Sunday, November 15, 2015

Sewa Sim & Wifi: Malaysia atau Jepun?

Sewa Sim/ Wifi: Malaysia atau Jepun?
Sewa Sim/ Wifi: Malaysia atau Jepun?

INTERNET DAN WIFI

Ramai rakan-rakan mahupun bekas pelajar saya yang berhasrat untuk datang melancong atau ziarah sahabat dan taulan di Jepun. Selain bertanyakan tentang makanan halal dan penginapan, tidak kurang juga yang bertanyakan mengenai cara menyewa talian telefon atau wifi. Sememangnya tidak dinafikan wifi menjadi keperluan dan sangat-sangat membantu apabila berada di negara orang termasuklah di Jepun. Sebelum ini, saya pernah kongsikan dua perkongsian yang boleh membantu mereka yang akan datang melancong atau tinggal di Jepun. Dua perkongsian tersebut adalah (1) 6 Aplikasi Mobile Berguna di Jepun (2) 6 Aplikasi Mobile Buat Muslim di Jepun

LIPUTAN WIFI

Seringkali juga mereka yang bakal ke sini bertanyakan mengenai kemudahan wifi di sini. Jika kita berada di lapangan terbang, tiada masalah untuk mendapatkan liputan wifi. Namun, bukan semua tempat boleh mendapat liputan wifi secara percuma. Jika perjalanan kita di sini hanya sekadar berada di hotel dan ke tempat persidangan memang tidak menjadi masalah untuk mendapatkan liputan wifi. Namun, bagi mereka yang sememangnya 'berjalan-jalan' dan berhasrat untuk memandu di sini sememangnya talian internet atau wifi diperlukan dan ia sangat-sangat membantu perjalanan kita di sini nanti.  

SEWA SIM DAN WIFI

Terdapat banyak pilihan bagi mereka yang ingin menyewa 'sim card' ataupun wifi di sini. Bagi mereka yang ingin menyewa daripada Malaysia juga boleh berbuat sedemikian dengan menyewa daripada syarikat di sana. Antara syarikat di Malaysia yang menawarkan perkhidmatan tersebut adalah:

#1 - Japan Travel Bereau (M) Sdn. Bhd. (JTB Malaysia)

JTB Malaysia
JTB Malaysia
Saya dimaklumkan JTB bukan sahaja menawarkan perkhidmatan menyewa 'sim card' dan wifi, malah berdasarkan maklumat di website JTB mereka turut menawarkan perkhidmatan membeli JR Pass. Saya sendiri tiada pengalaman menggunakan perkhidmatan sewaan 'wifi' dan juga JR Pass ini. Namun, berdasarkan pengalaman rakan-rakan lain penggunaan sewaan 'pocket wifi' dan juga membeli JR Pass dikatakan berbaloi. Menurut mereka, penggunaan 'pocket wifi' juga menjimatkan kerana dapat berkongsi bersama rakan-rakan lain khususnya bagi mereka yang datang secara berkumpulan. Manakala, pembelian JR Pass lebih menjimatkan dan memudahkan lebih-lebih lagi bagi mereka yang akan 'berjalan-jalan' di bandar utama di seluruh Jepun. Untuk makluman lanjut boleh layari laman web JTB di https://www.jtbmalaysia.com/. 

#2 - Visondata WiFi Rental
Visondata.com.my
Visondata.com.my
Berdasarkan laman web Visondata, pihak mereka turut menawarkan perkhidmatan menyewa 'pocket wifi' kepada 21 buah negara termasuk Jepun sama ada buat mereka yang akan datang melancong atau atas urusan yang lain. Antara kemudahan lain yang turut ditawarkan adalah dimana 'pocket wifi' tersebut boleh diambil sama ada di Mont Kiara, KLIA dan juga di Mid Valley. Untuk maklumat lanjut boleh layari laman web syarikat tersebut di http://visondata.com.my/.

TIBA DI JEPUN

Terdapat juga pilihan lain selain menyewa di Malaysia. Saya dimaklumkan terdapat banyak syarikat yang menawarkan konsep yang sama bagi mereka yang berhasrat untuk menyewa sim card atau wifi semasa berada di Jepun. Antara syarikat perkhidmatan yang menawarkan perkidmatan menyewa sim card atau 'pocket wifi' seperti:

#1 - cdJapan.co.jp

cdJapan.co.jp
cdJapan.co.jp
Bagi mereka yang berhasrat untuk menyewa sim card atau pocket wifi masih boleh berbuat demikian di Jepun. Sebagai contoh syarikat cdjapan.co bukan sahaja menawarkan perkhidmatan mengambil 'pocket wifi' di lapangan terbang utama seperti Narita, Kansai, Haneda, Chubu dan Hokaido. Turut dimaklumkan juga mereka boleh menghantar pocket wifi tersebut di kediaman atau hotel tempat anda menginap. Sebelum anda terbang berlepas semula ke Malaysia, 'pocket wifi' yang disewa boleh dimasukkan di mana-mana peti surat (merah) di Jepun dengan menggunakan sampul surat yang telah disediakan. Untuk maklumat lanjut boleh layari laman web berikut http://rental.cdjapan.co.jp/.  

#2 - PuPuRu International Co. Ltd. 


PuPuRu International Co. Ltd.
PuPuRu International Co. Ltd.

Satu lagi syarikat yang turut menawarkan perkhidmatan yang hampir sama sepertimana cdJapan.co.jp adalah PuPuRu International Co. Ltd. Keseluruhan perkidmatan yang ditawarkan agak mirip dan anda juga boleh membuat perbandingan harga dengan melayari laman web di http://www.pupuru.com/en/. 

#3 - Layari Laman Web Rasmi Narita International Airport


Narita International Airport
Narita International Airport
Sekiranya anda ingin mendapatkan tawaran dan perkhidmatan yang terbaik, anda boleh layari setiap laman web syarikat yang disenaraikan dalam laman web rasmi Narita International Airport. Terdapat banyak pilihan syarikat yang menawarkan perkhidmatan sewaan 'sim card' dan 'pocket wifi' sekiranya anda berada di Jepun. Anda boleh dapatkan kesemua senarai syarikat yang menawarkan perkhidmatan tersebut di http://www.narita-airport.jp/en

#4 - Free Wi-Fi Passport


Free Wi-Fi Passport
Free Wi-Fi Passport

Berdasarkan maklumat yang diperolehi, bagi mereka yang mengaktifkan perkhidmatan 'roaming' boleh juga menggunakan perkhidmatan Free Wi-Fi Passport yang terdapat di Jepun. Namun, pastikan terlebih dahulu syarikat telekomunikasi yang kita gunakan di Malaysia menjalinkan kerjasama dengan syarikat telekomunikasi di sini. Sebagai contoh syarikat Softbank turut menawarkan perkhidmatan yang dinamakan Free Wi-Fi Passport dimana anda boleh dapatkan perkhidmatan wifi percuma di hotel-hotel, stesyen-stesyen keretapi dan bus utama, restoran, cafe dan lain-lain. Bagi mereka yang melancong di bandar-bandar utama barangkali tiada masalah untuk mendapatkan perkhidmatan wifi percuma ini. Untuk memastikan sama ada destinasi yang bakal anda tujui benar-benar mempunyai perkhidmatan wifi percuma, sila layari laman web http://www.softbank.jp/en untuk mendapatkan maklumat lanjut.

MALAYSIA ATAU JEPUN

Secara umum berdasarkan maklumat yang diperolehi, perhidmatan yang ditawarkan oleh kebanyakan syarikat menyewa 'sim card' atau 'pocket wifi' ini tidak banyak perbezaan. Sudah pasti, syarikat ini akan bersaing dengan menawarkan harga dan perkhidmatan yang terbaik berbanding dengan syarikat yang lain. Oleh itu, sebagai pengguna rancanglah perjalanan anda dan ambil sedikit masa untuk membuat perbandingan tawaran yang ditawarkan oleh setiap syarikat. Umumnya, harga yang ditawarkan turut berubah-ubah dari semasa ke semasa dan terdapat juga syarikat yang turut menawarkan promosi mengikut musim di sini.

Semoga maklumat ini bermanfaat dan sekadar perkongsian daripada Sendai, Jepun.

Salam hormat. 

Saturday, November 7, 2015

Stand By Me Doraemon: Nilai Jepun Yang Di Kongsi

Stand By Me Doreamon
Stand By Me Doreamon

DORAEMON

Tempohari perkongsian saya berkaitan 'Stand By Me Doraemon' mendapat perhatian daripada pihak Japan Info. Pada asalnya cerita tersebut ingin dimasukkan di dalam blog ini. Namun, memandangkan peringkat awal saya menulis perkongsian tersebut dalam Bahasa Inggeris, maka saya terus menghantar artikel tersebut ke pihak Japan Info. Perkongsian ini merupakan idea daripada anak-anak yang agak 'terkesan' dengan mesej yang disampaikan dalam cerita 3D Animasi Doraemon ini. 

TERDETIK HATI

Saya mulai tertarik dan terdetik hati untuk menonton cerita 3D animasi 'Stand By Me Doraemon' setelah terlihat 'preview' cerita tersebut semasa membeli barang keperluan keluarga di The Mall, Sendai. Berdasarkan 'preview' tersebut, saya merasakan perlu bagi anak-anak saya untuk melihat bagi memberikan pendedahan kepada mereka sebelum memasuki sesi persekolahan pada April 2015. Kami mengambil keputusan untuk memperuntukan tempoh di antara November - April sebagai 'tempoh persediaan' buat anak-anak sebelum masuk sesi persekolahan di sini. Sudah pasti bagi mengurangkan kebosanan anak-anak yang duduk di rumah, beberapa aktiviti perlu dirangka termasuklah menonton cerita-cerita yang bersesuaian bagi pendedahan buat mereka. Sebelum ini, saya pernah kongsikan berkaitan kelas persediaan sebelum ke sekolah Jepun atau dikenali sebagai 'Foreign Students Child Support Group' di perkongsian DOMO ARIGATOU GOZAIMASU

IDEA ANAK-ANAK

Setelah 2 perkongsian artikel saya dalam Bahasa Inggeris mendapat perhatian daripada pihak Japan Info, anak-anak turut mencadangkan agar saya menulis berkaitan cerita 'Stand By Me Doreamon'. Atas cadangan mereka dan mesej yang 'cantik' setelah menonton cerita tersebut maka terhasillah perkongsian yang pada asalnya bertajuk 'Stand By Me Doreamon: 95 Minutes With Full Emotions' telah ditukar kepada The Hidden Value of Stand By Me Doraemon. Sudah menjadi kebiasaan, apabila sesebuah penulisan kita diterima oleh mana-mana pihak, mereka berhak untuk membuat penambahbaikan atau perubahan mengikut kehendak penerbit (editor)

3 MESEJ

Tidak dinafikan gabungan 6 plot di dalam cerita ini iaitu "All the way From the Country of the Future". "Imprinting Egg", "Goodbye, Shizuka-chan", "Romance in Snowy Mountain", "Nobita's the Night Before a Wedding" and "Goodbye, Doreamon...." dengan durasi 95 minit merupakan kisah yang penuh emosi dan mesej. Bagi mereka yang mempunyai anak-anak yang bakal bersekolah rendah di Jepun seperti kami, dicadangkan untuk menonton cerita tersebut bagi melihat suasana dan persekitaran sebenar sekolah dan budaya di Jepun. Umumnya setelah menonton sesebuah cerita saya akan bertanya kepada anak-anak berkaitan mesej yang mereka perolehi daripada sesebuah cerita. Terdapat 3 mesej yang anak-anak saya katakan setelah menonton 'Stand By Me Doreamon' ini. Antaranya:

Stand By Me Doreamon
Stand By Me Doreamon

Mesej #1 - Jangan Berputus Asa
Barangkali disebabkan kesemua anak saya perempuan, mereka menonton cerita tersebut dengan penuh beremosi sehingga mengalir air mata. Satu adegan pergaduhan di antara Nobita dan Giant (Gian) setelah Doreamon kembali semula ke masa hadapan begitu 'touching' sekali. Pergaduhan yang sengit dan semangat Nobita yang tidak berputus asa akhirnya menyebabkan Giant mengaku kalah. Anak-anak memahami dalam kehidupan ini jangan berputus asa. Teruskan usaha. Ganbatte ne!

Mesej #2 - Perjalanan dan Destinasi
Sudah pasti cerita ini merupakan kisah fantasi dan bukannya realiti. Namun, mesej yang disampaikan disusun dengan 'cantik' dan mudah dihayati oleh anak-anak saya. Doreamon sebagai watak 'protagonist' yang datang dari tahun 2136 berusaha keras agar Nobita gembira dan membolehkan Doreamon kembali ke masa hadapan. Doreamon memperkenalkan pelbagai gajet daripada 'poket magik', namun bukan semua gajet tersebut berjaya mencapai objektif. Sebagai contoh, alat 'Imprinting Egg' yang digunakan gagal menjadikan Shizuka-chan jatuh hati kepada Nobita di sebabkan Shizuka melihat Desikugi kali pertama selepas keluar daripada alat tersebut. Perjalanan masa silam dan masa hadapan boleh digambarkan sebagai "kejayaan merupakan sebuah perjalanan dan bukannya destinasi".

Shizuka dan Nobita
Shizuka dan Nobita

Mesej #3 - Dahulu, Kini dan Masa Hadapan
Mesej ini dengan sengaja saya terapkan kepada anak-anak saya. Ini kerana, sudah tentu kita tidak boleh mengubah apa yang telah berlaku pada masa lepas (dahulu). Namun, kejayaan kita pada masa hadapan secara lumrah berdasarkan apa yang kita usahakan pada masa sekarang. Sebagai contoh, jika Nobita tidak mengubah sikapnya yang malas dan sering lewat ke sekolah pada masa kini berkemungkinan 'merealisasikan' ramalan yang Nobita akan berkahwin dengan Jaiko (adik Giant), perniagaan yang diusahakan Nobita terpaksa ditutup dan menghadapi masalah kewangan. Oleh itu, ambillah pengajaran yang lepas, hadapi dengan tabah pada masa kini dan buat yang terbaik untuk masa hadapan. Jangan lupa juga untuk minta padaNya agar dipermudahkan segala urusan olehNya.

SUASANA JEPUN

Stand By Me Doreamon
Stand By Me Doreamon

Cerita ini pastinya akan menjadi nostalgia buat kami sekeluarga apabila kami meninggalkan Jepun kelak. Kebetulan rumah sewa kami kini masih mengekalkan identiti rumah Jepun seperti tikar tatami, pintu 'sliding', ruang-ruang kecil dan pelbagai lagi menjadikan ia merupakan gambaran sebenar suasana di sini. Begitu juga gambaran di sekolah sememangnya sama apa yang telah anak-anak kami hadapi di 'Kunimi Elementary School' di sini. Sebagai contoh 'indoor shoe' yang dipakai oleh anak-anak saya 'sebijik' sepertimana dalam cerita tersebut. Secara tidak langsung, cerita ini boleh dianggap sebagai persediaan buat anak-anak saya sebelum memasuki sesi persekolahan di sini.

DORAYAKI

Bagi kami cerita ini bukan sahaja menghiburkan dan sesuai ditonton bersama-sama anak-anak. Kami juga memahami budaya Jepun di sini dan juga makanan kegemaran Doreamon iaitu 'Doyaki' yang merupakan salah satu kuih yang popular di sini. Cerita ini sarat dengan mesej dan emosi dan sesuai ditonton bersama keluarga. Ramai rakan-rakan yang pernah menonton cerita ini dan apabila berada di Sendai, Jepun mereka akan berkata "samalah suasana dalam cerita Doreamon dengan situasi dan pemandangan di sini".

Sekadar perkongsian daripada saya di Sendai, Jepun. Sayonara sampai berjumpa lagi.  

Friday, November 6, 2015

Japan Info: Peluang Buat Penulis

Japan Info
Japan Info

JAPAN INFO

Semalam perkongsian saya berkaitan 'Stand By Me Doraemon' diterbitkan oleh Japan Info. Sehingga kini terdapat 3 artikel (sehingga 6 November 2015) yang berjaya mendapat perhatian daripada pihak Japan Info. Antaranya:

Kemaskini (mulai 11 November 2015)

Japan Info merupakan salah satu laman web di Jepun dalam Bahasa Inggeris. Ia juga membuka peluang kepada sesiapa sahaja yang berminat untuk menyumbang apa sahaja cerita berkaitan Jepun dan dibayar oleh pihak Japan Info. Pada peringkat permulaan, seorang adik 'undergraduate' yang mencadangkan saya untuk menulis dan berkongsi catatan perjalanan di sini melalui medan yang lebih luas. Atas cadangan tersebut dan sekadar 'suka-suka', saya menghantar perkongsian pertama berkaitan 'Kotsu Koen' yang asalnya daripada perkongsian saya di blog ini iaitu TAMAN TRAFIK (KOTSU KOEN) DI JEPUN. Setelah hampir 3 minggu, artikel tersebut dimaklumkan DITOLAK oleh pihak Japan Info kerana tidak menyerlahkan perasaan dan lebih bersifat akademik. Pihak Japan Info masih berminat dengan artikel saya dan meminta saya untuk membaiki semula artikel tersebut.

Japan Info
Artikel Pertama Di Hantar dan Di Tolak oleh Japan Info

SUSAH TIDUR

Tercetusnya idea untuk menulis disebabkan oleh situasi saya yang sukar tidur di kala jam melebihi 12:00 malam ke atas dan selepas bangun subuh. Waktu yang ada sebelum pergi ke lab atau perpustakaan di gunakan untuk menulis cerita-ceria yang ringan termasuklah penulisan blog. Namun, penulisan di Japan Info sedikit mencabar memandangkan saya menyedari tahap penguasaan Bahasa Inggeris tidaklah sebaik rakan-rakan yang lain. Lagipun, pendekatan menulis di laman web ini agak berbeza kerana lebih cenderung kepada penulisan kreatif dan bukannya penulisan akademik seperti artikel journal mahupun kertas kerja bagi pembentangan. Saya sendiri juga lebih selesa menulis dalam Bahasa Malaysia berbanding Bahasa Inggeris.

Artikel Pertama: Sendai Umino-Mori Aquarium
Artikel Pertama Di Terima Japan Info: Sendai Umino-Mori Aquarium

CERITA 'SUKA-SUKA'

Pastinya banyak kenangan dan cerita buat mereka yang pernah menetap di Jepun ini. Barangkali cerita kita tersebut bermanfaat untuk orang lain. Sebagai contoh, terdapat rakan yang kongsikan dalam facebook, blog dan juga laman web yang lain. Bagi saya, perkongsian di Japan Info hanyalah sekadar 'suka-suka' disamping belajar menulis Bahasa Inggeris dalam pendekatan yang berbeza (penulisan kreatif). Bagi mereka yang berminat untuk mengisi masa dan mungkin mencari duit tambahan dalam cara yang santai, bolehlah menjadi salah seorang penulis di Japan Info atau mana-mana penerbit yang lain. Maklumat lanjut di boleh layari di Japan Info Guideline.

Sekadar perkongsian dari kejauhan di Sendai, Jepun.

Semoga bermanfaat. 

Wednesday, November 4, 2015

Domo Arigatou Gozaimasu

Domo Arigatou Gozaimasu
Domo Arigatou Gozaimasu

1 TAHUN

Perjalanan kami di Sendai kini sudah 1 tahun. Teringat peringkat permulaan semasa berada di sini, perkara yang menjadi fokus utama saya selepas pengajian PhD adalah berkaitan persekolahan anak-anak. Oleh kerana anak-anak kami langsung tiada asas hiragana dan katakana, kami seakan sedikit gusar dan sentiasa mencari jalan untuk persediaan sebelum anak-anak memasuki sesi persekolahan di Jepun. 

RISAU

Ini kerana, situasi kami mungkin sedikit berbeza memandangkan kesemua anak-anak saya sudah melalui sistem persekolahan di Malaysia dan dikhuatiri sukar untuk mengadaptasi sistem persekolahan di sini yang pastinya jauh berbeza. Saya juga khuatir jika anak-anak saya rasa 'tertekan' kerana langsung tidak memahami apa yang dipelajari di sekolah Jepun ini. Bukan itu sahaja, saya tidak mahu 'rasa bersalah' apabila anak-anak akan teringat suasana persekolahan di tanahair dan rakan-rakan sekolah mereka. Atas faktor-faktor ini, kami mengambil keputusan untuk menghantar anak-anak ke sekolah pada April 2015 dan tempoh 4-5 bulan merupakan 'tempoh persediaan' buat mereka. Ini kerana sesi persekolahan di Jepun bermula pada April setiap tahun. 

ANAK-ANAK

Namun, kata-kata bekas Dekan sebelum ini yang menyatakan kepada saya bahawa anak-anak mudah memahami dan adaptasi persekolahan di sini menjadikan kami turut optimis dengan kata-kata tersebut. Ini kerana, bekas Dekan saya juga pernah mengalami situasi yang sama semasa menyambung pengajian PhD beliau di Waseda University, Jepun dahulu. Situasi yang sama juga dihadapi dan bagi beliau tempoh 6 bulan perlu diberikan kepada anak-anak untuk mengadapatasi suasana di Jepun.

ADIK 'UNDERGRADUATE'  

Semasa peringkat permulaan berada di sini, saya banyak menerima bantuan daripada adik-adik 'undergraduate'. Bermula urusan pendaftaran di 'City Hall' sehinggalah berkaitan persekolahan anak-anak dipermudahkan olehNya dengan bantuan daripada adik-adik 'undergraduate' di sini. Terdapat juga adik 'undergraduate' yang berjiwa 'mendidik' dan ingin sangat mengajar anak-anak saya sehingga mereka boleh membaca tulisan hiragana dan katakana. Alhamdullilah dalam tempoh 2-3 bulan sahaja hampir kesemua anak-anak saya boleh membaca dan memahami ayat-ayat asas Jepun. Tidak terkecuali juga bantuan daripada rakan-rakan 'post-graduate' lain daripada 'pinjam duit' hinggalah urusan lain yang turut memerlukan bantuan mereka. Didoakan semoga pahala berterusan dan dimurahkan rezeki olehNya untuk mereka yang banyak menghulurkan bantuan sepanjang kami berada di sini. 

TADAKORO KIIKO SENSEI

Kenangan Bersama Tadakoro Kiiko Sensei
Kenangan Bersama Tadakoro Kiiko Sensei

Bukan itu sahaja, kami turut berterima kasih dengan Tadakoro sensei yang turut berjasa mengajar dengan sabar kesemua anak-anak kami sebagai persediaan sebelum memasuki persekolahan pada April 2015. Anak-anak kami di ajar mengikut tahap umur dan silibus berdasarkan sukatan pelajaran serta penerimaan pelajar tersebut. Bukan itu sahaja, anak-anak kami dibekalkan dengan buku-buku teks yang bakal mereka gunakan di kelas nanti. Isteri saya turut belajar dengan Tadakoro sensei dan sedikit demi sedikit tahap penguasaan Bahasa Jepun isteri saya 'sangat jauh' meninggalkan saya. Kesemua khidmat yang kami terima daripada Tadakoro sensei adalah secara percuma (langsung tiada bayaran). Bayangkan kelas 3 hari seminggu dan selama 2-3 jam setiap kali kelas terasa begitu bermakna detik saat bersama Tadakoro sensei. Anak-anak teruja untuk belajar hari demi hari bersama Tadakoro sensei sehingga kelihatan 'sangat tidak sabar' menunggu April 2015.  

DULU 'SIRA', KINI 'SenTIA'

SIRA or SenTIA
Dulu 'SIRA', Kini 'SenTIA'

Pada awalnya kami ke Sendai International Center (SIRA) yang kini dikenali sebagai Sendai Tourism Convention and International Association (SenTIA) hanyalah untuk mencari khidmat sukarela untuk mengajar anak-anak kami. Kami bersedia untuk membayar, asalkan anak-anak dapat diberikan pendedahan sebelum mendaftar sebagai pelajar sekolah di sini. Rupa-rupanya pihak SIRA turut menawarkan perkhidmatan yang dikenali sebagai 'Foreign Residents Children Support Group' yang akan memberikan bantuan buat anak-anak warga asing yang akan memasuki sekolah rendah dan menengah di Jepun. Bukan itu sahaja, di SenTIA turut menawarkan bantuan penterjemah (interpreter) bagi segala urusan di sini. Untuk maklumat lanjut berkaitan SIRA atau SenTIA, anda boleh layari di http://www.sira.or.jp/english/.

KATA-KATA SENSEI

Benarlah kata-kata sensei yang juga penyelia saya di sini, "di Jepun, sekiranya ada seorang dalam keluarga kamu yang tahu Bahasa Jepun, anda sudah senang". Kini, dalam keluarga saya kesemua ahli keluarga saya (isteri dan anak-anak) sudah boleh berkomunikasi dan memahami Bahasa Jepun kecuali saya. Bak kata sensei saya "Sugoi Isma, now you can focus more on your research. So, from 2 papers journal better target for 3 papers". Bergetar tulang rusuk mendengar 'amanah' sensei. Domo arigatou semua, arigatou gozaimasu sensei".     

Monday, November 2, 2015

Rumah: Dari 'Mampu Milik' ke 'Mampu Tengok'

Rumah: Dari 'Mampu Milik' Ke 'Mampu Tengok'
Rumah: Dari 'Mampu Milik' Ke 'Mampu Tengok'

HARGA RUMAH

Sebelum ini pernah saya kongsikan perkongsian HARGA RUMAH JATUH: REALITI ATAU FANTASI kesan daripada pandangan yang seakan 'viral' menyatakan harga rumah diramalkan akan jatuh pada 2016-2017. Dua hari selepas itu, saya turut kongsikan laporan hasil kajian Institut Kewangan Asia (AIF) di GEN Y: WANG DAN HUTANG mengenai golongan profesional berumur 20 hingga 33 tahun atau dikenali sebagai Gen Y yang kini bergelumang dengan hutang dan berhadapan kedudukan kewangan yang tidak stabil. 

RUMAH MAMPU MILIK

Rumah Mampu Milik
Report by Khazanah Research Institute (KRI)

Semalam saya berkesempatan membaca satu laporan daripada Institut Kajian Khazanah atau lebih dikenali sebagai Khazanah Research Institute (KRI). Laporan ini bertajuk "Mewujudkan Perumahan Mampu Miliki" dan kajian meliputi kondisi semasa di Malaysia dengan melibatkan keseluruhan 14 buah negeri di Malaysia. Laporan ini boleh dibaca dan dimuat turun di http://www.krinstitute.org. Berdasarkan laporan tersebut, harga rumah mampu milik yang ditawarkan pada masa kini masih belum 'mampu' dimiliki oleh kebanyakan penduduk Malaysia.

Rumah Mampu Milik
Sumber Gambar: http://www.thestar.com.my/ 

PERBANDINGAN HARGA RUMAH

Berdasarkan kajian tersebut mendedahkan harga rumah di Malaysia yang terlalu tinggi menyebabkan rakyat tidak mampu untuk memiliki rumah-rumah yang ditawarkan. Kajian ini dikira berdasarkan median harga rumah pada 4.4 kali berbanding median pendapatan tahunan isi rumah tahunan. Ia lebih tinggi berbanding median antarabangsa (Malaysia) bagi rumah mampu milik pada tiga kali pendapatan isi rumah tahunan. Kajian tersebut memberikan tumpuan khususnya kepada kawasan bandar yang lazimnya mempunyai populasi besar dan kemampuan pemilikan yang rendah. Melaka dicatatkan sebagai negeri yang mempunyai perumahan mampu milik dengan median tiga kali berbanding pendapatan isi rumah tahunan. Sementara Kuala Lumpur dan Pulau Pinang dicatatkan pada median 5.4 dan 5.2 masing-masing berbanding tahunan isi rumah. Ini secara tidak langsung, menjadikan ke dua-dua negeri tersebut (Kuala Lumpur dan Pulau Pinang) merupakan kawasan perumahan yang sangat tidak mampu dimiliki. Secara umumnya, rumah-rumah di negeri-negeri yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi dan diklasifikasikan sebagai strategik semakin tidak mampu untuk dimiliki.

TEKNOLOGI BINA RUMAH

Hasil laporan dan kajian tersebut turut diberikan beberapa cadangan, antaranya dicadangkan agar kerajaan mewujudkan mekanisma yang boleh mengawal faktor-faktor kenaikan harga rumah seperti memperkenalkan pendekatan moratorium bagi tempoh tertentu. Moratorium bermaksud tidak dibenarkan untuk memindah milik atau menjual rumah yang dibeli dalam tempoh tertentu tanpa kebenaran kerajaan. Jika cadangan ini dilaksanakan turut memberikan impak negatif dalam pemilikan hartanah bagi mereka yang bergiat aktif dalam pelaburan hartanah. Turut dicadangan untuk menggunakan teknologi dan teknik pembinaan rumah terkini yang membolehkan rumah dibina dalam tempoh yang cepat. Dimaklumkan di Filipina terdapat syarikat yang boleh membina rumah pasang siap dalam tempoh 14 hari. Ini akan dapat mengurangkan kos pembinaan dan seterusnya menurunkan harga rumah agar mampu dimiliki.

RUMAH OH! RUMAH

Rumah, Oh! Rumah
Bangau Oh! Bangau

Namun, saya pasti pelbagai cadangan boleh diberikan bahkan banyak pihak yang terlibat dalam memastikan harga rumah mampu dimiliki. Bagi mereka yang terus membuat alasan tidak mampu memiliki rumah atas sebab-sebab tertentu, sudah pasti versi baru lagu 'Bangau, Oh! Bangau' boleh bertukar kepada 'Rumah, Oh! Rumah'. Agak mudah untuk menyalahkan mana-mana pihak atau bersandarkan kepada pandangan yang belum pasti bagi memastikan harga rumah turun dan boleh dimiliki. Sedangkan tiada siapa tahu, tarikh dan tahun sebenar bila ramalan tersebut bakal menjadi kenyataan. Kita hanya mampu memiliki rumah yang 'mampu milik' jika kita bersedia untuk memiliki rumah dalam lingkungan baget yang kita mampu miliki. Ini kerana masih banyak lagi kaedah lain untuk seseorang memiliki sebuah rumah jika bersedia mencari ilmu dan mampu untuk mengubah gaya hidup kepada 'hidup di bawah kemampuan'. Tidak dinafikan peranan agensi atau mereka yang bertanggungjawab sangat perlu dalam memastikan harga rumah tidak terus melonjak naik. Namun, sebagai individu sudah pasti kita mampu untuk memiliki rumah yang 'mampu milik' dengan menggunakan sumber dan pendekatan lain yang masih terbuka luas. 

RUMAH LELONG

Sebagai contoh, pendekatan membeli rumah lelong juga boleh dijadikan alternatif untuk memiliki RUMAH PERTAMA. Teringat semasa hendak membuat keputusan untuk membeli sebuah rumah lelong di kala simpanan berada di 'paras hidung'. Harga rumah yang ditawarkan pada masa itu sekitar RM70,000 masih terasa mahal kerana gaji permulaan kerja agak rendah. Ditambah lagi pada masa itu baru sahaja menambah bilangan cahaya mata yang ke tiga. Oleh kerana khuatir kami tidak memiliki apa-apa hartanah, maka keputusan tetap dibuat bagi memastikan matlamat memiliki sekurang-kurangnya satu hartanah tercapai. Prinsip yang diamalkan, 'mulakan dulu, adjust kemudian'. Setelah memiliki rumah tersebut, tidak sangka setahun selepas itu kami melangkah lagi untuk memiliki rumah yang kedua di kala gaji bersih isteri tidak sampai RM1000. Sudah pasti prinsip 'hidup di bawah kemampuan' menjadi salah faktor kami berani membuat keputusan ini.

MILIKI RUMAH

Bukanlah saya hendak berbangga diri tapi hanya sekadar ingin berkongsi pengalaman yang sedikit dan sehalus hatsu yuki (permulaan salji). Saya juga menyedari tidak layak untuk mengajar tentang teknik rumah lelong atau teknik yang membolehkan anda memiliki rumah 'mampu milik' kerana di luar sana masih ramai 'otai' dan pakar dalam bidang ini. Saya sekadar ingin memberikan inspirasi agar golongan muda terus mencari ilmu dalam pengurusan kewangan termasuklah dalam membina harta dan bukannya berterusan menjana hutang. Diharapkan juga agar golongan muda tidak terus leka dan mengharapkan ramalan harga rumah akan jatuh atau berterusan menyanyikan lagi 'Bangau, Oh! Bangau' dalam versi baru 'Rumah, Oh! Rumah'. Jika masih berterusan dengan alasan dan menyalahkan orang lain, dikhuatiri rumah yang kini 'MAMPU MILIK' hanya 'MAMPU TENGOK' di kemudian hari.

Sekadar pandangan dan perkongsian dari kejauhan di Sendai, Jepun. 
Tudung kanak-kanak