USAHAWAN DAN ISLAM
Islam memandang mulia kepada golongan usahawan malah dijanjikan dengan balasan yang baik di akhirat dengan syarat golongan usahawan ini benar-benar jujur dan ikhlas serta memahami serta melaksanakan konsep perniagaan yang ditetapkan dalam Islam.Ini dijelaskan dalam hadis yang bermaksud: Abi Sa’id menceritakan bahawa Rasulullah bersabda: “Seseorang peniaga yang jujur dan amanah akan bersama nabi-nabi, para siddiqin dan para syuhada.”
SIRAH NABAWIAH
Sebelum Nabi Muhammad s.a.w diutuskan, masyarakat Arab telah pun menjalankan aktiviti perniagaan dan keusahawanan dengan berdagang dari Timur dan Barat dunia. Begitu juga dengan masyarakat bukan Islam dan ini termasuklah sejarah Marco Polo yang dianggap terkenal sebagai pelayar dan pedagang.Namun, kedatangan Islam dan ajaran Rasulullah membawa sinar baru dalam budaya keusahawanan yang selama ini dicemari dengan masalah penipuan, penindasan, monopoli, kapitalis dan riba. Kegemilangan Islam terus berkembang dan disegani ke seluruh alam dengan pendekatan budaya keusahawanan yang lebih beretika telah dibawa oleh Nabi Muhammad, para sahabat dan tabi’en.
Perkembangan keusahawanan ini turut merancakkan lagi penyebaran dakwah Islamiah, menggerakkan lagi ekonomi umat Islam dan seterusnya menjadikan usahawan Muslim disegani serta berkaliber berbanding bangsa lain termasuklah golongan Yahudi.
Keunikan perniagaan oleh usahawan Muslim adalah kerana mereka lebih telus dan jauh daripada masalah-masalah penipuan dan penindasan. Walaupun Islam sangat menyokong dan memberikan ruang yang luas dalam urusan perniagaan dan jual beli namun, masih terdapat peraturan yang perlu dipatuhi seperti firman Allah yang bermaksud, Dan Allah menghalalkan berjual beli dan mengharamkan riba. (al-Baqarah: 275)
Benarlah ajaran Nabi Muhammad ini menjadikan bukan hanya usahawan Muslim dipandang mulia bahkan seluruh kehidupan manusia lebih bertamadun dan berakhlak. Ia bersesuaian dengan sabda Nabi yang bermaksud: “Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak manusia.”
Nabi juga adalah seorang usahawan yang pernah menjalankan perniagaan dengan membawa barang dagangan dari Tanah Hijaz ke Sham dan banyak lagi transaksi perniagaan yang tercatat dalam sirah baginda. Pendekatan dan pelaksanaan Rasulullah sebagai usahawan membawa kepada kaedah-kaedah dan akad dalam bermuamalat yang mudah, teratur dan sistematik.
KEUSAHAWANAN MEMBENTUK PERIBADI MULIA
Aktiviti keusahawanan yang disulami dengan akhlak mulia melalui pendekatan dan penerapan Rasulullah s.a.w merapatkan lagi hubungan persaudaraan dan silaturahim antara umat Islam. Hubungan yang murni ini terjalin kerana pembeli dan penjual bersama mengamalkan nilai akhlak yang terpuji semasa urusan berjual beli.Ini ditegaskan dalam sabda nabi yang bermaksud: “Semoga Allah merahmati seseorang yang sentiasa bertoleransi ketika menjual, membeli dan menuntut haknya.”
Islam juga mengajar umatnya dan juga kepada usahawan Muslim agar melaksanakan pengurusan perniagaan yang lebih sistematik dan teratur. Tidak kira dari aspek membuat keputusan, sistem perakaunan, beramanah, menyedari tanggungjawab sosial dan banyak lagi nilai-nilai murni telah diajar kepada usahawan dan umatnya.
Misalnya, dalam aspek membuat keputusan Islam mengajar kita agar tidak terburu-buru tanpa berfikir panjang dan meneliti dahulu kesan positif mahupun negatif yang bakal melanda mereka. Ini diperjelaskan dalam firman Allah yang bermaksud, Dan segala urusan mereka hendaklah dimesyuaratkan di kalangan kamu. (Asy-Syura: 38)
Begitu juga dalam aspek sistem perakaunan, Islam telah mengajar agar kita mengamalkan sistem yang baik dan beretika. Misalnya, dalam menjalankan perniagaan dan apabila melibatkan transaksi berhutang kita digalakkan mencatat atau menulis segala transaksinya. Ini ditegaskan dalam firman Allah yang bermaksud, Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan (bermuamalah) dengan hutang piutang yang diberi tempoh sehingga masa tertentu, maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya itu). Dan hendaklah seseorang di antara kamu menulisnya dengan adil (benar). (al-Baqarah: 282)
Begitu juga dengan konsep menyedari tanggungjawab sosial yang sangat ditekankan dalam Islam terutama melalui konsep zakat dan bersedekah. Dengan wujudnya amalan ini, ia bukan hanya memberikan kestabilan ekonomi umat Islam malah berupaya membendung masalah sosial yang melanda.
Firman Allah yang bermaksud, Dan pada harta-harta mereka, ada pula bahagian yang mereka tentukan menjadi hak orang miskin yang meminta dan orang miskin yang tidak mendapat bahagian mereka. (Adz-Zariyat: 19)
Atas konsep inilah sahabat Baginda iaitu Abdul Rahman Auf yang juga seorang usahawan masyhur sanggup menyumbangkan sebahagian keuntungan hasil perniagaan ke jalan Allah.
Menurut sejarah, beliau menginfaqkan barang dagangannya yang baru pulang dari Syam sebanyak 700 tunggangan yang penuh dengan barang dagangan. Tidak terhenti di situ sahaja, beliau juga pernah menyumbang sebanyak seratus tunggangan penuh dengan muatan kepada pejuang Islam yang berada di Madinah ketika itu.
Begitu juga Saidina Uthman yang pernah menyumbang barang dagangan seperti gandum, minyak dan kismis yang dianggarkan sejumlah muatan 1,000 ekor unta kepada umat Islam semasa pemerintahan Saidina Abu Bakar diselubungi kemelesetan ekonomi.
Bayangkanlah ketika itu terdapat pedagang-pedagang Madinah yang menawarkan harga yang tinggi sehingga lima kali ganda dari harga semasa. Namun, atas keimanan yang teguh dan ketakwaan yang hanya berpaksikan Allah menjadikan usahawan Muslim sejati ini tidak sesekali hanya mementingkan keuntungan duniawi semata-mata.
DASAR KERAJAAN
Seiring 50 tahun kemerdekaan Malaysia, kerajaan menggubal pelbagai dasar dalam menggalakkan pembangunan keusahawanan terutamanya di kalangan masyarakat bumiputera yang majoritinya beragama Islam.Antaranya, Dasar Ekonomi Baru (DEB), Dasar Pembangunan Negara (DPN), Wawasan 2020 dan juga matlamat Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) yang mensasarkan 150,000 usahawan baru bumiputera.
Ini ditegaskan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ketika berucap pada program Gerak Usahawan Nasional 2007 yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 25 Ogos lalu.
Masyarakat Islam di Malaysia dan majoritinya bumiputera perlu menyedari bahawa kita masih golongan minoriti dalam bidang perniagaan dan keusahawanan walaupun kita merupakan majoriti daripada populasi negara. Pelbagai sektor perniagaan kini, sedang dan dimonopoli oleh bukan Islam.
Adakah kita menyedari di sebalik kepesatan ekonomi yang kian rancak dan dalam Malaysia menuju ke arah Hub Halal Dunia 2010, peluang menjadi usahawan begitu luas terutama sebagai pengeluar makanan halal. Dengan populasi penduduk Islam dunia yang mencapai 1.6 bilion dan kesedaran masyarakat bukan Islam yang turut memahami kepentingan produk makanan halal dalam kehidupan seharian mereka telah merancakkan lagi perkembangan bidang ini.
Jika kita terus leka dek hanya mencari bintang, idola dan pelbagai rancangan hiburan realiti TV lagi pastinya kita akan terus tertinggal dalam lautan keusahawanan ini. Jangan nanti, kita boleh diibaratkan seperti “sepuluh jung masuk pelabuhan, anjing bercawat ekor juga” dan lebih dahsyat lagi situasi umat Islam pada masa itu umpama “yang dikejar tidak dapat, yang dikendong berciciran”.
Perlu disedari penglibatan sebagai usahawan tidak hanya terhad sebagai pengeluar semata-mata. Usahawan Muslim boleh turut melibatkan diri sebagai pemasar, pemborong, pengedar, peruncit, penyedia dan juga pembekal. Lebih-lebih lagi sebagai pembekal kepada sumber dalam menjana produk makanan halal seperti bidang pertanian, bioteknologi, penternakan dan perladangan.
Kerajaan kini amat memandang serius bidang pertanian sebagai industri yang penting dan mempunyai impak serta potensi yang besar kepada pembangunan ekonomi negara. Ini sinonim dan bertepatan dengan slogan yang sering diuar-uarkan kerajaan melalui media massa sama ada media cetak mahupun elektronik iaitu ‘Pertanian adalah Perniagaan’.
Yakinilah, dengan usaha dan iltizam yang tinggi sebagai usahawan Muslim yang diredai Allah akan memberikan keuntungan bukan hanya di dunia malah di akhirat. Ini kerana ia turut memartabatkan bersama maruah agama Islam, bangsa dan Malaysia tercinta.
* ISMA ADDI JUMBRI ialah Ketua Jabatan Pengurusan Perniagaan Fakulti Pengurusan dan Muamalah Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Bangi, Selangor.
(Artikel ini dipetik/ pernah diterbitkan di Utusan Malaysia dalam sisipan Mega pada 3 September 2007)
Islam Iktiraf Kerjaya Usahawan
4
/
5
Oleh
semadi78
3 comments
Write commentsArtikel yang sangat baik dalam menggalakkan umat Islam menceburkan diri dalam bidang keusahawanan. Teruskan menulis En. Isma. We always love you.
ReplyTeruskan menulis untuk mendidik. You always said that "mengajar pada yang mahu, memberi pada yang sudi"..
ReplyAssalamualaikum, artikel yang sangat baik. Saya mohon kebenaran untuk memasukkan sedikit untuk nota untuk saya ajar di KIPSAS.
Reply