Monday, November 2, 2015

Rumah: Dari 'Mampu Milik' ke 'Mampu Tengok'

Rumah: Dari 'Mampu Milik' Ke 'Mampu Tengok'
Rumah: Dari 'Mampu Milik' Ke 'Mampu Tengok'

HARGA RUMAH

Sebelum ini pernah saya kongsikan perkongsian HARGA RUMAH JATUH: REALITI ATAU FANTASI kesan daripada pandangan yang seakan 'viral' menyatakan harga rumah diramalkan akan jatuh pada 2016-2017. Dua hari selepas itu, saya turut kongsikan laporan hasil kajian Institut Kewangan Asia (AIF) di GEN Y: WANG DAN HUTANG mengenai golongan profesional berumur 20 hingga 33 tahun atau dikenali sebagai Gen Y yang kini bergelumang dengan hutang dan berhadapan kedudukan kewangan yang tidak stabil. 

RUMAH MAMPU MILIK

Rumah Mampu Milik
Report by Khazanah Research Institute (KRI)

Semalam saya berkesempatan membaca satu laporan daripada Institut Kajian Khazanah atau lebih dikenali sebagai Khazanah Research Institute (KRI). Laporan ini bertajuk "Mewujudkan Perumahan Mampu Miliki" dan kajian meliputi kondisi semasa di Malaysia dengan melibatkan keseluruhan 14 buah negeri di Malaysia. Laporan ini boleh dibaca dan dimuat turun di http://www.krinstitute.org. Berdasarkan laporan tersebut, harga rumah mampu milik yang ditawarkan pada masa kini masih belum 'mampu' dimiliki oleh kebanyakan penduduk Malaysia.

Rumah Mampu Milik
Sumber Gambar: http://www.thestar.com.my/ 

PERBANDINGAN HARGA RUMAH

Berdasarkan kajian tersebut mendedahkan harga rumah di Malaysia yang terlalu tinggi menyebabkan rakyat tidak mampu untuk memiliki rumah-rumah yang ditawarkan. Kajian ini dikira berdasarkan median harga rumah pada 4.4 kali berbanding median pendapatan tahunan isi rumah tahunan. Ia lebih tinggi berbanding median antarabangsa (Malaysia) bagi rumah mampu milik pada tiga kali pendapatan isi rumah tahunan. Kajian tersebut memberikan tumpuan khususnya kepada kawasan bandar yang lazimnya mempunyai populasi besar dan kemampuan pemilikan yang rendah. Melaka dicatatkan sebagai negeri yang mempunyai perumahan mampu milik dengan median tiga kali berbanding pendapatan isi rumah tahunan. Sementara Kuala Lumpur dan Pulau Pinang dicatatkan pada median 5.4 dan 5.2 masing-masing berbanding tahunan isi rumah. Ini secara tidak langsung, menjadikan ke dua-dua negeri tersebut (Kuala Lumpur dan Pulau Pinang) merupakan kawasan perumahan yang sangat tidak mampu dimiliki. Secara umumnya, rumah-rumah di negeri-negeri yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi dan diklasifikasikan sebagai strategik semakin tidak mampu untuk dimiliki.

TEKNOLOGI BINA RUMAH

Hasil laporan dan kajian tersebut turut diberikan beberapa cadangan, antaranya dicadangkan agar kerajaan mewujudkan mekanisma yang boleh mengawal faktor-faktor kenaikan harga rumah seperti memperkenalkan pendekatan moratorium bagi tempoh tertentu. Moratorium bermaksud tidak dibenarkan untuk memindah milik atau menjual rumah yang dibeli dalam tempoh tertentu tanpa kebenaran kerajaan. Jika cadangan ini dilaksanakan turut memberikan impak negatif dalam pemilikan hartanah bagi mereka yang bergiat aktif dalam pelaburan hartanah. Turut dicadangan untuk menggunakan teknologi dan teknik pembinaan rumah terkini yang membolehkan rumah dibina dalam tempoh yang cepat. Dimaklumkan di Filipina terdapat syarikat yang boleh membina rumah pasang siap dalam tempoh 14 hari. Ini akan dapat mengurangkan kos pembinaan dan seterusnya menurunkan harga rumah agar mampu dimiliki.

RUMAH OH! RUMAH

Rumah, Oh! Rumah
Bangau Oh! Bangau

Namun, saya pasti pelbagai cadangan boleh diberikan bahkan banyak pihak yang terlibat dalam memastikan harga rumah mampu dimiliki. Bagi mereka yang terus membuat alasan tidak mampu memiliki rumah atas sebab-sebab tertentu, sudah pasti versi baru lagu 'Bangau, Oh! Bangau' boleh bertukar kepada 'Rumah, Oh! Rumah'. Agak mudah untuk menyalahkan mana-mana pihak atau bersandarkan kepada pandangan yang belum pasti bagi memastikan harga rumah turun dan boleh dimiliki. Sedangkan tiada siapa tahu, tarikh dan tahun sebenar bila ramalan tersebut bakal menjadi kenyataan. Kita hanya mampu memiliki rumah yang 'mampu milik' jika kita bersedia untuk memiliki rumah dalam lingkungan baget yang kita mampu miliki. Ini kerana masih banyak lagi kaedah lain untuk seseorang memiliki sebuah rumah jika bersedia mencari ilmu dan mampu untuk mengubah gaya hidup kepada 'hidup di bawah kemampuan'. Tidak dinafikan peranan agensi atau mereka yang bertanggungjawab sangat perlu dalam memastikan harga rumah tidak terus melonjak naik. Namun, sebagai individu sudah pasti kita mampu untuk memiliki rumah yang 'mampu milik' dengan menggunakan sumber dan pendekatan lain yang masih terbuka luas. 

RUMAH LELONG

Sebagai contoh, pendekatan membeli rumah lelong juga boleh dijadikan alternatif untuk memiliki RUMAH PERTAMA. Teringat semasa hendak membuat keputusan untuk membeli sebuah rumah lelong di kala simpanan berada di 'paras hidung'. Harga rumah yang ditawarkan pada masa itu sekitar RM70,000 masih terasa mahal kerana gaji permulaan kerja agak rendah. Ditambah lagi pada masa itu baru sahaja menambah bilangan cahaya mata yang ke tiga. Oleh kerana khuatir kami tidak memiliki apa-apa hartanah, maka keputusan tetap dibuat bagi memastikan matlamat memiliki sekurang-kurangnya satu hartanah tercapai. Prinsip yang diamalkan, 'mulakan dulu, adjust kemudian'. Setelah memiliki rumah tersebut, tidak sangka setahun selepas itu kami melangkah lagi untuk memiliki rumah yang kedua di kala gaji bersih isteri tidak sampai RM1000. Sudah pasti prinsip 'hidup di bawah kemampuan' menjadi salah faktor kami berani membuat keputusan ini.

MILIKI RUMAH

Bukanlah saya hendak berbangga diri tapi hanya sekadar ingin berkongsi pengalaman yang sedikit dan sehalus hatsu yuki (permulaan salji). Saya juga menyedari tidak layak untuk mengajar tentang teknik rumah lelong atau teknik yang membolehkan anda memiliki rumah 'mampu milik' kerana di luar sana masih ramai 'otai' dan pakar dalam bidang ini. Saya sekadar ingin memberikan inspirasi agar golongan muda terus mencari ilmu dalam pengurusan kewangan termasuklah dalam membina harta dan bukannya berterusan menjana hutang. Diharapkan juga agar golongan muda tidak terus leka dan mengharapkan ramalan harga rumah akan jatuh atau berterusan menyanyikan lagi 'Bangau, Oh! Bangau' dalam versi baru 'Rumah, Oh! Rumah'. Jika masih berterusan dengan alasan dan menyalahkan orang lain, dikhuatiri rumah yang kini 'MAMPU MILIK' hanya 'MAMPU TENGOK' di kemudian hari.

Sekadar pandangan dan perkongsian dari kejauhan di Sendai, Jepun. 

Related Posts

Rumah: Dari 'Mampu Milik' ke 'Mampu Tengok'
4 / 5
Oleh

Perkongsian Akan Datang

Anda Suka 'Post' Ini? Anda Akan Lebih Suka 'Post' Yang Akan Datang:).

Menarik Lagi Tertarik! × +

Tudung kanak-kanak