Wednesday, July 29, 2015

Skim Cepat Kaya Bertopeng 'Agama'

SKIM CEPAT KAYA (SCK)

Sejak akhir-akhir ini saya terasa terpanggil untuk mengingatkan khususnya bekas-bekas pelajar saya yang baru memulakan kehidupan untuk tidak terlibat dengan mana-mana Skim Cepat Kaya (SCK). Sebelum ini terdapat bekas pelajar saya yang terlibat dengan SCK bertopengkan 'Emas'. Kerugian dan 'hangus' ribuan ringgit serta terpaksa menanggung hutang peribadi di kala usia yang masih muda. Simpati dengan tragedi yang menimpa beliau lebih-lebih lagi pelajar saya baru sahaja memulakan kehidupan berkeluarga. Akhirnya, perjalanan untuk bebas daripada hutang dan membina 'harta' menjadi lambat dek kerana komitmen yang perlu ditanggung. Berkaitan SCK, pernah saya kongsikan sebelum ini di KENALI 8 CIRI 'PERANGKAP PELABURAN EMAS'. Perkongsian ini agak serupa dengan pendekatan SCK, cuma kali ini menggunakan EMAS sebagai barang dagangan atau produk pelaburan. 

SCK: PAK MAN TELO

Skim Cepat Kaya - Pak Man Telo

Apabila menyebut SCK, saya teringat orang tua saya pernah berpesan untuk tidak terlibat dengan mana-mana SCK. Emak saya pernah menyebut skim yang dikenali sebagai Pak Man Telo. Pelik mendengar skim ini, barangkali nama skim tersebut tidak menepati citarasa saya sebagai anak muda pada masa itu. Namun, yang menariknya ramai yang sanggup melabur dalam skim ini dan dimaklumkan ramai juga yang bunuh diri, bercerai-berai, jatuh muflis, tertekan dengan skim ini. Saya difahamkan skim ini mula mengemparkan Malaysia pada awal tahun 1990 dengan anggaran pelaburan mencecah RM99 juta dan berjaya menarik 50,000 pelabur. 

GIGIT JARI TERKENA SCK

Walaupun telah ramai yang sudah terkena atau 'tersontot' dengan skim-skim cepat kaya ini. Namun, boleh dikatakan masih ramai yang tidak serik dan mengambil pengajaran daripada sejarah SCK ini. Sejarah terus berulang, yang kaya dan bertambah kaya dalam SCK adalah pelopor atau penganjur skim tersebut. Kebiasaanya, skrip cerita SCK ini hampir sama di mana ramai pelabur di peringkat permulaan mendapat laba atau keuntungan di awal penglibatan pelaburan. Selang beberapa bulan atau beberapa tahun, barulah tembelang SCK ini mula dihidu. Bermulalah episod dan 'tragedi hitam' apabila syarikat pelaburan tersebut mulai disita atau dibekukan, penganjur hilang dan tidak dapat dihubungi serta pelbagai lagi 'drama-drama sedih' dimana kesannya ramai pelabur yang 'gigit jari'. 



SCK BERKEMBANG DAN MODIFIKASI 

Berdasarkan pemerhatian saya, SCK ini juga berkembang mengikut perkembangan semasa. Pelopor atau penganjur juga licik dalam memodifikasikan skim-skim ini mengikut kehendak dan kemampuan bakal pelabur mereka. Ada yang menggunakan lintah, kambing, lembu, ikan, kelapa sawit, saham di dalam dan luar negara, hartanah, emas dan terkini menggunakan pendekatan agama dalam modus operandi pelaburan. 

SCK PATUH SYARIAH

Saya juga telah melihat pendekatan SCK yang seakan-akan menggunakan agama dalam menarik perhatian dan 'memancing' bakal pelabur mereka. Ada yang menggunakan istilah hibah, mudarabah, atau membina jenama yang menggambarkan imej agama. Sekarang ini pula, terdapat mereka yang bergelar ustaz, ustazah atau Pak Syeikh yang berusaha memancing bakal pelabur. Buat para pelajar saya yang baru menjalani kehidupan sebenar di luar, janganlah mudah terpedaya dengan skim-skim yang bertopengkan 'agama' yang boleh melambatkan perjalanan anda dalam membina 'harta'. Belajar dan carilah ilmu berkaitan pengurusan kewangan. Jangan terpedaya dengan janji-janji manis mahupun dokumen-dokumen perjanjian yang seakan 'patuh syariah' sedangkan anda tidak menyedari bahawa ia merupakan perangkap SCK. Sentiasalah beringat sebelum terkena!

Related Posts

Skim Cepat Kaya Bertopeng 'Agama'
4 / 5
Oleh

Perkongsian Akan Datang

Anda Suka 'Post' Ini? Anda Akan Lebih Suka 'Post' Yang Akan Datang:).

Menarik Lagi Tertarik! × +

Tudung kanak-kanak