is an educated, friendly, creative person. I always love being around her and listening to her touching advice. She always pushes me ahead to achieve my goals and is a great influence and support throughout my life".





لأجاريهم، قلدت ظاهر ما فيهم 
Ketika ingin bersaing dengan yang lain, aku ingin meniru perwatakan luar dan dalamnya. 

فبدوتُ شخصاً آخر، كي أتفاخر 

Jadi aku boleh jadi seorang yang lain hanya untuk berbangga 

و ظننتُ أنا، أنّي بذلك حُزْت غنى 

Dan aku sangka jika aku lakukan seperti itu aku akan dapat kelebihan 

فوجدتُ أنّي خاسر، فتلك مظاهر 
Tetapi yang kuperolehi hanyalah kerugian di atas perwatakanku ini. 

لا لا لا نحتاج المال، كي نزداد جمالا، جوهرنا هنا، في القلب تلالا
Kita tidak memerlukan harta untuk menambahkan kecantikan, kecantikan dalaman (jauhari) ada di sini di dalam hati ia bersinar. 

لا لا نرضي الناس بما لا، نرضاه لنا حالا، ذاك جمالنا، يسمو يتعالى 
Kita tidak perlu memandang pandangan orang lain untuk apa yang tidak ada, yang tidak sesuai dengan kita, itulah kecantikan kita, semakin bertambah hingga ke atas. 

كن أنت تزدد جمالاً 
Jadilah diri kamu sendiri pasti akan menambahkan lagi kecantikan yang sedia ada 

أتقبّلهم، الناس لست أقلّدهم 
Sungguh aku menerima mereka tetapi tidak pula aku meniru perwatakan mereka

 إلا بما يرضيني، كي أرضيني 
Melainkan apa yang aku terima itu aku telah redha. 

سأكون أنا، مثلي تماما هذا أنا
Aku ingin menjadi seperti diri aku sendiri inilah aku 

فقناعتي تكفيني، ذاك يقيني
Hal ini kurasakan sudah cukup dan aku sangat pasti 

سأكون أنا، من أرضى أنا، لن أسعى لا لرضاهم 
Aku akan jadi mengikut kemampuan diriku aku tidak perlukan orang lain menerimaku

 وأكون أنا، ما أهوى أنا، مالي وما لرضاهم 
Aku akan jadi apa yang aku suka kenapa aku perlu peduli tentang penerimaan mereka terhadapku? 

Thursday, May 28, 2015

'Bina Hutang' vs 'Bina Keluarga'

'Bina Hutang' vs 'Bina Keluarga'
Doa 'Keluarga Bahagia'

MAJLIS ILMU

Hari ini saya berkesempatan 'terdengar' majlis ilmu bagi golongan ibu-ibu atau isteri-isteri warga Malaysia di Jepun. Majlis ilmu ini merupakan perkongsian kerohanian dalam ke arah saling nasihat-menasihati di antara satu sama lain khususnya kaum-kaum ibu yang mengikut suami ke Jepun sama ada si suami bekerja atau melanjutkan pengajian di sini. Saya secara peribadi sangat menggalakkan isteri saya untuk melibatkan diri dengan mana-mana majlis ilmu yang dianjurkan di sini sama ada dalam meningkatkan keupayaan bahasa Jepun (nihongo) dan lebih-lebih lagi majlis-majlis ilmu keagamaan/ kerohanian. Kini, majlis-majlis ilmu seperti ini juga boleh disertai secara dalam talian (online) melalui media-media sosial. 

PENGISIAN BUAT ISTERI

Sebagai contoh, dalam tempoh seminggu jadual isteri saya di sini padat dipenuhi dengan pelbagai majlis ilmu. Seminggu sahaja kelas Nihongo dia hampir 4 hari seminggu, ditambah lagi dengan pengisian ilmu agama hampir 3 hari seminggu dalam selang masa yang berbeza. Hari ini sahaja, dalam perjalanan ke kelas nihongo yang dianjurkan secara percuma di Sendai isteri saya masih boleh mendengar kuliah-kuliah dan pengisian kerohanian yang sangat baik daripada rakan-rakan 'alam maya' dari seluruh Jepun malah ada di antara mereka yang telah pulang ke Malaysia masih mengikuti majlis ini. Kesemua pengisian ini menjadikan kehidupan isteri saya di sini walaupun tidak bekerja penuh dengan pelbagai aktiviti di samping urusan anak-anak dan kerja-kerja di rumah yang pasti tiada hentinya. 

TERSENTAP

Hari ini saya agak 'tersentap' apabila 'terdengar' sesi memperkenalkan diri (taaruf) rakan baru dalam kumpulan (group) tersebut. Rakan baru ini tidak sampai sebulan tiba di Jepun bagi menemani suaminya yang melanjutkan pengajian di salah satu daerah di Jepun. Lebih mengejutkan saya, si suami menyambung pengajian di sini bukan kerana mendapat tajaan daripada mana-mana agensi atau universiti di Malaysia. Ini bermakna, si suami tidak terikat untuk pulang semula ke Malaysia setelah tamat pengajian PhD nanti. Saya 'terdengar' kerana kebetulan hari ini saya rajin untuk menghantar isteri saya ke kelas nihongo di bandar dan isteri saya pula terlupa membawa earphone telefon bimbitnya. Jadi saya boleh dikategorikan sebagai 'terdengar' dan bukanlah 'curi dengar' dalam situasi ini.

Semasa sesi perkenalan (taaruf), ada ahli group yang bertanyakan mengenai pekerjaan rakan tersebut sebelum ini dan adakah mengikut suami melalui kemudahan Cuti Tanpa Gaji. Namun, dijelaskan rakan tersebut bahawa beliau membuat keputusan untuk 'berhenti kerja' walaupun sebelum ini beliau merupakan seorang guru yang mengajar subjek kritikal dan terpaksa membuat keputusan tersebut setelah permohonan kelulusan bagi Cuti Tanpa Gaji menemui jalan buntu. 

BERHENTI KERJA

Sejak permulaan apabila saya 'terdengar' cerita dan nada suaranya, saya merasakan seakan-akan rakan baru isteri saya ini masih tersimpan perasaan 'ralat' dengan keputusannya untuk berhenti kerja. Lebih-lebih lagi orang yang paling hampir iaitu keluarga kandung sendiri yang seakan-akan tidak menyokong keputusan dia untuk berhenti kerja. Ditambah lagi dengan 'dimomokkan' dengan pelbagai cerita yang menakutkan apabila isteri berhenti dan tiada kerja. Tidak kurang juga turut 'dimomokkan' dengan kesukaran mendapat pekerjaan selepas pulang ke Malaysia kelak. Maka, bertambahlah risau dan takutlah si isteri dalam membuat keputusan untuk berhenti kerja. 

Namun, dek kerana amanah sebagai isteri, sayangnya kepada suami dan merasakan tempat isteri adalah disisi suami beliau tetap membuat keputusan untuk berhenti kerja bagi mengikut suami ke Jepun. Rupa-rupanya bukan beliau sahaja yang berada di dalam situasi ini. Hampir majoriti ibu-ibu yang berada dalam group tersebut membuat keputusan yang sama iaitu berhenti kerja kerana mengikut suami ke sini termasuklah isteri saya. Ada di kalangan mereka yang berjawatan tinggi dalam organisasi sebelum ini malah ada juga yang bekerja di sektor kerajaan turut mengambil keputusan yang sama untuk berhenti kerja. Dalam beberapa minit, majlis ilmu sebentar tadi menjadi sesi motivasi bagi ibu-ibu tadi dan mereka saling berkongsi pengalaman serta memberikan semangat buat rakan baru dalam group tersebut. 

PENGORBANAN ISTERI

'Bina Hutang' vs 'Bina Keluarga'
Pengorbanan Isteri

Begitulah pengorbanan isteri yang bukan hanya sanggup bertarung nyawa untuk melahirkan zuriat kita malah ada yang sanggup berhenti kerja semata-mata untuk mengikut suami mereka berada di di luar negara dalam tempoh beberapa tahun. Oleh itu, saya berpendapat sebagai tanda penghargaan buat si isteri, suami seharusnya memberikan ganjaran berbentuk 'duit' buat si isteri daripada sebahagian gaji atau pendapatan yang diperolehi suami setiap bulan.

Benar dan tidak dinafikan si suami bukan sahaja telah berikan yang terbaik untuk keperluan di rumah dan juga bukan sahaja berjaya membesarkan 'anak-anak' malah juga turut berupaya 'membesarkan' isteri dengan keperluan makanan dan minuman yang sehinggakan kadang kala melebihi 'kadar cukup'. Namun, apalah yang perlu berkira dengan pemberian 'duit' tersebut sebagai menghargai segala pengorbanan si isteri yang tidak ternilai harganya. Pemberian tersebut boleh dianggap seakan 'gaji bulanan' buat si isteri bagi membolehkan dia tetap terus dapat memberikan pemberian bulanan buat ibu/ayahnya atau setidak-tidak berupaya menghulurkan bantuan di kala adik-beradiknya memerlukan bantuan. Pastinya juga si isteri ada keperluan untuk bergaya dan membeli barang peribadinya sebelum ini. Bayangkanlah setelah isteri membuat keputusan berhenti kerja, maka terputuslah punca pendapatan si isteri yang diperolehi mereka sebelum ini. Sekurang-kurangnya pemberian tersebut akan dapat mengurangkan ralat si isteri. 

GANJARAN BUAT ISTERI

Ganjaran 'duit' buat isteri secara konsisten setiap bulan juga mampu mendidik suami untuk HIDUP DI BAWAH KEMAMPUAN. Jika tidak, dikhuatiri si suami 'terbelanja' melebihi daripada kemampuan sebenar. Pengalaman saya memerhatikan rakan-rakan saya yang isterinya membuat keputusan berhenti kerja kerana atas dasar keluarga majoriti mereka tidak hidup melarat. Malah, kehidupan mereka tetap cukup, bahkan lebih sempurna. Tidak kurang juga terdapat situasi si isteri yang sanggup hidup berkejauhan dan tidak sanggup mengambil keputusan untuk berhenti kerja kerana suami dan isteri tersebut telah terjebak dalam PERANGKAP HUTANG!

'Bina Hutang' vs 'Bina Keluarga'
Perangkap Hutang


Sebagai contoh, ada mereka yang baru memulakan kehidupan sebagai suami isteri telah mengambil pinjaman peribadi (personal loan) setiap orang hanya semata-mata untuk melihat majlis perkahwinan bergermelapan dan berprestij. Atas sebab itu dalam tulisan saya sebelum ini mengajak untuk kita fikirkan supaya AZAMLAH KAHWIN TANPA HUTANG! Ada juga mereka yang sebelum berkahwin, setiap orang telah membeli kereta yang 'PALING MAMPU' hanya kerana merasakan perlunya kereta bagi ke tempat kerja. Barangkali perkongsian PILIHAN 2K (KAHWIN ATAU KERETA) boleh dibaca bagi mereka yang dilema dalam membuat keputusan sama ada berkahwin atau pembelian sebuah kereta.

Selepas berumahtangga pula, pasangan tersebut tanpa berfikir panjang terus membuat keputusan untuk membeli rumah impian yang PALING MAMPU atas alasan harga rumah semakin meningkat saban tahun. Apabila rumah yang PALING MAMPU telah dimiliki, rumah tersebut pula perlu dihiasi dengan kabinet dapur yang paling PALING MAMPU. Maka, diteruskan lagi dengan pinjaman peribadi atas dasar untuk mencantikkan rumah dan memenuhi perabot bagi mengisi kekosongan rumah yang PALING MAMPU tadi. Itu tidak termasuk lagi dengan hutang kad kredit atas alasan MAMPU dan BERKEMAMPUAN. Maka, berterusanlah membina hutang atas dasar beli yang PALING MAMPU dan saya juga BERKEMAMPUAN!

ISTERI BEKERJA

Bagi saya, isteri bekerja merupakan SIMPANAN TAMBAHAN buat isteri. Pemberian 'duit' buat isteri daripada gaji bulanan suami ditambah lagi dengan gaji bulanan isteri yang bekerja akan menjadikan simpanan isteri bertambah setiap bulan dan boleh diibaratkan BONUS bulanan bagi isteri. Ajarlah isteri membuat pelaburan bagi keperluan masa hadapan. Sebagai contoh, simpanan emas fizikal boleh dijadikan permulaan sebelum melangkah ke pelaburan yang lebih besar dan berisiko. Baru-baru ini saya mencadangkan isteri saya untuk membuat simpanan emas dalam tulisan BELI DAN SIMPAN EMAS DI LUAR NEGARA. Sebaiknya, duit gaji isteri yang banyak dan berlebihan boleh dijadikan modal dalam menambah HARTA pada masa hadapan dan bukannya menambah HUTANG MUDARAT!

BINA KELUARGA BUKAN BINA HUTANG

Sebagai nasihat buat diri ini, jadikanlah duit gaji isteri sebagai menambah duit simpanan si isteri dan bukanlah menambah HUTANG terutama sekali HUTANG MUDARAT. Sentiasa ingatkan diri agar tidak jadikan gaji isteri sebagai cagaran dalam menangung komitmen kewangan serta menambah hutang dalam kehidupan berkeluarga. Berbelanja dan hiduplah seadanya dalam lingkungan gaji suami. Dikhuatiri sangat apabila suami dan isteri terjebak dengan perangkap hutang menjadikan hutang-hutang tersebut sebagai tali yang mengikat diri (suami dan isteri) dengan pemberi-pemberi hutang. Pada masa itu si suami dan isteri terpaksa untuk terus terbelenggu dengan situasi sukar di antara 'membina hutang dan membina keluarga'. Jika ini berlaku, pastinya sukar untuk si isteri membuat keputusan berhenti kerja jika keputusan tersebut terdesak atau perlu sangat diputuskan. Lebih parah lagi, si suami pula seakan tidak reda dan susah hati apabila si isteri membuat keputusan untuk tidak bekerja. Maka bersamalah meletakkan matlamat ke arah 'MEMBINA KELUARGA dan bukannya MEMBINA HUTANG!". 

Sekadar perkongsian dan ingatan buat diri sendiri dan mereka yang sudi membaca. Salam hormat.

Wednesday, May 6, 2015

'Golden Week' dan 'Homeschooling'

sekolah di rumah
Hasil Tulisan Afifah Hasanah

GOLDEN WEEK (GW)

Golden Week (GW) merupakan cuti yang panjang di Jepun. Mulai 29 April sehingga 5 Mei merupakan cuti umum dan kebanyakan warga di Sendai yang bekerja akan meluangkan masa bersama keluarga. Sama juga situasi di Malaysia, waktu cuti yang panjang sebegini ramai yang akan pulang ke kampung atau membawa keluarga bersiar-siar. Di Sendai khususnya di taman-taman (koen) awam mudah kelihatan warga Jepun yang bersantai dan malah ada yang membawa khemah untuk 'berehat dan berhibur' bersama keluarga. Pastinya yang paling gembira adalah anak-anak. Oleh kerana esok sesi persekolahan akan bersambung semula dan kehidupan sebagai pelajar di Tohoku University kembali asal maka kami sekeluarga lebih suka untuk menghabiskan masa bersama anak-anak di rumah dan mengaplikasikan pendekatan 'homeschooling'. 
Sekolah di rumah
Golden Week di Jepun


HOMESCHOOLING

'Homeschooling' atau 'home education' merujuk kepada istilah yang sama dalam mengambarkan pendidikan di rumah. Oleh kerana anak-anak akan berada dalam sistem pendidikan di Jepun selama 3 tahun. Maka, kami sangat menyedari perlunya persiapan dalam pendidikan di Malaysia khususnya selepas mereka pulang ke tanahair semula pada tahun 2017 nanti. Tidak dinafikan pengalaman anak-anak bersekolah di sini merupakan saat yang manis buat kami dan anak-anak. Namun, kami menyedari bahawa anak-anak juga perlu disediakan dengan pendidikan di Malaysia khususnya Pendidikan Islam, Bahasa Malaysia dan English. Sebagai contoh, anak pertama kami yang kini Darjah 4 di sini tidak belajar subjek Bahasa English di sekolah. Maka, 'homeschooling' dilihat sebagai pendekatan yang perlu dilaksanakan bagi memastikan anak-anak tidak terlalu ketinggalan dalam sistem pendidikan di tanahair bila pulang kelak.

IQRA (1-6)

Sekolah di rumah
Iqra Juga Penting Di Bawa

Untuk memastikan anak kami khususnya Anisah Humairah (6 tahun) tidak ketinggalan dan mampu mengaji Al-Quran, Iqra dilihat merupakan alat bantuan mengajar yang boleh dibawa sekali semasa berhijrah ke sini nanti. Oleh kerana kami tertinggal Iqra 5 dan 6 maka pilihan lain adalah menggunakan aplikasi Iqra secara on-line. Pendekatan Iqra dilihat baik dan mampu menyediakan anak-anak sebelum mengaji Al-Quran sepenuhnya. Selain itu, masa juga boleh diisi terutama di antara senggang waktu di kala Maghrib ke Isyak bagi menunggu solat Isyak berjemaah. 

E-XRA


Homescholing, Sekolah di rumah
E-XRA Turut Di Cadangkan 

Selain itu, buku lain turut dicadangkan untuk dibawa sekali ke sini nanti sebagai pengisian untuk anak-anak adalah Modul Bacaan e-Xra. Terdapat 2 modul yang boleh dibawa dan digunakan untuk pendekatan 'homeschooling' dan pengisian aktiviti anak-anak dirumah. Antaranya, Mari Baca e-Xra (Bahasa Malaysia) dan Let's Read e-Xra (Bahasa English). 

LATIHAN DAN AKTIVITI

Latihan Untuk 'Homescholing'
Latihan Untuk 'Homescholing'
Selain daripada buku-buku yang bersesuaian pastinya juga aktiviti-aktiviti lain dan latihan-latihan yang mengikut silibus juga perlu bagi memastikan pendekatan 'homeschooling' ini tidak terhenti di pertengahan jalan. Banyak blog yang kami temui yang turut berkongsi pengalaman mereka dalam melaksanakan pendekatan 'homeschooling' kepada anak-anak mereka. Kami juga masih belajar, mencari-cari pendekatan yang bersesuaian dalam menyediakan anak-anak apabila kembali semula ke tanahair di samping menghadapi cabaran sistem pendidikan yang baru bermula di sini. 

Semoga perjalanan dan proses pembelajaran anak-anak kami di sini sentiasa dipermudahkan olehNya. 
Tudung kanak-kanak