Thursday, April 7, 2016

Ais Krim Gari Gari Kun di Jepun

Ais Krim Gari Gari Kun
Ais Krim Gari Gari Kun

ABANG 'SADO'

Sehingga hari ini, seakan belum reda isu tudung berjenama yang dikatakan viral dan mendapat tempat bukan sahaja di kalangan pelanggan wanita tetapi menjadi 'rebutan' dihati abang-abang 'sado'. Saya bangga ada bisnes orang kita yang berjaya sehingga terdapat pelanggan yang sanggup bermalam dan beratur panjang menanti tudung 'limited edition'. Terkini, tudung berjenama itu viral sekali lagi apabila ada pula yang mendedahkan sudah memiliki corak yang sama dengan tudung tersebut. Ironinya, pemilik bisnes terus mempertahankan strategi mereka walaupun kelihatan kurang mesra pelanggan dan tidak profesional. Takpalah biarkan 'si luncai terjun dengan labu-labunya'.

KISAH DI JEPUN

Di Jepun ini lain pula kisahnya. Dikala isu tudung terus viral dan menerima reaksi berbeza daripada orang awam hinggalah ke pak mufti, kami di sini lebih tersentuh dengan amalan berbisnes salah sebuah syarikat pengeluar ais krim milik orang Jepun. Ais krim ini tidaklah sehebat mana sampai perlu beratur. Apatah lagi sudah tentu tidak perlu bermalam dan berebut-rebut di antara lelaki dan perempuan. Harga ais krim yang diberi nama Gari Gari Kun yang ditawarkan oleh Syarikat Akagi Nyugyo hanyalah berharga 60 yen (bersamaan RM2.30++ setelah tax 8%).

60 YEN KE 70 YEN

Cukup kami tersentuh dengan tindakan pihak syarikat yang terasa sangat bersalah terhadap para pelanggan mereka kerana tidak berupaya mengekalkan harga 60 yen dan terpaksa dinaikkan kepada 70 yen sebatang. Menariknya, permohonan maaf bersungguh-sungguh itu dizahirkan secara terbuka dan menjadi iklan rasmi berbayar syarikat tersebut selama 2 hari pada Jumaat dan Sabtu baru-baru ini. Iklan tersebut disiarkan melalui siaran televisyen utama di seluruh Jepun.

PERMOHONAN MAAF

Paling terharu permohonan maaf tersebut turut disertai oleh pengurusan tertinggi Syarikat Akagi Nyugyo. Video di bawah yang boleh ditonton melalui Youtube memaparkan iklan pihak syarikat yang menggambarkan rasa amat bersalah kerana terpaksa menaikkan harga sebanyak 10 yen setelah tidak pernah naik semenjak 25 tahun yang lalu!




TANAHAIRKU

Jika di tanahairku strategi pemasaran berbentuk provokasi, berebut-berebut dan bersentuhan dianggap sebagai kaedah pemasaran yang berkebolehan melariskan produk. Namun, saya secara peribadi berasa lebih dihargai sebagai pelanggan dan dilayan dengan lebih bertamadun apabila melihat video iklan syarikat Jepun yang telah ditonton lebih 950,000 kali.

'THE MARKETING GURU'

Saya bermonolog sebentar sama ada terdapat teori pemasaran hasil tulisan Philip T. Kotler yang terkenal dengan jolokan 'The Marketing Guru' atau 'guru-guru' lain yang masih belum saya fahami atau terlepas pandang. Bagi saya secara mudah, jika tidak boleh menerima teguran dalam membuat penambahbaikan sistem SOP berbisnes dan mendekatkan lagi bisnes kepada operasi lebih patuh syariah. Ada baiknya kita mengambil ibrah daripada kisah syarikat di negara Matahari Terbit yang lebih merendah diri dan berpijak di bumi nyata.

PENGAJARAN

Barangkali kisah ais krim Gari Gari Kun keluaran Syarikat Akagi Nyugyo ini boleh dijadikan pengajaran buat kita daripada berterusan mencemuh atau memberikan idea penambahbaikan kepada mereka yang tidak mahu mendengarnya.

Sekadar perkongsian dari kejauhan.

Sayonara! Sampai jumpa lagi.

Related Posts

Ais Krim Gari Gari Kun di Jepun
4 / 5
Oleh

Perkongsian Akan Datang

Anda Suka 'Post' Ini? Anda Akan Lebih Suka 'Post' Yang Akan Datang:).

Menarik Lagi Tertarik! × +

Tudung kanak-kanak