Thursday, March 10, 2016

1 Akaun, 1 Tujuan

Akaun Bank di Jepun
Akaun Bank di Jepun

AKAUN BANK DI JEPUN

Semenjak berada di Sendai, Jepun kami membuka 2 akaun untuk kegunaan di sini. Akaun Bank 77 bagi kegunaan untuk kemasukan elaun dan pembayaran bil-bil serta utiliti lain. Makakala akuan bank JP Post yang merupakan bank cawangan terbesar di Jepun hanya digunakan bagi keperluan elaun anak-anak (jido teate) yang kami terima daripada pihak kerajaan Jepun. Bagi memudahkan urusan 'keluar-masuk' duit elaun ini, kami lakukan pemotongan terus untuk bayaran makanan anak-anak di sekolah. Akaun JP Post ini kami namakan sebagai 'Akaun Anak-Anak' khusus bagi segala keperluan perbelanjaan sekolah dan juga tabungan buat anak-anak di Jepun.

BENDAHARI AKAUN

Pernah saya kongsikan berkaitan 'jido teate' sebelum ini di 'Elaun Kanak-Kanak (Jido Teate)' dan pengalaman 'ngeri' semasa buka akaun bank JP Post di 'Panduan ATM 77 Bank'. Kini, ATM 77 Bank telah berwajah baru dan atas sebab itu segala urusan di bank telah saya serahkan sepenuhnya kepada isteri. Memandangkan tahap Bahasa Jepun saya telah meningkat dari 'wakarimasen' (saya tidak faham) kepada 'zenzen wakarimasen' (saya tidak faham langsung), maka jawatan 'Bendahari' dengan besar hati telah diserahkan sepenuhnya kepada isteri saya. Sememangnya, pengasingan akaun sangat memudahkan kami untuk membuat rekod dan memantau pengaliran 'keluar-masuk' duit sepanjang berada di sini.  

SATU AKAUN

Kebiasaanya, apabila duit belum banyak atau hanya daripada satu sumber memadai jika diletakkan pada satu akaun bank sahaja. Segala urusan 'keluar-masuk' duit dalam akaun mudah dipantau jika hanya mempunyai satu punca atau sumber pendapatan. Namun, apabila duit yang diterima semakin banyak atau datang dari sumber-sumber lain sebaiknya dibuat satu akaun bagi setiap tujuan. Ini juga penting khususnya bagi mereka yang 'serius' untuk mengembangkan duit atau dana yang dimiliki. Pengalaman saya secara peribadi, apabila kita membuat pengasingan akaun ia bukan sahaja memudahkan urusan pemantauan, malah rekod kewangan lebih tersusun, sistematik dan sangat membantu kita dalam mengatur strategi bagi mengembangkan dana yang dimiliki. 

1 AKAUN, 1 TUJUAN

Akaun Bank dan Tujuan
1 Akaun, 1 Tujuan
Bagi mereka yang kini menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan ataupun menyahut seruan bagi melakukan '2 Kerja' adalah sangat digalakkan untuk mengamalkan 1 Akaun bagi 1 Tujuan. Sebagai contoh, akaun gaji (peribadi) perlu diasingkan daripada segala transaksi yang berkaitan dengan perniagaan yang kita jalankan. Sebaiknya, buka akaun khas atas nama perniagaan agar duit yang diperolehi tidak bercampur-aduk dan senang untuk kita membuat pemantauan dengan hanya melihat Penyata Bank (Bank Statement) di bank tersebut. Melalui kaedah ini, kita akan dapat menilai tahap pencapaian perniagaan kita sama 'sedang naik' atau sebaliknya. Bukan itu sahaja, kaedah ini dapat memudahkan dan membuktikan kepada pihak bank bahawa kita mempunyai pendapatan lain jika ingin mendapatkan pinjaman pada masa hadapan. 

AKAUN SEMASA

Bagi mereka yang 'serius' untuk mengembangkan perniagaan mereka, adalah sangat digalakkan untuk memilih Akaun Semasa (Current Account) dan bukannya Akaun Simpanan (Saving Account). Ini kerana dengan memilih Akaun Semasa urusan 'keluar-masuk' duit akan lebih mudah. Kebiasaannya, jika kita memilih Akaun Simpanan, apabila terdapat transaksi yang banyak dalam akaun, pihak bank akan menghalang (block) transaksi tersebut. Kemungkinan kita akan dihubungi oleh pihak bank untuk mengesahkan transaksi atau ada situasi dimana pihak bank meminta kita untuk datang ke bank utama atau bank cawangan asal semasa kita membuka akaun. Jangan lupa juga untuk mendaftar 'online banking' yang sangat berguna dalam melihat transaksi 'keluar-masuk' di akaun kita. Pengalaman di sini, setiap kali kami menerima elaun daripada Malaysia pastinya saya akan dihubungi melalui telefon bagi membuat pengesahan. Soalan yang biasanya ditanya oleh pihak bank adalah mengenai tujuan duit tersebut dimasukkan, sumber daripada mana, alamat rumah dan juga tarikh lahir. Biasanya jawapan ini saya sudah ada skripnya, namun apabila ditanya soalan-soalan di luar skrip maka jawapan yang 'standard' yang sering saya berikan adalah 'gomen ne, wakarimasen' (maaf ya, saya tidak faham). 

LAIN-LAIN AKAUN

Sebagai cadangan, barangkali pengasingan akaun boleh juga dibuat bagi tujuan-tujuan lain. Sebagai contoh:

1.  '1 Akaun' untuk gaji/ pendapatan tetap
2.  '1 Akaun' untuk perniagaaan
3.  '1 Akaun' untuk rumah sewa/ pelaburan lain
4.  '1 Akaun' untuk dana kecemasan

Perlaksanaan 1 Akaun, 1 Tujuan akan memudahkan urusan rekod kewangan kita. Percayalah kelulusan mendapatkan pinjaman daripada pihak bank akan lebih mudah jika rekod kewangan kita teratur dan lebih bersistematik. Sebaiknya juga akaun bagi dana kecemasan diletakkan pada akaun yang tiada kemudahan ATM. Bukan itu sahaja, kita juga akan lebih berdispilin dalam mempertahankan 'dana kecemasan' ini apabila kad ATM tiada ditangan.

Sekadar pandangan dari kejauhan. Sayonara! Sampai jumpa lagi.     

Wednesday, March 9, 2016

Usah 'Leasehold' atau 'Freehold' Jadi Penghalang

Leasehold atau Freehold
'Leasehold' atau 'Freehold'

BELI RUMAH

Minggu lepas saya terperasan satu status facebook daripada salah seorang bekas pelajar yang menghadapi dilema untuk membeli sebuah rumah. Ramai yang memberikan komen dan pandangan daripada status tersebut. Namun, yang mencuit hati saya adalah cadangan yang seakan-akan tidak menggalakkan untuk membeli rumah yang berstatus 'leasehold'. Barangkali ada kebenaran pendapat tersebut, namun saya sangat khuatir jika status 'leasehold' mahupun 'freehold' ini menjadi penghalang dan juga asbab kepada golongan muda untuk tidak membeli sebuah rumah atau hartanah. 

RUMAH 'LEASEHOLD'

Perlu difahami 'leasehold' atau pajakan merupakan jenis pegangan ke atas sesuatu milikan hartanah dalam tempoh masa tertentu. Tempoh pajakan ini biasanya dikeluarkan atau ditetapkan oleh kerajaan negeri atau Pejabat Tanah negeri tersebut. Tempoh biasa yang ditetapkan bagi rumah yang berstatus 'leasehold' ini adalah 99 tahun. Namun, terdapat juga tempoh pajakan yang lebih pendek iaitu 30 atau 60 tahun. Walau bagaimanapun, tempoh yang pendek ini biasanya tidak melibatkan rumah kediaman. 

HALAU KELUAR RUMAH

Ada yang tersilap faham dengan mengatakan apabila tempoh milikan tamat maka pemilik asal akan dihalau keluar oleh pihak berkuasa tempatan. Ini adalah mitos yang salah dan lebih parah jika ada yang mencadangkan jangan melabur atau membeli hartanah yang berstatus 'leasehold' ini. Kesannya, ada yang sanggup menunggu lama sehingga usia semakin meningkat hanya kerana mengharapkan status 'leasehold' idaman muncul kembali. Perlu difahami, ada kemungkinan tanah yang berstatus 'leasehold' menjadi hakmilik negeri setelah tempoh milikan tamat. Namun, ia bukanlah semudah itu pihak berkuasa negeri mahupun kerajaan boleh mengambil dengan mudah tanah dan rumah tersebut begitu sahaja. Jika pihak kerajaan negeri benar-benar ingin mengambil tanah tersebut, pelbagai proses perlu dilalui dan saya percaya pampasan perlulah diberikan. Namun, ini jarang sekali berlaku dan kebiasaannya pemilik rumah akan diberikan peluang untuk memperbaharui atau memanjangkan tempoh pajakan tersebut. Namun, saya dimaklumkan terdapat bayaran yang dikenakan bagi memanjangkan lagi tempoh pajakan ini.

Leasehold atau Freehold
Rumah Kecil (Shrine) di Tepi Tasik

OBJEKTIF BELI RUMAH

Umumnya terdapat 2 objektif utama mereka yang membeli rumah atau hartanah:

Objektif #1 - Tinggal dan Pencen
Bagi mereka yang ingin tinggal menetap dan 'settle-down' kehidupan di lokasi tersebut, pemilihan 'freehold' atau milik kekal ini adalah yang paling ideal. Pemilik rumah berstatus 'freehold' tidak perlu memikirkan kelangsungan rumah tersebut kerana ia merupakan hakmilik kekal berbanding 'leasehold' yang bersifat milikan sementara.

Objektif #2 - Sewa atau Pelaburan
Bagi mereka yang berhasrat untuk menyewa atau menjadikan rumah yang dibeli sebagai pelaburan, status 'leasehold' bukanlah menjadi masalah utama. Ini kerana, kebanyakan hartanah yang berstatus 'leasehold' berada di lokasi yang strategik, mempunyai fasiliti dan kemudahan yang menjadi 'daya penarik' kepada bakal penyewa serta permintaan yang tinggi daripada para pembeli. Walaupun pada peringkat permulaan harga rumah baru bagi yang berstatus 'leasehold' kelihatan sedikit rendah berbanding 'freehold'. Namun, berdasarkan pengalaman saya rumah yang berstatus 'leasehold' ini harganya mudah melonjak naik berbanding 'freehold' kesan daripada kedudukan lokasi yang strategik.

TEMPOH PAJAKAN RUMAH

Sebagai panduan buat mereka di luar sana yang dilema untuk memilih di antara 'leasehold' dan 'freehold' khususnya pelajar saya yang sedang berkira-kira untuk membuat pilihan, barangkali 3 situasi ini boleh dijadikan panduan:

Situasi #1: Tempoh 70 Tahun Ke Atas
Jika rumah berstatus 'leasehold' yang bakal dibeli masih berbaki 70 tahun ke atas (tempoh pajakan) dan harga yang ditawarkan oleh pemilik asal masih berbaloi barangkali boleh dipertimbangkan untuk dibeli. Namun, perlu dipastikan terlebih dahulu rumah tersebut 'benar-benar' berada dalam kondisi yang baik. Maklumlah rumah yang sudah berusia lebih 29 tahun (99 tahun - 70 tahun = 29 tahun) sudah tentu dimakan usia dan memerlukan wang untuk dibaik pulih. Teringat pengalaman salah seorang rakan saya yang tidak menyangka banyak kerosakan setelah membeli rumah 'subsale' kerana tidak dapat melihat keseluruhan rumah tersebut semasa ia dipenuhi perabot. Kesannya, setelah rumah 'subsale' kosong dan proses pembelian selesai barulah dapat dilihat kondisi sebenar rumah tersebut. Selain itu, sebaiknya juga bertanya terlebih dahulu kepada pihak bank sama ada pinjaman rumah akan diberikan atau tidak terhadap rumah 'leasehold' yang bakal dibeli.

Situasi #2: Baki Kurang 60 Tahun
Jika baki tempoh pajakan milikan rumah tersebut kurang daripada 60 tahun, sebaiknya carilah alternatif rumah lain yang lebih baik. Ini kerana, kebiasaanya rumah-rumah yang berstatus 'leasehold' yang tempohnya kurang daripada 60 tahun menghadapi kesukaran bagi mendapatkan pinjaman daripada pihak bank. Namun, tidak dinafikan terdapat juga pinjaman yang diluluskan khususnya bagi rumah-rumah berstatus 'leasehold' yang mempunyai permintaan yang tinggi. Oleh itu, sebaiknya rujuk terlebih dahulu daripada pihak bank sama ada rumah tersebut boleh memperolehi pinjaman perumahan atau tidak. Dinasihatkan proses ini dilakukan SEBELUM rundingan lanjut dan pemberian deposit dibuat bagi pembelian rumah tersebut.

Situasi #3 - Harga dan Saiz Rumah Sama
Jika pemilihan rumah yang bakal dibeli menawarkan harga dan saiz rumah yang sama cuma berbeza status 'leasehold' atau 'freehold'. Maka, sudah pasti senang dalam membuat keputusan dengan mengambil rumah berstatus 'freehold' merupakan pilihan yang ideal dan terbaik. Namun, jika rumah berstatus 'freehold' yang bakal dibeli berada di kedudukan yang terlalu jauh daripada kemudahan seperti sekolah dan kemudahan asas yang lain, barangkali 'leasehold' masih boleh dipertimbangkan. Bagi saya rumah adalah tempat berlindung. Sama ada 'leasehold' mahupun 'freehold' fungsi rumah masih sama. Janganlah membuat kesilapan dengan hanya melihat status rumah sebagai 'faktor utama' dalam membuat keputusan.

Leasehold atau Freehold
Leasehold atau Freehold

RUMAH 'FREEHOLD'

Tidak dinafikan rumah berstatus 'freehold' ini ada kelebihannya berbanding 'leasehold'. Antaranya:

Kelebihan #1 - Tiada Sekatan Kepentingan
Rumah berstatus 'leasehold' tiada sekatan kepentingan daripada mana-mana pihak. Oleh itu, rumah yang berstatus 'freehold' dan berada di lokasi yang strategik mempunyai kebolehpasaran yang meluas.

Kelebihan #2 - Tiada Tempoh Milikan
Sepertimana yang kita ketahui, pemilikan rumah berstatus 'freehold' ini tiada tempoh milikan tertentu berbanding rumah yang berstatus 'leasehold'.
 
Kelebihan #3 - Proses Tukar Hakmilik Cepat
Berdasarkan pengalaman peribadi, urusan pembelian rumah yang berstatus 'freehold' ini lebih mudah dan tempoh masa yang diambil agak pendek. Ini disebabkan pihak peguam yang dilantik bagi pembelian tersebut tidak perlu melalui sekatan kepentingan sama ada daripada pejabat tanah negeri atau agensi lain.

Kelebihan #4 - Pelaburan Lebih Baik
Secara peribadi, jika kita dapat membeli rumah berstatus 'freehold' yang berada di lokasi yang strategik, persekitaran yang kondusif dan selamat serta mempunyai kemudahan asas yang baik ia boleh dianggap sebagai bonus dan pelaburan yang baik untuk jangka masa panjang.

KEWANGAN RUMAH

Rumah sama ada 'freehold' atau 'leasehold' dari aspek fizikalnya adalah sama. Fungsinya juga tetap sama sebagai tempat berteduh dan melakar memori kehidupan bersama ahli keluarga. Perlu disedari, pembelian rumah khususnya untuk tinggal sendiri melibatkan aspek kewangan dan pengiraan matematik. Ia bukan hanya emosi dan status milikan semata-mata. Apa guna memiliki rumah tetapi bayaran bulanan di bank sehingga 'mencekik' kewangan kita setiap bulan. Rumah perlu dinikmati bukanlah diratapi dengan tanggungan yang membebankan. Rumah juga bukanlah penjara dan tempat persinggahan untuk tidur setelah penat pulang dari tempat kerja. Sebagai contoh, ada rakan saya yang terpaksa menempuh perjalanan yang jauh dan tinggal dipersekitaran yang kurang selamat hanya kerana melihat status milikan sahaja dalam pembelian hartanah.

FAKTOR PEMBELIAN RUMAH

Bagi mereka yang memilih untuk menetap di rumah tersebut sama ada sementara atau 'settle-down' kehidupan disitu terdapat faktor-faktor lain yang turut perlu dipertimbangkan selain daripada status 'freehold' atau 'leasehold'. Secara peribadi, saya memilih rumah yang berada di lokasi yang strategik dengan kemudahan seperti sekolah, masjid atau surau, kejiranan yang baik, keselamatan dan persekitaran yang kondusif. Nasihat saya khususnya buat golongan muda, usahlah status 'leasehold' atau 'freehold' ini menjadi penghalang dalam membuat keputusan bagi membeli hartanah. Ramai juga di kalangan kita yang melihat ia sebagai 'batu lonjatan' dan bukannya 'batu penghalang'. Usahlah juga terlalu memikirkan sesuatu yang tidak terjangkau dek akal fikiran bagi meramalkan apa yang bakal berlaku pada 99 tahun akan datang. Teringat pesanan sensei saya, "Isma, tiada siapa yang boleh meramalkan apa yang bakal berlaku pada masa hadapan. Tugas kita hanyalah melaksanakan yang terbaik apa yang ada ditangan pada hari ini".

Sekadar perkongsian dari kejauhan. Sayonara! Sampai jumpa lagi. 

Thursday, March 3, 2016

Hinamatsuri: Akuilah Kelemahan Sendiri!

Hutang dan Kewangan
Source Photo: http://www.littlepassports.com

BAHASA JEPUN

Semalam isteri saya berkesempatan mengikuti program 'Hinamatsuri' anjuran kelas Bahasa Jepun (nihongo) yang dianjurkan secara percuma oleh pihak 'cityhall'. Aktiviti 'Hinamatsuri' ini disambut awal sehari yang selalunya disambut oleh masyarakat Jepun pada setiap 3 Mac. Memandangkan minggu depan adalah minggu peperiksaan kelas nihongo, maka Hinamatsuri pada kali ini dibuat lebih awal sebagai pendedahan buat pelajar. Sepanjang saya berada di sini, isteri saya yang paling banyak menguasai nihongo dan terlibat dengan program-program berkaitan kebudayaan Jepun. Oleh itu, bagi memudahkan perjalanan isteri saya ke kelas nihongo dan sebagai langkah penjimatan, basikal turut dihadiahkan buat isteri. Namun, ingatkan berjimat, lagi banyak singgah ke kedai mahupun pasaraya apabila berbasikal. Suka hatilah asalkan bahagia. Sebelum terlupa, 'Hina' dalam bahasa Jepun bermaksud 'Sang Puteri' atau 'anak-anak perempuan'.

LEVEL 2

Alhamdullilah, minggu depan tamatlah sudah 'Level 2' kelas nihongo isteri dan teringat apa yang dipesankan oleh sensei saya semasa mula-mula mendaftar sebagai pelajar di Tohoku Universiti. Masih tersemat kata-kata beliau "Isma, dalam keluarga kamu mesti ada sekurang-kurangnya satu orang yang boleh berkomunikasi dalam nihongo (Bahasa Jepun). Kamu akan lebih mudah dan senang berada di sini". Setelah 6 bulan, sensei saya bertanya lagi "Isma, macamana dengan keluarga kamu? Ada sesiapa yang tahu nihongo?" Jawab saya, "keluarga saya semua baik sensei. Mereka semua sudah boleh berkomunikasi dalam nihongo dengan baik kecuali saya". Kata sensei saya, "subarashi (hebat) Isma! Sekarang awak sudah senang dan boleh fokus kepada penyelidikan di sini". Saya dan sensei ketawa bersama-sama. 

HINAMATSURI

Hutaang dan Kewangan
Google 'Hinamatsuri'
Hari ini 3 Mac merupakan tarikh perayaan dan kepercayaan orang-orang Jepun dalam menyambut perayaan Hinamatsuri (雛祭り, ひなまつり) iaitu Perayaan Patung (Doll Festival) atau Perayaan Perempuan (Girl's Festival). Menurut kepercayaan orang Jepun, perayaan ini disambut di dalam rumah bersama keluarga bagi mendoakan kebahagiaan dan kesihatan anak-anak perempuan mereka. Dimaklumkan pada hari ini orang Jepun yang mempunyai anak perempuan akan mengeluarkan patung-patung yang memakai pakaian diraja Jepun pada zaman Dinasti Heian (794-1192). Patung-patung ini disusun mengikut tahap dan paling atas merupakan raja dan pemaisuri. Diikuti puteri-puteri istana atau anak-anak perempuan, dayang-dayang dan seterusnya para menteri istana di raja.

DOLL FESTIVAL

Patung-patung ini akan dipamerkan di dalam rumah dan akan disimpan semula di dalam almari pada keesokan harinya. Ini kerana masyarakat Jepun percaya jika patung-patung tidak disimpan semula, anak-anak perempuan mereka akan menerima nasib malang dan susah mendapat jodoh. Kini, perayaan ini dikatakan tidak lagi disambut sepenuhnya oleh masyarakat Jepun. Hinamatsuri kini lebih kepada sebagai salah satu kebudayaan dan kebanggaan masyarakat Jepun. Pada hari ini, mereka yang terlibat dengan program dan sambutan 'Hinamatsuri' ini akan turut memakai 'kimono'. Pernah saya kongsikan sebelum ini perbezaan di antara 'Kimono' dan 'Yukata'Sudah tentu Hinamatsuri ini bertentangan dengan ajaran Islam, namun coretan ini sekadar perkongsian salah satu kebudayaan Jepun yang pernah kami diberikan pendedahan semasa di sini.   
Source Photo: https://id.wikipedia.org

MAHU KAYA

Sewaktu saya mendengar cerita panjang lebar berkaitan Hinamatsuri daripada isteri, secara tiba-tiba saya mendapat idea bagi tajuk perkongsian kali ini iaitu 'Akuilah KELEMAHAN Sendiri!'. Teringat perkongsian dalam buku yang ditulis oleh Robert T. Kiyosaki yang bertajuk 'Rich Dad's Guide to Becoming Rich'. Antara yang diperkatakan oleh beliau adalah:
"Ramai Orang Mahu Menjadi Kaya, Tetapi Mereka Tidak Suka Membayar Harganya"  
Saya percaya ramai diantara kita yang sudah membaca buku-buku, blog-blog, perkongsian sama ada di media sosial seperti facebook dan pelbagai lagi mengenai cara-cara untuk menjadi kaya atau juga boleh dikatakan senang pada masa hadapan. Selalu sahaja kita mendengar atau orang menasihatkan kita untuk berjimat-cermat dengan 'hidup di bawah kemampuan'. Barangkali juga pernah kita mendengar orang menasihatkan kita untuk potong kad kredit sebagai langkah untuk kita tidak terjebak dengan perangkap hutang. Ramai juga telah menasihatkan kita untuk membeli 'kediaman' dan bukannya 'kereta idaman', ubahlah 'gaya hidup' yang meningkatkan 'sara hidup', kenalpasti 'Hutang Mahu' atau 'Hutang Perlu' ataupun pelbagai nasihat mahupun strategi ke arah menuju kekayaan.

TITIK PERSAMAAN

Pernah juga saya terbaca perkongsian daripada mereka yang berpengalaman dalam hartanah, emas, saham, ASB dan pelbagai lagi termasuklah skim cepat kaya yang berkongsikan cara, teknik mahupun strategi dalam menuju puncak kekayaan. Idea-idea mereka ini cukup hebat dan ada kala saya sendiri terasa rugi  kerana tidak mendapat pendedahan di awal usia berkaitan strategi dan teknik-teknik ini (kecuali skim cepat kaya). Namun, kesemua teknik dan strategi ini dilihat seakan bertemu di satu titik persamaan. Sebagai contoh, ada yang memberikan cadangan supaya menggunakan teknik manipulasi ASB untuk membina simpanan dan kekayaan pada masa hadapan. Ada juga yang mencadangkan agar membeli rumah lelong untuk dijadikan pelaburan atau menjana pendapatan pasif (passive income). Begitu juga ada mereka yang memberikan saranan untuk menyimpan sekurang-kurangnya 1 gram emas bagi setiap bulan. Kesemua strategi tersebut dilihat seakan bertemu disatu titik yang sama iaitu 'Simpanan' dan 'Berjimat Cermat'. Ini bermakna, sememangnya membuat 'Simpanan' dan 'Berjimat Cermat' merupakan nasihat yang wajar dan boleh dikatakan langkah pertama bagi menuju ke destinasi yang dinamakan 'kekayaan'.

AKUILAH KELEMAHAN

Hutang dan Kewangan
Basikal Isteri Saya

Namun, disebalik kesemua teknik dan strategi tersebut dalam menuju ke arah kekayaan mahupun kejayaan masih ramai yang tidak mahu membayar 'harganya' dengan mengakui kelemahan sendiri. Mereka tidak tahu dan tiada ilmu (kelemahan), namun malas membaca dan belajar dalam memperbaiki kelemahan sendiri. Kita tidak mampu (kelemahan), namun tidak juga mahu meningkatkan taraf hidup dan mengubah gaya hidup kita. Kita juga sedia maklum yang jalannya susah dan panjang dalam menuju kekayaan serta kejayaan. Namun, ramai yang tidak sanggup untuk menempuhi kesusahan dan tempoh masa yang panjang. Kita sudah tahu dan mengiyakan kesemua nasihat serta strategi yang dikongsi, namun berapa ramai yang mengakui kelemahan diri dan memulakan langkah untuk membuat perubahan diri sendiri. Akhirnya, masih ramai dikalangan kita yang terus berada di tahap yang sama dan lebih malang tetap mengambil jalan singkat dalam menuju ke arah kekayaan dan kejayaan. Sebagai contoh, masih ramai di kalangan kita yang tidak serik dengan memilih skim cepat kaya dan pelbagai scam lagi dalam menuju ke arah kekayaan. Akhirnya, berputih mata dan mengalir air mata darah pun tidak berguna juga!

KELEMAHAN DIRI

Akhir kata, akuilah kelemahan diri sendiri dan usahlah berterusan menyalahkan orang lain. Selepas akui, atasi dan cari jalan dalam memperbaiki kelemahan tersebut kerana halangan yang paling besar dalam menuju puncak kejayaan dan kekayaan adalah 'diri kita sendiri'. Atas sebab itulah dalam memajukan diri perlu dimulakan dengan menyedari dan mengakui kelemahan sendiri. Pesanan sensei saya, orang yang tahu dan mengakui kelemahan diri sendiri akan lebih berjaya. Ini kerana dalam kehidupan sebenar, orang yang paling banyak mengakui kelemahan sendiri, akan terus belajar, tidak terus berbohong, menafikan, menipu mahupun menyalahkan orang lain di atas kegagalan mereka. Bersamalah kita memulakan langkah pertama dengan mengakui kelemahan yang kita ada. Sebagai contoh, saya mengakui tidak pernah belajar software Matlab bagi kegunaan kajian saya, maka saya akui kelemahan dan terus mencari guru yang boleh mengajar walaupun daripada adik-adik 'undergraduate'. Saya sudah 'Akui KELEMAHAN Sendiri', anda pula bagaimana?

Sekadar perkongsian dan motivasi buat diri sendiri dari kejauhan.

Sayonara! Sampai jumpa lagi.  
Tudung kanak-kanak