Wednesday, April 27, 2016

Kanser Tahap 4

kancer tahap 4, rumah subsale
Musim Bunga di Sendai, Jepun

MOTIVASI KEWANGAN

Semenjak saya kongsikan serba sedikit perkongsian di laman 'muka buku' berkaitan cerita-cerita motivasi kewangan, ramai juga di kalangan rakan yang bertanyakan berkaitan isu pengurusan kewangan dan pembelian rumah pertama. Terbaru, saya mendapat mesej daripada bekas pelajar yang bertanyakan mengenai cara membeli rumah 'subsale'. Saya sedikit terkesan kerana tidak menyangka pemilik kepada rumah yang bakal dibeli oleh 'ex-student' saya ini merupakan rakan sekerja yang pernah saya kenali. 

KANSER TAHAP 4

Saya sedikit terkesan kerana tidak menyangka pemilik kepada rumah yang bakal dibeli oleh bekas pelajar saya ini merupakan rakan sekerja yang pernah saya kenali. Kanser tahap 4 yang dihidapi oleh pemilik rumah ini hanya diketahui daripada bekas pelajar saya yang bertanyakan proses pembelian rumah tersebut.

Tahap Kancer (Source: http://www.md-health.com/)

Terdapat beberapa pengajaran buat kita semua.

#1 TAKAFUL

Saya dimaklumkan pemilik rumah terpaksa menjual rumahnya kerana memerlukan duit bagi rawatan kanser tahap 4.Iktibar yang kita perlu ambil disini, peruntukan juga sedikit wang bagi perlindungan takaful/ insurans khususnya bagi penyakit kritikal. Diwaktu muda, premium yang perlu dibayar masih rendah dan murah. Saya sendiri tidak tahu nasib saya sekeluarga di masa hadapan. Atas sebab itu saya galakkan untuk memilih pelan takaful/ insurans yang tidak membebankan kita. Saya yakin ramai di kalangan pelajar dan rakan di 'muka buku' yang menjadi perunding takaful/ insurans. Oleh itu, sebagai agen berikan nasihat yang ikhlas dan bukan kerana komisyen semata-mata. Hanya pelan takaful/ insurans yang benar-benar diperlukan dicadangkan kepada bakal prospek/ client. Manakala, sebagai muslim jadikanlah takaful sebagai pilihan utama.

#2.  PELUANG DAN SIMPANAN

Oleh kerana pemilik rumah ini agak terdesak, beliau menjual rumah tersebut dengan harga RM150K. Harga ini dijual dibawah harga pasaran. Saya sangat memahami harga rumah di sini kerana saya juga memiliki rumah di kawasan ini. Terkini, rumah yang sama (apartment) dijual dengan harga RM200K! Ada kala peluang terbuka didepan mata. Namun, disebabkan tiada simpanan boleh jadi kita terlepas peluang yang baik ini. Ex-student saya hanya ada RM3K simpanan tunai dan RM3K di Akaun 2 KWSP. Mujur sekarang ini ada beberapa bank yang menawarkan skim rumah pertama dengan pakej 'zero entry cost'. Saya galakkan beliau memohon dengan segera. Sebab itu sangat digalakkan perlu ada simpanan bersamaan 3-6 bulan gaji. Boleh juga menjadikan emas sebagai simpanan kerana pada waktu seperti ini boleh digunakan. Saya selalu ingat pesanan guru saya, peluang masih terbuka luas jika kita ada tabungan simpanan.
Rumah subsale
Hasrat Membeli Rumah 'Subsale'

#3.  RUMAH 'SUBSALE'

Masih ramai yang tidak nampak kelebihan membeli rumah subsale atau orang selalu sebut rumah '2nd hand'. Saya pernah membeli rumah secara lelongan dan subsale. Antara kelebihan subsale kita boleh berunding dengan pemilik. Saya cadangkan ex-student saya ini berunding dengan pemilik rumah untuk berikan deposit sekadar yang dia mampu. Tidak semestinya 10%. Mohon juga kebenaran pemilik rumah untuk buat 'mark-up loan' disebabkan pemilik rumah menjual dibawah harga pasaran. Semua ini boleh dilakukan sebab saya sendiri pernah gunakan kaedah ini. Tiada yang mustahil.

#4. PEGUAM BUDIMAN

Saya percaya masih ramai peguam budiman yang boleh memberikan nasihat yang tidak salah disisi undang-undang bagi membantu mereka dalam situasi seperti ini. Saya telah berikan 'contact no' peguam yang dapat membantu pelajar saya ini. Proses pembelian rumah ini sedikit sukar kerana pemilik rumah sedang terlantar di hospital. Oleh itu, jika memilih peguam yang kurang budiman akan menjadikan proses pembelian rumah ini bermasalah. Saya sendiri pernah mempunyai pengalaman pahit berurusan dengan peguam semasa pembelian hartanah. Tidak akan saya lupa sehingga akhir hayat.

#5. PERCAYA REZEKI

Kita boleh atur pelbagai strategi dan cara. Kita boleh terus berpegang kepada peribahasa 'hendak seribu daya, tak nak seribu dalih' dan 'dimana ada kemahuan, disitu ada jalan'. Namun, kita jangan lupa konsep rezeki. Jika ditakdirkan itu rezeki kita, kita akan dapat. Oleh itu, terus berikan keyakinan dan minta kepada Maha Pemberi Rezeki. Sebagai hambaNya kita perlu berusaha sedayanya. Sekali lagi terima kasih kerana sudi membaca post yang sedikit panjang ini. Ada ibrah (pengajaran) yang boleh kita ambil untuk diri sendiri atau kongsikan dengan mereka yang dikenali.

Semoga bermanfaat.

Sayonara! Sampai jumpa lagi.

Wednesday, April 20, 2016

Kaya Di Sisi Tuhan

Kaya Di Sisi Tuhan
Indah Sungguh Ciptaan Tuhan

RUMAH PPA1M

Baru-baru ini rakan kami yang merupakan salah seorang tutor di salah sebuah universiti yang terletak di selatan tanahair bertanyakan soalan dalam 'fb group messenger' berkaitan Perumahan Penjawat Awam 1 Malaysia (PPA1M). Beliau mohon pandangan dan bertanyakan soalan yang agak umum iaitu "apa pandangan sekiranya saya memohon rumah PPA1M. Lagipun saya tiada rumah lagi macam kawan-kawan yang lain." Perbincangan menjadi lebih rancak kerana ada di kalangan kami yang langsung tiada rumah dan ada juga yang berhasrat untuk menambah bilangan rumah yang dimiliki apabila pulang ke tanahair kelak setelah tamat pengajian nanti. 

GENERASI MUDA

Ada kala saya sedikit risau apabila ingin berkongsi pengalaman mahupun memberikan nasihat berkaitan pengurusan kewangan lebih-lebih lagi kepada rakan-rakan yang mengenali saya secara peribadi. Saya risau jika perkongsian saya di salah erti atau menganggap saya seakan ingin menunjuk-nunjuk. Sedangkan niat saya sekadar ingin berkongsi dan dengan harapan kesilapan yang pernah saya dan isteri lakukan tidak diulangi oleh rakan-rakan yang lain. Secara peribadi, peringkat awal perkongsian saya di blog lebih tertumpu kepada isu dan permasalahan di kalangan bekas pelajar saya. Kini saya lebih kerap berkongsi di laman 'muka buku' kerana melihat perkembangan generasi X, Y, Z dan alpha yang lebih gemar membaca di 'muka buku' berbanding buku-buku. Lebih saya khuatiri, perbincangan yang bersifat materialistik dan keduniaan ini mengundang perasaan 'jeles' yang tidak bertempat.  

'JELES'

Lumrah manusia, perasaan 'jeles' mudah terdetik di hati kita. Ada ketikanya kita 'jeles' apabila melihat kawan-kawan kita mempunyai pekerjaan yang stabil dan tetap. Ada juga rakan-rakan yang menjalankan bisnes begitu maju walaupun secara 'part-time'. Begitu juga ada di kalangan rakan-rakan yang memiliki banyak harta, rumah sewa beberapa buah dan sudah memiliki beberapa ekar kebun kelapa sawit yang memberikan pulangan yang lumayan. Ada juga yang dikurniakan dengan anak-anak yang belajar pandai dan tidak kurang juga rakan-rakan kita yang umur mereka lebih muda telah mencapai status 'kebebasan kewangan' atau dalam bahasa popular dan sering dicanangkan iaitu 'Financial Freedom'. Umumnya, di kalangan kawan-kawan perasan 'jeles' mudah terdetik di hati kita. Kita merasakan ukuran kejayaan jika dibandingkan kawan-kawan dengan kita, sudah jauh ketinggalan. 

MAINAN PERASAAN

Perumahan Penjawat Awam 1 Malaysia (PPA1M)
Sakura Sedang Mekar di Sendai

Itulah mainan perasaan dan godaan syaitan apabila kita melihat orang lain lebih berjaya. Tidak dinafikan saya pun macam itu. Kekadang rasa sedikit rendah diri lebih-lebih lagi dikala usia sudah berumur dan anak-anak semakin membesar baru berpeluang melanjutkan pengajian PhD. Ada rakan-rakan yang sudah melangkah lebih jauh dan kini melanjutkan pengajian bukan lagi peringkat PhD, tetapi sudahpun berstatus Profesor Madya dan melanjutkan pengajian di peringkat Post-Doctoral. Namun, apabila saya ingatkan diri akan janji dan jaminan Tuhan tentang rezeki, hati saya merasa lega. Apabila usia semakin meningkat, saya lebih menyedari bahawa ukuran kekayaan dan materialistik bukanlah satu-satunya indikator dalam mengukur rezeki, kekayaan dan kejayaan. Nikmat kesihatan, ketenangan, isteri solehah dan anak-anak yang menjadi penyejuk mata juga merupakan rezeki dan kekayaan yang tidak ternilai harganya. Saya bertambah tunduk dan lega-seleganya. Allah sudah janjikan rezeki buat kita dan usahlah kita risau-risaukan. Apa yang penting, kita perlu usahakannya dengan cara yang betul dan sabar dalam menuju destinasi yang ingin kita tujui. 

REZEKI KITA BERBEZA

Banyak hikmah dan saya belajar sepanjang berada di negara yang begitu asing seperti Jepun ini. Saya lebih memahami bahawa rezeki yang Tuhan berikan kepada setiap orang berbeza dan dalam pelbagai rupa. Rezeki dan kekayaan bukan hanya pada duit dan harta semata-mata. Saya sendiri melihat ada orang yang Tuhan limpahkan dengan harta yang banyak, tetapi Maha Pemberi Rezeki tidak berikan dia kesihatan. Ada orang yang Tuhan berikan pasangan yang cantik dan ideal, tapi Dia tidak berikan zuriat. Ada rakan yang dikurniakan Tuhan pasangan yang jelita lagi menawan, tapi perkahwinan mereka tidak bertahan lama. Ada orang yang Maha Pemberi Rezeki kurniakan anak-anak yang ramai, tetapi Dia tidak berikan harta yang melimpah. Ada mereka nilai kekayaan berjuta, tapi Dia tidak berikan ketenangan dan kedamaian jiwa. Di Jepun ini saya bertemu dengan ramai orang-orang tua yang boleh dikategorikan sebagai 'bongkok tiga'. Baik budi mereka dan sentiasa tersenyum apabila bertemu saya. Namun, usia yang panjang Allah SWT berikan tidak pula dikurniakan kepada mereka dengan nikmat Iman. Mengalir air mata bila dikenangkan dan didoakan semoga mereka mendapat hidayahMu Ya Allah.   

ADILNYA TUHAN

Bila difikir-fikirkan, itulah adilnya Tuhan kerana tidak semua benda dibahagikan kepada semua orang. Setiap orang Tuhan berikan kekurangan dan juga kelebihan. Begitu juga rezeki yang Tuhan berikan berbeza bentuknya kepada setiap orang di atas muka bumi ini. Oleh itu, usahlah kita terlalu risaukan tentang kekayaan dunia melebihi kerisauan kita terhadap akhirat kerana Allah berikan rezeki dan kekayaan serta menguji hambaNya dengan ujian yang berbeza. Apa yang penting, kita lihat semula nikmat dan kurniaan Tuhan kepada kita selama ini, dan belajarlah untuk bersyukur dengan apa yang kita miliki. Apapun hajat yang belum dimakbulkan oleh Tuhan, kita perlu berusaha sedayanya, berdoa dan tawakkal kepadaNya kerana Dia Maha Mengetahui waktu terbaik untuk kita. Kita merasakan itu terbaik buat kita, tetapi Tuhan lebih mengetahui apa yang terbaik buat kita. Ada benda yang kita tidak suka, tapi Tuhan tetapkan itulah yang terbaik buat kita. 

RUMAH JUGA REZEKI

Perumahan Penjawat Awam 1 Malaysia (PPA1M)
Syarat PPA1M

Berbalik kepada isu rakan saya yang bertanyakan tentang PPA1M dan risau kerana masih tiada rumah, saya lihat PPA1M boleh menjadi rezeki buat beliau sekeluarga. Dimaklumkan permohonan PPA1M perlu melalui proses saringan mengikut kelayakan dan syarat yang telah ditetapkan. Selalunya proses undian juga akan dilaksanakan kerana menjadi kebiasaan permohonan PPA1M ini sering mendapat sambutan dan melebihi bilangan rumah yang ditawarkan. Atas sebab itu, saya secara peribadi sangat percaya jika beliau terpilih memiliki rumah tersebut itu juga kurniaan rezeki daripadaNya. 

'LOCKING PERIOD' & DSR

Selalunya bagi pelabur hartanah, mereka melihat isu 'Locking Period' atau moratorium dan Debt Service Ratio (DSR) boleh menjadi faktor penghalang dalam melangkah jauh dalam pelaburan hartanah. Ini kerana, umumnya rumah berstatus PPA1M ini mempunyai tempoh 'locking period' sehingga 10 tahun yang menyebabkan pemilik tidak boleh menjual atau menyewakan rumah tersebut kepada orang lain. Oleh itu, keuntungan dengan menjual rumah tersebut bagi mendapatkan 'Capital Gain' dan 'Return On Investment (ROI) daripada peningkatan harga rumah dan juga melalui sewaan hartanah tersebut tidak dapat dilaksanakan bagi rumah berstatus PPA1M. Jika berkesempatan, saya terangkan secara terperinci cara kiraan ROI dalam post akan datang. Selain itu, pembelian rumah PPA1M biasanya akan terdapat tolakan bayaran bulanan di dalam slip gaji seseorang penjawat awam. Ini secara tidak langsung menunjukkan komitmen yang tinggi dalam slip gaji dan sedikit sebanyak mengurangkan peratusan DSR. Saya pernah kongsikan cara kiraan ringkas DSR di Keijidosha: Ada Aku Kisah! Namun, saya juga optimis yang isu 'locking period' dan DSR bukanlah halangan besar kerana "di mana ada kemahuan, di situ ada jalan."

REZEKI DARI TUHAN

Saya selalu ingatkan diri yang rezeki dan kekayaan kurniaan Maha Pemberi Rezeki bersesuaian dan berkadaran dengan seseorang. Begitu juga dalam menetapkan matlamat kewangan perlu juga kita sesuaikan dengan keadaan diri kita sendiri. Barangkali di pandangan mereka yang aktif dalam pelaburan hartanah PPA1M bukanlah pilihan yang terbaik, namun saya melihat PPA1M ini terbaik buat rakan saya. Kerana apa? Ini kerana rumah PPA1M yang bakal dimohon terletak hanya 15 minit dari tempat kerja beliau. Selain itu, dengan situasi beliau yang terikat dengan universiti tersebut selama hampir 8 tahun sudah tentu PPA1M menjadi pilihan terbaik. Maka, jika permohonan beliau diluluskan dan terpilih ia adalah rezeki dari Tuhan yang perlu disyukuri. Didoakan agar Allah SWT aturkan terbaik rezeki buat beliau sekeluarga. Oleh itu, usahlah terlalu risau dengan rezeki Tuhan dan jangan sesekali putus harap berdoa dan terus meminta kepada Maha Pemberi Rezeki. Sekadar meminjam kata-kata rakan saya di alam maya, tiada salah memohon rumah PPA1M kerana ia bukannya dosa. Lebih baik ambil peluang tersebut kerana dikhuatiri rumah yang mampu dibeli pada hari ini hanya mampu tengok pada masa akan datang.  

KAYA DI SISI TUHAN

Saya teringat pesanan guru saya agar tetapkan matlamat untuk menuju 'Kekayaan di sisi Tuhan'. Niatkan untuk menjadi kaya dan berjaya agar kita lebih dekat kepada Maha Pencipta dan Maha Pemberi Rezeki. Apabila kita niatkan diri untuk 'Kaya Di Sisi Tuhan', kita akan melihat kekayaan hanyalah 'alat'. Sebagai contoh, kereta, rumah, duit, harta dan semua gambaran materialistik hanyalah 'alat' dalam menuju destinasi yang kekal abadi. Kesemua alat ini sepatutnya menyenangkan kita untuk beribadah, lebih memberi dan berbudi dalam kehidupan, lebih tunduk dan memberikan ketaataan, berkasih-sayang, bersilaturrahim dan lebih bertanggungjawab dalam menjaga amanah Tuhan. Kita sebagai hambaNya perlu berusaha bersungguh-sungguh dengan apa sahaja peluang dan rezeki yang Allah limpahkan pada kita sekarang. Amanah dan tanggungjawab perlu dilaksanakan sebaiknya kerana itu juga akan ditanya oleh Tuhan. Jika kita tidak berkesempatan kaya sekalipun, kita tidak perlu risau kerana kita memang sudah 'kaya' di sisi Tuhan. Bersabarlah dan teruskan berusaha dalam mencari kekayaan di bumi dan di sisi Tuhan.  

Sekadar perkongsian dari kajauhan. Sayonara! Sampai jumpa lagi. 

Thursday, April 7, 2016

Ais Krim Gari Gari Kun di Jepun

Ais Krim Gari Gari Kun
Ais Krim Gari Gari Kun

ABANG 'SADO'

Sehingga hari ini, seakan belum reda isu tudung berjenama yang dikatakan viral dan mendapat tempat bukan sahaja di kalangan pelanggan wanita tetapi menjadi 'rebutan' dihati abang-abang 'sado'. Saya bangga ada bisnes orang kita yang berjaya sehingga terdapat pelanggan yang sanggup bermalam dan beratur panjang menanti tudung 'limited edition'. Terkini, tudung berjenama itu viral sekali lagi apabila ada pula yang mendedahkan sudah memiliki corak yang sama dengan tudung tersebut. Ironinya, pemilik bisnes terus mempertahankan strategi mereka walaupun kelihatan kurang mesra pelanggan dan tidak profesional. Takpalah biarkan 'si luncai terjun dengan labu-labunya'.

KISAH DI JEPUN

Di Jepun ini lain pula kisahnya. Dikala isu tudung terus viral dan menerima reaksi berbeza daripada orang awam hinggalah ke pak mufti, kami di sini lebih tersentuh dengan amalan berbisnes salah sebuah syarikat pengeluar ais krim milik orang Jepun. Ais krim ini tidaklah sehebat mana sampai perlu beratur. Apatah lagi sudah tentu tidak perlu bermalam dan berebut-rebut di antara lelaki dan perempuan. Harga ais krim yang diberi nama Gari Gari Kun yang ditawarkan oleh Syarikat Akagi Nyugyo hanyalah berharga 60 yen (bersamaan RM2.30++ setelah tax 8%).

60 YEN KE 70 YEN

Cukup kami tersentuh dengan tindakan pihak syarikat yang terasa sangat bersalah terhadap para pelanggan mereka kerana tidak berupaya mengekalkan harga 60 yen dan terpaksa dinaikkan kepada 70 yen sebatang. Menariknya, permohonan maaf bersungguh-sungguh itu dizahirkan secara terbuka dan menjadi iklan rasmi berbayar syarikat tersebut selama 2 hari pada Jumaat dan Sabtu baru-baru ini. Iklan tersebut disiarkan melalui siaran televisyen utama di seluruh Jepun.

PERMOHONAN MAAF

Paling terharu permohonan maaf tersebut turut disertai oleh pengurusan tertinggi Syarikat Akagi Nyugyo. Video di bawah yang boleh ditonton melalui Youtube memaparkan iklan pihak syarikat yang menggambarkan rasa amat bersalah kerana terpaksa menaikkan harga sebanyak 10 yen setelah tidak pernah naik semenjak 25 tahun yang lalu!




TANAHAIRKU

Jika di tanahairku strategi pemasaran berbentuk provokasi, berebut-berebut dan bersentuhan dianggap sebagai kaedah pemasaran yang berkebolehan melariskan produk. Namun, saya secara peribadi berasa lebih dihargai sebagai pelanggan dan dilayan dengan lebih bertamadun apabila melihat video iklan syarikat Jepun yang telah ditonton lebih 950,000 kali.

'THE MARKETING GURU'

Saya bermonolog sebentar sama ada terdapat teori pemasaran hasil tulisan Philip T. Kotler yang terkenal dengan jolokan 'The Marketing Guru' atau 'guru-guru' lain yang masih belum saya fahami atau terlepas pandang. Bagi saya secara mudah, jika tidak boleh menerima teguran dalam membuat penambahbaikan sistem SOP berbisnes dan mendekatkan lagi bisnes kepada operasi lebih patuh syariah. Ada baiknya kita mengambil ibrah daripada kisah syarikat di negara Matahari Terbit yang lebih merendah diri dan berpijak di bumi nyata.

PENGAJARAN

Barangkali kisah ais krim Gari Gari Kun keluaran Syarikat Akagi Nyugyo ini boleh dijadikan pengajaran buat kita daripada berterusan mencemuh atau memberikan idea penambahbaikan kepada mereka yang tidak mahu mendengarnya.

Sekadar perkongsian dari kejauhan.

Sayonara! Sampai jumpa lagi.
Tudung kanak-kanak