Indah Sungguh Ciptaan Tuhan |
RUMAH PPA1M
Baru-baru ini rakan kami yang merupakan salah seorang tutor di salah sebuah universiti yang terletak di selatan tanahair bertanyakan soalan dalam 'fb group messenger' berkaitan Perumahan Penjawat Awam 1 Malaysia (PPA1M). Beliau mohon pandangan dan bertanyakan soalan yang agak umum iaitu "apa pandangan sekiranya saya memohon rumah PPA1M. Lagipun saya tiada rumah lagi macam kawan-kawan yang lain." Perbincangan menjadi lebih rancak kerana ada di kalangan kami yang langsung tiada rumah dan ada juga yang berhasrat untuk menambah bilangan rumah yang dimiliki apabila pulang ke tanahair kelak setelah tamat pengajian nanti.
GENERASI MUDA
Ada kala saya sedikit risau apabila ingin berkongsi pengalaman mahupun memberikan nasihat berkaitan pengurusan kewangan lebih-lebih lagi kepada rakan-rakan yang mengenali saya secara peribadi. Saya risau jika perkongsian saya di salah erti atau menganggap saya seakan ingin menunjuk-nunjuk. Sedangkan niat saya sekadar ingin berkongsi dan dengan harapan kesilapan yang pernah saya dan isteri lakukan tidak diulangi oleh rakan-rakan yang lain. Secara peribadi, peringkat awal perkongsian saya di blog lebih tertumpu kepada isu dan permasalahan di kalangan bekas pelajar saya. Kini saya lebih kerap berkongsi di laman 'muka buku' kerana melihat perkembangan generasi X, Y, Z dan alpha yang lebih gemar membaca di 'muka buku' berbanding buku-buku. Lebih saya khuatiri, perbincangan yang bersifat materialistik dan keduniaan ini mengundang perasaan 'jeles' yang tidak bertempat.
'JELES'
MAINAN PERASAAN
Sakura Sedang Mekar di Sendai |
Itulah mainan perasaan dan godaan syaitan apabila kita melihat orang lain lebih berjaya. Tidak dinafikan saya pun macam itu. Kekadang rasa sedikit rendah diri lebih-lebih lagi dikala usia sudah berumur dan anak-anak semakin membesar baru berpeluang melanjutkan pengajian PhD. Ada rakan-rakan yang sudah melangkah lebih jauh dan kini melanjutkan pengajian bukan lagi peringkat PhD, tetapi sudahpun berstatus Profesor Madya dan melanjutkan pengajian di peringkat Post-Doctoral. Namun, apabila saya ingatkan diri akan janji dan jaminan Tuhan tentang rezeki, hati saya merasa lega. Apabila usia semakin meningkat, saya lebih menyedari bahawa ukuran kekayaan dan materialistik bukanlah satu-satunya indikator dalam mengukur rezeki, kekayaan dan kejayaan. Nikmat kesihatan, ketenangan, isteri solehah dan anak-anak yang menjadi penyejuk mata juga merupakan rezeki dan kekayaan yang tidak ternilai harganya. Saya bertambah tunduk dan lega-seleganya. Allah sudah janjikan rezeki buat kita dan usahlah kita risau-risaukan. Apa yang penting, kita perlu usahakannya dengan cara yang betul dan sabar dalam menuju destinasi yang ingin kita tujui.
REZEKI KITA BERBEZA
Banyak hikmah dan saya belajar sepanjang berada di negara yang begitu asing seperti Jepun ini. Saya lebih memahami bahawa rezeki yang Tuhan berikan kepada setiap orang berbeza dan dalam pelbagai rupa. Rezeki dan kekayaan bukan hanya pada duit dan harta semata-mata. Saya sendiri melihat ada orang yang Tuhan limpahkan dengan harta yang banyak, tetapi Maha Pemberi Rezeki tidak berikan dia kesihatan. Ada orang yang Tuhan berikan pasangan yang cantik dan ideal, tapi Dia tidak berikan zuriat. Ada rakan yang dikurniakan Tuhan pasangan yang jelita lagi menawan, tapi perkahwinan mereka tidak bertahan lama. Ada orang yang Maha Pemberi Rezeki kurniakan anak-anak yang ramai, tetapi Dia tidak berikan harta yang melimpah. Ada mereka nilai kekayaan berjuta, tapi Dia tidak berikan ketenangan dan kedamaian jiwa. Di Jepun ini saya bertemu dengan ramai orang-orang tua yang boleh dikategorikan sebagai 'bongkok tiga'. Baik budi mereka dan sentiasa tersenyum apabila bertemu saya. Namun, usia yang panjang Allah SWT berikan tidak pula dikurniakan kepada mereka dengan nikmat Iman. Mengalir air mata bila dikenangkan dan didoakan semoga mereka mendapat hidayahMu Ya Allah.
ADILNYA TUHAN
Bila difikir-fikirkan, itulah adilnya Tuhan kerana tidak semua benda dibahagikan kepada semua orang. Setiap orang Tuhan berikan kekurangan dan juga kelebihan. Begitu juga rezeki yang Tuhan berikan berbeza bentuknya kepada setiap orang di atas muka bumi ini. Oleh itu, usahlah kita terlalu risaukan tentang kekayaan dunia melebihi kerisauan kita terhadap akhirat kerana Allah berikan rezeki dan kekayaan serta menguji hambaNya dengan ujian yang berbeza. Apa yang penting, kita lihat semula nikmat dan kurniaan Tuhan kepada kita selama ini, dan belajarlah untuk bersyukur dengan apa yang kita miliki. Apapun hajat yang belum dimakbulkan oleh Tuhan, kita perlu berusaha sedayanya, berdoa dan tawakkal kepadaNya kerana Dia Maha Mengetahui waktu terbaik untuk kita. Kita merasakan itu terbaik buat kita, tetapi Tuhan lebih mengetahui apa yang terbaik buat kita. Ada benda yang kita tidak suka, tapi Tuhan tetapkan itulah yang terbaik buat kita.
RUMAH JUGA REZEKI
Syarat PPA1M |
Berbalik kepada isu rakan saya yang bertanyakan tentang PPA1M dan risau kerana masih tiada rumah, saya lihat PPA1M boleh menjadi rezeki buat beliau sekeluarga. Dimaklumkan permohonan PPA1M perlu melalui proses saringan mengikut kelayakan dan syarat yang telah ditetapkan. Selalunya proses undian juga akan dilaksanakan kerana menjadi kebiasaan permohonan PPA1M ini sering mendapat sambutan dan melebihi bilangan rumah yang ditawarkan. Atas sebab itu, saya secara peribadi sangat percaya jika beliau terpilih memiliki rumah tersebut itu juga kurniaan rezeki daripadaNya.
'LOCKING PERIOD' & DSR
Selalunya bagi pelabur hartanah, mereka melihat isu 'Locking Period' atau moratorium dan Debt Service Ratio (DSR) boleh menjadi faktor penghalang dalam melangkah jauh dalam pelaburan hartanah. Ini kerana, umumnya rumah berstatus PPA1M ini mempunyai tempoh 'locking period' sehingga 10 tahun yang menyebabkan pemilik tidak boleh menjual atau menyewakan rumah tersebut kepada orang lain. Oleh itu, keuntungan dengan menjual rumah tersebut bagi mendapatkan 'Capital Gain' dan 'Return On Investment (ROI) daripada peningkatan harga rumah dan juga melalui sewaan hartanah tersebut tidak dapat dilaksanakan bagi rumah berstatus PPA1M. Jika berkesempatan, saya terangkan secara terperinci cara kiraan ROI dalam post akan datang. Selain itu, pembelian rumah PPA1M biasanya akan terdapat tolakan bayaran bulanan di dalam slip gaji seseorang penjawat awam. Ini secara tidak langsung menunjukkan komitmen yang tinggi dalam slip gaji dan sedikit sebanyak mengurangkan peratusan DSR. Saya pernah kongsikan cara kiraan ringkas DSR di Keijidosha: Ada Aku Kisah! Namun, saya juga optimis yang isu 'locking period' dan DSR bukanlah halangan besar kerana "di mana ada kemahuan, di situ ada jalan."
REZEKI DARI TUHAN
Saya selalu ingatkan diri yang rezeki dan kekayaan kurniaan Maha Pemberi Rezeki bersesuaian dan berkadaran dengan seseorang. Begitu juga dalam menetapkan matlamat kewangan perlu juga kita sesuaikan dengan keadaan diri kita sendiri. Barangkali di pandangan mereka yang aktif dalam pelaburan hartanah PPA1M bukanlah pilihan yang terbaik, namun saya melihat PPA1M ini terbaik buat rakan saya. Kerana apa? Ini kerana rumah PPA1M yang bakal dimohon terletak hanya 15 minit dari tempat kerja beliau. Selain itu, dengan situasi beliau yang terikat dengan universiti tersebut selama hampir 8 tahun sudah tentu PPA1M menjadi pilihan terbaik. Maka, jika permohonan beliau diluluskan dan terpilih ia adalah rezeki dari Tuhan yang perlu disyukuri. Didoakan agar Allah SWT aturkan terbaik rezeki buat beliau sekeluarga. Oleh itu, usahlah terlalu risau dengan rezeki Tuhan dan jangan sesekali putus harap berdoa dan terus meminta kepada Maha Pemberi Rezeki. Sekadar meminjam kata-kata rakan saya di alam maya, tiada salah memohon rumah PPA1M kerana ia bukannya dosa. Lebih baik ambil peluang tersebut kerana dikhuatiri rumah yang mampu dibeli pada hari ini hanya mampu tengok pada masa akan datang.
KAYA DI SISI TUHAN
Saya teringat pesanan guru saya agar tetapkan matlamat untuk menuju 'Kekayaan di sisi Tuhan'. Niatkan untuk menjadi kaya dan berjaya agar kita lebih dekat kepada Maha Pencipta dan Maha Pemberi Rezeki. Apabila kita niatkan diri untuk 'Kaya Di Sisi Tuhan', kita akan melihat kekayaan hanyalah 'alat'. Sebagai contoh, kereta, rumah, duit, harta dan semua gambaran materialistik hanyalah 'alat' dalam menuju destinasi yang kekal abadi. Kesemua alat ini sepatutnya menyenangkan kita untuk beribadah, lebih memberi dan berbudi dalam kehidupan, lebih tunduk dan memberikan ketaataan, berkasih-sayang, bersilaturrahim dan lebih bertanggungjawab dalam menjaga amanah Tuhan. Kita sebagai hambaNya perlu berusaha bersungguh-sungguh dengan apa sahaja peluang dan rezeki yang Allah limpahkan pada kita sekarang. Amanah dan tanggungjawab perlu dilaksanakan sebaiknya kerana itu juga akan ditanya oleh Tuhan. Jika kita tidak berkesempatan kaya sekalipun, kita tidak perlu risau kerana kita memang sudah 'kaya' di sisi Tuhan. Bersabarlah dan teruskan berusaha dalam mencari kekayaan di bumi dan di sisi Tuhan.
Sekadar perkongsian dari kajauhan. Sayonara! Sampai jumpa lagi.
Kaya Di Sisi Tuhan
4
/
5
Oleh
Unknown