Solat Subuh Dalam Perjalanan Ke Jepun
Anak-anak Jepun / Nihon
Soalan berkaitan solat Subuh dalam kapal terbang pernah ditanya oleh anak-anak. Saya sendiri tertanya-tanya macamana nanti untuk solat Subuh dalam kapal terbang semasa perjalanan dari KLIA ke Narita Airport, Jepun. Yalah, penerbangan saya dari KLIA pada jam 10:50pm dan dijangka sampai di Narita Airport pada jam 7:05am. Semestinya waktu solat Subuh semasa saya masih berada dalam pesawat MH 9118 milik Malaysia Airlines (MAS).
Kapal Terbang MAS |
Barangkali mereka yang sudah biasa atau pernah mengalami situasi yang sama tidak menjadi masalah. Namun, bagi mereka yang pertama kali dan berazam untuk memastikan anak-anak turut menunaikan solat dalam kapal terbang nanti perlu bersedia dengan soalan-soalan yang boleh ditanya oleh kanak-kanak khususnya anak-anak saya sendiri. Antara soalan yang pernah ditanya:
1. "Abah, macamana ya solat subuh dalam kapal terbang nanti?"
2. "Solat subuh tak boleh Jamak dan Qasar ya Abah?"
3. "Macamana nak solat duduk dalam kapal terbang?"
4. "Nak mengadap kiblat macamana ya Abah sebab kapal terbang tu bergerak?"
5. "Kakak nak ambil wuduk macamana ya nanti dalam kapal terbang. Boleh tayammum ke Abah?"
SOLAT DALAM KAPAL TERBANG
Fuh, pelbagai soalan ditanya oleh anak-anak yang sedang belajar sesuatu yang baharu dalam hidup mereka. Tidak dinafikan juga persoalan-persoalan anak ini menjadi asbab untuk saya juga turut perlu belajar benda dan perkara-perkara yang baharu. Sebagai contoh, saya sendiri tidak menafikan bahawa saya sendiri tidak pernah menunaikan solat Subuh dalam kapal terbang apatah lagi untuk mengambil wuduk di dalam kapal terbang. Tak pernah sebelum ini menaiki kapal terbang yang sampai ke destinasi melewati waktu solat Subuh. Inilah anak-anak zaman millenium yang kita juga perlu bersedia untuk menjawab dengan hujah yang baik dan berilmiah. Pencarian ilmu dalam menjawab soalan-soalan ini juga bukan hanya untuk memberi kefahaman kepada anak-anak, malah yang penting kita sendiri sebagai ibu bapa dan individu lebih memahami. Maka, perlaksnaan ibadah akan lebih yakin kerana melaksanakannya dengan ilmu dan bukannnya kerana 'ikut-ikut' sahaja.
TIADA MASALAH UNTUK SOLAT
Penerbangan ke Sendai akan melibatkan 2 kali penerbangan. Pertama, dari KLIA ke Narita, Airport dan ke dua dari Narita ke Sendai Airport. Dijangkakan perjalanan dari KLIA ke Narita akan mengambil masa 7 jam lebih dan perjalanan dari Narita ke Sendai akan mengambil masa 1 jam lebih. Untuk perjalanan dari Narita ke Sendai tiada masalah untuk solat.Solat Subuh Dalam Perjalanan Ke Jepun |
5 PERSOALAN SOLAT 'ANAK-ANAK'
Soalan 1: "Abah, macamana ya solat subuh dalam kapal terbang nanti?"
Bagi soalan ini mudah untuk dijawab. Solat perkara yang wajib bagi setiap Muslim. Tidak kira berada di mana mahupun berada di angkasa lepas pun solat perlu dilaksanakan. Solat itu kan "tiang agama". Solat membezakan orang Islam dengan yang lain. Bagi anak-anak umur 6 - 9 tahun dan khususnya bagi Kakak yang 9 tahun dan Anis yang berumur 7 tahun serta pernah bersekolah agama di SRA Bandar Seri Putra tiada masalah untuk memahami. Maka, solat perlu ditunaikan walaupun kita berada di dalam kapal terbang. Selesai soalan ini.Soalan 2: "Solat subuh tak boleh Jamak atau Qasar ya Abah?"
Untuk soalan ke 2 ini pun bagi saya untuk menjawab pun tidak menghadapi masalah. Yalah, persoalan solat yang timbul disini adalah melibatkan solat subuh. Cuma yang jadi isu dan persoalan akan datang, adalah kesukaran anak-anak untuk solat Subuh pada jam 4:30am. Kat sini pun, bangun jam 6:00am pun seringkali anak-anak merungut "mengantuk, mengantuk". Lagilah seawal jam 4:30 pagi nak kejut anak-anak ini. Satu yang mencabar bagi ibu bapa bagi memastikan anak-anak terus solat sehinggalah mereka dewasa dan selagi hayat ibu bapa mereka masih ada. Anak-anak telah belajar di sekolah agama bahawa solat Subuh tidak boleh Jamak mahupun Qasar.Oleh kerana, telah membuat keputusan untuk terus menetap di Sendai selama 3 tahun. Maka, umumnya solat Jamak dan Qasar tidak boleh dipraktikan. Ia hanya boleh dilakukan jika menepati syarat-syarat bagi menunaikan solat Jamak dan Qasar seperti jarak perjalanan melebih 2 marhalah (89 km/ 56 batu).
Soalan 3: "Macamana nak solat duduk dalam kapal terbang?"
Untuk soalan ke 3 ini teringat TV Al-Hijrah akan menunjukkan sekali imbas paramugara yang solat dalam kapal terbang setiap waktu azan. Soalan ini perlu kerja lebih sikit nak bagi anak-anak faham. Perlukan praktikal dan panduan bergambar. Maklumlah, bukan hanya anak-anak, kita yang dewasa ini pun lebih mudah memahami sesuatu yang bergambar. Maklumat dan gambar-gambar berkaitan solat duduk ini pun mudah diperolehi. Malah, ada buku-buku yang boleh dibeli untuk dijadikan panduan. Selain itu, banyak juga panduan solat duduk yang boleh diperolehi di YouTube.Sumber: Utusan Malaysia, 18 Oktober 2013 |
Sumber: http://imasmubarok.blogspot.com/p/gambar.html |
Sumber: http://kerjahaji.blogspot.com/ |
Banyak panduan boleh didapati daripada internet. Namun, anak-anak perlu ditunjukkan praktikal solat Subuh sebelum mereka menghadapi situasi sebenar. Yelah "Practice Makes Perfect".
Soalan 4: "Nak mengadap kiblat macamana ya Abah sebab kapal terbang tu bergerak?"
Huh, soalan ini penat sikit nak jawab. Soalan macam ini susah nak jawab secara spontan. Ini perlu pencarian maklumat yang lebih. Namun, yang lebih tepat perlu rujuk peta dunia barulah tahu kedudukan sebenar kapal terbang yang dinaiki sama ada mengadap kiblat atau membelakangkan kiblat.Oleh kerana penerbangan pada kali ini menggunakan kapal terbang MAS rasanya boleh bertanya kepada paramugara mahupun paramugari mengenai arah kiblat yang sebenar dalam perjalanan. Jika arah kiblat 100% di belakang kedudukan tempat duduk kami maka cuba sedaya upaya untuk minta bantuan krew penerbangan MAS untuk memberikan kami ruang yang sesuai untuk solat. Jika kelihatan agak payah juga, terdapat pendapat yang ringan dan memandangkan tempat duduk di dalam kapal terbang yang agak terhad sudah memadai untuk menghalakan sedikit tubuh kita ke sebelah kiri atau belakang sikit dengan niat sepenuhnya menghadap kiblat. Semoga Allah menerima solat Subuh kami nanti. Amin.
Soalan 5: "Kakak nak ambil wuduk macamana ya nanti dalam kapal terbang. Boleh tayammum ke Abah?
Soalan ini boleh dikategorikan soalan 2 dalam 1. Pertama kaedah mengambil wuduk di dalam kapal terbang. Kedua boleh bertayammum atau tidak. Untuk soalan ini seharusnya menjawab soalan yang ke dua dahulu barulah menjawab soalan yang pertama. Jawapannya, Kakak dan adik-adik yang lain tidak boleh bertayammum. Ini kerana di dalam kapal terbang disediakan tandas kecil untuk membuang hajat dan juga bolehlah mengambil wuduk. Cuma bagi memudahkan urusan mengambil wuduk di dalam kapal terbang sebagai langkah berjaga-jaga boleh dibawa sekali cawan kecil bagi memudahkan urusan mengambil wuduk.Oleh kerana, saya akan ke Sendai sendirian pada 27 September 2014 nanti. Maka, saya boleh melihat dan merasai sendiri situasi yang saya jangkakan dalam tulisan ini. Moga tulisan ini memberikan saya panduan dan perkongsian yang bermanfaat untuk mereka yang lain. Untuk kupasan dan huraian yang lebih baik saya suka membaca tulisan Dr. Zaharuddin yang bertajuk Balik Malaysia & Waktu Buka, Sahur & Solat Dalam Kapal Terbang. Kredit harus diberikan juga kepada Dr. Zaharuddin. Tahniah!
Terdapat juga huraian yang boleh dijadikan panduan dan lebih bersifat ilmiah dengan rujukan-rujukan. Boleh lihat hasil tulisan Hafiz Firdaus Abdullah. Tulisan saya ini agak ringkas dan akan meminta anak-anak saya membacanya sebagai panduan mereka di kala mereka sibuk bermain tablet.