Monday, April 28, 2008

Peranan Pendidikan Dalam Menjana Ekonomi Asnaf


PENGENALAN

Peruntukan baget sebanyak RM45.1 billion selama lima tahun bagi penjanaan pendidikan dan keilmuan sepanjang hayat yang telah dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) memperlihatkan kepada kita betapa kerajaan serius dan komited dalam mencapai matlamat ke arah pembangunan modal insan yang berkualiti dan dinamik. Ditambah lagi dengan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan yang telah dirangka untuk melonjakkan kualiti sistem pendidikan negara menjelang 2010 bertujuan bagi menjadikan Malaysia sebagai sebuah pusat kecemerlangan pendidikan tertinggi di rantau ini. Menyedari akan hasrat dan matlamat kerajaan yang menekankan pendidikan ini, kerajaan negeri Selangor melalui institusi-institusi di bawahnya dan pihak swasta turut memainkan peranan yang aktif bagi memastikan ia direalisasikan.

LEMBAGA ZAKAT SELANGOR (LZS)

Misalnya, Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS dilihat telah memainkan peranan yang begitu aktif bagi memastikan bukan sahaja golongan asnaf di negeri Selangor terbela malah turut mendapat pendidikan sehinggalah ke peringkat pengajian tinggi sama ada di IPTA mahupun IPTS khususnya kepada anak-anak asnaf di Selangor. Ini secara tidak langsung memperlihatkan kepada kita bahawa kerajaan negeri Selangor ‘seiring dan sejalan’ dengar dasar dan matlamat kerajaan. Ini sangat bersesuaian dengan kedudukan LZS (MAIS) yang menjadi peneraju kepada institusi zakat di Malaysia setelah dinaikkan taraf dari Pusat Zakat Selangor (PZS) MAIS kepada LZS (MAIS) pada 31 Januari 2006 bersamaan 1 Muharram 1427H.

Selaras dengan nama lembaga itu sendiri yang kini didaftarkan di bawah Akta Pemegang Amanah (Pemerbadanan 1952) dan bukan lagi di bawah Akta Syarikat 1965 sepertimana sebelum ini bukan sahaja membawa imej yang lebih besar kepada LZS (MAIS) malah peranan yang dimainkan tidak lagi hanya terbatas kepada kutipan dan agihan zakat serta pemberian bantuan bersifat material semata-mata. Sebaliknya, ia turut meliputi aspek pembangunan modal insan, pembangunan pendidikan, pembangunan ekonomi asnaf dan turut membangunkan usahawan di kalangan asnaf yang dikenali sebagai usahawan asnaf.

USAHAWAN ASNAF

Usahawan asnaf boleh didefinisikan sebagai individu yang melalui satu proses penciptaan usaha niaga, mampu memikul tugas, tanggungjawab dan mencuba sebagai peniaga yang dirangsang dengan dorongan dan bantuan dari institusi zakat. Kajian mendapati golongan asnaf yang berpotensi dan produktif untuk dijanakan menjadi usahawan akan diberikan pendidikan dan latihan yang akhirnya mereka ini akan dapat dikeluarkan daripada kepompong kemiskinan dan turut menjadi penyumbang kepada pembangunan ekonomi negara. Kesannya, taraf ekonomi asnaf akan juga berubah dan golongan ini nanti akan turut menjadi penyumbang dalam menambahkan lagi kutipan zakat sama ada sebagai pembayar zakat perniagaan ataupun pendapatan suatu hari nanti.

ILMU DAN PENDIDIKAN

Islam sangat mementingkan ilmu dan pendidikan dalam kehidupan seorang Muslim malah wahyu pertama yang diturunkan Allah S.W.T kepada Nabi Muhammad S.A.W dalam surah al-‘Alaq memperlihatkan kepada kita bahawa Islam menyeru umatnya agar membaca, belajar, meneroka ilmu pengetahuan dan meningkatkan tahap pendidikan. Kerasulan Nabi Muhammad S.A.W telah menjadikan ilmu sebagai tunjang utama dalam memartabatkan manusia dan seterusnya mengubah kehidupan manusia sejagat agar lebih bertamadun.

Buktinya, Al-Quran dan sejarah Islam menceritakan kepada kita bahawa sebelum kedatangan Islam ; masyarakat arab khususnya hidup dalam keadaan tidak bertamadun dan diklasifikasikan sebagai zaman Jahilliyah. Selepas cahaya Islam menyinari seluruh alam dan kehidupan manusia, mereka lebih bertamadun, berpelajaran, berpendidikan dan maju sehinggakan umat Islam terkenal sebagai pelopor kepada perkembangan ilmu di dunia. Oleh itu, sebagai umat Islam perlulah kita menyahut seruan ini bagi memastikan umat Islam tidak ketinggalan dan dipandang rendah oleh orang lain terutama musuh-musuh Islam yang senantiasa mencari kelemahan di kalangan umat Islam.

PENDIDIKAN DAN EKONOMI



Sweeney (1988) dalam kajiannya mengenal pasti bahawa pendidikan merupakan faktor kritikal dalam menghadapi situasi tegang seperti masalah pengganguran. Beliau juga turut menegaskan bahawa kemahiran dan pengetahuan boleh dibina melalui proses latihan dan pendidikan. Pendidikan juga dilihat menjadi faktor yang penting dalam membantu sesebuah negara menikmati kelebihan persaingan dan peningkatan ekonomi yang berterusan. Ini kerana melalui pendidikan, tenaga mahir yang kompeten dan berdaya saing dapat dihasilkan dan ia turut memberikan impak positif kepada perkembangan ekonomi negara.

KAJIAN, PEMERHATIAN DAN PENGALAMAN

Berdasarkan pemerhatian, kajian dan pengalaman dalam membangunkan asnaf didapati kebanyakan golongan asnaf ini mempunyai tahap pendidikan yang agak rendah. Kesan daripada itu, mereka agak sukar memperolehi peluang pekerjaan yang kini sangat mementingkan kelulusan akademik dan memerlukan tenaga-tenaga mahir sama ada dari sudut pengetahuan mahupun kemahiran yang mereka miliki.

Natijahnya, kebanyakan golongan asnaf ini menganggur, tidak mempunyai pekerjaan yang tetap atau bekerja tetapi pendapatan yang diperolehi masih belum mencukupi menampung keperluan asas termasuklah membiayai pendidikan anak-anak mereka. Lebih-lebih lagi dengan kos sara hidup yang semakin meningkat dan ditambah lagi dengan taktik serta tipu helah para peniaga yang seakan mengambil kesempatan akan kenaikan gaji kakitangan awam yang diumumkan Perdana Menteri baru-baru ini. Kesannya semakin parah dirasai khususnya kepada golongan asnaf fakir dan miskin ibarat “berapa berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul”.

Sekiranya tiada pihak yang bertanggungjawab dalam membela dan membantu golongan asnaf ini sepertimana yang dimainkan oleh LZS (MAIS) pastinya hidup asnaf dan anak-anak mereka akan lebih menderita khususnya di negeri Selangor Darul Ehsan. Kesan ini akan terus menjadi wabak yang serius sehinggakan hasrat Perdana Menteri untuk tidak ada golongan miskin tegar ketika Malaysia berusaha mencapai matlamat negara maju dan menjadikan Malaysia sebuah Negara Islam contoh di mata dunia tidak akan dicapai dan boleh diibaratkan “seperti pungguk merindukan bulan”. Bukan itu saja, imej Malaysia sebagai negara nombor satu dunia dalam usaha membasmi kemiskinan tegar serta kejayaan Malaysia mengurangkan jumlah kemiskinan rakyat daripada 60 peratus kepada lima peratus dalam tempoh kurang 50 tahun mencapai kemerdekaan akan tercalar dan hanya sekadar kenangan dalam lipatan sejarah.

Namun, adalah perlu kita menyedari bahawa peranan membantu golongan asnaf ini melibatkan semua pihak dan ia tidak hanya terletak dibahu institusi pengurusan zakat semata-mata. Semua pihak yang berkemampuan, berupaya dan memenuhi syarat bagi mengeluarkan zakat sama ada zakat fitrah, pendapatan, simpanan, KWSP, perniagaan, pertanian, ternakan, emas dan perak sepatutnya menyedari serta melaksanakannya. Ini tidak ditambah lagi dengan kewajipan untuk mengeluarkan zakat daripada harta Mustafad dan Mustaghallat yang masih ramai tidak memahami serta menyedari akan kepentingan serta potensinya yang besar dalam meningkatkan hasil kutipan zakat.

Menurut Prof. Madya Syed Mohd. Ghazali Wafa (2005) kutipan zakat yang besar ini sekaligus menjayakan lagi fungsi dan peranan yang dimainkan oleh institusi zakat sebagai badan penjamin keadilan ekonomi dan sosial. Rentetan peningkatan kutipan zakat serta perlaksanaan pengurusan zakat yang beramanah, adil, sistematik dan efektif serta tidak berlakunya ketilisan diharapkan akan dapat menjadi penyumbang kepada peruntukan yang lebih tinggi khususnya kepada Dana Pendidikan Asnaf Fakir/Miskin bagi menampung pendidikan anak-anak asnaf yang berkelayakan dan memenuhi syarat untuk melanjutkan pelajaran sekurang-kurangnya di peringkat ijazah sarjana muda sama ada di IPTA atau IPTS yang diakui.

Pendidikan yang tinggi kepada anak-anak asnaf ini diharapkan akan dapat mengurangkan atau sekiranya boleh berupaya mengeluarkan golongan fakir dan miskin ini daripada kepompong kemiskinan lebih-lebih lagi setelah anak mereka graduan serta memperolehi pekerjaan yang baik. Sekurang-kurangnya sangat berharap dan berdoa agar pendidikan terhadap anak-anak fakir dan miskin ini akan dapat memastikan mereka tidak menjadi penerus kepada generasi yang dikategorikan sebagai penerima zakat. Sekiranya ia benar-benar berlaku dan kemiskinan tegar berjaya dihapuskan pastinya bukan sahaja ekonomi asnaf dapat dipulihkan malah matlamat RMK-9 akan menjadi kenyataan dan pertumbahan ekonomi Malaysia semakin rancak dan diyakini.

BANTUAN PENDIDIKAN LZS (MAIS)

Kajian, pemerhatian, pengalaman dan maklumat yang diperolehi mendapati LZS (MAIS) sangat prihatin dalam memastikan pendidikan anak-anak asnaf tidak diabaikan. Terdapat tiga bentuk bantuan dana pendidikan yang telah dirangka dan disediakan oleh LZS (MAIS) bagi membantu anak-anak asnaf zakat mendapat pendidikan sewajarnya sama ada di peringkat rendah hinggalah peringkat institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA & IPTS) di dalam atau luar negara yang diiktiraf oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Antara dana pendidikan yang diberikan adalah Dana Pendidikan Asnaf Fakir/Miskin, Dana Bantuan Dermasiswa dan Dana Bantuan Umum Pelajaran.

Bagi Dana Pendidikan Asnaf Fakir/Miskin, LZS (MAIS) menanggung keseluruhan kos pendidikan daripada peringkat tadika sehinggalah peringkat tinggi. Manakala, Dana Umum Pendidikan pihak hanya menampung sebahagian sahaja kos pendidikan seperti yang telah ditetapkan dan memenuhi syarat tertentu. Sementara Dana Dermasiswa pula, LZS (MAIS) hanya memberikan kepada pemohon yang mendapat tempat pengajian di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) serta universiti-universiti di Mesir dan Syria sahaja.

Oleh itu, hampir kesemua anak-anak golongan asnaf fakir dan miskin yang memenuhi syarat akan diberikan Dana Pendidikan Asnaf Fakir/Miskin sepanjang pengajian mereka. Misalnya, sekiranya seorang anak asnaf melanjutkan pelajaran di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) pihak LZS (MAIS) akan menanggung hampir RM40 000 seorang bagi tiga tahun pengajian di KUIS dan ini termasuk yuran pengajian dan duit poket yang diberikan LZS (MAIS) setiap bulan.



KUIS PILIHAN ANAK ASNAF

Perkembangan KUIS yang menghampiri 12 tahun kewujudannya menjadikan ia semakin matang dan mantap dalam mengharungi era pendidikan yang semakin mencabar. KUIS yang dahulunya pernah menumpang di Sekolah Agama Menengah Tengku Ampuan Jamaah (SAMTAJ), Seksyen 11, Shah Alam memulakan operasi pada tahun 1995. Pada awal penubuhannya, ia dikenali sebagai Kolej Islam Darul Ehsan dan kemudiannya bertukar kepada Kolej Islam Selangor Darul Ehsan (KISDAR). KUIS juga merupakan anak syarikat milik kerajaan negeri Selangor yang bernaung di bawah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan berdaftar sebagai sebuah syarikat. Ia juga merupakan sebuah Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) yang mendapat pengiktirafan Kementerian Pelajaran Tinggi (KPM) dan Lembaga Akreditasi Negara (LAN).

Sehingga kini berdasarkan maklumat yang diperolehi daripada Jabatan Pembangunan Mahasiswa (JPM) KUIS, sehingga kini 140 orang pelajar yang menerima Dana Dermasiswa dan lebih 70 orang pelajar yang mendapat Dana Pendidikan Asnaf Fakir/ Miskin. Jumlah pelajar yang agak tinggi terutama anak-anak asnaf yang mendapat Dana Pendidikan Asnaf Fakir/Miskin membuktikan KUIS turut menjadi pilihan kepada mereka bagi melanjutkan pendidikan mereka ke peringkat yang tinggi.

Daripada hasil temu-bual bersama beberapa orang anak asnaf yang belajar di KUIS, didapati terdapat 5 sebab utama mereka memilih KUIS untuk melanjutkan pelajaran mereka. Antaranya :

1. KUIS bukan sahaja diktiraf oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Lembaga Akreditasi Negara (LAN) dan kini dikenali sebagai Malaysia Qualification Agency (MQA) malah turut diiktiraf oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) bagi mendapat pembiayaan sepenuhnya terutama daripada LZS (MAIS).

2. KUIS menawarkan pelbagai bidang pengajian bertaraf diploma dan ijazah bukan hanya dalam bidang pengajian Islam malah ilmu-ilmu moden seperti Pengurusan Perniagaan, Perakaunan, Perbankan Islam, Keusahawanan, Pengurusan Sumber Manusia, Ekonomi, IT & Multimedia, Komunikasi dan Kejururawatan.

3. KUIS menjaga kualiti pendidikan dan perkhidmatan yang ditawarkan terutama dari segi Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) sehingga menjadi IPTS Islam pertama di Malaysia yang mendapat anugerah Persijilan ISO 9001:2000 pada 31 Oktober 2006.

4. KUIS menekankan prinsip dan falsafah kesepaduan ilmu (integrated knowledge) yang membawa impak kepada pembangunan modal insan yang seimbang di dunia dan akhirat.

5. KUIS juga menawarkan nilai tambah (value added) kepada pelanggannya terutama dari sudut infrastruktur dan suasana pembelajaran yang tenang serta kondusif.

KESIMPULAN

Oleh itu, jelaslah kepada kita bahawa pendidikan memainkan peranan yang penting dalam menjana dan membangunkan ekonomi asnaf khususnya kepada anak-anak asnaf yang diharapkan tidak menjadi penerus kepada generasi yang digelar sebagai penerima zakat. Semua pihak perlu memainkan peranan yang proaktif dalam memastikan pembangunan ekonomi asnaf dan negara dapat dicapai. Tradisi kecemerlangan institusi pengurusan zakat seperti LZS (MAIS) perlu diteruskan agar matlamat dan hasrat Perdana Menteri dapat direalisasikan. Manakala KUIS kini dilihat aktif merangka dan bertindak ke arah pembangunan modal insan agar graduan yang dilahirkan mampu bersaing di pasaran tempatan dan juga luar negara. Jika kesemua jentera yang bertanggungjawab sama ada kerajaan mahupun swasta memainkan peranan, diyakini visi Islam Hadhari untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah Negara Islam Contoh menjadi kenyataan.

Saturday, April 26, 2008

Nasyid - Keluarga Bahagia..


Happy Family...

Keluarga Bahagia..

Nasyid: KELUARGA BAHAGIA

Sedamai Taman Firdausi
Limpahan Kasih Sayang Sejati
Seharum Semerbak Kasturi
Mengharumi Hidup Insani

Indahnya Damainya
Keluarga Yang Bahagia
Itulah Idaman, Impian Setiap Insan
Yang Dahagakan Belaian
Serta Kasih dan Sayang

Ketika Insan Lain Berbahagia
Bersama Keluarga
Namun Kita Masih Meniti
Titian Rapuh Perhubungan

Mengapa Kita Terpisah Daripada Rahmatnya
Mungkinkah Kita Seringkali Melupakan-Nya

Ayuhlah Bina Semula
Keluarga Diredhai Allah

Oh Ayah Oh Ibu Dengarlah Rintihan
Dan Luahan Hatiku Yang Dahaga Kasih
Jiwaku Merasa Terseksa Ketandusan Kasihmu
Marilah Kita Bina Bersama-Sama
Keluarga Bahagia

Ayah, Ibu
Luangkanlah Sedikit Masa Bersamaku
Kurindukan Kemesraan
Dan Belaianmu


SAUJANA

Thursday, April 24, 2008

Usahawan Asnaf Basmi Miskin Tegar



Source: Utusan Malaysia On-Line
Tuesday, May 22, 2007 Oleh MOHD. SAIFUL MOHD. SAHAK

Zakat atau al-zakah dalam bahasa Arab mengandungi pelbagai maksud. Dari segi bahasa ia bermaksud suci, rahmat, berkembang, subur, pintar, bertambah baik, damai, sedekah dan terpuji. Malah, ia juga boleh diertikan sebagai membersihkan atau menyucikan seperti termaktub di dalam al-Quran, Kutiplah zakat daripada sebahagian kekayaan mereka, di mana dengan zakat itu kamu membersihkan dan menyucikan mereka. (at-Taubah: 103)

Menurut istilah syarak pula, zakat ialah sejumlah harta tertentu yang diwajibkan oleh Allah untuk diserahkan kepada orang yang berhak. Selain itu, ia bererti mengeluarkan jumlah tertentu oleh diri sendiri kerana yang dikeluarkan itu akan menjadi bertambah banyak dan lebih bererti.

Ini bersamaan dengan pandangan Ibnu Taimiyyah yang menyatakan zakat dapat mengembangkan harta yang telah dikeluarkan oleh pemberi zakat dan menjauhkan mereka daripada segala kerosakan sebagaimana katanya: “Diri dan harta orang yang mengeluarkan zakat menjadi suci dan bersih serta hartanya berkembang secara maknawi.”

Zakat adalah rukun Islam ketiga yang memberi kesan secara langsung, bukan sahaja kepada hubungan antara manusia dengan Allah sebagai pencipta, malah hubungan manusia dengan sesama manusia. Malah, zakat sering dikaitkan dengan sembahyang seperti firman Allah: Dan dirikanlah oleh kamu akan solat dan tunaikanlah zakat ; dan apa jua yang kamu dahulukan daripada kebaikan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasan pahala di sisi Allah. (al-Baqarah: 110)

Menurut Ketua Jabatan Pengurusan Perniagaan, Fakulti Pengurusan dan Muamalah, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Isma Addi Jumbri, pengagihan zakat pada masa kini telah berkembang. Ia kini menggunakan pendekatan kontemporari dan bukan pengagihan bersifat material semata-mata.

Kini zakat dilihat mampu membangunkan golongan asnaf yang produktif dan berpotensi untuk dijana sebagai peniaga yang dikenali sebagai usahawan asnaf.

“Pendekatan ini diyakini dan bertepatan dengan konsep zakat yang sebenarnya iaitu membantu dan mengeluarkan golongan asnaf terutamanya golongan fakir dan miskin untuk keluar dari kepompong kemiskinan.
“Ini kerana keusahawanan dilihat satu bidang yang terbuka luas khususnya dalam Malaysia menuju ke arah Hab Halal Dunia menjelang 2010 nanti,” jelasnya kepada MEGA baru-baru ini.

Merealisasikan
Menurut Isma Addi, kehadiran usahawan asnaf ini bukan sahaja mengubah kehidupan mereka daripada penerima kepada pembayar zakat, malah turut berupaya merealisasikan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi agar tidak ada golongan miskin tegar ketika Malaysia berusaha mencapai matlamat negara maju.

Kejayaan Malaysia mengurangkan jumlah kemiskinan rakyat daripada 60 peratus kepada lima peratus dalam tempoh kurang 50 tahun mencapai kemerdekaan menjadikan Malaysia sebagai negara nombor satu dunia dalam usaha membasmi kemiskinan.

Sejarah Islam juga membuktikan pelaksanaan institusi dan sistem pengagihan zakat yang sistematik dan efektif mampu membasmi masalah kemiskinan.

Contohnya, Khalifah Umar Abdul Aziz pernah mengarahkan pengawai untuk memungut zakat sehingga ke Afrika. Namun, apabila mencari orang fakir untuk dihulurkan bantuan zakat, mereka tidak menemuinya.

Ini secara tidak langsung memperlihatkan kepada kita bahawa zakat berupaya memainkan peranan dalam menyelesaikan dan membasmi kemiskinan yang melanda.

Menurut Isma Addi lagi, usahawan asnaf boleh didefinisikan sebagai individu yang melalui satu proses penciptaan usaha niaga, mampu memikul tugas, tanggungjawab dan mencuba sebagai peniaga yang dirangsang dengan dorongan dan bantuan daripada institusi zakat di Malaysia.

“Definisi ini merujuk individu kepada golongan asnaf zakat terutama mereka dalam kategori fakir, miskin dan mualaf yang miskin.

“Proses penciptaan usaha niaga merujuk kepada fasa atau peringkat tertentu yang perlu dilalui sebelum golongan ini menjadi usahawan dengan bantuan, dorongan dan bimbingan daripada institusi zakat negeri masing-masing,” katanya.

Beliau menambah, kajian dan pemerhatian mendapati terdapat lima fasa yang perlu dilalui oleh seseorang asnaf sebelum mereka layak bergelar usahawan.

Pendekatan ini bagi memastikan golongan yang benar-benar layak, mampu dan berpotensi serta bersedia dipilih dan dijanakan untuk menjadi usahawan.

Katanya, Lima Fasa atau dikenali sebagai Model Pembangunan Usahawan Asnaf (MPUA) ini merangkumi fasa pendedahan, pendidikan, pelaksanaan, pemasaran dan pemantauan.

Tambah Isma Addi, Model MPUA-5P merupakan satu kaedah yang dilihat boleh menjadi panduan kepada institusi zakat dalam atau luar negara bagi melahirkan lebih ramai usahawan asnaf.

“Menyedari bahawa tugas membangunkan usahawan di kalangan asnaf bukanlah satu tugas yang mudah, ia memerlukan komitmen dan penglibatan semua pihak,” katanya.

PERTAMA: FASA PENDEDAHAN

Fasa ini memberi pendedahan kepada golongan asnaf mengenai aktiviti, peluang keusahawanan yang terbuka luas dan juga motivasi keusahawanan yang berupaya menjana pendapatan golongan ini.

Malah terdapat di antara golongan ini yang telah keluar daripada kumpulan penerima zakat dan kini mampu hidup senang serta berupaya mengeluarkan zakat sama ada zakat pendapatan atau perniagaan.

Golongan asnaf ini perlu diberikan pendedahan bahawa keusahawanan bukan sahaja penyumbang kepada peningkatan per kapita, tetapi bertindak sebagai pemangkin perubahan struktur sosial dan sosio-ekonomi.

KEDUA: FASA PENDIDIKAN

Fasa ini menjurus kepada pendidikan keusahawanan. Pendekatan keilmuan dan pendidikan merupakan mekanisme yang paling berkesan bagi menerapkan budaya keusahawanan.

Pendidikan keusahawanan bukan sahaja sekadar proses penciptaan atau melahirkan usahawan, tetapi meliputi pendidikan berhubung dengan kemahiran, pengetahuan dan sikap untuk membolehkan seseorang individu merancang masa depan serta melengkapkan diri dalam kemahiran penyelesaian masalah.

KETIGA: FASA PELAKSANAAN

Fasa ini paling mencabar bagi golongan asnaf. Semasa mengikuti dan berada di fasa kedua, asnaf yang berpotensi dan produktif akan dikenal pasti untuk dipilih menjadi usahawan ataupun sebaliknya.

Golongan yang mampu menjadi usahawan asnaf, akan diberikan bantuan modal. Bantuan modal atau lebih dikenali sebagai pemberian modal merupakan mekanisme penting dalam merangsang dan menjana ekonomi asnaf ke arah menjadi usahawan dan seterusnya keluar daripada kepompong kemiskinan.

Bantuan kewangan berupa modal atau peralatan diberikan kepada golongan yang layak.

KEEMPAT: FASA PEMASARAN
Fasa yang dianggap penting bagi memastikan usaha membangunkan usahawan tidak terhenti di pertengahan.

Kebanyakan golongan asnaf yang telah dibangunkan berupaya dan mampu menghasilkan produk mahupun perkhidmatan yang berkualiti tinggi dan setanding dengan yang lain.

KELIMA: FASA PEMANTAUAN
Fasa yang terakhir ini dikenali sebagai Pemantauan. Ia sangat ditekankan bagi memastikan usaha melahirkan lebih ramai usahawan serta mengeluarkan golongan asnaf daripada kepompong kemiskinan menjadi kenyataan.

Pendekatan dan perlaksanaan dalam melahirkan usahawan yang dikenali sebagai usahawan asnaf boleh diibaratkan seperti untuk membantu seseorang, jangan berikan ikan kepadanya, sebaliknya berilah pancing kerana ia lebih bermanfaat untuk jangka masa panjang.

Hub Halal Dunia Buka Peluang Usahawan Muslim


MALAYSIA yang merupakan pengerusi kepada Persidangan Negara-negara Islam (OIC) berhasrat untuk menjadi Hab Halal Dunia pada 2010. Dengan kata lain, Malaysia berazam mencapai status negara pengeluar utama produk makanan dan perkhidmatan halal bagi keperluan dunia menjelang tahun tersebut.

Ketua Jabatan Pengurusan Perniagaan, Fakulti Pengurusan dan Muamalah, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Isma Addi Jumbri berkata, hasrat kerajaan itu perlu dipandang serius dan disahut sebagai satu peluang serta cabaran khususnya kepada usahawan Muslim di Malaysia yang majoritinya merupakan bumiputera dan berbangsa Melayu.

Katanya lagi, penduduk Islam di dunia yang mencapai 1.6 billion orang dan 60 peratus penduduk di Asia menjadikan hasrat Malaysia ini begitu realistik. Ia juga merupakan peluang yang terbuka luas terutama buat usahawan Muslim sebagai pengeluar makanan halal.

Menurutnya, kesedaran masyarakat bukan Islam yang turut memahami kepentingan produk makanan halal dalam kehidupan seharian mereka merancakkan lagi perkembangannya. Ini kerana, takrifan sebenar produk makanan halal bukan hanya terbatas kepada bahan asas yang digunakan dalam menghasilkan produk akhir semata-mata.

Kebersihan

“Ia mencakupi konsep yang lebih luas iaitu bermula dari peringkat awal hinggalah ke peringkat akhir dan sehinggalah produk itu sedia untuk dimakan. Ia juga memberikan penekanan kepada aspek kebersihan dalam pemprosesan keseluruhan penghasilan makanan tersebut,” jelasnya.
Tambah Isma Addi, ini bertepatan dengan definisi makanan halal yang diwartakan oleh Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) iaitu makanan yang dibenarkan oleh hukum syarak dan menepati beberapa syarat tertentu. Antaranya, makanan itu tidak mengandungi mana-mana bahagian produk haiwan yang tidak halal dimakan.

Selain itu, ia juga tidak mengandungi ramuan daripada bahan najis dan selamat serta tidak memudaratkan dan ia mesti disediakan, diproses atau dikilang dengan menggunakan peralatan-peralatan yang tidak dicemari bahan najis.

“Produk akhir pula tidak boleh mengandungi bahagian anggota manusia atau hasil daripadanya. Terakhir sekali, semasa penyediaan, pemprosesan, pembungkusan, penyimpanan dan pengangkutan, makanan tersebut mestilah diasingkan daripada makanan lain yang tidak halal, tidak bersih serta tidak menepati syarat,” jelasnya kepada Mega, baru-baru ini.

Ujar Isma Addi, jika melihat kepada perkembangan semasa potensi dan permintaan produk makanan halal di dunia, ia dijangkakan terus meningkat. Kesannya banyak negara berlumba-lumba menawarkan diri menjadi pengeluar produk makanan halal dunia termasuklah negara jiran, Singapura.

Nilai pasaran global bagi produk halal yang dianggarkan sebanyak RM8 trilion setahun menjadikan hasrat Malaysia sebagai Hab Halal Dunia pada 2010 tepat pada masanya.
Berdasarkan maklumat Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), pasaran beku halal dijangka akan berupaya mencapai RM193 billion menjelang 2010. Sebagai maklumat, semasa berlangsungnya Pameran Halal Antarabangsa Malaysia Keempat (Mihas 2007) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Mei lalu, sebanyak RM213.9 juta jualan serta-merta diterima sepanjang pameran berlangsung.

Pameran itu melibatkan penyertaan sebanyak 426 syarikat berbanding 392 buah pada tahun lalu. Jelaslah, memperlihatkan kepada kita bahawa produk halal ini begitu diyakini dan mempunyai prospek yang begitu luas.

Namun, adalah agak mengejutkan berdasarkan statistik permohonan sijil halal yang dipaparkan oleh salah sebuah akhbar tanah air bertarikh 15 April 2005, didapati 80 peratus permohonan sijil halal terdiri daripada syarikat bukan Islam.

Laporan dan statistik tersebut turut memaparkan majoriti permohonan sijil pengesahan halal dan logo halal yang diterima oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kebanyakan melibatkan usahawan berbangsa lain.

Kata Isma Addi, mereka ini bukan sahaja mendominasi dan memonopoli pengeluaran makanan dan minuman halal malah turut memonopoli rumah penyembelihan di Selangor.
Persoalannya, adakah umat Islam menyedari dan memandang serius akan isu ini atau hanya berpeluk tubuh dan diam seribu bahasa? Apa pula peranan sebagai individu yang jelas beragama Islam dan mengamalkan Islam dalam kehidupan?

Sasaran

“Saya melihat hasrat Malaysia ke arah Hab Halal Dunia pada 2010 bukan hanya peluang yang terbuka luas buat usahawan dan bakal usahawan Muslim. “Ia juga merupakan cabaran yang harus disahut dan sudah tiba masa untuk mengatur langkah agar turut menjadi penyumbang dalam penghasilan produk makanan halal ini,” katanya.

Lebih-lebih lagi, tahun 2010 juga merupakan sasaran kerajaan yang diumumkan oleh Perdana Menteri dalam mencapai matlamat dasar pemilikan 30 peratus ekuiti korporat di kalangan bumiputera. Jangan nanti sekadar menjadi pengguna akhir terhadap kewujudan dan kerancakan industri halal di Malaysia dan di dunia.

Menurut Isma Addi, walaupun majoriti rakyat Malaysia beragama Islam tetapi pengeluar-pengeluar produk makanan halal dikuasai dan dimonopoli oleh bukan Islam.“Tidak terdetik di hati dan tidak sensitif sekiranya situasi ini benar-benar berlaku pada 2010 nanti. Pada masa itu,ia hanya ibarat kerbau punya susu, sapi dapat namanya,” jelas beliau.

Terang Isma Addi lagi, pasaran makanan halal yang terbuka luas ini memberikan peluang bukan sahaja sebagai pengeluar malah usahawan Muslim boleh turut menceburkan diri sebagai pemasar, pemborong, pengedar, peruncit, pembekal dan juga sebagai penyedia makanan halal, biarpun bersaiz kecil.

“Saiz perniagaan tidak menjadi kayu pengukur utama dan paling penting setiap Muslim mempunyai kesedaran tinggi untuk menjadi penyumbang ke arah Malaysia Hab Halal Dunia pada 2010 dan termasuklah sebagai pengguna mereka perlu lebih peka dan mengutamakan produk halal,” tambahnya.

Barangkali ada yang berpendapat tidak perlu khuatir atau ragu terhadap makanan yang telah mendapat pengiktirafan halal misalnya daripada Jakim walaupun pengusahanya bukan Islam.
Mungkin ada berpendapat, apa salahnya kalau orang bukan Islam yang menghasilkan produk makanan halal di Malaysia mahupun di luar negara kerana mereka ini turut dipantau oleh badan-badan yang dipertanggungjawabkan oleh kerajaan bagi memastikan produk makanan yang dihasilkan halal.

“Ada juga yang beralasan bukan senang nak jadi usahawan kerana modal yang diperlukan adalah tinggi dan sukar diperoleh. Pelbagai alasan yang boleh dikemukakan oleh masyarakat Islam di Malaysia yang majoritinya bumiputera dan berbangsa Melayu.

“Tanpa kita sedari, kesemua alasan ini bagi saya hanya sekadar memaparkan sikap, pemikiran dan tindakan umat Islam di Malaysia yang semakin kurang sensitif terhadap agama dan tidak mahu menjadi penyumbang bersama terhadap hasrat kerajaan ini,” tambahnya.

Masyarakat pernah terbaca pembongkaran kisah benar yang mendedahkan pusat penyimpanan beku di pasar terkenal menyimpan produk halal bercampur dengan produk yang tidak halal. Begitu juga dengan pembongkaran pemprosesan sosej yang bersalut usus khinzir dan kilang pembuatan roti yang kotor dan menjijikkan.

“Bagaimana pula dengan pendedahan Jakim mengenai sebuah syarikat pemprosesan ayam terkenal terpaksa ditarik balik sijil pengesahan halalnya kerana kebanyakan ayam tidak disembelih mengikut syariat Islam?

“Ini menunjukkan sikap pengusaha bukan Islam yang seakan-akan memperlekehkan umat Islam negara ini sehingga sanggup menggantung ayat al-Quran semata-mata untuk menggaburi pengguna Islam walaupun pemiliknya bukan beragama Islam,” jelasnya.

Kata Isma Addi, apa pula perasaan umat Islam sekiranya terdapat pengusaha yang melampau dan mencabar agama Islam? Mereka sanggup meletakkan label sijil halal pada botol arak serta pelbagai isu yang menyentuh sensitiviti umat Islam di Malaysia.

Meskipun mungkin ada yang menyatakan bahawa kes-kes tersebut hanya merupakan isu yang terpencil namun sebagai umat Islam kita perlu melihat perkara ini sebagai satu cabaran agar tidak dipermainkan atau diperlekehkan. Umat Islam perlu bergerak dan melangkah bersama dengan pengusaha bukan Islam dalam merebut peluang yang terbuka luas ini.

“Dengan iltizam dan usaha yang gigih sebagai usahawan Muslim khususnya dalam industri produk makanan halal ini membawa keuntungan bukan sahaja di dunia malah di akhirat. Sebabnya, ia turut memartabatkan bersama maruah agama Islam, bangsa dan Malaysia tercinta,” katanya.

Dipetik dari Utusan Malaysia: Hab Halal Dunia Buka Peluang Usahawan Muslim

Oleh: MOHD. SAIFUL MOHD. SAHAK

Islam Iktiraf Kerjaya Usahawan




USAHAWAN DAN ISLAM

Islam memandang mulia kepada golongan usahawan malah dijanjikan dengan balasan yang baik di akhirat dengan syarat golongan usahawan ini benar-benar jujur dan ikhlas serta memahami serta melaksanakan konsep perniagaan yang ditetapkan dalam Islam.

Ini dijelaskan dalam hadis yang bermaksud: Abi Sa’id menceritakan bahawa Rasulullah bersabda: “Seseorang peniaga yang jujur dan amanah akan bersama nabi-nabi, para siddiqin dan para syuhada.”

SIRAH NABAWIAH

Sebelum Nabi Muhammad s.a.w diutuskan, masyarakat Arab telah pun menjalankan aktiviti perniagaan dan keusahawanan dengan berdagang dari Timur dan Barat dunia. Begitu juga dengan masyarakat bukan Islam dan ini termasuklah sejarah Marco Polo yang dianggap terkenal sebagai pelayar dan pedagang.

Namun, kedatangan Islam dan ajaran Rasulullah membawa sinar baru dalam budaya keusahawanan yang selama ini dicemari dengan masalah penipuan, penindasan, monopoli, kapitalis dan riba. Kegemilangan Islam terus berkembang dan disegani ke seluruh alam dengan pendekatan budaya keusahawanan yang lebih beretika telah dibawa oleh Nabi Muhammad, para sahabat dan tabi’en.

Perkembangan keusahawanan ini turut merancakkan lagi penyebaran dakwah Islamiah, menggerakkan lagi ekonomi umat Islam dan seterusnya menjadikan usahawan Muslim disegani serta berkaliber berbanding bangsa lain termasuklah golongan Yahudi.

Keunikan perniagaan oleh usahawan Muslim adalah kerana mereka lebih telus dan jauh daripada masalah-masalah penipuan dan penindasan. Walaupun Islam sangat menyokong dan memberikan ruang yang luas dalam urusan perniagaan dan jual beli namun, masih terdapat peraturan yang perlu dipatuhi seperti firman Allah yang bermaksud, Dan Allah menghalalkan berjual beli dan mengharamkan riba. (al-Baqarah: 275)

Benarlah ajaran Nabi Muhammad ini menjadikan bukan hanya usahawan Muslim dipandang mulia bahkan seluruh kehidupan manusia lebih bertamadun dan berakhlak. Ia bersesuaian dengan sabda Nabi yang bermaksud: “Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak manusia.”

Nabi juga adalah seorang usahawan yang pernah menjalankan perniagaan dengan membawa barang dagangan dari Tanah Hijaz ke Sham dan banyak lagi transaksi perniagaan yang tercatat dalam sirah baginda. Pendekatan dan pelaksanaan Rasulullah sebagai usahawan membawa kepada kaedah-kaedah dan akad dalam bermuamalat yang mudah, teratur dan sistematik.

KEUSAHAWANAN MEMBENTUK PERIBADI MULIA

Aktiviti keusahawanan yang disulami dengan akhlak mulia melalui pendekatan dan penerapan Rasulullah s.a.w merapatkan lagi hubungan persaudaraan dan silaturahim antara umat Islam. Hubungan yang murni ini terjalin kerana pembeli dan penjual bersama mengamalkan nilai akhlak yang terpuji semasa urusan berjual beli.

Ini ditegaskan dalam sabda nabi yang bermaksud: “Semoga Allah merahmati seseorang yang sentiasa bertoleransi ketika menjual, membeli dan menuntut haknya.”

Islam juga mengajar umatnya dan juga kepada usahawan Muslim agar melaksanakan pengurusan perniagaan yang lebih sistematik dan teratur. Tidak kira dari aspek membuat keputusan, sistem perakaunan, beramanah, menyedari tanggungjawab sosial dan banyak lagi nilai-nilai murni telah diajar kepada usahawan dan umatnya.

Misalnya, dalam aspek membuat keputusan Islam mengajar kita agar tidak terburu-buru tanpa berfikir panjang dan meneliti dahulu kesan positif mahupun negatif yang bakal melanda mereka. Ini diperjelaskan dalam firman Allah yang bermaksud, Dan segala urusan mereka hendaklah dimesyuaratkan di kalangan kamu. (Asy-Syura: 38)

Begitu juga dalam aspek sistem perakaunan, Islam telah mengajar agar kita mengamalkan sistem yang baik dan beretika. Misalnya, dalam menjalankan perniagaan dan apabila melibatkan transaksi berhutang kita digalakkan mencatat atau menulis segala transaksinya. Ini ditegaskan dalam firman Allah yang bermaksud, Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan (bermuamalah) dengan hutang piutang yang diberi tempoh sehingga masa tertentu, maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya itu). Dan hendaklah seseorang di antara kamu menulisnya dengan adil (benar). (al-Baqarah: 282)

Begitu juga dengan konsep menyedari tanggungjawab sosial yang sangat ditekankan dalam Islam terutama melalui konsep zakat dan bersedekah. Dengan wujudnya amalan ini, ia bukan hanya memberikan kestabilan ekonomi umat Islam malah berupaya membendung masalah sosial yang melanda.

Firman Allah yang bermaksud, Dan pada harta-harta mereka, ada pula bahagian yang mereka tentukan menjadi hak orang miskin yang meminta dan orang miskin yang tidak mendapat bahagian mereka. (Adz-Zariyat: 19)

Atas konsep inilah sahabat Baginda iaitu Abdul Rahman Auf yang juga seorang usahawan masyhur sanggup menyumbangkan sebahagian keuntungan hasil perniagaan ke jalan Allah.

Menurut sejarah, beliau menginfaqkan barang dagangannya yang baru pulang dari Syam sebanyak 700 tunggangan yang penuh dengan barang dagangan. Tidak terhenti di situ sahaja, beliau juga pernah menyumbang sebanyak seratus tunggangan penuh dengan muatan kepada pejuang Islam yang berada di Madinah ketika itu.

Begitu juga Saidina Uthman yang pernah menyumbang barang dagangan seperti gandum, minyak dan kismis yang dianggarkan sejumlah muatan 1,000 ekor unta kepada umat Islam semasa pemerintahan Saidina Abu Bakar diselubungi kemelesetan ekonomi.

Bayangkanlah ketika itu terdapat pedagang-pedagang Madinah yang menawarkan harga yang tinggi sehingga lima kali ganda dari harga semasa. Namun, atas keimanan yang teguh dan ketakwaan yang hanya berpaksikan Allah menjadikan usahawan Muslim sejati ini tidak sesekali hanya mementingkan keuntungan duniawi semata-mata.

DASAR KERAJAAN

Seiring 50 tahun kemerdekaan Malaysia, kerajaan menggubal pelbagai dasar dalam menggalakkan pembangunan keusahawanan terutamanya di kalangan masyarakat bumiputera yang majoritinya beragama Islam.

Antaranya, Dasar Ekonomi Baru (DEB), Dasar Pembangunan Negara (DPN), Wawasan 2020 dan juga matlamat Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) yang mensasarkan 150,000 usahawan baru bumiputera.

Ini ditegaskan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ketika berucap pada program Gerak Usahawan Nasional 2007 yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 25 Ogos lalu.

Masyarakat Islam di Malaysia dan majoritinya bumiputera perlu menyedari bahawa kita masih golongan minoriti dalam bidang perniagaan dan keusahawanan walaupun kita merupakan majoriti daripada populasi negara. Pelbagai sektor perniagaan kini, sedang dan dimonopoli oleh bukan Islam.

Adakah kita menyedari di sebalik kepesatan ekonomi yang kian rancak dan dalam Malaysia menuju ke arah Hub Halal Dunia 2010, peluang menjadi usahawan begitu luas terutama sebagai pengeluar makanan halal. Dengan populasi penduduk Islam dunia yang mencapai 1.6 bilion dan kesedaran masyarakat bukan Islam yang turut memahami kepentingan produk makanan halal dalam kehidupan seharian mereka telah merancakkan lagi perkembangan bidang ini.

Jika kita terus leka dek hanya mencari bintang, idola dan pelbagai rancangan hiburan realiti TV lagi pastinya kita akan terus tertinggal dalam lautan keusahawanan ini. Jangan nanti, kita boleh diibaratkan seperti “sepuluh jung masuk pelabuhan, anjing bercawat ekor juga” dan lebih dahsyat lagi situasi umat Islam pada masa itu umpama “yang dikejar tidak dapat, yang dikendong berciciran”.

Perlu disedari penglibatan sebagai usahawan tidak hanya terhad sebagai pengeluar semata-mata. Usahawan Muslim boleh turut melibatkan diri sebagai pemasar, pemborong, pengedar, peruncit, penyedia dan juga pembekal. Lebih-lebih lagi sebagai pembekal kepada sumber dalam menjana produk makanan halal seperti bidang pertanian, bioteknologi, penternakan dan perladangan.

Kerajaan kini amat memandang serius bidang pertanian sebagai industri yang penting dan mempunyai impak serta potensi yang besar kepada pembangunan ekonomi negara. Ini sinonim dan bertepatan dengan slogan yang sering diuar-uarkan kerajaan melalui media massa sama ada media cetak mahupun elektronik iaitu ‘Pertanian adalah Perniagaan’.

Yakinilah, dengan usaha dan iltizam yang tinggi sebagai usahawan Muslim yang diredai Allah akan memberikan keuntungan bukan hanya di dunia malah di akhirat. Ini kerana ia turut memartabatkan bersama maruah agama Islam, bangsa dan Malaysia tercinta.

* ISMA ADDI JUMBRI ialah Ketua Jabatan Pengurusan Perniagaan Fakulti Pengurusan dan Muamalah Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Bangi, Selangor.

(Artikel ini dipetik/ pernah diterbitkan di Utusan Malaysia dalam sisipan Mega pada 3 September 2007)
Tudung kanak-kanak