Source Picture: http://blogs.new.spectator.co.uk/tag/generation-y/ |
WANG DAN HUTANG
Baru-baru ini saya berkesempatan untuk membaca satu laporan dan hasil penyelidikan Institut Kewangan Asia atau lebih dikenali sebagai Asian Institute of Finance (AIF). Laporan kajian ini bertajuk "Kepentingan Kewangan: Memahami Gen Y - Merapatkan Jurang Pengetahuan Millenial Malaysia". Kajian ini telah melibatkan lebih 1,000 orang responden daripada kalangan profesional muda yang berumur di antara 20 hingga 33 tahun. Laporan lengkap hasil penyelidikan tersebut boleh dibaca dan dimuat turun di http://www.aif.org.my/
Laporan dan Kajian Penyelidikan Institut Kewangan Asian (AIF) |
'WARISI' HUTANG
Berdasarkan laporan tersebut, 40% daripada responden yang merupakan golongan muda di Malaysia (Gen Y) kini bergelumang dengan hutang dan sering berbelanja di luar kemampuan. Bukan itu sahaja, 75% Gen Y boleh diibaratkan 'sudah mewarisi hutang' sekurang-kurangnya satu pinjaman dan 37% mempunyai lebih daripada satu pinjaman jangka panjang sebaik sahaja memasuki dunia pekerjaan.
PUNCA-PUNCA HUTANG
Sumber Gambar : Utusan Malaysia |
Laporan tersebut turut mendedahkan 56% responden akan terus membuat hutang sama ada atas dasar 'keperluan' atau 'kehendak' dengan membuat pinjaman jangka panjang seperti hutang kenderaan (kereta) dan 47% pula memilih kad kredit atas alasan kemudahan berbelanja dan 'mata ganjaran'. Apabila melihat pendedahan hampir 50% responden Gen Y yang memilih untuk memiliki kad kredit, sangat dikhuatiri jika ada yang terjebak dengan perangkap hutang yang lain. Berdasarkan penglibatan saya bersama Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dalam mencelikkan golongan muda di institusi lama saya dahulu, turut didedahkan ramai mereka yang bakal diisytiharkan muflis kesan daripada penggunaan kad kredit yang tidak terkawal.
MEMENUHI 'KEHENDAK' DENGAN HUTANG
Gen Y Berkaitan Wang dan Hutang |
Turut didedahkan 38% responden terlibat dengan pembiayaan peribadi dan 28% telah menggunakan pendekatan gadai janji. Jika dilihat dari sudut pandangan berbeza, barangkali mereka yang berumur diantara 20 hingga 33 tahun terlibat dengan pinjaman peribadi lebih bersifat memenuhi 'kehendak'. Sebagai contoh, mengadakan majlis perkahwinan melebihi kemampuan, bergaya dengan motosikal besar, modal berniaga bagi perniagaan yang kabur, pelaburan yang menjanjikan 'bulan' dan 'bintang', ditipu oleh penipu, memiliki gadget dan gaya hidup mewah serta pelbagai lagi. Saya juga tertanya-tanya alasan dan sebab 28% Gen Y telah terlibat dengan gadai janji ini. Diharapkan mereka yang terlibat dengan gadai janji ini atas dasar bagi mendapatkan pusingan modal berniaga atau melibatkan diri dalam pelaburan emas dan bukannya disebabkan terdesak atau hutang yang keliling pinggang.
KESAN HUTANG
Disebabkan hutang yang 'membukit' ini, 45% responden mengakui tidak berupaya menyelesaikan hutang pada waktu yang ditetapkan dan akhirnya menyebabkan mereka turut menghadapi tekanan kewangan dalam kehidupan. Manakala 70% mereka yang memiliki kad kredit, cenderung untuk membayar bulanan pada kadar minima. Atas sebab itu, tidak hairanlah jika mudah kita melihat golongan muda sukar untuk menahan marah dan sabar jika kereta mereka tercalar atau berlanggar. Tidak hairan juga kenapa ada yang sanggup mendera anak hanya kerana gadget mewah mereka 'dikerjakan' anak dan pelbagai lagi peristiwa yang diluar batas kemanusiaan. Apabila hidup diselubungi tekanan, sudah pasti tindakan juga diluar pemikiran waras seorang manusia yang normal.
ILMU WANG DAN HUTANG
Pesanan Warren Buffet |
Berdasarkan laporan itu juga menyatakan 58% di kalangan responden memiliki pengetahuan kewangan pada tahap yang sederhana. Hanya 28% sahaja responden yang benar-benar yakin dengan kedudukan kewangan mereka. Gen Y juga mudah terdedah dengan konsep berbelanja secara atas talian (on-line) dan ada kalanya menyebabkan mereka berbelanja di luar kawalan serta membeli barang yang bukannya 'keperluan'. Oleh itu, saya sangat sarankan golongan muda khusus Gen Y agar tingkatkan ilmu pengurusan kewangan dan beringat sebelum membuat apa-apa hutang dalam kehidupan mereka. Janganlah asyik berbelanja sehingga mengutamakan 'kehendak' daripada 'keperluan'. Hiduplah di bawah kemampuan daripada membiarkan diri kelihatan KAYA TIDAK BERHARTA. Jika tidak diambil perhatian pendedahan ini, dikhuatiri benarlah apa yang dikatakan oleh Warren Buffet:
"if you buy thing you do not need, soon you have to sell things you need".
Sekadar pandangan dari kejauhan di Sendai, Jepun. Semoga bermanfaat.
Gen Y: Wang dan Hutang
4
/
5
Oleh
Unknown