Sunday, July 26, 2015

'Pastikan Penuh, Baru Terbang'




SENDAI JEPUN

Sejak akhir-akhir ini semakin kerap mendengar perkhabaran rakyat Malaysia yang akan menyambung pengajian Master, PhD dan tidak kurang juga yang mendaftar sebagai Post Doctorate di Tohoku University. Selamat Datang saya ucapkan ke 'Keluarga Besar Malaysia' di Sendai, Jepun.  

SEKOLAH DI JEPUN

Oleh kerana ramai yang sudah berkeluarga, pastinya isu berkaitan persekolahan anak-anak di sini menjadi persoalan yang paling popular. Saya pernah kongsikan pengalaman kami melalui sesi persekolahan di Sendai dalam:

SEBELUM BERLEPAS KE JEPUN

Bagi mereka yang sudah membuat keputusan muktamad dan akan berlepas ke Sendai ini, perkongsian berikut barangkali boleh dijadikan panduan:


Persoalan yang turut popular khususnya di kalangan ibu-ibu adalah berkaitan dengan bagasi atau muatan yang perlu dibawa. Maklumlah, biasanya ibu-ibulah yang sangat mengambil berat berkaitan dengan barang-barang dapur seperti rempah-ratus, bahan membuat kek, stok sos dan kicap, lada kering dan pelbagai lagi. Bak kata pepatah "hanya jauhari yang mengenal manikam" dan itulah cantiknya hidup berpasangan, saling lengkap melengkapi. 

BAGASI KE JEPUN

Bagi mereka yang membawa seisi keluarga ke sini, suka saya mencadangkan agar menggunakan sepenuhnya kemudahan bagasi atau muatan yang dibenarkan oleh pihak penerbangan. Berikut saya kongsikan pengalaman kami semasa ke sini dengan menaiki penerbangan MALAYSIA AIRLINES (MAS) dari KLIA ke Narita Airport dan menggunakan perkhidmatan ALL NIPPON AIRWAYS (ANA) daripada Narita Airport ke Sendai Airport.

Jangan lupa solat subuh ya. 









8 TIP BAGASI KE JEPUN

Berikut 8 TIP perkongsian saya 'Pastikan Penuh, Baru Terbang'.

TIP #1 - PALING BARU, PALING BESAR

Bagi mereka yang mempunyai anak-anak kecil sangat digalakkan untuk membawa baju-baju anak yang paling baru dan paling besar. Anak-anak cepat membesar, oleh itu elakkan membawa baju yang sudah agak sendat walaupun kelihatan masih baru. Sayang sekali pakaian yang masih baru dan boleh digunakan tidak dibawa bersama. 

TIP #2 - SUSU ANAK JADI PRIORITI

Bagi mereka yang mempunyai anak kecil, susu bayi perlu juga dijadikan prioriti atau keutamaan dalam memenuhkan bagasi. Ramai rakan saya di sini yang mempunyai anak kecil serta masih minum susu jenama tertentu perlulah membawa sekali stok susu anak-anak mereka ke sini. Begitu juga jika anak-anak menggunakan puting atau botol susu jenama tertentu sebaiknya juga turut di bawa ke sini. Barangkali jenama puting dan botol susu tersebut hanya di temui di Malaysia sahaja.

TIP #3 - SOKET/ 'UNIVERSAL TRAVEL ADAPTER'


Barangkali soket seperti di atas atau paling tidak universal traveler adapter boleh dibawa bersama dalam salah satu beg sandang atau beg kabin yang dibawa. Ini memudahkan dan jika tidak anda mungkin terpaksa 'tercari-cari' apabila sampai di sini nanti. 

TIP #4 - 1 BEG SANDANG

Jika anak-anak boleh menggalas sendiri beg sandang, sediakan anak-anak dengan beg sandang bagi setiap orang. Isilah beg sandang tersebut dengan buku-buku bacaan untuk anak-anak, sedikit pakaian buat gantian sekiranya tertumpah makanan atau minuman dan pelbagai lagi barangan yang fikirkan perlu. Saya galakkan anak-anak saya membawa alat tulis dan buku-buku latihan sekolah yang masih boleh digunakan ke sini dalam beg sandang mereka. Bukan anak sahaja, pastikan kedua-dua orang tua mereka juga tidak ketinggalan membawa 1 beg sandang setiap orang. Tidak perlu beli yang baru! Pakai sahaja beg-beg yang diperolehi semasa menghadiri seminar atau persidangan dan jika beg sekolah anak masih cantik bawa sahaja ke sini. Tidak perlu membazir! Barangkali perkongsian 'GOLDEN WEEK' DAN 'HOMESCHOOLING' boleh dijadikan bacaan dan panduan. 

TIP #5 - 1 BEG KABIN

Jangan lupa juga untuk menggunakan sepenuhnya kemudahan 1 beg kabin bagi setiap penumpang. Pelbagai jenis barang boleh diisi dalam beg kabin ini selagi mana ia mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan oleh setiap syarikat penerbangan serta tidak mengandungi barang-barang terlarang. Sebagai tip dalam pemilihan beg kabin, tidak perlulah membeli yang berjenama dan terlalu mahal. Kami beli yang paling murah secara on-line. Ini kerana, beg kabin akan dibawa bersama ketika memasuki pesawat dan sepanjang masa bersama kita. Oleh itu, lebih baik duit lebih kita laburkan untuk membeli 'beg luggage' yang lebih berkualiti. Ini bagi memastikan beg luggage tersebut masih boleh digunakan setelah menempuh perjalanan yang jauh kerana berada di luar kawalan kita sepenuhnya. Selepas 'check-in' baggage/ luggage, kita tidak mengetahui nasib beg tersebut. Terserah kepada takdir!

TIP #6 - BEG LUGGAGE/BAGGAGE

Kebiasaannya beg luggage/baggage akan dimuatkan dengan baju-baju seisi keluarga. Ia berkadar langsung dengan jumlah ahli keluarga. Semasa ke sini pada November 2014 lalu, kami hanya membawa 2 unit beg luggage dan selebihnya menggunakan kotak-kotak. Keputusan memilih kotak kerana untuk membawa stok makanan dan harga beg luggage yang agak mahal serta hanya digunakan sekali sahaja. Selain itu, kami juga memikirkan di mana hendak menyimpan beg-beg luggage yang besar di rumah Jepun yang agak 'comel' ini.

TIP #7 - GUNAKAN SEPENUHNYA

Sayang seribu kali sayang jika telah dibayar tetapi tidak digunakan sepenuhnya kapasiti bagasi yang dibenarkan. Seingat saya, kapasiti maksimum yang dibenarkan oleh MAS adalah sebanyak 30 kg setiap orang. Sila semak dan baca dengan teliti maklumat dalam tempahan tiket penerbangan. Perlu difahami juga setiap syarikat penerbangan menawarkan kapasiti bagasi yang berbeza. Sebagai contoh, saya pernah menggunakan syarikat JAPAN AIRLINES (JAL) dan kapasiti bagasi yang dibenarkan lebih tinggi daripada MAS.

TIP #8 - POS SEMUA KOTAK & 'BEG LUGGAGE'

Perlu diingatkan muatan luggage/ baggage yang dibenarkan oleh MAS adalah 30 kg dan ANA pula 20 kg sahaja. Sila pastikan maklumat terkini berkaitan kapisiti bagasi yang dibenarkan. Sebagai contoh, dalam situasi kami sebelum ini terdapat perbezaan sebanyak 10 kg (30 kg - 20 kg = 10 kg). Oleh itu, apabila tiba di Narita Airport, kami mengambil keputusan untuk menggunakan perkhidmatan pos kesemua kotak dan beg luggage. Perkhidmatan pos ini boleh didapati di Narita Aiport. Ingat! Pos dari Narita Airport BUKAN di KLIA. Oleh kerana kami akan ke Terminal 1 untuk menaiki penerbangan ANA ke Sendai. Maka, kami pos kesemua kotak dan beg luggage/ baggage di sana. Saya tidak pasti sama di Terminal 1 terdapat perkhidmatan penghantaran atau tidak. Bagi memudahkan pergerakan kami pos SEBELUM menaiki bas ke Terninal 1. Alamat penghantaran boleh di hantar ke rumah rakan atau terus ke alamat rumah sewa jika telah mendapat tempat tinggal yang tetap. Perkhidmatan penghantaran di Jepun sangat baik dan biasanya hanya mengambil masa 1 atau 2 hari untuk sampai ke Sendai. Pengalaman kami hanya 1 hari sahaja sudah sampai di rumah.

MALAYSIA DAN JEPUN

Akhir sekali, didoakan agar perjalanan ke sini dipermudahkan oleh-Nya. Untuk tempoh beberapa hari yang masih berbaki sebelum berlepas ke Jepun sebaiknya cuba berikan motivasi kepada diri sendiri dan seluruh ahli keluarga agar memahami niat sebenar berhijrah ke negara orang. Sentiasa juga ingatkan diri "dimana bumi dipijak, disitu langit dijunjung". Saya pasti setiap orang akan menghadapi pengalaman yang berbeza di sini. Keupayaan fizikal dalam menjalani kehidupan di negara 4 musim ini juga penting. Namun, bagi saya kekuatan mental lebih penting dalam menempuhi 'mehnah dan tribulasi' di negara asing ini. Bagi yang datang bersama keluarga, kekuatan ahli keluarga dalam mengharungi cabaran di sini turut menyumbang kepada kekuatan diri kita dalam menempuh perjalanan pengajian di sini.

Sekadar perkongsian dan semoga bertemu di sini nanti. 

Related Posts

'Pastikan Penuh, Baru Terbang'
4 / 5
Oleh

Perkongsian Akan Datang

Anda Suka 'Post' Ini? Anda Akan Lebih Suka 'Post' Yang Akan Datang:).

Menarik Lagi Tertarik! × +

2 comments

Write comments
avatar
Aini
July 26, 2015 at 9:38 AM

Terima kasih tuan atas perkongsian. Walaupun saya tidak ke Sendai, tetapi maklumat tuan sangat berguna bagi saya yang juga akan ke Jepun dalam masa terdekat. Semoga Allah SWT memberikan ganjaran buat kesemua perkongsian tuan.

Reply
avatar
July 26, 2015 at 10:39 AM

Terima kasih Aini kerana sudi singgah di blog saya ini. Semoga bermanfaat. Sentiasa ingatkan diri dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi Muhammad s.a.w bersabda: "Apabila seorang anak Adam mati putuslah amalnya kecuali tiga perkara : sedekah jariah, atau ilmu yang memberi manfaat kepada orang lain dan anak yang soleh yang berdoa untuknya."

Reply

Tudung kanak-kanak