Harga Rumah Jatuh: Takdir atau Tadbir? |
HARGA RUMAH JATUH?
Baru-baru ini seakan menjadi viral semula pandangan Professor Dr. Hoo Ke Ping yang merupakan seorang Pakar Penganalisa Ekonomi dalam rancangan Nasi Lemak Kopi O yang telah bersiaran pada 27 Disember 2014. Walaupun pandangan ini sudah agak lama, kini setelah pembentangan Baget Malaysia 2016 baru-baru ini kenyataan beliau seakan diambil perhatian semula lebih-lebih lagi apabila kita kini menghampiri beberapa bulan menjelang tahun baru 2016. Berdasarkan pandangan beliau, 2016-2017 diramalkan bakal turunnya harga rumah.
Pandangan Prof. Dr. Hoo Ke Ping di Nasi Lemak Kopi O pada 27/12/14 |
RUMAH DAN HARTANAH
Pada 27 Oktober 2015 lalu, Majalahniaga.com antara media yang turut membawa isu berkaitan harga rumah akan jatuh dengan mengambil pandangan berbeza daripada Dr. Azizul Azli Ahmad yang merupakan salah seorang ahli akademik di UiTM dan juga terlibat dalam pelaburan hartanah. Saya pasti pandangan Prof. Dr. Hoo dibuat berdasarkan kepakaran dan pengalaman beliau. Begitu juga pandangan daripada Dr. Azizul Azli Ahmad juga perlu diberikan perhatian dalam 'memandu' golongan muda membuat keputusan memiliki hartanah dan merancang kewangan mereka.
MILIKI RUMAH: TAKDIR ATAU TADBIR?
Saya sedikit khuatir kerana terdapat segelintir di kalangan golongan muda khususnya bekas pelajar saya yang hanya mengambil kenyataan Professor Dr. Hoo tersebut tanpa membaca dan melihat maksud sebenar kenyataan beliau. Sebagai contoh, terdapat mereka yang hanya berserah kepada TAKDIR dengan harapan harga rumah akan turun pada tahun hadapan. Lebih parah lagi, pandangan tersebut terus diambil 'bulat-bulat' dan dikongsi (share) dalam media sosial yang lain tanpa dihayati sepenuhnya maksud sebenar kenyataan asal beliau.
Baget 2016 'Mensejahterakan Kehidupan Rakyat' |
BELILAH RUMAH
Sebelum ini saya pernah kongsikan berkaitan membeli rumah dalam perkongsian 'RUMAH PERTAMA' VS 'RUMAH IMPIAN' dan BELILAH 'KEDIAMAN' DAN BUKANNYA 'KERETA IDAMAN'. Saya secara peribadi sangat menggalakkan agar golongan muda memiliki sekurang-kurangnya satu hartanah. Bila ada ilmu yang mantap, bolehlah melangkah lebih jauh dengan memiliki berapa buah rumah atau hartanah yang lain. Jangan terlalu berharap dan berserah sepenuhnya kepada TAKDIR.
REALITI HARGA RUMAH
Realitinya, sebelum saya meninggalkan Malaysia untuk melanjutkan pengajian di Jepun pada akhir 2014 kelihatan kebanyakan rumah di sekitar kawasan perumahan saya di Bandar Seri Putra sangat sukar untuk mencari rumah yang harganya turun. Begitu juga dengan kawasan perumahan baru di Seremban dan Senawang menunjukkan harga rumah terus melonjak naik. Jika pada 2016-2017, harga rumah turun sepertimana yang diramalkan saya percaya orang yang tidak hanya berserah kepada TAKDIR semata-mata akan menikmati dan berjaya merebut peluang tersebut.
TADBIR MEMILIKI RUMAH
Sebagai orang muda, membuat persiapan adalah lebih baik daripada hanya berserah kepada TAKDIR. Telah terbukti ramai mereka yang merasai kesenangan dan kekayaan pada masa kini adalah mereka yang mengamalkan prinsip TADBIR yang baik. Sebagai contoh, pesanan Professor tersebut turut menekankan akan sikap berjimat-cermat dan berbelanja mengikut keperluan. Berusaha dan berazam untuk tidak membuat hutang mudarat bagi mengelakkan diri daripada terjebak dengan perangkap hutang. Turut diingatkan agar membuat simpanan dalam menghadapi krisis ekonomi pada bila-bila masa. Melalui simpanan juga membolehkan kita membuat pelaburan pada masa hadapan. Kesemua ini boleh dicapai dengan hanya mengamalkan TADBIR urus yang baik terhadap kedudukan kewangan yang dimiliki pada masa sekarang.
RAMALAN HARGA RUMAH
Sebagai perbandingan, masyarakat di Jepun ramai yang menggunakan aplikasi ramalan cuaca dalam kehidupan seharian mereka. Oleh itu, penggunaan aplikasi ramalan cuaca seperti AccuWeather, The Weather Channel dan sebagainya telah menjadi kebiasaan bagi kami di sini. Namun, seringkali juga ramalan cuaca tersebut hanyalah sekadar ramalan. Oleh itu, saya berharap golongan muda yang masih belum memiliki hartanah tidak sekadar tunggu dan berserah kepada TAKDIR agar ramalan tersebut menjadi kenyataan. TADBIR dengan baik kewangan anda pada masa ini adalah lebih utama dalam memastikan TAKDIR yang lebih cerah pada masa hadapan.
RUMAH ADALAH ASET
Akhir kata, kenapa perlu terus menyewa rumah sedangkan anda mampu untuk membeli sebuah rumah. Kenapa perlu tunggu dan bergantung kepada ramalan harga rumah akan jatuh sedangkan anda boleh memilikinya pada masa sekarang. Kenapa terus dibiarkan diri terjebak dengan hutang sedangkan hutang membeli rumah langsung tidak diberikan perhatian. Membeli rumah yang kecil sebagai permulaan bukanlah satu kesalahan dan memalukan. Percayalah memiliki rumah di lokasi yang strategik akan meningkatkan lagi nilai aset yang anda miliki. Oleh itu, TADBIR urus kewangan anda adalah lebih penting daripada hanya berserah kepada TAKDIR.
Sekadar perkongsian dan pemerhatian dari kejauhan di Sendai, Jepun.
Harga Rumah Turun: Takdir atau Tadbir?
4
/
5
Oleh
Unknown
2 comments
Write commentsPerkongsian dan pandangan yang menarik tuan. Terima kasih.
ReplyTerima kasih Rizal kerana sudi singgah di blog ini. Semoga perkongsian ini bermanfaat. Bersamalah kita TADBIR urus kewangan kita daripada hanya berserah kepada TAKDIR.
Reply