|
Bangunan 'Laborartory' Saya |
PEMBENTANGAN AKHIR
Semalam 2 orang rakan saya di 'laboratory' dengan jayanya telah membuat pembentangan akhir (viva) hasil penyelidikan sarjana (master) mereka dihadapan para panel. Setelah pembentangan dan perbincangan bersama sensei, tersenyum puas mereka apabila secara rasmi tamatlah sudah pengajian 'master' dan kini bermulalah perjalanan kerjaya mereka. Nakada-san dan Haga-san yang telah banyak membantu saya semasa berada di sini, telah membuat keputusan untuk memilih berkerja di kaisha (syarikat).
GAMBAR KENANGAN
Setelah selesai sesi pembentangan tersebut, mereka bergambar bersama sensei sebagai tanda kenangan. Rakan saya dari Indonesia lantas berkata, "Pak Isma, bergambarlah bersama sensei". Jawab saya, "InsyaAllah, apabila tamat pengajian nanti saya akan bergambar bersama sensei". Kami ketawa bersama dengan harapan dan doa agar kami juga dapat bergraduan dengan jayanya serta berpeluang bergambar bersama sensei sebagai kenangan.
SOUBETSUKAI
Sepertimana perkongsian saya sebelum ini di
Saubetsukai: 6 Petanda Pokai, bulan Februari dan Mac akan kelihatan majlis perpisahan
(farewell party) atau lebih dikenali sebagai
'soubetsukai'. Kebiasaanya, majlis ini akan dianjurkan oleh kouhai
(junior) bagi meraikan senpai
(senior) mereka. Begitu juga terdapat adik-adik 'undergraduate' Malaysia yang turut akan pulang ke tanahair bagi meneruskan perjalanan kehidupan mereka. Buat mereka yang bakal bergraduan, barangkali boleh meletakkan matlamat untuk memiliki
'Rumah Pertama' sebelum usia 30an. Janganlah leka dan salah mengatur kewangan sehingga terpesona dengan gaji atau pendapatan yang diperolehi. Dikhuatiri jika tersalah percaturan, kehidupan berkerjaya hanya digambarkan seperti pantun dua kerat:
"Pergi Pagi Pulang Petang,
Cukup Bulan Bayar Hutang"
RUMAH LELONG
|
Model Sebenar Bangunan 'Laboratory' Saya di Tohoku Universiti |
Teringat nostalgia lalu apabila 'Rumah Pertama' yang saya beli merupakan rumah lelong dengan harga RM70,000 (bukan rumah kos rendah). Kini saya dimaklumkan nilai semasa rumah tersebut melebihi RM250,000. Syukur Alhamdullilah ke hadratNya kerana ada rakan yang baik hati ingin memberikan nasihat dan menggalakkan saya untuk berani memulakan langkah pertama dengan membeli rumah lelong sebagai rumah pertama. Kini dalam usia saya yang sedang menginjak ke 40an, rumah tersebut bukan sahaja menjana pendapatan pasif, malah telah menjadi aset yang sangat berharga sama ada untuk saya membuat pelaburan atau mencapai matlamat kewangan yang lain. Atas pengalaman peribadi ini, saya terpanggil untuk memberikan nasihat buat adik-adik yang baru bergraduan agar fikir-fikirkan juga untuk meletakkan matlamat memiliki rumah pertama sebelum usia 30an. Lagi awal adik-adik membeli 'Rumah Pertama' adalah lebih baik. Namun perlu juga diingatkan terdapat perbezaan yang ketara di antara 'Rumah Pertama' dan 'Membeli Rumah'. Barangkali perkongsian sebelum ini
'Rumah Pertama' vs 'Rumah Impian' boleh dijadikan panduan.
8 SEBAB
Terdapat 8 sebab kenapa saya menggalakkan dan perlunya adik-adik untuk memiliki rumah pertama sebelum usia 30an. Antaranya:
Sebab #1: Kurangkan Duit 'Bocor'
Apabila sudah ada komitmen membayar rumah, maka kebocoran duit dapat dielakkan. Selalunya apabila duit kelihatan banyak ditangan, maka mulalah datangnya penyakit 'gatal tangan'. Pantang nampak, 'gatal tangan' sahaja untuk membeli barang yang berkenan dihati. Dikhuatiri perbelanjaan yang selama ini dianggap keperluan, rupa-rupanya lebih kepada kemahuan. Lebih parah, 'terbeli' kereta kononnya mengikut kemampuan, akhirnya duit 'bocor' tanpa haluan.
|
Suasana Dalaman 'Laboratory' Yang Bakal Di Rindui Haga-san dan Nakada-san |
Sebab #2: Komitmen Masih Rendah
Mereka yang baru bergraduan dan masih bujang biasanya komitmen bulanan masih rendah berbanding mereka yang sudah berkeluarga dan telah mempunyai anak-anak. Apabila komitmen masih rendah, kelulusan pinjaman di bank juga biasanya juga lebih mudah.
Sebab #3: Tawaran Ansuran Bulanan Menarik
Pada usia yang masih muda, kebiasaanya pihak bank akan memberikan tempoh pinjaman yang lama. Ini secara tidak langsung, akan dapat mengurangkan komitmen bulanan yang perlu dibayar kepada pihak bank. Namun, apabila usia sudah meningkat seperti saya, tempoh pinjaman yang diberikan mulai semakin pendek. Maka, sudah pasti komitmen bulanan yang perlu dibayar oleh saya juga adalah tinggi.
Sebab #4: Perlindungan Hartanah Rendah
Bagi mereka yang membeli rumah diusia yang muda, bukan sahaja bayaran bulanan di bank juga rendah. Bahkan, bayaran takaful/insurans (perlindungan hartanah) yang lebih dikenali sebagai MRTT/A atau MLTT/A juga akan turut rendah. Bagi muslim, sebaiknya pilihlah perbankan Islam dan takaful (perlindungan Islamik) bagi pembiayaan dan juga melidungi hartanah anda. Barangkali ada yang berkata perbankan Islam di Malaysia masih belum sepenuhnya Islamik atau ada juga yang mengatakan perbankan Islam merupakan 'backdoor' kepada riba dan perbankan konvensional. Bagi saya, biarkanlah 'si luncai terjun bersama-sama kesombongannya'. Jika tidak tahu, sebaiknya bertanyalah kepada ahli atau pakar dalam bidang tersebut. Ini bersesuaian dengan firmanNya yang bermaksud:
"Maka bertanyalah kepada ahlinya (orang-orang yang tahu atau pakar) jika kamu tidak mengetahui (keadaan sesuatu perkara)." (an-Nahl:43)
Sebab #5: Harga Rumah Semakin Naik
Saya sangat yakin tiada siapa yang boleh memberikan
'tarikh tepat' bila harga rumah akan turun. Sebelum ini saya pernah kongsikan dalam
Harga Rumah Turun: Takdir atau Tadbir? Saya sendiri bukanlah pakar dalam membuat analisis dan meramalkan harga rumah akan turun. Namun, berdasarkan pengalaman sebagai orang tua yang kini semakin menginjak ke usia 40an. Rumah-rumah yang terletak berhampiran dengan bandar, kemudahan, infrastruktur seperti sekolah, pengangkutan, dan lain-lain biasanya akan terus meningkat. Boleh jadi rumah atau kondominium mewah boleh turun harganya sedikit kesan daripada situasi ekonomi semasa. Namun, bagi mereka yang 'biasa-biasa' atau berpendapatan sederhana kategori rumah atau kondominium mewah ini masih belum mampu dimiliki walaupun harganya turun sedikit. Sangat dikhuatiri, rumah yang kini 'mampu milik' pada hari ini hanya 'mampu tengok' dikemudian hari. Barangkali perkongsian
Rumah: Dari 'Mampu Milik' ke 'Mampu Tengok' boleh dijadikan bacaan dan panduan.
Sebab #6: Peluang Menjana Pendapatan Pasif
Rumah yang dibeli pada usia yang muda jika tahu caranya boleh menjana pendapatan pasif sama ada dengan menyewakan keseluruhan rumah tersebut atau mengikut bilik. Oleh kerana masih bujang, barangkali kita boleh mengambil bilik yang paling kecil dan bilik-bilik yang lain bolehlah disewakan. Jika cantik perkiraan, bayaran bulanan rumah tersebut akan ditanggung oleh penyewa atau mampu menjana pendapatan pasif.
Sebab #7: Boleh Membantu Orang Lain
Saya masih ingat penyewa rumah saya yang pertama adalah pemilik asal rumah lelong yang saya pernah beli. Saya turut simpati dengan nasib yang menimpa beliau sekeluarga dan saya sendiri telah menawarkan semula rumah tersebut kepada pemilik asal. Namun, beliau memaklumkan kepada saya yang beliau mempunyai perancangan lain. Atas perbincangan bersama, beliau bersetuju menyewa rumah tersebut dengan nilai yang sama sepertimana yang saya perlu membayar kepada pihak bank. Bahasa yang mudah tiada 'mark-up selling' dan tiada juga 'positive cash flow'. Cukuplah saya berasa bertuah kerana terpilih untuk dapat juga membantu beliau sekeluarga. Bagi mereka yang mampu menjana 'positive cash flow', barangkali bolehlah duit lebihan tadi untuk dijadikan 'tambah nilai' bagi bersedekah. Pesanan guru saya, apabila kita ada banyak sumber rezeki yang lain, maka lebih mudah untuk kita memberi dan juga bersedekah.
Sebab #8: Belajar Hidup Di BAWAH Kemampuan
Oleh kerana sudah ada pinjaman perumahan di awal usia, ia juga boleh mengajar kita untuk 'Hidup di
BAWAH Kemampuan'. Umumnya terdapat 3 kategori cara hidup yang sering menjadi pilihan. Ada yang suka #1 'Hidup
PADA Kemampuan' dan ada yang lebih parah mengamalkan untuk #2 'Hidup di
ATAS Kemampuan'. Kenapa tidak memilih untuk #3 'Hidup di
BAWAH Kemampuan'? Saya pernah kongsikan perbezaan ketiga-tiga cara hidup ini dalam
6 Sebab Gaji Tak 'Cukup-Cukup'.
KONVO DI JEPUN
Saya dimaklumkan konvokesyen di universiti Jepun tidaklah 'semeriah' di universiti-universiti tanahair yang penuh dengan adat-istiadat konvokesyen. Turut dimaklumkan, hanya seorang sahaja wakil bagi setiap program pengajian yang akan naik ke atas pentas bagi mengambil
'scroll' sebagai tanda tamatnya pengajian di sini. Saya sendiri belum pernah mengalaminya sendiri. Namun, selalu saya ingatkan diri bahawa proses mencari ILMU dalam kehidupan tidak akan berhenti walaupun setelah kita bergraduan. Barangkali kata-kata ini boleh dijadikan sebagai 'slogan' kehidupan. Walaupun ada yang menyatakan ianya bukan hadis dan ada juga yang menyatakan ia merupakan hadis palsu. Namun bagi saya ia baik untuk kita jadikan amalan dan panduan hidup. Bersama-samalah kita dalam menghayati ungkapan ini:
"اُØ·ْÙ„ُبُوا العِÙ„ْÙ…َ Ù…ِÙ†َ المَÙ‡ْدِ Ø¥ِلى اللَّØْدِ"
"Tuntulah ilmu dari buaian hingga ke liang lahat"
Sekadar perkongsian dari kejauhan.
Sayonara! Sampai jumpa lagi.