|
Waktu Rehat dan Makan Bersama Rakan-rakan serta Guru di dalam Kelas |
ANAK SEKOLAH DI JEPUN
Baru-baru ini saya mendapat e-mail daripada pembaca Travelog ISMA yang merupakan seorang ibu kerisauan kerana akan membawa anak-anaknya tinggal di Osaka, Jepun pada September akan datang. Sepertimana dahulu sebelum ke Sendai saya turut risaukan mengenai persekolahan anak-anak dan kos-kos yang berkaitan dalam membesarkan anak-anak di sini. Maklumlah, dalam usia yang semakin meningkat baru 'berpeluang' untuk melanjutkan pengajian di luar negara. Syukur ke hadrat Ilahi dan terima kasih juga kepada kerajaan Malaysia serta Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) atas tajaan belajar di sini. Bukan mudah tanpa tajaan untuk mengharungi kehidupan di negara maju seperti Jepun ini dengan kos dan juga cukai yang agak tinggi. Pernah berbual dengan rakan-rakan Jepun, mereka juga turut kadang-kala mengeluh dengan tekanan ekonomi dan cukai di Jepun yang dijangka akan meningkat lagi.
|
Perlu membuat permohonan bagi mendapatkan 'Jido Teate' di 'City Hall' masing-masing. |
BANTUAN DAN ELAUN ANAK DI JEPUN
Namun, mungkin barangkali pelbagai kemudahan bantuan dan infrastruktur yang disediakan oleh pihak kerajaan mereka menjadikan rakyat Jepun khususnya pembayar-pembayar cukai di sini seakan menerima dengan baik. Jalan-jalan yang kurang kelihatan berlubang, pengangkutan awam yang sememangnya 'tip-top', elaun dan bantuan buat kanak-kanak, bantuan untuk orang-orang tua serta pelbagai lagi menjadikan ia berkadar langsung dengan cukai yang perlu dibayar. Secara peribadi, kami sekeluarga sangat bersetuju dan memahami peribahasa "hujan emas di negara orang, hujan batu di negara sendiri, lebih baik di negara sendiri". Banyak faktor lain yang lebih penting berbanding pengalaman hidup di negara orang khususnya dalam kehidupan berkeluarga dan mempunyai anak-anak sedang membesar di sini.
PENGALAMAN DI SENDAI, JEPUN
Bagi mereka yang bertanya mahupun rakan-rakan lain seakan risau akan persekolahan anak-anak di Jepun barangkali perkongsian
ANAK-ANAK SEKOLAH DI SENDAI, JAPAN boleh dijadikan panduan. Namun, perlu diingatkan perkongsian saya berkisarkan pengalaman kami di Sendai, Jepun. Barangkali ia berbeza dengan tempat-tempat lain di Jepun. Namun, secara umumnya rakan-rakan kami di Yamagata, Nagoya, Osaka, Kyushu dan beberapa tempat lain pernah menceritakan pengalaman yang hampir sama sepertimana kami di Sendai ini.
ELAUN KANAK-KANAK (JIDO TEATE)
|
Japan Residence Card |
Sehingga pengkongsian ini ditulis, elaun kanak-kanak atau juga dikenali sebagai 'Jido Teate' dan terdapat juga mereka yang menyebut 'Kodomo Teate' turut diberikan kepada bukan warganegara Jepun. Maksudnya, orang luar yang datang belajar mahupun bekerja di Jepun dan mempunyai
Japan Residence Card turut layak memohon 'Jido Teate' ini. Saya pernah mendengar cerita yang pihak kerajaan Jepun ada ura-ura untuk menarik-balik bantuan elaun kanak-kanak ini selepas tragedi Tsunami dan kesan Fukushima Nuklear. Namun, sehingga kini kami dan warga asing lain masih diberi peluang oleh kerajaan Jepun untuk menikmati 'Jido Teate' ini. Atas sebab itulah, kami menggunakan sepenuhnya elaun tersebut bagi menampung perbelanjaan persekolahan anak-anak di sini. Bagi memastikan duit elaun bantuan ini digunakan sepenuhnya untuk keperluan anak-anak sekolah dan membesar, saya telah membuka akaun khas di JP Bank. Ini bagi keperluan 'auto-debit' perbelanjaan sekolah anak-anak daripada akaun tersebut. Saya pernah kongsikan pengalaman membuka akaun bank di JP Post di
PANDUAN ATM 77 BANK (77 BANK ATM GUIDELINE).
PERBELANJAAN SEKOLAH DI SENDAI, JEPUN
1. Bayaran PTA
Secara umum, bayaran sekolah anak-anak yang meliputi bayaran Parents Teacher Association (PTA) atau di Malaysia di kenali sebagai yuran Persatuan Ibu Bapa & Guru (PIBG) di antara 5000 - 6500 yen sebulan bagi setiap orang. Yuran ini termasuk duit makanan untuk anak-anak di sekolah. Alhamdullilah, pihak Kunimi Elementary School menyediakan makanan Halal buat para pelajar yang beragama Islam di sini. Syukur Alhamdullilah juga pihak sekolah turut menyediakan ruang untuk anak-anak solat di sekolah.
Anggaran kami bayar setahun = 6500 yen sebulan x 3 orang x 12 bulan = 234,000 yen/ setahun.
|
Anisah Humairah beratur mengambil makanan. |
2. Bayaran Aktiviti dan Latihan di Sekolah
Pada setiap akhir bulan juga anak-anak akan menyerahkan sampul surat kepada ibu/bapa. Oleh itu, kami perlu memasukkan wang tunai mengikut amaun yang tertera di sampul surat tersebut. Anggaran sebulan seorang anak yang bersekolah rendah, ibu bapa perlu menyediakan di antara 1500 - 2000 yen sebulan bagi kegunaan aktiviti dan latihan di sekolah. Sebagai contoh, anak-anak saya seringkali terlibat dengan lawatan di luar dan hampir setiap hari ada sahaja latihan-latihan kerja sekolah yang diberikan oleh guru-guru mereka. Kesemua aktiviti dan latihan-latihan ini menggunakan duit bayaran bulan tersebut.
Anggaran kami bayar setahun = 2000 yen sebulan x 3 orang x 12 bulan = 72,000 yen/ setahun.
Kesemua bayaran tersebut kami tolak daripada pemberian elaun kanak-kanak yang dikreditkan ke akaun pada setiap Jun, Oktober dan Februari. Kebiasaannya, pihak sekolah akan meminta ibu bapa membuat perkhidmatan 'auto-debit' bagi yuran PTA. Manakala duit bayaran aktiviti dan latihan sekolah pula melibatkan pembayaran secara tunai.
ELAUN: JIDO TEATE/ KODOMO TEATE
Saya dimaklumkan 'Kodomo Teate' dijenamakan semula kepada 'Jido Teate' pada tahun 2012. Apa pun istilahnya, tidak dinafikan pemberian elaun kanak-kanak ini dapat meringankan perbelanjaan sekolah anak-anak kami di sini. Bagi saya, elaun ini tertakluk kepada budi-bicara pihak kerajaan Jepun. Mereka boleh memberikan elaun ini kepada warga asing dan juga boleh menarik-balik elaun tersebut. Itu hak mereka! Saya pasti, jika bantuan ini hanya diberikan kepada rakyat Jepun, sudah pasti mereka yang bukan warganegara Jepun dan tinggal di sini akan merasai kepayahan hidup di negara orang. Lebih payah jika mereka yang hidup di sini tanpa bantuan elaun atau biasiswa, pastinya juga akan merasai betapa sukar untuk mengharungi kehidupan di negara maju ini. Atas sebab itu, pulanglah ke tanahair dengan membawa kejayaan masing-masing untuk memberikan sumbangan semula khususnya kepada negara dan institusi yang menaja.
Berikut kadar bantuan Elaun Kanak-Kanak:
|
Jadual kadar elaun mengikut umur. |
Berdasarkan jadual di atas, kadar pemberian elaun bagi kanak-kanak berbeza mengikut bilangan anak dan umur. Bagi anak berusia 0 - 3 tahun pemberian elaun sebanyak 15,000 yen sebulan. Manakala, bagi anak yang berusia 3 - 15 tahun sebanyak 10,000 yen. Namun, bagi anak yang ke 3 dan ke atas akan mendapat 15,000 yen sebulan bagi setiap orang. Namun, bagi mereka yang pendapatan melebihi daripada kadar limit yang ditetapkan hanya mendapat 5,000 yen sebulan. Bagi mereka yang berhasrat untuk tinggal di Sendai boleh dapatkan maklumat lanjut di laman web
SENDAI CITY.
ELAUN ANAK-ANAK
Bagi mereka yang berpeluang mendapat bantuan 'Jido Teate' ini gunakanlah sebaiknya untuk pendidikan dan persekolahan anak-anak dan amanah dalam menguruskan duit anak ini. Saya pernah melihat duit makan anak seakan 'dicatu' hanya semata-mata untuk digunakan elaun tersebut bagi kegunaan lain. Saya juga pernah melihat baju terpakai jadi pilihan, walaupun duit elaun tersebut berupaya membeli baju anak-anak yang agak baik dan bukan baju terpakai jika pandai mencari dan memilihnya. Tidak semestinya murah mesti terpakai. Masih banyak lagi pilihan yang murah tetapi bukan semestinya terpakai. Jika ingin membeli barang mainan pendidikan dan baju sejuk anak-anak, barangkali terpakai tiada salahnya. Bersyukur dan gunakanlah sebaiknya!
Akhir kata, bagi mengingatkan kita dalam mendidik anak-anak barangkali perkongsian
MEREKALAH 'ANAK-ANAK' boleh dijadikan panduan. Jaga amanah sebagai rakyat Malaysia yang mendapat tajaan dan jagalah juga amanah sebagai ibu bapa yang menjadi pemegang amanah buat anak-anak kita.
Semoga bermanfaat!