Thursday, March 10, 2016

1 Akaun, 1 Tujuan

Akaun Bank di Jepun
Akaun Bank di Jepun

AKAUN BANK DI JEPUN

Semenjak berada di Sendai, Jepun kami membuka 2 akaun untuk kegunaan di sini. Akaun Bank 77 bagi kegunaan untuk kemasukan elaun dan pembayaran bil-bil serta utiliti lain. Makakala akuan bank JP Post yang merupakan bank cawangan terbesar di Jepun hanya digunakan bagi keperluan elaun anak-anak (jido teate) yang kami terima daripada pihak kerajaan Jepun. Bagi memudahkan urusan 'keluar-masuk' duit elaun ini, kami lakukan pemotongan terus untuk bayaran makanan anak-anak di sekolah. Akaun JP Post ini kami namakan sebagai 'Akaun Anak-Anak' khusus bagi segala keperluan perbelanjaan sekolah dan juga tabungan buat anak-anak di Jepun.

BENDAHARI AKAUN

Pernah saya kongsikan berkaitan 'jido teate' sebelum ini di 'Elaun Kanak-Kanak (Jido Teate)' dan pengalaman 'ngeri' semasa buka akaun bank JP Post di 'Panduan ATM 77 Bank'. Kini, ATM 77 Bank telah berwajah baru dan atas sebab itu segala urusan di bank telah saya serahkan sepenuhnya kepada isteri. Memandangkan tahap Bahasa Jepun saya telah meningkat dari 'wakarimasen' (saya tidak faham) kepada 'zenzen wakarimasen' (saya tidak faham langsung), maka jawatan 'Bendahari' dengan besar hati telah diserahkan sepenuhnya kepada isteri saya. Sememangnya, pengasingan akaun sangat memudahkan kami untuk membuat rekod dan memantau pengaliran 'keluar-masuk' duit sepanjang berada di sini.  

SATU AKAUN

Kebiasaanya, apabila duit belum banyak atau hanya daripada satu sumber memadai jika diletakkan pada satu akaun bank sahaja. Segala urusan 'keluar-masuk' duit dalam akaun mudah dipantau jika hanya mempunyai satu punca atau sumber pendapatan. Namun, apabila duit yang diterima semakin banyak atau datang dari sumber-sumber lain sebaiknya dibuat satu akaun bagi setiap tujuan. Ini juga penting khususnya bagi mereka yang 'serius' untuk mengembangkan duit atau dana yang dimiliki. Pengalaman saya secara peribadi, apabila kita membuat pengasingan akaun ia bukan sahaja memudahkan urusan pemantauan, malah rekod kewangan lebih tersusun, sistematik dan sangat membantu kita dalam mengatur strategi bagi mengembangkan dana yang dimiliki. 

1 AKAUN, 1 TUJUAN

Akaun Bank dan Tujuan
1 Akaun, 1 Tujuan
Bagi mereka yang kini menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan ataupun menyahut seruan bagi melakukan '2 Kerja' adalah sangat digalakkan untuk mengamalkan 1 Akaun bagi 1 Tujuan. Sebagai contoh, akaun gaji (peribadi) perlu diasingkan daripada segala transaksi yang berkaitan dengan perniagaan yang kita jalankan. Sebaiknya, buka akaun khas atas nama perniagaan agar duit yang diperolehi tidak bercampur-aduk dan senang untuk kita membuat pemantauan dengan hanya melihat Penyata Bank (Bank Statement) di bank tersebut. Melalui kaedah ini, kita akan dapat menilai tahap pencapaian perniagaan kita sama 'sedang naik' atau sebaliknya. Bukan itu sahaja, kaedah ini dapat memudahkan dan membuktikan kepada pihak bank bahawa kita mempunyai pendapatan lain jika ingin mendapatkan pinjaman pada masa hadapan. 

AKAUN SEMASA

Bagi mereka yang 'serius' untuk mengembangkan perniagaan mereka, adalah sangat digalakkan untuk memilih Akaun Semasa (Current Account) dan bukannya Akaun Simpanan (Saving Account). Ini kerana dengan memilih Akaun Semasa urusan 'keluar-masuk' duit akan lebih mudah. Kebiasaannya, jika kita memilih Akaun Simpanan, apabila terdapat transaksi yang banyak dalam akaun, pihak bank akan menghalang (block) transaksi tersebut. Kemungkinan kita akan dihubungi oleh pihak bank untuk mengesahkan transaksi atau ada situasi dimana pihak bank meminta kita untuk datang ke bank utama atau bank cawangan asal semasa kita membuka akaun. Jangan lupa juga untuk mendaftar 'online banking' yang sangat berguna dalam melihat transaksi 'keluar-masuk' di akaun kita. Pengalaman di sini, setiap kali kami menerima elaun daripada Malaysia pastinya saya akan dihubungi melalui telefon bagi membuat pengesahan. Soalan yang biasanya ditanya oleh pihak bank adalah mengenai tujuan duit tersebut dimasukkan, sumber daripada mana, alamat rumah dan juga tarikh lahir. Biasanya jawapan ini saya sudah ada skripnya, namun apabila ditanya soalan-soalan di luar skrip maka jawapan yang 'standard' yang sering saya berikan adalah 'gomen ne, wakarimasen' (maaf ya, saya tidak faham). 

LAIN-LAIN AKAUN

Sebagai cadangan, barangkali pengasingan akaun boleh juga dibuat bagi tujuan-tujuan lain. Sebagai contoh:

1.  '1 Akaun' untuk gaji/ pendapatan tetap
2.  '1 Akaun' untuk perniagaaan
3.  '1 Akaun' untuk rumah sewa/ pelaburan lain
4.  '1 Akaun' untuk dana kecemasan

Perlaksanaan 1 Akaun, 1 Tujuan akan memudahkan urusan rekod kewangan kita. Percayalah kelulusan mendapatkan pinjaman daripada pihak bank akan lebih mudah jika rekod kewangan kita teratur dan lebih bersistematik. Sebaiknya juga akaun bagi dana kecemasan diletakkan pada akaun yang tiada kemudahan ATM. Bukan itu sahaja, kita juga akan lebih berdispilin dalam mempertahankan 'dana kecemasan' ini apabila kad ATM tiada ditangan.

Sekadar pandangan dari kejauhan. Sayonara! Sampai jumpa lagi.     

Related Posts

1 Akaun, 1 Tujuan
4 / 5
Oleh

Perkongsian Akan Datang

Anda Suka 'Post' Ini? Anda Akan Lebih Suka 'Post' Yang Akan Datang:).

Menarik Lagi Tertarik! × +

Tudung kanak-kanak