Tuesday, February 23, 2016

Cepat Kaya: Al-Kisah 'Kolar Putih' Ke 'Kopiah Putih'

Skim Cepat Kaya
Cepat Kaya: Al-Kisah 'Kolar Putih' Ke 'Kopiah Putih'

KAISHA

Minggu lepas saya berkesempatan berbincang bersama rakan-rakan di 'laboratory' untuk memberikan omiyage (cenderahati) buat Haga-san dan Nakada-san. Mereka berdua akan meneruskan kehidupan di dunia pekerjaan setelah 2 tahun menempuh pengajian sarjana (master) di Tohoku Universiti. Salah seorang rakan kami yang juga merupakan orang Jepun (nihonjin) mencadangkan agar menghadiahkan tali leher atau sapu tangan buat mereka berdua kerana ia lebih praktikal. Kami sebulat suara bersetuju kerana sememangnya 'gaya korporat' bertali leher, berkolar putih dan suit hitam merupakan pemandangan biasa di Jepun ini. Tidak kira musim termasuklah musim panas kebanyakan mereka yang bekerja di syarikat (kaisha) akan sentiasa berpakaian ala 'gaya korporat' ini. Warna 'hitam dan putih' ini menjadi warna rasmi dan popular dalam mengayakan imej korporat dan di kala menghadiri majlis rasmi di Jepun.
skim cepat kaya
Source: http://www.slideshare.net

SENSEI

Teringat satu peristiwa yang agak kelakar semasa saya pertama kali mengenali sensei. Beliau merupakan 'orang muda' Jepun yang mendapat pendidikan di Amerika Syarikat. Kehidupan yang agak lama di US menjadikan cara interaksi dan penampilan beliau juga agak berbeza dengan tipikal Jepun yang lain. Sebagai contoh, sensei saya lebih santai, tidak formal dan sering berpakaian 'simple' dan kadang kala hanya berseluar pendek sahaja apabila berada di 'laboratory'. Namun, apabila tiba majlis rasmi beliau akan bertukar 100% dengan memakai baju berkolar putih dan bertali leher serta mengayakan 'imej korporat' satu suit hitam putih. Selepas majlis, serta-merta beliau bertukar semula kepada pakaian santai gaya 'hawaii'. Sempoi betul tengok sensei dan selalu juga mendoakan agar beliau dapat 'supervise' saya sehingga tamat pengajian. Maklumlah walaupun sensei masih berumur 40an, namun beliau menghadapi masalah 'back-pain' dan atas sebab itu beliau lebih selesa bekerja dengan keadaan berdiri. Ada kala di waktu zemi (sesi pembentangan) pelajar, beliau selesa berdiri meskipun berjam lamanya.

KOLAR PUTIH

Umumnya apabila membicarakan tentang 'kolar putih' akan mengingatkan kita berkaitan 'jenayah kolar putih' iaitu jenayah yang dilakukan oleh seseorang yang terhormat dan berstatus tinggi dalam pekerjaannya. Sebagai contoh, penipuan, rasuah, penggelapan wang, jenayah komputer, pencuriaan identiti dan pemalsuan dokumen yang biasanya dilakukan oleh pekerja berkolar putih ini. Tidak kurang juga dengan skim-skim cepat kaya selalunya sinonim dengan imej korporat dan berkolar putih. Perlu disedari, salah satu perangkap yang menyebabkan ramai orang kerugian adalah kesilapan untuk memilih di antara "intan mahupun kaca". Mudah sangat terpedaya dengan gimik-gimik promosi skim-skim cepat kaya ini.

skim cepat kaya
Jenayah Kolar Putih
Berdasarkan pengalaman saya sebagai pelajar dan sehinggalah sebagai tenaga pengajar, kelihatan modus operandi skim-skim cepat kaya ini hampir serupa. Ada yang datang dengan berpakaian kemas, bertali leher, berkolar putih dan suit hitam bersama kereta mewahnya, ada juga yang menayang duit yang dikatakan berjaya dikumpul dan tidak kurang juga yang tanpa berselindung mendedahkan akuan (debit dan kredit) yang dimilikinya. Akhirnya, ada mereka yang terpedaya sehingga menjadi 'pak sanggup' dengan membuat pinjaman di bank atau along bagi menyertai skim-skim cepat kaya ini.  

MOTIVASI KEWANGAN

Antara buku awal yang memberikan saya kefahaman berkaitan 'motivasi kewangan' adalah buku-buku hasil tulisan Saudara Azizi Ali. Hasil pembacaan buku-buku pengurusan kewangan ini bukan sahaja untuk maklumat peribadi, bahkan turut dikongsikan bersama  para pelajar saya di kelas lebih-lebih lagi bagi subjek Keusahawanan dan Pengurusan Kewangan yang pernah diajar sebelum ini. Terkini di laman facebook Azizi Ali, beliau sering berkongsikan mengenai skim-skim cepat kaya yang agak sinonim dengan masyarakat kita. Saya sangat yakin bahawa matlamat beliau tidak lain dan tidak bukan bagi memastikan agar tidak ramai lagi 'orang kita' tertipu dan terus ditindas oleh parasit ini. Hasil perkongsian, ramai yang semakin cakna, namun tidak kurang juga yang melemparkan tomahan dan cacian khususnya dari kalangan para pengikut tegar skim-skim cepat kaya ini. Kini, sudah terbukti kebanyakan skim ini hanyalah "indah khabar, dari rupa" dan akhirnya menjadi "mimpi ngeri disiang hari".
skim cepat cay
Antara Perkongsian Saudara Azizi Ali

KAYA DAN BERSARA MUDA

Berdasarkan pendedahan demi pendedahan, mangsa skim cepat kaya ini tidak mengenal batasan umur, bangsa, agama dan juga taraf pendidikan. Saya sendiri pernah mengenali seorang rakan yang mempunyai kelayakan PhD turut terlibat dan mempromosikan skim cepat kaya ini. Inilah daya tarikan duit, tidak mengenal sesiapa yang bakal menjadi mangsa. Lebih kasihan, apabila ada golongan 'warga emas' yang turut menjadi mangsa dan segala duit mereka dalam meniti usia tua ditelan oleh penyagak skim cepat kaya ini.
Sumber: http://www.sinarharian.com.my/
Selalunya skim-skim ini cuba menyasar golongan muda dengan slogan 'Kaya dan Bersara Muda' dan pelbagai tagline yang lebih 'catchy' dengan jiwa anak muda. Kesannya, ada yang sanggup menjadikan kad kredit sebagai modal dan tidak kurang juga mengikut nasihat mentor untuk memohon pinjaman peribadi bagi menyertai skim ini. Ada yang nasib mereka kini boleh diibaratkan "sudah jatuh, ditimpa tangga". Sudahlah pinjaman peribadi tidak dapat dilunaskan, malah ada juga yang telah kehilangan pekerjaan dek kerana terpedaya sangat untuk 'Kaya dan Bersara Muda'!

'KOLAR PUTIH' KE 'KOPIAH PUTIH'

Seakan menjadi-jadi skim-skim cepat kaya ini apabila berevolusi dari 'kolar putih' kepada 'kopiah putih'. Dahulu, skim-skim cepat kaya ini berpakaian kemas, berkolar putih dan bertali leher dalam mempromosikan skim mereka. Kini, pendekatan yang diguna pakai dengan mempamerkan imej ustaz mahupun ustazah jadian. Ada kala terdapat pula ustaz-ustaz yang dijadikan mangsa secara tanpa disedari oleh mereka. Berdasarkan pengalaman saya, pantang sahaja mereka yang bergelar ustaz berbicara, semuanya dianggap benar walaupun itu bukan bidang mereka. Lebih parah, mereka yang berkopiah putih turut mempromosikan kegiatan ini. Malah untuk nampak lebih Islamik katanya, istilah arab seperti hibah, mudharabah, al-salam, al-makkah, dan pelbagai lagi yang sebenarnya menjurus ke arah papa kedana.

PATUH SYARIAH

Buat mereka yang baru sahaja menjalani kehidupan sebenar berkerjaya dan berkeluarga di luar sana, janganlah leka dan mudah terpedaya dengan skim-skim ini yang boleh melambatkan perjalanan anda dalam membina 'harta'. Belajar dan carilah juga ilmu-ilmu berkaitan pengurusan kewangan. Jangan terpedaya dengan janji-janji manis mahupun dokumen-dokumen perjanjian yang seakan 'patuh syariah' sedangkan anda tidak menyedari bahawa ia merupakan perangkap skim cepat kaya ini. Sentiasalah beringat sebelum terkena!

Sekadar perkongsian dari kejauhan. Sayonara! Sampai jumpa lagi. 

Related Posts

Cepat Kaya: Al-Kisah 'Kolar Putih' Ke 'Kopiah Putih'
4 / 5
Oleh

Perkongsian Akan Datang

Anda Suka 'Post' Ini? Anda Akan Lebih Suka 'Post' Yang Akan Datang:).

Menarik Lagi Tertarik! × +

2 comments

Write comments
avatar
February 25, 2016 at 12:21 AM

Zaman ini semua perlukan duit :)

*hahaha macam takde kaitan pula komen ni* xD

Reply
avatar
February 25, 2016 at 9:57 AM

Terima kasih Yun Sing kerana sudi singgah di blog ini. Komen terbaik daripada adik Yun Sing. Terbaik!

Reply

Tudung kanak-kanak