Wednesday, March 9, 2016

Usah 'Leasehold' atau 'Freehold' Jadi Penghalang

Leasehold atau Freehold
'Leasehold' atau 'Freehold'

BELI RUMAH

Minggu lepas saya terperasan satu status facebook daripada salah seorang bekas pelajar yang menghadapi dilema untuk membeli sebuah rumah. Ramai yang memberikan komen dan pandangan daripada status tersebut. Namun, yang mencuit hati saya adalah cadangan yang seakan-akan tidak menggalakkan untuk membeli rumah yang berstatus 'leasehold'. Barangkali ada kebenaran pendapat tersebut, namun saya sangat khuatir jika status 'leasehold' mahupun 'freehold' ini menjadi penghalang dan juga asbab kepada golongan muda untuk tidak membeli sebuah rumah atau hartanah. 

RUMAH 'LEASEHOLD'

Perlu difahami 'leasehold' atau pajakan merupakan jenis pegangan ke atas sesuatu milikan hartanah dalam tempoh masa tertentu. Tempoh pajakan ini biasanya dikeluarkan atau ditetapkan oleh kerajaan negeri atau Pejabat Tanah negeri tersebut. Tempoh biasa yang ditetapkan bagi rumah yang berstatus 'leasehold' ini adalah 99 tahun. Namun, terdapat juga tempoh pajakan yang lebih pendek iaitu 30 atau 60 tahun. Walau bagaimanapun, tempoh yang pendek ini biasanya tidak melibatkan rumah kediaman. 

HALAU KELUAR RUMAH

Ada yang tersilap faham dengan mengatakan apabila tempoh milikan tamat maka pemilik asal akan dihalau keluar oleh pihak berkuasa tempatan. Ini adalah mitos yang salah dan lebih parah jika ada yang mencadangkan jangan melabur atau membeli hartanah yang berstatus 'leasehold' ini. Kesannya, ada yang sanggup menunggu lama sehingga usia semakin meningkat hanya kerana mengharapkan status 'leasehold' idaman muncul kembali. Perlu difahami, ada kemungkinan tanah yang berstatus 'leasehold' menjadi hakmilik negeri setelah tempoh milikan tamat. Namun, ia bukanlah semudah itu pihak berkuasa negeri mahupun kerajaan boleh mengambil dengan mudah tanah dan rumah tersebut begitu sahaja. Jika pihak kerajaan negeri benar-benar ingin mengambil tanah tersebut, pelbagai proses perlu dilalui dan saya percaya pampasan perlulah diberikan. Namun, ini jarang sekali berlaku dan kebiasaannya pemilik rumah akan diberikan peluang untuk memperbaharui atau memanjangkan tempoh pajakan tersebut. Namun, saya dimaklumkan terdapat bayaran yang dikenakan bagi memanjangkan lagi tempoh pajakan ini.

Leasehold atau Freehold
Rumah Kecil (Shrine) di Tepi Tasik

OBJEKTIF BELI RUMAH

Umumnya terdapat 2 objektif utama mereka yang membeli rumah atau hartanah:

Objektif #1 - Tinggal dan Pencen
Bagi mereka yang ingin tinggal menetap dan 'settle-down' kehidupan di lokasi tersebut, pemilihan 'freehold' atau milik kekal ini adalah yang paling ideal. Pemilik rumah berstatus 'freehold' tidak perlu memikirkan kelangsungan rumah tersebut kerana ia merupakan hakmilik kekal berbanding 'leasehold' yang bersifat milikan sementara.

Objektif #2 - Sewa atau Pelaburan
Bagi mereka yang berhasrat untuk menyewa atau menjadikan rumah yang dibeli sebagai pelaburan, status 'leasehold' bukanlah menjadi masalah utama. Ini kerana, kebanyakan hartanah yang berstatus 'leasehold' berada di lokasi yang strategik, mempunyai fasiliti dan kemudahan yang menjadi 'daya penarik' kepada bakal penyewa serta permintaan yang tinggi daripada para pembeli. Walaupun pada peringkat permulaan harga rumah baru bagi yang berstatus 'leasehold' kelihatan sedikit rendah berbanding 'freehold'. Namun, berdasarkan pengalaman saya rumah yang berstatus 'leasehold' ini harganya mudah melonjak naik berbanding 'freehold' kesan daripada kedudukan lokasi yang strategik.

TEMPOH PAJAKAN RUMAH

Sebagai panduan buat mereka di luar sana yang dilema untuk memilih di antara 'leasehold' dan 'freehold' khususnya pelajar saya yang sedang berkira-kira untuk membuat pilihan, barangkali 3 situasi ini boleh dijadikan panduan:

Situasi #1: Tempoh 70 Tahun Ke Atas
Jika rumah berstatus 'leasehold' yang bakal dibeli masih berbaki 70 tahun ke atas (tempoh pajakan) dan harga yang ditawarkan oleh pemilik asal masih berbaloi barangkali boleh dipertimbangkan untuk dibeli. Namun, perlu dipastikan terlebih dahulu rumah tersebut 'benar-benar' berada dalam kondisi yang baik. Maklumlah rumah yang sudah berusia lebih 29 tahun (99 tahun - 70 tahun = 29 tahun) sudah tentu dimakan usia dan memerlukan wang untuk dibaik pulih. Teringat pengalaman salah seorang rakan saya yang tidak menyangka banyak kerosakan setelah membeli rumah 'subsale' kerana tidak dapat melihat keseluruhan rumah tersebut semasa ia dipenuhi perabot. Kesannya, setelah rumah 'subsale' kosong dan proses pembelian selesai barulah dapat dilihat kondisi sebenar rumah tersebut. Selain itu, sebaiknya juga bertanya terlebih dahulu kepada pihak bank sama ada pinjaman rumah akan diberikan atau tidak terhadap rumah 'leasehold' yang bakal dibeli.

Situasi #2: Baki Kurang 60 Tahun
Jika baki tempoh pajakan milikan rumah tersebut kurang daripada 60 tahun, sebaiknya carilah alternatif rumah lain yang lebih baik. Ini kerana, kebiasaanya rumah-rumah yang berstatus 'leasehold' yang tempohnya kurang daripada 60 tahun menghadapi kesukaran bagi mendapatkan pinjaman daripada pihak bank. Namun, tidak dinafikan terdapat juga pinjaman yang diluluskan khususnya bagi rumah-rumah berstatus 'leasehold' yang mempunyai permintaan yang tinggi. Oleh itu, sebaiknya rujuk terlebih dahulu daripada pihak bank sama ada rumah tersebut boleh memperolehi pinjaman perumahan atau tidak. Dinasihatkan proses ini dilakukan SEBELUM rundingan lanjut dan pemberian deposit dibuat bagi pembelian rumah tersebut.

Situasi #3 - Harga dan Saiz Rumah Sama
Jika pemilihan rumah yang bakal dibeli menawarkan harga dan saiz rumah yang sama cuma berbeza status 'leasehold' atau 'freehold'. Maka, sudah pasti senang dalam membuat keputusan dengan mengambil rumah berstatus 'freehold' merupakan pilihan yang ideal dan terbaik. Namun, jika rumah berstatus 'freehold' yang bakal dibeli berada di kedudukan yang terlalu jauh daripada kemudahan seperti sekolah dan kemudahan asas yang lain, barangkali 'leasehold' masih boleh dipertimbangkan. Bagi saya rumah adalah tempat berlindung. Sama ada 'leasehold' mahupun 'freehold' fungsi rumah masih sama. Janganlah membuat kesilapan dengan hanya melihat status rumah sebagai 'faktor utama' dalam membuat keputusan.

Leasehold atau Freehold
Leasehold atau Freehold

RUMAH 'FREEHOLD'

Tidak dinafikan rumah berstatus 'freehold' ini ada kelebihannya berbanding 'leasehold'. Antaranya:

Kelebihan #1 - Tiada Sekatan Kepentingan
Rumah berstatus 'leasehold' tiada sekatan kepentingan daripada mana-mana pihak. Oleh itu, rumah yang berstatus 'freehold' dan berada di lokasi yang strategik mempunyai kebolehpasaran yang meluas.

Kelebihan #2 - Tiada Tempoh Milikan
Sepertimana yang kita ketahui, pemilikan rumah berstatus 'freehold' ini tiada tempoh milikan tertentu berbanding rumah yang berstatus 'leasehold'.
 
Kelebihan #3 - Proses Tukar Hakmilik Cepat
Berdasarkan pengalaman peribadi, urusan pembelian rumah yang berstatus 'freehold' ini lebih mudah dan tempoh masa yang diambil agak pendek. Ini disebabkan pihak peguam yang dilantik bagi pembelian tersebut tidak perlu melalui sekatan kepentingan sama ada daripada pejabat tanah negeri atau agensi lain.

Kelebihan #4 - Pelaburan Lebih Baik
Secara peribadi, jika kita dapat membeli rumah berstatus 'freehold' yang berada di lokasi yang strategik, persekitaran yang kondusif dan selamat serta mempunyai kemudahan asas yang baik ia boleh dianggap sebagai bonus dan pelaburan yang baik untuk jangka masa panjang.

KEWANGAN RUMAH

Rumah sama ada 'freehold' atau 'leasehold' dari aspek fizikalnya adalah sama. Fungsinya juga tetap sama sebagai tempat berteduh dan melakar memori kehidupan bersama ahli keluarga. Perlu disedari, pembelian rumah khususnya untuk tinggal sendiri melibatkan aspek kewangan dan pengiraan matematik. Ia bukan hanya emosi dan status milikan semata-mata. Apa guna memiliki rumah tetapi bayaran bulanan di bank sehingga 'mencekik' kewangan kita setiap bulan. Rumah perlu dinikmati bukanlah diratapi dengan tanggungan yang membebankan. Rumah juga bukanlah penjara dan tempat persinggahan untuk tidur setelah penat pulang dari tempat kerja. Sebagai contoh, ada rakan saya yang terpaksa menempuh perjalanan yang jauh dan tinggal dipersekitaran yang kurang selamat hanya kerana melihat status milikan sahaja dalam pembelian hartanah.

FAKTOR PEMBELIAN RUMAH

Bagi mereka yang memilih untuk menetap di rumah tersebut sama ada sementara atau 'settle-down' kehidupan disitu terdapat faktor-faktor lain yang turut perlu dipertimbangkan selain daripada status 'freehold' atau 'leasehold'. Secara peribadi, saya memilih rumah yang berada di lokasi yang strategik dengan kemudahan seperti sekolah, masjid atau surau, kejiranan yang baik, keselamatan dan persekitaran yang kondusif. Nasihat saya khususnya buat golongan muda, usahlah status 'leasehold' atau 'freehold' ini menjadi penghalang dalam membuat keputusan bagi membeli hartanah. Ramai juga di kalangan kita yang melihat ia sebagai 'batu lonjatan' dan bukannya 'batu penghalang'. Usahlah juga terlalu memikirkan sesuatu yang tidak terjangkau dek akal fikiran bagi meramalkan apa yang bakal berlaku pada 99 tahun akan datang. Teringat pesanan sensei saya, "Isma, tiada siapa yang boleh meramalkan apa yang bakal berlaku pada masa hadapan. Tugas kita hanyalah melaksanakan yang terbaik apa yang ada ditangan pada hari ini".

Sekadar perkongsian dari kejauhan. Sayonara! Sampai jumpa lagi. 

Related Posts

Usah 'Leasehold' atau 'Freehold' Jadi Penghalang
4 / 5
Oleh

Perkongsian Akan Datang

Anda Suka 'Post' Ini? Anda Akan Lebih Suka 'Post' Yang Akan Datang:).

Menarik Lagi Tertarik! × +

1 comments :

Write comments
avatar
Anonymous
April 29, 2018 at 9:54 AM

Thank you for sharing your thoughts. I really appreciate your efforts
and I am waiting for your next write ups thanks once again.

Reply

Tudung kanak-kanak