Tuesday, February 23, 2016

Cepat Kaya: Al-Kisah 'Kolar Putih' Ke 'Kopiah Putih'

Skim Cepat Kaya
Cepat Kaya: Al-Kisah 'Kolar Putih' Ke 'Kopiah Putih'

KAISHA

Minggu lepas saya berkesempatan berbincang bersama rakan-rakan di 'laboratory' untuk memberikan omiyage (cenderahati) buat Haga-san dan Nakada-san. Mereka berdua akan meneruskan kehidupan di dunia pekerjaan setelah 2 tahun menempuh pengajian sarjana (master) di Tohoku Universiti. Salah seorang rakan kami yang juga merupakan orang Jepun (nihonjin) mencadangkan agar menghadiahkan tali leher atau sapu tangan buat mereka berdua kerana ia lebih praktikal. Kami sebulat suara bersetuju kerana sememangnya 'gaya korporat' bertali leher, berkolar putih dan suit hitam merupakan pemandangan biasa di Jepun ini. Tidak kira musim termasuklah musim panas kebanyakan mereka yang bekerja di syarikat (kaisha) akan sentiasa berpakaian ala 'gaya korporat' ini. Warna 'hitam dan putih' ini menjadi warna rasmi dan popular dalam mengayakan imej korporat dan di kala menghadiri majlis rasmi di Jepun.
skim cepat kaya
Source: http://www.slideshare.net

SENSEI

Teringat satu peristiwa yang agak kelakar semasa saya pertama kali mengenali sensei. Beliau merupakan 'orang muda' Jepun yang mendapat pendidikan di Amerika Syarikat. Kehidupan yang agak lama di US menjadikan cara interaksi dan penampilan beliau juga agak berbeza dengan tipikal Jepun yang lain. Sebagai contoh, sensei saya lebih santai, tidak formal dan sering berpakaian 'simple' dan kadang kala hanya berseluar pendek sahaja apabila berada di 'laboratory'. Namun, apabila tiba majlis rasmi beliau akan bertukar 100% dengan memakai baju berkolar putih dan bertali leher serta mengayakan 'imej korporat' satu suit hitam putih. Selepas majlis, serta-merta beliau bertukar semula kepada pakaian santai gaya 'hawaii'. Sempoi betul tengok sensei dan selalu juga mendoakan agar beliau dapat 'supervise' saya sehingga tamat pengajian. Maklumlah walaupun sensei masih berumur 40an, namun beliau menghadapi masalah 'back-pain' dan atas sebab itu beliau lebih selesa bekerja dengan keadaan berdiri. Ada kala di waktu zemi (sesi pembentangan) pelajar, beliau selesa berdiri meskipun berjam lamanya.

KOLAR PUTIH

Umumnya apabila membicarakan tentang 'kolar putih' akan mengingatkan kita berkaitan 'jenayah kolar putih' iaitu jenayah yang dilakukan oleh seseorang yang terhormat dan berstatus tinggi dalam pekerjaannya. Sebagai contoh, penipuan, rasuah, penggelapan wang, jenayah komputer, pencuriaan identiti dan pemalsuan dokumen yang biasanya dilakukan oleh pekerja berkolar putih ini. Tidak kurang juga dengan skim-skim cepat kaya selalunya sinonim dengan imej korporat dan berkolar putih. Perlu disedari, salah satu perangkap yang menyebabkan ramai orang kerugian adalah kesilapan untuk memilih di antara "intan mahupun kaca". Mudah sangat terpedaya dengan gimik-gimik promosi skim-skim cepat kaya ini.

skim cepat kaya
Jenayah Kolar Putih
Berdasarkan pengalaman saya sebagai pelajar dan sehinggalah sebagai tenaga pengajar, kelihatan modus operandi skim-skim cepat kaya ini hampir serupa. Ada yang datang dengan berpakaian kemas, bertali leher, berkolar putih dan suit hitam bersama kereta mewahnya, ada juga yang menayang duit yang dikatakan berjaya dikumpul dan tidak kurang juga yang tanpa berselindung mendedahkan akuan (debit dan kredit) yang dimilikinya. Akhirnya, ada mereka yang terpedaya sehingga menjadi 'pak sanggup' dengan membuat pinjaman di bank atau along bagi menyertai skim-skim cepat kaya ini.  

MOTIVASI KEWANGAN

Antara buku awal yang memberikan saya kefahaman berkaitan 'motivasi kewangan' adalah buku-buku hasil tulisan Saudara Azizi Ali. Hasil pembacaan buku-buku pengurusan kewangan ini bukan sahaja untuk maklumat peribadi, bahkan turut dikongsikan bersama  para pelajar saya di kelas lebih-lebih lagi bagi subjek Keusahawanan dan Pengurusan Kewangan yang pernah diajar sebelum ini. Terkini di laman facebook Azizi Ali, beliau sering berkongsikan mengenai skim-skim cepat kaya yang agak sinonim dengan masyarakat kita. Saya sangat yakin bahawa matlamat beliau tidak lain dan tidak bukan bagi memastikan agar tidak ramai lagi 'orang kita' tertipu dan terus ditindas oleh parasit ini. Hasil perkongsian, ramai yang semakin cakna, namun tidak kurang juga yang melemparkan tomahan dan cacian khususnya dari kalangan para pengikut tegar skim-skim cepat kaya ini. Kini, sudah terbukti kebanyakan skim ini hanyalah "indah khabar, dari rupa" dan akhirnya menjadi "mimpi ngeri disiang hari".
skim cepat cay
Antara Perkongsian Saudara Azizi Ali

KAYA DAN BERSARA MUDA

Berdasarkan pendedahan demi pendedahan, mangsa skim cepat kaya ini tidak mengenal batasan umur, bangsa, agama dan juga taraf pendidikan. Saya sendiri pernah mengenali seorang rakan yang mempunyai kelayakan PhD turut terlibat dan mempromosikan skim cepat kaya ini. Inilah daya tarikan duit, tidak mengenal sesiapa yang bakal menjadi mangsa. Lebih kasihan, apabila ada golongan 'warga emas' yang turut menjadi mangsa dan segala duit mereka dalam meniti usia tua ditelan oleh penyagak skim cepat kaya ini.
Sumber: http://www.sinarharian.com.my/
Selalunya skim-skim ini cuba menyasar golongan muda dengan slogan 'Kaya dan Bersara Muda' dan pelbagai tagline yang lebih 'catchy' dengan jiwa anak muda. Kesannya, ada yang sanggup menjadikan kad kredit sebagai modal dan tidak kurang juga mengikut nasihat mentor untuk memohon pinjaman peribadi bagi menyertai skim ini. Ada yang nasib mereka kini boleh diibaratkan "sudah jatuh, ditimpa tangga". Sudahlah pinjaman peribadi tidak dapat dilunaskan, malah ada juga yang telah kehilangan pekerjaan dek kerana terpedaya sangat untuk 'Kaya dan Bersara Muda'!

'KOLAR PUTIH' KE 'KOPIAH PUTIH'

Seakan menjadi-jadi skim-skim cepat kaya ini apabila berevolusi dari 'kolar putih' kepada 'kopiah putih'. Dahulu, skim-skim cepat kaya ini berpakaian kemas, berkolar putih dan bertali leher dalam mempromosikan skim mereka. Kini, pendekatan yang diguna pakai dengan mempamerkan imej ustaz mahupun ustazah jadian. Ada kala terdapat pula ustaz-ustaz yang dijadikan mangsa secara tanpa disedari oleh mereka. Berdasarkan pengalaman saya, pantang sahaja mereka yang bergelar ustaz berbicara, semuanya dianggap benar walaupun itu bukan bidang mereka. Lebih parah, mereka yang berkopiah putih turut mempromosikan kegiatan ini. Malah untuk nampak lebih Islamik katanya, istilah arab seperti hibah, mudharabah, al-salam, al-makkah, dan pelbagai lagi yang sebenarnya menjurus ke arah papa kedana.

PATUH SYARIAH

Buat mereka yang baru sahaja menjalani kehidupan sebenar berkerjaya dan berkeluarga di luar sana, janganlah leka dan mudah terpedaya dengan skim-skim ini yang boleh melambatkan perjalanan anda dalam membina 'harta'. Belajar dan carilah juga ilmu-ilmu berkaitan pengurusan kewangan. Jangan terpedaya dengan janji-janji manis mahupun dokumen-dokumen perjanjian yang seakan 'patuh syariah' sedangkan anda tidak menyedari bahawa ia merupakan perangkap skim cepat kaya ini. Sentiasalah beringat sebelum terkena!

Sekadar perkongsian dari kejauhan. Sayonara! Sampai jumpa lagi. 

Saturday, February 20, 2016

8 Sebab Perlu Beli Rumah Sebelum 30

8 Sebab Perlu Beli Rumah Sebelum 30
Bangunan 'Laborartory' Saya

PEMBENTANGAN AKHIR

Semalam 2 orang rakan saya di 'laboratory' dengan jayanya telah membuat pembentangan akhir (viva) hasil penyelidikan sarjana (master) mereka dihadapan para panel. Setelah pembentangan dan perbincangan bersama sensei, tersenyum puas mereka apabila secara rasmi tamatlah sudah pengajian 'master' dan kini bermulalah perjalanan kerjaya mereka. Nakada-san dan Haga-san yang telah banyak membantu saya semasa berada di sini, telah membuat keputusan untuk memilih berkerja di kaisha (syarikat). 

GAMBAR KENANGAN

Setelah selesai sesi pembentangan tersebut, mereka bergambar bersama sensei sebagai tanda kenangan. Rakan saya dari Indonesia lantas berkata, "Pak Isma, bergambarlah bersama sensei". Jawab saya, "InsyaAllah, apabila tamat pengajian nanti saya akan bergambar bersama sensei". Kami ketawa bersama dengan harapan dan doa agar kami juga dapat bergraduan dengan jayanya serta berpeluang bergambar bersama sensei sebagai kenangan. 

SOUBETSUKAI

Sepertimana perkongsian saya sebelum ini di Saubetsukai: 6 Petanda Pokai, bulan Februari dan Mac akan kelihatan majlis perpisahan (farewell party) atau lebih dikenali sebagai 'soubetsukai'. Kebiasaanya, majlis ini akan dianjurkan oleh kouhai (junior) bagi meraikan senpai (senior) mereka. Begitu juga terdapat adik-adik 'undergraduate' Malaysia yang turut akan pulang ke tanahair bagi meneruskan perjalanan kehidupan mereka. Buat mereka yang bakal bergraduan, barangkali boleh meletakkan matlamat untuk memiliki 'Rumah Pertama' sebelum usia 30an. Janganlah leka dan salah mengatur kewangan sehingga terpesona dengan gaji atau pendapatan yang diperolehi. Dikhuatiri jika tersalah percaturan, kehidupan berkerjaya hanya digambarkan seperti pantun dua kerat:
"Pergi Pagi Pulang Petang,
Cukup Bulan Bayar Hutang"   

RUMAH LELONG

8 Sebab Perlu Beli Rumah Sebelum 30
Model Sebenar Bangunan 'Laboratory' Saya di Tohoku Universiti

Teringat nostalgia lalu apabila 'Rumah Pertama' yang saya beli merupakan rumah lelong dengan harga RM70,000 (bukan rumah kos rendah). Kini saya dimaklumkan nilai semasa rumah tersebut melebihi RM250,000. Syukur Alhamdullilah ke hadratNya kerana ada rakan yang baik hati ingin memberikan nasihat dan menggalakkan saya untuk berani memulakan langkah pertama dengan membeli rumah lelong sebagai rumah pertama. Kini dalam usia saya yang sedang menginjak ke 40an, rumah tersebut bukan sahaja menjana pendapatan pasif, malah telah menjadi aset yang sangat berharga sama ada untuk saya membuat pelaburan atau mencapai matlamat kewangan yang lain. Atas pengalaman peribadi ini, saya terpanggil untuk memberikan nasihat buat adik-adik yang baru bergraduan agar fikir-fikirkan juga untuk meletakkan matlamat memiliki rumah pertama sebelum usia 30an. Lagi awal adik-adik membeli 'Rumah Pertama' adalah lebih baik. Namun perlu juga diingatkan terdapat perbezaan yang ketara di antara 'Rumah Pertama' dan 'Membeli Rumah'. Barangkali perkongsian sebelum ini 'Rumah Pertama' vs 'Rumah Impian' boleh dijadikan panduan.  

8 SEBAB

Terdapat 8 sebab kenapa saya menggalakkan dan perlunya adik-adik untuk memiliki rumah pertama sebelum usia 30an. Antaranya:

Sebab #1: Kurangkan Duit 'Bocor'
Apabila sudah ada komitmen membayar rumah, maka kebocoran duit dapat dielakkan. Selalunya apabila duit kelihatan banyak ditangan, maka mulalah datangnya penyakit 'gatal tangan'. Pantang nampak, 'gatal tangan' sahaja untuk membeli barang yang berkenan dihati. Dikhuatiri perbelanjaan yang selama ini dianggap keperluan, rupa-rupanya lebih kepada kemahuan. Lebih parah, 'terbeli' kereta kononnya mengikut kemampuan, akhirnya duit 'bocor' tanpa haluan.

8 Sebab Perlu Beli Rumah Sebelum 30
Suasana Dalaman 'Laboratory' Yang Bakal Di Rindui Haga-san dan Nakada-san

Sebab #2: Komitmen Masih Rendah
Mereka yang baru bergraduan dan masih bujang biasanya komitmen bulanan masih rendah berbanding mereka yang sudah berkeluarga dan telah mempunyai anak-anak. Apabila komitmen masih rendah, kelulusan pinjaman di bank juga biasanya juga lebih mudah.

Sebab #3: Tawaran Ansuran Bulanan Menarik
Pada usia yang masih muda, kebiasaanya pihak bank akan memberikan tempoh pinjaman yang lama. Ini secara tidak langsung, akan dapat mengurangkan komitmen bulanan yang perlu dibayar kepada pihak bank. Namun, apabila usia sudah meningkat seperti saya, tempoh pinjaman yang diberikan mulai semakin pendek. Maka, sudah pasti komitmen bulanan yang perlu dibayar oleh saya juga adalah tinggi.  

Sebab #4: Perlindungan Hartanah Rendah
Bagi mereka yang membeli rumah diusia yang muda, bukan sahaja bayaran bulanan di bank juga rendah. Bahkan, bayaran takaful/insurans (perlindungan hartanah) yang lebih dikenali sebagai MRTT/A atau MLTT/A juga akan turut rendah. Bagi muslim, sebaiknya pilihlah perbankan Islam dan takaful (perlindungan Islamik) bagi pembiayaan dan juga melidungi hartanah anda. Barangkali ada yang berkata perbankan Islam di Malaysia masih belum sepenuhnya Islamik atau ada juga yang mengatakan perbankan Islam merupakan 'backdoor' kepada riba dan perbankan konvensional. Bagi saya, biarkanlah 'si luncai terjun bersama-sama kesombongannya'. Jika tidak tahu, sebaiknya bertanyalah kepada ahli atau pakar dalam bidang tersebut. Ini bersesuaian dengan firmanNya yang bermaksud:
"Maka bertanyalah kepada ahlinya (orang-orang yang tahu atau pakar) jika kamu tidak mengetahui (keadaan sesuatu perkara)." (an-Nahl:43)
Sebab #5: Harga Rumah Semakin Naik
Saya sangat yakin tiada siapa yang boleh memberikan 'tarikh tepat' bila harga rumah akan turun. Sebelum ini saya pernah kongsikan dalam Harga Rumah Turun: Takdir atau Tadbir? Saya sendiri bukanlah pakar dalam membuat analisis dan meramalkan harga rumah akan turun. Namun, berdasarkan pengalaman sebagai orang tua yang kini semakin menginjak ke usia 40an. Rumah-rumah yang terletak berhampiran dengan bandar, kemudahan, infrastruktur seperti sekolah, pengangkutan, dan lain-lain biasanya akan terus meningkat. Boleh jadi rumah atau kondominium mewah boleh turun harganya sedikit kesan daripada situasi ekonomi semasa. Namun, bagi mereka yang 'biasa-biasa' atau berpendapatan sederhana kategori rumah atau kondominium mewah ini masih belum mampu dimiliki walaupun harganya turun sedikit. Sangat dikhuatiri, rumah yang kini 'mampu milik' pada hari ini hanya 'mampu tengok' dikemudian hari. Barangkali perkongsian Rumah: Dari 'Mampu Milik' ke 'Mampu Tengok' boleh dijadikan bacaan dan panduan.

Sebab #6: Peluang Menjana Pendapatan Pasif
Rumah yang dibeli pada usia yang muda jika tahu caranya boleh menjana pendapatan pasif sama ada dengan menyewakan keseluruhan rumah tersebut atau mengikut bilik. Oleh kerana masih bujang, barangkali kita boleh mengambil bilik yang paling kecil dan bilik-bilik yang lain bolehlah disewakan. Jika cantik perkiraan, bayaran bulanan rumah tersebut akan ditanggung oleh penyewa atau mampu menjana pendapatan pasif.

Sebab #7: Boleh Membantu Orang Lain 
Saya masih ingat penyewa rumah saya yang pertama adalah pemilik asal rumah lelong yang saya pernah beli. Saya turut simpati dengan nasib yang menimpa beliau sekeluarga dan saya sendiri telah menawarkan semula rumah tersebut kepada pemilik asal. Namun, beliau memaklumkan kepada saya yang beliau mempunyai perancangan lain. Atas perbincangan bersama, beliau bersetuju menyewa rumah tersebut dengan nilai yang sama sepertimana yang saya perlu membayar kepada pihak bank. Bahasa yang mudah tiada 'mark-up selling' dan tiada juga 'positive cash flow'. Cukuplah saya berasa bertuah kerana terpilih untuk dapat juga membantu beliau sekeluarga. Bagi mereka yang mampu menjana 'positive cash flow', barangkali bolehlah duit lebihan tadi untuk dijadikan 'tambah nilai' bagi bersedekah. Pesanan guru saya, apabila kita ada banyak sumber rezeki yang lain, maka lebih mudah untuk kita memberi dan juga bersedekah.  

Sebab #8: Belajar Hidup Di BAWAH Kemampuan
Oleh kerana sudah ada pinjaman perumahan di awal usia, ia juga boleh mengajar kita untuk 'Hidup di BAWAH Kemampuan'. Umumnya terdapat 3 kategori cara hidup yang sering menjadi pilihan. Ada yang suka #1 'Hidup PADA Kemampuan' dan ada yang lebih parah mengamalkan untuk #2 'Hidup di ATAS Kemampuan'. Kenapa tidak memilih untuk #3 'Hidup di BAWAH Kemampuan'? Saya pernah kongsikan perbezaan ketiga-tiga cara hidup ini dalam 6 Sebab Gaji Tak 'Cukup-Cukup'

KONVO DI JEPUN

Saya dimaklumkan konvokesyen di universiti Jepun tidaklah 'semeriah' di universiti-universiti tanahair yang penuh dengan adat-istiadat konvokesyen. Turut dimaklumkan, hanya seorang sahaja wakil bagi setiap program pengajian yang akan naik ke atas pentas bagi mengambil 'scroll' sebagai tanda tamatnya pengajian di sini. Saya sendiri belum pernah mengalaminya sendiri. Namun, selalu saya ingatkan diri bahawa proses mencari ILMU dalam kehidupan tidak akan berhenti walaupun setelah kita bergraduan. Barangkali kata-kata ini boleh dijadikan sebagai 'slogan' kehidupan. Walaupun ada yang menyatakan ianya bukan hadis dan ada juga yang menyatakan ia merupakan hadis palsu. Namun bagi saya ia baik untuk kita jadikan amalan dan panduan hidup. Bersama-samalah kita dalam menghayati ungkapan ini:
"اُطْلُبُوا العِلْمَ مِنَ المَهْدِ إِلى اللَّحْدِ"
 "Tuntulah ilmu dari buaian hingga ke liang lahat"
Sekadar perkongsian dari kejauhan. Sayonara! Sampai jumpa lagi. 

Saturday, February 13, 2016

Soubetsukai: 6 Petanda Pokai

6 Petanda Pokai
Saubetsukai: 6 Petanda Pokai

SOUBETSUKAI

Kebiasaanya pada bulan Februari dan Mac sudah mulai kelihatan ada 'laboratory' yang telah membuat perancangan bagi majlis perpisahan. Di Jepun, 'farewell party' ini lebih dikenali sebagai 'soubetsukai'. Manakala pada bulan April pula seakan menjadi tradisi sebagai bulan permulaan untuk memulakan kerjaya di sesebuah institusi, sesi persekolahan dan juga kemasukan ke sesebuah universiti. Oleh itu, apabila tiba bulan April majlis 'welcome party' atau dikenali sebagai 'kangeikai' pula akan diadakan bagi menyambut rakan atau warga baru dalam kumpulan mereka. 

BUDAYA MINUM

Petanda Pokai
Kanpai atau 'Cheers'
Perlu difahami, dalam masyarakat Jepun budaya minum dan 'nomihoudai' (minum sepuasnya) sudah seakan sebati dalam majlis 'soubetsukai' dan 'kangeikai' ini. Sebagai contoh, anak saya sendiri pernah melakonkan dan menyebut perkataan 'kanpai' yang sinonim dengan istilah 'cheers' dengan mengangkat cawan sebagai tanda majlis tersebut bermula kerana telah terbiasa semasa di sekolah. Inilah salah satu cabaran dalam mendidik anak-anak di negara orang. Semestinya kami sebagai ibu bapa perlu peka dan memainkan peranan dalam 'memahamkan' anak-anak dalam kefahaman beragama. 

POKAI

Sejujurnya istilah 'soubetsukai' ini sememangnya tiada kaitan langsung dengan 'pokai' atau 'tidak berduit'. Tajuk perkongsian kali ini tercetus kesan daripada salah seorang 'super-senpai' (super senior) yang sepatutnya turut diraikan dalam majlis 'soubetsukai' akan datang. Namun, dek kerana kemerosotan prestasi akademik, pengajian perlu diteruskan lagi sehingga ke pertengahan tahun hadapan. Kesannya, kini biasiswa 'super-senpai' ini telah dipotong hampir 50%! Maklumlah kehidupan sebelum ini boleh dikatakan agak selesa. Namun, apabila punca pendapatan (biasiswa) semakin berkurangan, sudah kelihatan petanda-petanda 'pokai'. Maka, nasihat turut diberikan agar langkah dapat diatur dan tidak bertambah 'pokai'.
Mulai Pokai
Surat Amaran Kelemahan Prestasi Akademik

5 PETANDA 'POKAI'

Umumnya, terdapat 6 petanda seseorang itu mengalami 'pokai' atau 'tidak berduit':

Petanda #1: ATM Menjadi Destinasi
Mereka yang menghadapi 'pokai' biasanya akan sering mengunjungi mesin duit (ATM). Sememangnya jelas mengetahui yang gaji/elaun/pendapatan akan masuk setiap 25 haribulan atau pada akhir bulan. Namun, sentiasa diharapkan 'keajaiban' akan berlaku sama ada gaji/elaun/pendapatan masuk lebih awal atau ada orang ter'bank-in' duit ke dalam akaun kita. Selalu juga termenung jauh ibarat 'punggok merindui bulan'. 

Petanda #2: Syiling Berguna Juga
Disaat 'pokai', syiling yang dipandang sepi sebelum ini mula dicari. Pada masa ini, pantang nampak syiling semua dikatakan milik kita. Habis licin syiling dikorek dan dikutip semua. Dikala 'sesak' dan 'pokai' inilah syiling kini berguna jua. 

Petanda #3: Segala Terselit Dicari
Bermulalah episod mencari duit-duit terselit dan tersembunyi. Ada yang membelek-belek dicelah beg duit, beg-beg lain bahkan di celah-celah buku turut diselongkar. Asal terlintas sahaja difikiran, habis semua dibeleknya. Mana tahu ada duit yang terselit, boleh digunakan untuk kehidupan seterusnya. 

Petanda #4: Bakat 'Chef' Kini Menjelma
Sebelum 'pokai' kerap makan diluar, kini bakat 'chef' terpendam mula kelihatan. Segala resipi akan dicuba, tidak sedap pun tak mengapa. Paling penting kenyang dan berani mencuba. 

Petanda #5: Duduk Di Rumah Terasa Nikmat
Saat ini, duduk di rumah dan tidak kemana-mana merupakan nikmat yang paling utama. Biarlah orang lain ke luar untuk berhibur, yang penting kita aman di bilik tidur. 

Petanda #6: Muka Ketat
Apabila 'pokai', muka comel sudah mulai ketat. Hendak senyum pun kini terasa berat. Lebih baik menyendiri atau mulai pandai 'menyibukkan' diri.

KESTABILAN KEWANGAN

Berdasarkan tanda-tanda di atas, ia boleh juga menjadi indikator kestabilan kewangan kita sendiri. Jika tanda-tanda sebegini seringkali kita hadapi adalah dinasihatkan untuk melihat semula pengurusan kewangan kita. Saya selalu diingatkan, pendapatan atau sumber yang besar (gaji) bukanlah penyelesaian kepada masalah kewangan. Bahkan seringkali saya melihat gaji atau pendapatan yang besar juga membuka pintu kepada beban hutang yang lebih besar. Kedudukan kewangan kita boleh dipertingkatkan dengan bertambahnya ILMU.

Sekadar pandangan dari kejauhan. Sayonara! Sampai jumpa lagi. 

Thursday, February 4, 2016

Keijidosha: Ada Aku Kisah!

Keijidosha: Ada Aku Kisah!
Tempat Letak Kenderaan di Perpustakaan Hospital Universiti

KEIJIDOSHA

Di jalanraya Jepun, keijidosha (軽自動車) atau juga lebih dikenali sebagai K-cars (compact cars) mudah kelihatan dan sering menjadi pilihan warga di sini. Bukan itu sahaja, pengeluar-pengeluar kereta di Jepun juga seakan berlumba-lumba untuk mengeluarkan pelbagai model keijidosha. Bahkan jika pergi membeli-belah, tempat letak kereta khas turut disediakan bagi kereta-kereta dalam kategori keijidosha ini. Sebelum terlupa, perkataan keijidosha merujuk kepada 'kei' (compact/light), manakala 'jidosha' (kenderaan). Kebiasaanya, keijidosha berukuran 3.4 m x 1.24 m (11.2 x 4.9 kaki) untuk muatan 4 orang dewasa dan dibawah 660 cc.

Keijidosha: Ada Aku Kisah!
Honda Memperkenalkan Kereta Konsep N-Camp

'YELLOW PLATES'

Perbezaan utama keijidosha ini berbanding dengan kenderaan yang lain bukan sahaja lebih kompak dan kecil, malah cukai jalan (roadtax), shaken (kelulusan untuk berada diatas jalanraya), insurans dan sudah tentu belanja penyelenggaraan keijidosha ini juga lebih murah. Umumnya, terdapat 4 jenis warna bagi plat kenderaan di Jepun, antaranya putih, hijau, kuning dan juga hitam. Manakala, bagi keijidosha ini adalah plat berwarna kuning (yellow plate). 
Kejidosha: Ada Aku Kisah!
Plat Kenderaan di Jepun (Sumber: Gaijinpot.com)

PERODUA

Jika di Malaysia, barangkali boleh saya katakan PERODUA antara syarikat yang banyak memasarkan kereta-kereta dalam kategori keijidosha ini. Secara peribadi saya beranggapan 'kereta besar' bukanlah satu keperluan bagi golongan muda yang baru memulakan kehidupan selepas bergraduan. Tidak salah jika mampu atau ada yang sudi 'sponsor'. Namun, apalah guna berkereta besar jika kita sendiri yang bakal mencari dan mendapat susah. Sebagai contoh:

SUSAH #1 : Susah hulur duit buat orang tua
Berdasarkan pengalaman dan pemerhatian, seringkali berlaku di kalangan rakan-rakan saya dahulu yang membuat keputusan untuk membeli 'kereta besar' selepas bergraduan akan 'beralasan' susah untuk hulurkan duit bulanan buat orang tua mereka di kampung. Sukar juga untuk saya menerima alasan ini, jika komitmen bulanan 'kereta besar' mampu pula dibayar, kenapa susah pula untuk menghulurkan bantuan bulanan buat mereka yang telah membesarkan kita? 

SUSAH #2 : Susah nak bayar pinjaman pendidikan
PTPTN
PTPTN: Jalan, Separuh Jalan atau Terus Jalan
Selalu juga saya perhatikan golongan muda yang baru bergraduan apabila memilih 'kereta besar' seringkali juga susah untuk membayar pinjaman pendidikan mereka. Apabila PTPTN mulai mengambil tindakan, maka semua orang akan dipersalahkan. Hutang PTPTN yang tidak dibayar secara konsisten akan menjejaskan CCRIS anda. Barangkali perkongsian PTPTN: Jalan, Separuh Jalan atau Terus Jalan boleh dijadikan panduan.   

SUSAH #3 : Susah nak beli kediaman
Perlu disedari juga komitmen bulanan kereta di bank juga akan dikira sebagai Debt Service Ratio (DSR) atau dalam bahasa Malaysia Nisbah Hutang Berbanding Pendapatan. Umumnya, kelulusan pinjaman meletakkan syarat DSR tidak lebih 70%. Sebagai contoh:
  • Gaji bersih selepas bergraduan = RM3000 (selepas di tolak KWSP, SOCSO dan PCB)
Komitmen bulanan:
  • Hutang PTPTN = RM150
  • Hutang kereta = RM700
  • Hutang rumah yang hendak dimohon = RM1000
  • Jumlah komitmen bulanan = (RM150 + RM700 = RM 1850 sebulan)
Maka, DSR = RM1850 (jumlah komitmen bulanan termasuk hutang bakal dibuat)/RM3000 (gaji bersih setiap bulan) x 100 = 61.7%. Bagi kes ini, kebiasaanya bank akan mempertimbangkan permohonan bagi mendapatkan pinjaman untuk DSR yang kurang daripada 70%. Terdapat juga bank yang mengenakan syarat yang agak ketat dengan memasukkan sekali kos sara hidup sebagai dalam komitmen bulanan untuk pengiraan DSR. Bagi situasi ini, individu tersebut masih boleh membeli sebuah rumah dengan syarat mencari rumah yang harganya lebih rendah. 

SUSAH #4 : Susah pula bersedekah
Apabila bayaran 'kereta besar' mulai menjadi bebanan, maka timbul pula duit sayang dikeluarkan untuk bersedekah. Ada yang berhasrat untuk bersedekah, tetapi asyik 'berkira-kira' dan akhirnya langsung tidak bersedekah. Barangkali perkongsian Sedekah: 'Kira-Kira' atau 'Berkira-Kira' boleh dijadikan bacaan. 

SUSAH #5 : Susah sangat buat simpanan
Keijidosha: Ada Aku Kisah!
Pastikan ada simpanan bersamaan 3 - 6 bulan gaji
Apabila 'berkereta besar', ia berkadar-langsung dengan perbelanjaan yang agak besar untuk memilikinya. Apabila sebahagian gaji dihabiskan ke kereta, dikhuatir pula tiada simpanan untuk dana kecemasan dan membeli kediaman. Nasihat saya Belilah 'Kediaman' dan Bukannya 'Kereta Idaman'

ORANG KATA

Percayalah apa sahaja pilihan jenis kereta kita nanti akan ada orang yang mengata. Usah didengari atau fikirkan apa yang 'orang kata'. Usah juga berterusan menjalani kehidupan berdasarkan apa yang orang akan kata. Pedulilah apa yang orang hendak katakan! Paling penting jika kita pilih keijidosha pun kita tidak susah! Boleh juga katakan pada mereka, "Keijidosha: Ada Aku Kisah!"

Sekadar perkongsian dari kejauhan. Sayonara! Sampai jumpa lagi. 
Tudung kanak-kanak