Thursday, July 9, 2015

7 Petanda Kewangan Keluarga Bermasalah


KELUARGA BAHAGIA

Apabila melihat bekas para pelajar saya kini bahagia dengan pasangan masing-masing saya juga turut merasa gembira. Didoakan agar mereka semua berbahagia hingga ke akhir hayat. Namun, tidak dinafikan juga perjalanan sebagai suami isteri atau bergelar ibu dan ayah ini memerlukan bukan hanya sikap tolak-ansur di antara dua pihak. Malah, ia juga melibatkan pengurusan kewangan yang bijak bagi memastikan 'kebahagiaan' yang dikecapi tidak tergugat. 

KEBAHAGIAAN DAN KEWANGAN


Secara peribadi, saya sendiri pernah melihat rumahtangga yang dibina hampir runtuh dek kerana hanya isteri yang terpaksa menanggung segala perbelanjaan dalam keluarga. Saya juga pernah lihat, anak-anak menjadi mangsa apabila si ayah berjoli sakan tanpa membantu isteri menguruskan kewangan keluarga. Saya juga pernah lihat, pasangan yang mengeluh tidak dapat menghulurkan bantuan kepada ibu bapa di kampung kerana sering berbelanja besar. Oleh itu, tidak salah untuk saya katakan bahawa pengurusan kewangan yang teruk boleh mengundang atau menjadi salah satu faktor penyumbang ke arah tergugatnya kebahagiaan rumah tangga yang dibina. Maka, secara peribadi pengurusan kewangan keluarga dilihat sangat penting dan perlu ambil tahu khususnya bagi pasangan yang baru mendirikan 'mahligai bahagia'. 

KEWANGAN KELUARGA

Berdasarkan pemerhatian dan pengalaman peribadi serta rakan-rakan lain yang sebaya, 'cukup wang' dalam keluarga bukanlah terletak semata-mata kepada berapa banyak wang yang dibawa masuk  oleh pasangan ke dalam 'akaun keluarga' setiap bulan. Tetapi, yang lebih penting adalah BIJAK untuk merancang dan menguruskan sumber kewangan keluarga yang dimiliki. Bagi memastikan rumahtangga stabil dan sejahtera, terdapat 7 petanda yang menunjukkan kewangan keluarga mulai menghadapi masalah.

7 PETANDA KEWANGAN KELUARGA BERMASALAH 

Petanda #1 - Duit 'Hilang Arah'


Sekiranya pasangan suami isteri tidak dapat mengenal pasti ke mana arah duit dibelanjakan dan sering merungut kerana tidak cukup atau terlebih belanja ia boleh menjadi tanda-tanda awal kedudukan kewangan keluarga mulai bermasalah. Terdapat pasangan yang saya kenali, diawal bulan lagi duit gaji yang diperolehi sudah berada ditahap yang kritikal. Lebih teruk lagi apabila mereka sendiri tidak menyedari dan dapat mengenal-pasti ke mana duit mereka dibelanjakan pada setiap bulan. Ironinya, situasi ini berulang-ulang selama bertahun-tahun. Ia seringkali berlaku apabila pasangan suami isteri tidak bersepakat dalam menguruskan kewangan keluarga mereka.

Petanda #2 - Bil Mulai Tertunggak

Bil-bil seperti bil elektrik, air, telefon dan lain-lain serta bayaran bulanan kereta, pinjaman perumahan atau sewa bulanan rumah yang mulai tertunggak beberapa bulan juga menjadi petanda kewangan keluarga kini menghadapi masalah. Saya pernah mengenali pasangan yang terpaksa menghadapi rumah mereka terpaksa di lelong dek kerana bayaran bulanan rumah di bank yang tertunggak sekian lama. Akhirnya, dengan berat hati rumah yang pernah dibeli semasa diawal usia perkahwinan mereka terpaksa dilepaskan dek kerana tidak melihat bil-bil atau bayarana bulanan di bank tertunggak merupakan perkara yang serius dan perlu diselesaikan dengan kadar segera.

Petanda #3 - Hutang Tak Terkira

Tidak kurang juga ada pasangan yang pernah saya lihat sanggup berhutang hanya kerana mahu kelihatan lebih 'gah' atau bergaya daripada jiran-jiran, adik-beradik atau rakan-rakan yang lain. Bayangkan hutang yang dimiliki sampai tidak terkira banyaknya! Tidak salah untuk berhutang, cuma perlu pastikan hutang yang bakal dibuat merupakan hutang yang benar-benar diperlukan. Saya pernah kongsikan isu ini dalam 'HUTANG PERLU' ATAU 'HUTANG MAHU'. Diharapkan peringatan ini tidak menjadikan perjalanan kehidupan kita seharian sepertimana pantun dua kerat yang berbunyi:

Keluar Pagi, Pulang Petang
Cukup Bulan, Bayar Hutang!

Petanda #4 - Buat Hutang, Tutup Hutang

Lebih parah lagi apabila mulai terdapat pasangan yang memilih untuk 'membuat hutang bagi menutup hutang'. Sebagai contoh, ada yang sanggup untuk membuat pinjaman peribadi untuk menutup hutang kad kredit atau ada juga yang sanggup membuat pinjaman peribadi untuk membeli kabinet dapur yang bergaya. Saya juga pernah melihat mereka yang sanggup menggunakan 'strategi pembiayaan semula (refinance)' untuk membeli motorsikal berkuasa tinggi atau dijadikan 'duit muka' untuk membeli kereta model terkini. Tanpa disedari, segala strategi ini bukanlah langkah yang bijak untuk membebaskan diri daripada bebanan hutang. Bukan itu sahaja, dikhuatiri ia boleh mengundang kepada keretakan 'mahligai bahagia' yang dibina. 

Petanda #5 - Kad Kredit Pendapatan Tambahan
Umumnya, individu yang menggunakan kad kredit adalah untuk mengurangkan risiko bagi membawa duit tunai di tangan. Terdapat juga mereka yang menggunakan kad kredit untuk menikmati 'diskaun' atau 'nilai mata' apabila berbelanja. Saya secara peribadi menggelakkan diri untuk memiliki kad kredit kerana dikhuatiri terjebak dengan hutang kad kredit. Lebih parah lagi apabila terdapat mereka yang menjadikan kad kredit sebagai punca pendapatan tambahan buat menampung perbelanjaan seisi keluarga. Perlu diingatkan, kadar faedah (interest) kad kredit adalah tinggi dan ramai yang juga telah diisytiharkan muflis kerana tidak berupaya melangsaikan hutang kad kredit yang dimiliki. Sebaiknya dijauhi dan jika perlu, cukuplah hanya memiliki satu kad kredit dalam sesebuah keluarga. 

Petanda #6 - Duit Belanja Dari Simpanan

Selain itu, terdapat juga situasi apabila duit belanja harian digunakan dan berpunca daripada duit simpanan. Ini juga menjadi petanda bahawa kedudukan kewangan keluarga mulai menghadapi bermasalah. Sepatutnya, duit simpanan hanyalah digunakan apabila benar-benar diperlukan. Apabila simpanan mulai terusik untuk dijadikan duit belanja, ini menunjukkan duit simpanan keluarga semakin meruncing. Jika ini tidak diatasi segera, dikhuatiri simpanan yang dijadikan 'dana kecemasan' turut akan terjejas. Saya pernah kongsikan mengenai 'dana kecemasan' dalam SIMPANAN, PERLINDUNGAN DAN PELABURAN.

Petanda #7 - Takut dan Tak Tenteram



Terakhir sekali, sering juga berlaku apabila terdapat pasangan suami isteri yang hidup dalam ketakutan dan tidak tenteram. Ketakutan kerana risau pihak bank menghantar orang untuk 'menarik' kereta yang dimiliki kerana bayaran bulanan yang tertunggak sekian lama. Pernah juga saya melihat sebuah keluarga yang sanggup hidup dalam kegelapan rumah mereka di malam hari kerana takut didatangi 'ah-long' untuk mengutip hutang. Begitu juga situasi dimana saya pernah melihat rakan saya sendiri yang gelisah dan tidak tenteram apabila seringkali menerima panggilan telefon daripada pihak bank yang seakan 'mendesak' untuk melunaskan bayaran dengan kadar segera. Jika situasi ini berlaku, berkemungkinan bukan hanya kewangan keluarga telah menghadapi masalah malah nyawa dan kedudukan keluarga anda juga berada di tahap kritikal.

SEPAKAT URUS KEWANGAN KELUARGA

Akhir kata, setiap pasangan seharusnya BIJAK merancang dalam menguruskan kewangan sesebuah keluarga. Ini kerana, kedudukan kewangan yang stabil dalam sesebuah keluarga juga berkait langsung dengan kebahagiaan dan keharmornian mahligai yang telah dibina. Melaburlah juga dalam ilmu-ilmu pengurusan kewangan dengan membaca tulisan-tulisan berkaitan pengurusan kewangan atau membeli buku-buku yang boleh 'mencelikkan' kita akan konsep pengurusan kewangan. Elakkan diri dan keluarga daripada terjebak dengan situasi yang pernah saya kongsikan dalam 5 PETANDA KAYA TAK BERHARTA. Barangkali perkongsian 'BINA HUTANG' VS 'BINA KELUARGA' juga boleh dijadikan panduan dan peringkatan buat kita semua.

Related Posts

7 Petanda Kewangan Keluarga Bermasalah
4 / 5
Oleh

Perkongsian Akan Datang

Anda Suka 'Post' Ini? Anda Akan Lebih Suka 'Post' Yang Akan Datang:).

Menarik Lagi Tertarik! × +

Tudung kanak-kanak