Friday, October 30, 2015

Gen Y: Wang dan Hutang

Gen Y: Wang dan Hutang
Source Picture: http://blogs.new.spectator.co.uk/tag/generation-y/

WANG DAN HUTANG

Baru-baru ini saya berkesempatan untuk membaca satu laporan dan hasil penyelidikan Institut Kewangan Asia atau lebih dikenali sebagai Asian Institute of Finance (AIF). Laporan kajian ini bertajuk "Kepentingan Kewangan: Memahami Gen Y - Merapatkan Jurang Pengetahuan Millenial Malaysia". Kajian ini telah melibatkan lebih 1,000 orang responden daripada kalangan profesional muda yang berumur di antara 20 hingga 33 tahun. Laporan lengkap hasil penyelidikan tersebut boleh dibaca dan dimuat turun di http://www.aif.org.my/

Gen Y: Wang dan Hutang
Laporan dan Kajian Penyelidikan Institut Kewangan Asian (AIF)

'WARISI' HUTANG

Berdasarkan laporan tersebut, 40% daripada responden yang merupakan golongan muda di Malaysia (Gen Y) kini bergelumang dengan hutang dan sering berbelanja di luar kemampuan. Bukan itu sahaja, 75% Gen Y boleh diibaratkan 'sudah mewarisi hutang' sekurang-kurangnya satu pinjaman dan 37% mempunyai lebih daripada satu pinjaman jangka panjang sebaik sahaja memasuki dunia pekerjaan.

PUNCA-PUNCA HUTANG

Gen Y Wang dan Hutang
Sumber Gambar : Utusan Malaysia

Laporan tersebut turut mendedahkan 56% responden akan terus membuat hutang sama ada atas dasar 'keperluan' atau 'kehendak' dengan membuat pinjaman jangka panjang seperti hutang kenderaan (kereta) dan 47% pula memilih kad kredit atas alasan kemudahan berbelanja dan 'mata ganjaran'. Apabila melihat pendedahan hampir 50% responden Gen Y yang memilih untuk memiliki kad kredit, sangat dikhuatiri jika ada yang terjebak dengan perangkap hutang yang lain. Berdasarkan penglibatan saya bersama Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dalam mencelikkan golongan muda di institusi lama saya dahulu, turut didedahkan ramai mereka yang bakal diisytiharkan muflis kesan daripada penggunaan kad kredit yang tidak terkawal.  

MEMENUHI 'KEHENDAK' DENGAN HUTANG 

Gen Y: Wang dan Hutang
Gen Y Berkaitan Wang dan Hutang

Turut didedahkan 38% responden terlibat dengan pembiayaan peribadi dan 28% telah menggunakan pendekatan gadai janji. Jika dilihat dari sudut pandangan berbeza, barangkali mereka yang berumur diantara 20 hingga 33 tahun terlibat dengan pinjaman peribadi lebih bersifat memenuhi 'kehendak'. Sebagai contoh, mengadakan majlis perkahwinan melebihi kemampuan, bergaya dengan motosikal besar, modal berniaga bagi perniagaan yang kabur, pelaburan yang menjanjikan 'bulan' dan 'bintang', ditipu oleh penipu, memiliki gadget dan gaya hidup mewah serta pelbagai lagi. Saya juga tertanya-tanya alasan dan sebab 28% Gen Y telah terlibat dengan gadai janji ini. Diharapkan mereka yang terlibat dengan gadai janji ini atas dasar bagi mendapatkan pusingan modal berniaga atau melibatkan diri dalam pelaburan emas dan bukannya disebabkan terdesak atau hutang yang keliling pinggang. 

KESAN HUTANG

Disebabkan hutang yang 'membukit' ini, 45% responden mengakui tidak berupaya menyelesaikan hutang pada waktu yang ditetapkan dan akhirnya menyebabkan mereka turut menghadapi tekanan kewangan dalam kehidupan. Manakala 70% mereka yang memiliki kad kredit, cenderung untuk membayar bulanan pada kadar minima. Atas sebab itu, tidak hairanlah jika mudah kita melihat golongan muda sukar untuk menahan marah dan sabar jika kereta mereka tercalar atau berlanggar. Tidak hairan juga kenapa ada yang sanggup mendera anak hanya kerana gadget mewah mereka 'dikerjakan' anak dan pelbagai lagi peristiwa yang diluar batas kemanusiaan. Apabila hidup diselubungi tekanan, sudah pasti tindakan juga diluar pemikiran waras seorang manusia yang normal. 

ILMU WANG DAN HUTANG

Gen Y: Wang dan Hutang
Pesanan Warren Buffet

Berdasarkan laporan itu juga menyatakan 58% di kalangan responden memiliki pengetahuan kewangan pada tahap yang sederhana. Hanya 28% sahaja responden yang benar-benar yakin dengan kedudukan kewangan mereka. Gen Y juga mudah terdedah dengan konsep berbelanja secara atas talian (on-line) dan ada kalanya menyebabkan mereka berbelanja di luar kawalan serta membeli barang yang bukannya 'keperluan'. Oleh itu, saya sangat sarankan golongan muda khusus Gen Y agar tingkatkan ilmu pengurusan kewangan dan beringat sebelum membuat apa-apa hutang dalam kehidupan mereka. Janganlah asyik berbelanja sehingga mengutamakan 'kehendak' daripada 'keperluan'. Hiduplah di bawah kemampuan daripada membiarkan diri kelihatan KAYA TIDAK BERHARTA. Jika tidak diambil perhatian pendedahan ini, dikhuatiri benarlah apa yang dikatakan oleh Warren Buffet:

"if you buy thing you do not need, soon you have to sell things you need". 

Sekadar pandangan dari kejauhan di Sendai, Jepun. Semoga bermanfaat. 

Wednesday, October 28, 2015

Harga Rumah Turun: Takdir atau Tadbir?

Harga Rumah Jatuh
Harga Rumah Jatuh: Takdir atau Tadbir?

HARGA RUMAH JATUH?

Baru-baru ini seakan menjadi viral semula pandangan Professor Dr. Hoo Ke Ping yang merupakan seorang Pakar Penganalisa Ekonomi dalam rancangan Nasi Lemak Kopi O yang telah bersiaran pada 27 Disember 2014. Walaupun pandangan ini sudah agak lama, kini setelah pembentangan Baget Malaysia 2016 baru-baru ini kenyataan beliau seakan diambil perhatian semula lebih-lebih lagi apabila kita kini menghampiri beberapa bulan menjelang tahun baru 2016. Berdasarkan pandangan beliau, 2016-2017 diramalkan bakal turunnya harga rumah. 

Harga Rumah Turun?
Pandangan Prof. Dr. Hoo Ke Ping di Nasi Lemak Kopi O pada 27/12/14

RUMAH DAN HARTANAH

Pada 27 Oktober 2015 lalu, Majalahniaga.com antara media yang turut membawa isu berkaitan harga rumah akan jatuh dengan mengambil pandangan berbeza daripada Dr. Azizul Azli Ahmad yang merupakan salah seorang ahli akademik di UiTM dan juga terlibat dalam pelaburan hartanah. Saya pasti pandangan Prof. Dr. Hoo dibuat berdasarkan kepakaran dan pengalaman beliau. Begitu juga pandangan daripada Dr. Azizul Azli Ahmad juga perlu diberikan perhatian dalam 'memandu' golongan muda membuat keputusan memiliki hartanah dan merancang kewangan mereka. 

MILIKI RUMAH: TAKDIR ATAU TADBIR?

Saya sedikit khuatir kerana terdapat segelintir di kalangan golongan muda khususnya bekas pelajar saya yang hanya mengambil kenyataan Professor Dr. Hoo tersebut tanpa membaca dan melihat maksud sebenar kenyataan beliau. Sebagai contoh, terdapat mereka yang hanya berserah kepada TAKDIR dengan harapan harga rumah akan turun pada tahun hadapan. Lebih parah lagi, pandangan tersebut terus diambil 'bulat-bulat' dan dikongsi (share) dalam media sosial yang lain tanpa dihayati sepenuhnya maksud sebenar kenyataan asal beliau.

Baget 2016 'Mensejahterakan Kehidupan Rakyat'
Baget 2016 'Mensejahterakan Kehidupan Rakyat'

BELILAH RUMAH

Sebelum ini saya pernah kongsikan berkaitan membeli rumah dalam perkongsian 'RUMAH PERTAMA' VS 'RUMAH IMPIAN' dan BELILAH 'KEDIAMAN' DAN BUKANNYA 'KERETA IDAMAN'. Saya secara peribadi sangat menggalakkan agar golongan muda memiliki sekurang-kurangnya satu hartanah. Bila ada ilmu yang mantap, bolehlah melangkah lebih jauh dengan memiliki berapa buah rumah atau hartanah yang lain. Jangan terlalu berharap dan berserah sepenuhnya kepada TAKDIR. 

REALITI HARGA RUMAH

Realitinya, sebelum saya meninggalkan Malaysia untuk melanjutkan pengajian di Jepun pada akhir 2014 kelihatan kebanyakan rumah di sekitar kawasan perumahan saya di Bandar Seri Putra sangat sukar untuk mencari rumah yang harganya turun. Begitu juga dengan kawasan perumahan baru di Seremban dan Senawang menunjukkan harga rumah terus melonjak naik. Jika pada 2016-2017, harga rumah turun sepertimana yang diramalkan saya percaya orang yang tidak hanya berserah kepada TAKDIR semata-mata akan menikmati dan berjaya merebut peluang tersebut. 

TADBIR MEMILIKI RUMAH

Sebagai orang muda, membuat persiapan adalah lebih baik daripada hanya berserah kepada TAKDIR. Telah terbukti ramai mereka yang merasai kesenangan dan kekayaan pada masa kini adalah mereka yang mengamalkan prinsip TADBIR yang baik. Sebagai contoh, pesanan Professor tersebut turut menekankan akan sikap berjimat-cermat dan berbelanja mengikut keperluan. Berusaha dan berazam untuk tidak membuat hutang mudarat bagi mengelakkan diri daripada terjebak dengan perangkap hutang. Turut diingatkan agar membuat simpanan dalam menghadapi krisis ekonomi pada bila-bila masa. Melalui simpanan juga membolehkan kita membuat pelaburan pada masa hadapan. Kesemua ini boleh dicapai dengan hanya mengamalkan TADBIR urus yang baik terhadap kedudukan kewangan yang dimiliki pada masa sekarang. 

RAMALAN HARGA RUMAH

Sebagai perbandingan, masyarakat di Jepun ramai yang menggunakan aplikasi ramalan cuaca dalam kehidupan seharian mereka. Oleh itu, penggunaan aplikasi ramalan cuaca seperti AccuWeather, The Weather Channel dan sebagainya telah menjadi kebiasaan bagi kami di sini. Namun, seringkali juga ramalan cuaca tersebut hanyalah sekadar ramalan. Oleh itu, saya berharap golongan muda yang masih belum memiliki hartanah tidak sekadar tunggu dan berserah kepada TAKDIR agar ramalan tersebut menjadi kenyataan. TADBIR dengan baik kewangan anda pada masa ini adalah lebih utama dalam memastikan TAKDIR yang lebih cerah pada masa hadapan. 

RUMAH ADALAH ASET

Akhir kata, kenapa perlu terus menyewa rumah sedangkan anda mampu untuk membeli sebuah rumah. Kenapa perlu tunggu dan bergantung kepada ramalan harga rumah akan jatuh sedangkan anda boleh memilikinya pada masa sekarang. Kenapa terus dibiarkan diri terjebak dengan hutang sedangkan hutang membeli rumah langsung tidak diberikan perhatian. Membeli rumah yang kecil sebagai permulaan bukanlah satu kesalahan dan memalukan. Percayalah memiliki rumah di lokasi yang strategik akan meningkatkan lagi nilai aset yang anda miliki. Oleh itu, TADBIR urus kewangan anda adalah lebih penting daripada hanya berserah kepada TAKDIR. 

Sekadar perkongsian dan pemerhatian dari kejauhan di Sendai, Jepun. 

Tuesday, October 20, 2015

'Irasshaimase' Amalan Usahawan Jepun

Irasshaimase Amalan Usahawan Jepun
'Irasshaimase' Amalan Usahawan Jepun

PENGENALAN

Apabila kita melangkah masuk ke kedai-kedai mahupun pasaraya di Jepun seringkali kita akan terdengar sapaan “Irasshaimase” daripada para pekerja di kedai tersebut. Peringkat permulaan saya langsung tidak mengerti maksud sapaan mahupun istilah ini. Saya sangat pasti yang sapaan tersebut merujuk kepada saya sebagai pelanggan. Begitu mesra dan terasa sangat dihargai kehadiran saya. Bukan sahaja kepada saya sebagai gaijin (orang luar). Malah, sapaan tersebut sering diberikan kepada semua orang yang masuk ke kedai dan berterusan setiap kali kita berselisih dengan pekerja yang lain. Rupa-rupanya maksud “irasshaimase” merujuk kepada “selamat datang ke kedai (tempat) kami” dan saya begitu teruja bila disapa sedemikian. Terasa kehadiran kita seakan sangat dihargai.

Kembara Usahawan Muka Surat 1 (Majalah HALUAN)
Kembara Usahawan Muka Surat 1 (Majalah HALUAN)

IRASSHAIMASE

Saya yakin sapaan “selamat datang ke kedai kami” turut dipraktikkan di Malaysia. Namun, di Jepun hampir semua kedai sama ada kecil mahupun besar dan pasaraya yang pernah saya kunjungi di sini akan memberikan sapaan “irasshimase” dengan penuh senyuman dan kemesraan. Inilah sikap yang perlu ada dan boleh diterapkan kepada setiap usahawan mahupun para pekerja yang membawa nama perniagaan seseorang usahawan. Bila disapa dengan mesra, pastinya pelanggan akan merasa dihargai dan setiap individu merasa seronok bila dihargai.


MENGHARGAI PELANGGAN

Terdapat banyak kaedah yang boleh diamalkan oleh seseorang usahawan dalam menzahirkan konsep ‘menghargai pelanggan’ dalam perniagaan mereka. Selain sikap mesra pelanggan seperti senyuman dan ucapan salam, usahawan boleh mempamerkan kesediaan dan kesungguhan untuk membantu pelanggan mereka. Sebagai contoh, saya suka melihat kesungguhan pekerja Jepun dalam membantu pelanggan mereka terutama apabila bertanya dan memerlukan pertolongan. Mereka akan berusaha menerangkan kepada kita walaupun kita tidak memahami bahasa mereka. Kebiasaannya, mereka akan membawa kita sehingga ke kedudukan barangan yang dicari. Paling mencuit hati, jika kita bertanyakan kedudukan tandas mereka akan menunjukkan kita sehingga sampai di pintu tandas. Situasi seperti ini biasa ditemui dan atas sebab itulah saya tidak terlalu kekok bila membeli-belah dan berada di Jepun walaupun sangat sedikit memahami bahasa mereka.

Kembara Usahawan Muka Surat 2 (Majalah HALUAN)
Kembara Usahawan Muka Surat 2 (Majalah HALUAN)

MERUNTUN HATI PELANGGAN

Persaingan dalam perniagaan sememangnya tidak dapat dipisahkan. Selain memberikan tumpuan kepada aspek produk mahupun perkhidmatan, seseorang usahawan sangat perlu untuk menumpukan perhatian kepada strategi yang berupaya meruntun hati pelanggan mereka. Jika pelanggan berpuas hati, pastinya mereka akan berterusan menggunakan produk atau perkhidmatan yang ditawarkan. Selain itu, sikap mesra dan menghargai pelanggan berupaya menjadi strategi perniagaan yang sangat bermakna dalam membezakan sesebuah perniagaan seseorang usahawan dengan usahawan yang lain. Semoga amalan yang sedikit ini dapat diterapkan dan diamalkan dalam setiap diri usahawan. Jika ini diamalkan saya yakin bukan hanya pelanggan yang seronok untuk ke premis kita malah kita turut teruja sebagai usahawan. Sayonara dan salam usahawan  dari bumi sakura! 

Muka Hadapan Majalah HALUAN
Muka Hadapan Majalah HALUAN

Saturday, October 17, 2015

3 Kata-Kata Hikmah Jepun Tentang Wang!

Kata-kata Hikmah Jepun Tentang Wang
Kata-kata Hikmah JepunTentang Wang (1)

Sebelum melanjutkan pengajian dahulu saya pernah terdengar daripada rakan-rakan yang pernah lalui menyatakan perjalanan sebagai penuntut PhD merupakan 'perjalanan bersendirian'. Benarlah apa yang dikatakan kerana setelah 1 tahun merasai sendiri pengalaman sebagai pelajar di Tohoku University ini sering juga merasakan bersendirian dalam menyiapkan tugasan yang diberikan. Ada kala sememangnya kita sendiri memilih untuk bersendirian lebih-lebih lagi dikala menulis artikel atau journal yang merupakan salah-satu syarat untuk bergraduan. Saya secara peribadi suka untuk pergi ke perpustakaan sama ada di Tohoku Hospital Universiti ataupun ke kampus di Aobayama untuk mencari idea dan mendapatkan suasana yang santai bagi mendapatkan ilham menulis. 

Semasa di perpustakaan saya menemui beberapa kata pujangga atau mungkin juga boleh dikatakan kata-kata hikmah berkaitan wang. Jika Bahasa Melayu kaya dengan peribahasa, kata-kata pujangga dan kata-kata hikmah, begitulah juga Bahasa Jepun turut kaya dengan kata-kata hikmah mereka.

Terdapat banyak juga kata-kata hikmah Jepun berkaitan wang. Berikut 3 kata-kata hikmah berkaitan wang yang sempat saya jumpa dan boleh dijadikan panduan dalam menguruskan kewangan peribadi:

Kata Hikmah Jepun Tentang Wang #1


Bahasa Jepun くせ    つか  (akusen, mi ni tsukazu)

Bahasa EnglishDirty Money Doesn't Stay With A Person For Long.

Bahasa Malaysia: Duit Haram Tidak Akan Berkat dan Kekal Lama.

Penerangan/ Pemahaman: 

Duit yang haram atau diperolehi dengan cara yang tidak baik biasanya tidak berkat dan kekal lama. Oleh itu jagalah keberkatan rezeki yang kita perolehi dengan menjaga amanah sebaiknya. Elakkan perkara-perkara yang haram dan sebagainya bagi memastikan rezeki yang diperolehi diredhai olehNya. Pesanan guru saya, keberkatan rezeki boleh dilihat dengan merasai sendiri rezeki yang sedikit tetapi merasa banyak. Ada mereka pendapatan isi rumah sebulan yang diperolehi pasangan suami isteri lebih banyak daripada orang lain atau adik beradik sendiri. Namun, seringkali merasakan tidak cukup dengan pelbagai ujian. Ada yang diuji dengan masalah kesihatan, kehilangan dan pelbagai lagi. Ada juga merasai pendapatan meningkat saban tahun, namun pemberian buat orang tua di kampung juga sentiasa beralasan tidak mencukupi untuk diberikan.  

Kata Hikmah Jepun Tentang Wang #2

Kata-kata Hikmah Jepun Tentang Wang
Kata-kata Hikmah Jepun Tentang Wang (2)

Bahasa Jepun: ただ より たかい もの  ない(tada yori takai mono wa nai)

Bahasa English: Nothing is More Expensive Than Free.

Bahasa Malaysia: Tiada Yang Lebih Berharga Daripada KurniaNya yang Percuma.

Penerangan/ Pemahaman:

Maksud kata hikmah di atas, seringkali kita melihat barang mahal sebagai lambang status dan ada juga yang mengaitkan kemewahan sebagai simbol kejayaan. Namun, janganlah kita lupa dan lebih parah lagi tidak bersyukur dengan nikmat dan kurniaanNya yang percuma dalam kehidupan ini. Sebagai contoh, nikmat kesihatan, kebahagian, iman, ketenangan dan pelbagai lagi dalam kehidupan yang tidak ternilai harganya. Jagailah segala kurniaanNya ini dengan sebaiknya.

Kata Hikmah Jepun Tentang Duit Wang #3


Bahasa Jepun: きん  える   はり  あな ほり  する よう  。 きん  つかう   みず  すな  しみこむよう  
(kin o eru no wa hari de ana hori o suru you da. Kin o tsukau no wa mizu ga suna ni shimikomu youda)

Bahasa English: Getting Money is Like Digging with a Needle. Spending it Like Water Soaking into the Sand.

Bahasa Malaysia: Mendapatkan Wang Seperti Mengorek Tanah Menggunakan Jarum. Berbelanja Wang Ibarat Mencurah Air ke Tanah.

Pemahaman/ Penerangan:

Saya banyak menjumpai kata-kata hikmah di atas yang diterjemahan dalam pelbagai bahasa. Walaupun berdasarkan Bahasa Jepun, kin itu merujuk kepada emas namun ia juga membawa maksud wang. Kata-kata hikmah ini merupakan yang paling popular dan sangat mendalam maksudnya. Benarlah bukan mudah untuk mendapatkan wang atau kekayaan. Namun, untuk membelanjakan wang yang diperolehi boleh dilakukan dengan dengan singkat dan mudah.

Tidak dinafikan banyak lagi kata-kata hikmah Jepun mahupun Bahasa Malaysia yang boleh dijadikan peringatan dalam kita berbelanja dan mengubah tanggapan kita terhadap wang. Oleh kerana halangan Bahasa Jepun, cukuplah sekadar 3 kata-kata hikmah Jepun berkaitan wang setakat ini. Barangkali pada masa akan datang boleh dikongsikan kata-kata hikmah yang berguna yang bukan sahaja boleh dijadikan peringatan bahkan boleh meningkatkan kosa kata Bahasa Jepun di sini.

Sekadar perkongsian.

Sayonara. Sampai jumpa lagi.

Tuesday, October 13, 2015

Dijangkiti 'Kutu Hutang' Spesis Baru

Kutu Hutang
Dijangkiti 'Kutu Hutang' Spesis Baru

BERMAIN 'KUTU'

Rasanya ramai yang pernah terlibat atau mempunyai pengalaman bermain 'kutu' atau juga dikenali sebagai bayaran komitmen bulanan yang dikongsi bersama rakan-rakan di tempat kerja mahupun di kawasan kejiranan. Ada yang melihat pendekatan bermain 'kutu' ini dapat mendisplinkan diri mereka untuk menyimpan dan ada juga yang menjadikan wang 'kutu' ini sebagai duit untuk melangsaikan bayaran atau hutang seperti cukai jalan dan takaful/ insurans kereta setiap tahun, dijadikan sebagai tabungan serta pelbagai lagi. Ia boleh diibaratkan seperti memberi pinjaman wang awal kepada ahli yang memerlukan. Pemberian duit 'kutu' tersebut biasanya mengikut giliran berdasarkan undian dan terdapat juga pemilihan giliran atas permintaan individu sendiri.

Akta (Larangan) Kumpulan Wang Kutu 1971

AKTA KUTU

Apabila membicarakan tentang bermain 'kutu', saya teringat akan 'Akta Kutu' yang termaktub dalam Undang-Undang Malaysia. Masih teringat semasa belajar dahulu pernah didedahkan dengan AKTA 28 AKTA (LARANGAN) KUMPULAN WANG KUTU 1971 yang memberikan definasi 'kutu' merujuk kepada:
"kumpulan wang kutu" ertinya rancangan atau perkiraan yang dikenali dengan berbagai-bagai nama sepertu kutu, cheetu, chit fund, hwei, tontine atau sebagainya yang menurutnya peserta-pesertanya membayar yuran berkala atau selainnya kepada suatu kumpulan wang bersama itu dijual atau dibayar kepada peserta-peserta dengan jalan lelong, tender, tawaran, undi atau selainnya dan termasuklah apa-apa rancangan atau perkiraan daripada berbagai-bagai jenis seperti kutu, cheetu, chit fund, hwei atau tontine;  
Berdasarkan kepada 'Akta Kutu' tersebut, dibawah peruntukan Seksyen 3 adalah salah di sisi undang-undang menjalankan perniagaan menganjurkan wang kutu.
Maka adalah salah di sisi undang-undang bagi sesiapa menjalankan perniagaan menganjurkan wang 'kutu' dan seseorang yang menjalankan perniagaan itu adalah melakukan kesalahan dan, apabila disabitkan, boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya. 
Oleh itu, jelaslah berdasarkan peruntukan undang-undang Malaysia, skim atau perniagaan 'kutu' ini tidak dibenarkan dan salah di sisi undang-undang.

KUTU 'OFFICE' ATAU KUTU 'JIRAN'

Barangkali ada yang tidak bersetuju dengan mengaitkan kutu 'office' atau kutu 'jiran' dengan maksud Akta (Larangan) Kumpulan Wang Kutu 1971 tersebut. Mereka boleh mengambil maksud yang berbeza dengan menyatakan amalan 'kutu' yang mereka laksanakan lebih kepada konsep 'saling membantu' dan bukannya perniagaan. Jika pendekatan kutu 'office' dan kutu 'jiran' yang diamalkan benar-benar patuh syariah saya melihat tiada halangan. Namun perlu memastikan, pendekatan 'kutu' tersebut tiada unsur paksaan, tanpa faedah (riba), tiada penindasan dan benar-benar menjaga hak sama rata. Saya teringat Dr. Zaharuddin Abd Rahman ada mengulas berkaitan kutu ini di Permainan 'Kutu' dan Hukumnya.

SPESIS BARU 'KUTU HUTANG'

Sejak akhir-akhir ini seakan ramai mulai dijangkiti dengan 'kutu hutang' spesis baru. Ada yang tanpa disedari telah menjana hutang dalam kehidupan mereka. Ramai yang tertarik dengan konsep yang berselindung disebalik istilah 'kutu' sedangkan ia merupakan 'bayaran ansuran'. Akhirnya, ada yang sampai bertahun tidak terlunas 'hutang kutu' ini. Terdapat juga terma-terma 'kutu' yang seakan tidak jelas dan natijahnya ada yang terjebak dengan caj-caj yang menindas dan faedah atau riba yang berterusan menekan peserta.

Sebagai contoh, ada yang sanggup membayar ansuran bulanan dengan membuat 'kutu hutang' bagi mendapatkan sebuah periuk memasak serbaguna, seterika ajaib, penapis air berjenama dan pelbagai lagi produk yang harganya boleh mencecah sehingga ribuan ringgit. Hanya kerana boleh membayar ansuran dan berselindung di sebalik 'rambut-rambut' bernama 'kutu' maka ada yang dijangkiti dengan spesis baru ini. Dikhuatiri ada yang sanggup menjana 'kutu hutang' ini dengan mengutamakan 'HUTANG MAHU' DARIPADA 'HUTANG PERLU'. Kadang-kala ada yang sekadar ingin menjaga 'air muka' sanggup mendaftar dan memberi nama sebagai peserta 'kutu hutang' kerana rakan-rakan lain turut terlibat. Terdapat juga produk yang dibeli melalui pendekatan 'kutu hutang' ini bukanlah satu keperluan. Kini, barang yang dibeli mulai ditutupi habuk atau disusun rapi di dalam kabinet kerana jarang sekali digunakan. Ada yang sanggup membiarkan diri mereka dijangkiti spesis 'kutu hutang' ini hanya kerana mahu kelihatan bergaya. Maka, bermulah episod kehidupan yang menjadikan 'GAYA HIDUP' TINGKATKAN 'SARA HIDUP'.

PRODUK 'KUTU HUTANG'

Saya pernah terlihat produk-produk yang ditawarkan dalam skim 'kutu hutang' ini kadang-kala harga terlalu tinggi jika dibandingkan dengan harga sebenar di Jepun. Sebagai contoh, harga seterika ajaib dengan model yang sama jauh lebih rendah berbanding harga yang ditawarkan dalam pendekatan 'kutu hutang'. Saya juga yakin, tanpa seterika ajaib yang harganya mencecah ribuan ringgit pakaian saya masih boleh digosok dan kelihatan kemas. Begitu juga tanpa periuk nasi serbaguna, saya sekeluarga masih boleh menikmati makanan yang sedap jika tahu dan mahu belajar kaedah masak yang cepat dan enak. Terpulanglah bagi setiap individu dalam membuat keputusan, cuma diharapkan agar kita tidak berterusan untuk menjana hutang yang tidak perlu dalam kehidupan. Letakkanlah prioriti dalam berbelanja, lebih-lebih lagi bagi mereka yang telah berkeluarga. Janganlah jadi seperti mereka yang sanggup membiarkan diri dijangkiti 'kutu hutang', sedangkan yuran PIBG sekolah anak masih tertunggak sehingga masuk sesi persekolahan yang baru. Lebih mengecewakan, ada juga yang sengaja memilih 'kutu hutang', sedangkan duit buat orang tua di kampung beralasan 'tidak mampu' untuk diberikan.

Sekadar ingatan terutama buat diri sendiri dan semoga bermanfaat. 

Tuesday, October 6, 2015

Seharian Anak di Sekolah Rendah, Jepun

Laluan Ke Sekolah

SEKOLAH DI JEPUN

Sistem persekolahan di Jepun kini memasuki semester ke dua. Ia menggunakan pendekatan sistem semester sepertimana pengajian di universiti. Semester satu bermula pada April sehingga bulan September, manakala Oktober bermulalah semester ke dua. Sebelum memasuki semester ke dua dan selepas cuti musim panas, barulah buku-buku teks untuk semester ke dua diberikan kepada para pelajar. Aktiviti dan pengisian seharian sekolah rendah di Jepun sudah pasti berbeza berbanding di Jepun. Jika di Malaysia, di waktu pagi anak-anak akan bersiap untuk ke sekolah rendah agama (SRA) dan di tengahari pula akan ke sekolah kebangsaan (SK). Di sini hanya satu sesi sahaja, namun anak-anak akan pergi seawal jam 8:00 pagi dan pulang ke rumah dalam jam 4:30 petang. 

Jadual Sekolah

PAGI

Masa pertama bagi kelas bermula pada 8:30 pagi, namun sebelum jam 8:00 mudah kelihatan para pelajar yang datang lebih awal dan menunggu pintu bangunan sekolah di buka. Sebelum sesi pembelajaran bermula, terdapat taklimat pagi dan juga disebut asanokai. Di waktu ini guru dan pelajar akan tunduk hormat, membuat semakan kehadiran, nyanyian lagu sekolah dan mendengar beberapa pengumuman daripada guru. Terdapat 4 masa bagi sesi pagi. Setiap kelas akan berjalan selama 45 minit dan setiap habis kelas para pelajar akan berhenti rehat 10-20 minit. Bagi para pelajar yang datang awal, mereka akan bermain di sekitar sekolah sebelum 'irama' pemberitahuan sesi pembelajaran akan bermula. 

TENGAHARI

Waktu Makan Tengahari di dalam Kelas

Selepas kelas ke empat, para pelajar yang bertugas akan menyediakan makanan tengahari buat kelas mereka. Aktiviti ini disebut kyuushoku dan semasa penyediaan makanan ini para pelajar akan memakai apron dan perlu mengambil sendiri makanan yang telah disediakan di tempat penyediaan makanan. Tempat penyediaan bukan di sekolah, tetapi makanan di hantar daripada tempat penyediaan khas. Ibu bapa juga pernah dijemput untuk melihat dan merasai sendiri makanan yang disediakan buat para pelajar. Alhamdullilah di Kunimi Elementary School juga turut disediakan menu makanan halal. Setiap menu makanan akan disemak oleh pegawai dietetik (dietitian) bagi memastikan hidangan yang disediakan menepati diet yang seimbang buat para pelajar. Masa bagi makan tengahari selama 1 jam meliputi 15 untuk persediaan, 20 minit untuk makan bersama guru kelas dan 15 minit untuk proses pembersihan oleh para pelajar sendiri. Baki masa 10 minit biasanya para pelajar akan bermain di sekitar sekolah. Setelah makan tengahari, biasanya masih terdapat 1-2 kelas lagi. 

SOUJI

Souji (Membersih)

Sebelum pelajar pulang dari sekolah, kebiasaanya mereka perlu membuat pembersihan (souji) mengikut lokasi dan kumpulan masing-masing. Untuk pemilihan lokasi, ia akan dibuat undian pada hari tersebut. Bukan sahaja setiap para pelajar, malah guru-guru juga akan terlibat sama dalam aktiviti pembersihan.   

PETANG

Sebelum dibenarkan pulang, terdapat sekali lagi taklimat petang (kaerinokai) yang biasanya pesanan dan beberapa pengumunan daripada guru kelas. Disini, seorang guru akan mengajar kesemua subjek bagi kelas tersebut. Biasanya para pelajar akan pulang ke rumah masing-masing sendiri dalam kumpulan masing-masing mengikut kawasan kejiranan mereka. Sewaktu berjalan pulang, mereka akan bergurau mesra di antara satu sama lain. Di sekolah rendah, kami tidak kelihatan ada perkhidmatan bas sekolah yang menghantar dan menjemput pelajar pulang dari sekolah. Didoakan semoga perjalanan anak-anak bersekolah di sini dipermudahkan olehNya. Amin. 

Sunday, October 4, 2015

6 Aplikasi Mobile Buat Muslim di Jepun

6 Aplikasi Mobile Buat Muslim di Jepun


APLIKASI MOBILE

Sebelum ini saya pernah kongsikan 6 APLIKASI MOBILE BERGUNA DI JEPUN yang kami gunakan sepanjang berada di Sendai, Jepun. Tidak dinafikan aplikasi mobile ini turut membantu kelangsungan hidup di sini khususnya bagi kami yang tahap penguasaan Bahasa Jepun masih di peringkat permulaan. Rentetan daripada perkongsian tersebut, terdapat rakan kami yang mencadangkan agar turut dikongsikan juga aplikasi mobile yang perlu ada bagi Muslim sama ada akan menetap atau datang melancong di Jepun.

6 APLIKASI MOBILE

Berikut perkongsian antara 6 Aplikasi Mobile yang kami gunakan bagi membantu perjalanan dan ibadah sebagai seorang Muslim di bumi minoriti Islam ini.

Aplikasi #1 - Universal Prayer Times

Aplikasi Universal Prayer Times

Bagi mengetahui waktu solat dengan tepat semasa berada di sini, aplikasi ini dilihat dapat membantu untuk mengingatkan kita berkaitan waktu solat yang berubah agak ketara mengikut pertukaran musim di sini. Sebagai contoh, dikala musim panas waktu solat subuh semakin awal disebabkan waktu siang yang panjang dan malam yang agak singkat. Melalui aplikasi ini, anda juga boleh mengetahui kedudukan arah kiblat bagi menunaikan solat. Bagi memastikan rumah saya sentiasa berkumandang azan 5 kali sehari, saya turut menggunakan aplikasi ini di tablet yang hanya digunakan di rumah.

Aplikasi #2 - Ayat: Al-Quran

Aplikasi Ayat: Al-Quran

Aplikasi Ayat Al-Quran ini dibangunkan oleh King Saud University. Aplikasi ini tidak jauh beza dengan aplikasi Al-Quran yang lain. Bagi saya, aplikasi ini turut penting dan perlu ada bagi setiap muslim. Jika bukan aplikasi ini, sekurang-kurangnya perlu ada satu aplikasi Al-Quran yang memudahkan anda membaca Al-Quran dimana-mana sahaja, Melalui aplikasi ini anda boleh mendengar bacaan mengikut Qari atau Imam pilihan dan mengikut surah atau ayat Al-Quran yang anda berhasrat untuk menghafal atau membuat semakan hafazan anda. Bukan itu sahaja aplikasi ini turut dilengkapi dengan tafsir dengan pelbagai pilihan bahasa dan boleh dimuat turun secara percuma.

Aplikasi #3 - Halal Gourmet Japan

Aplikasi Halal Gourmet Japan

Aplikasi yang lebih dikenali sebagai HGJ ini memberikan maklumat berkaitan restaurant yang menawarkan makanan Halal buat Muslim di Jepun. Terdapat lebih 400 buah kedai yang didaftarkan di dalam aplikasi ini dan anda boleh membuat carian mengikut lokasi yang dipilih. Aplikasi ini turut membuat pautan (link) dengan Halal Media Japan (HMJ) bagi mengetahui maklumat terkini dan maklum-balas daripada pengguna Muslim di Jepun.

Aplikasi #4 - Never Miss Fajr

Never Miss Fajr Berguna Untu Pastikan Bangun Solat Subuh

Bagi mereka yang barangkali agak sukar bangun untuk menunaikan solat subuh mengikut waktu, aplikasi ini dilihat sangat membantu. Pastinya waktu solat subuh paling mencabar terutama sekali diwaktu musim sejuk. Perlu diingatkan bahawa aplikasi ini sememangnya direka untuk memastikan yang anda benar-benar bangun daripada tidur bagi menunaikan solat subuh. Melalui aplikasi ini anda diberikan 2 pilihan sama ada (1) Trivia - perlu menjawab 5 soalan sebelum azan berhenti dan (2) Shake to Wave - dimana anda perlu bangunkan dan goncangkan telefon anda sebanyak 20 kali sebelum azan berhenti berkumandang.

Aplikasi #5 - QamarDeen

Aplikasi Qamar Deen

Sebagai aplikasi tambahan, aplikasi ini boleh digunakan untuk melihat perkembangan status amalan kerohanian kita seharian sama ada semakin meningkat atau sebaliknya. Sebagai contoh, anda boleh melihat perkembangan solat (termasuk solat sunat), bacaan Al-Quran, sedekah (sebarang amal kebajikan) dan juga puasa (sunat). Bukan itu sahaja, bagi melihat perkembangan alaman kerohanian anda, paparan graf juga boleh dilihat untuk membuat analisa diri (muhasabah).

Aplikasi #6 - Google Translate

Google Translate Berguna Untuk Untuk Membaca Kandungan Halal Pada Label Makanan
Walaupun saya telah memasukkan aplikasi Google Translate sebelum ini di 6 APLIKASI MOBILE BERGUNA DI JEPUN. Secara peribadi saya ingin mencadangkan agar aplikasi ini juga perlu ada bagi Muslim yang berada di sini. Ini dapat memudahkan seseorang Muslim untuk memilih produk makanan berdasarkan senarai isi kandungan yang tertera di produk tersebut. Berdasarkan pengalaman kami di sini, aplikasi Google Translate sangat membantu bagi kami memahami maksud bentuk tulisan Jepun terutama sekali kanji. Selain itu, aplikasi ini boleh membantu sebagai mengantikan kamus (English-Japanese) yang kurang mesra untuk dibawa berjalan. Aplikasi ini dapat membantu bagi mendapatkan maklum-balas dengan cepat disamping mempunyai kemudahan mengimbas (scanning pictures) melalui telefon pintar anda. Walau bagaimanapun, barangkali perkongsian HALAL, HARAM & SYUBHAH DI JEPUN berguna bagi memberikan panduan asas berkaitan halal, haram dan syubhah di sini.

HEARTWARE

Akhir kata, kini terdapat pelbagai aplikasi mobile yang boleh digunakan dalam membantu permasalahan ibadah dan kehidupan sebagai Muslim. Selalu ingatkan diri dan anak-anak, bahawa HARDware dan SOFTware juga tidak kurang penting. Namun, dalam kehidupan kita seharian lebih-lebih lagi sebagai seorang Muslim janganlah lupa untuk memberikan tumpuan kepada HEARTware iaitu rasa kehambaan, kebergantungan dan pengharapan yang tidak pernah putus kepada Maha Pencipta.

Semoga bermanfaat.  

Saturday, October 3, 2015

6 Aplikasi Mobile Berguna di Jepun

6 Aplikasi Mobile Berguna di Jepun

APLIKASI MOBILE

Peringkat awal semasa saya berada di Sendai, Jepun terdapat beberapa aplikasi mobile (Mobile Apps) yang sangat berguna untuk kelangsungan hidup di sini. Sememangnya tidak dinafikan kebolehan berkomunikasi dan membaca tulisan Jepun merupakan satu kelebihan dan memudahkan urusan seharian di sini. Namun, ada kalanya mereka yang mahir berbahasa Jepun masih memerlukan aplikasi mobile  bagi membantu mereka dikala memerlukan. 

6 APLIKASI MOBILE

Berikut saya kongsikan 6 Aplikasi Mobile yang kami sekeluarga gunakan dalam membantu perjalanan kehidupan kami di sini.

Aplikasi #1 - Google Translate

Fungsi Imbasan (Scanner) di Google Translate Banyak Membantu
Berdasarkan pengalaman kami di sini, aplikasi Google Translate sangat membantu bagi kami memahami maksud bentuk tulisan Jepun terutama sekali kanji. Selain itu, aplikasi ini boleh membantu sebagai mengantikan kamus (English-Japanese) yang kurang mesra untuk dibawa berjalan. Aplikasi ini dapat membantu bagi mendapatkan maklum-balas dengan cepat disamping mempunyai kemudahan mengimbas (scanning pictures) melalui telefon pintar anda. 

Aplikasi #2 - Japanese Dictionary (JED)

Oleh kerana kami mempunyai anak-anak yang bersekolah di sini. Maka, aplikasi JED sangat membantu kami untuk mendapatkan jawapan bagi kerja-kerja sekolah anak-anak. Banyak perkataan dan istilah baru yang berguna buat mereka yang mempunyai anak-anak bersekolah dan berminat mempelajari Bahasa Jepun. Bukan itu sahaja, kini anak-anak saya boleh mencari sendiri perkataan yang diperlukan dengan bantuan JED ini. 

Kami Sekeluarga Menggunakan Aplikasi JED ini

Aplikasi #3 - Hyperdia

Bagi memudahkan perjalanan anda untuk menggunakan pengangkutan awam di Jepun saya melihat Hyperdia merupakan aplikasi yang berguna. Melalui Hyperdia anda boleh merancang perjalanan anda sama ada menggunakan keretapi, keretapi laju (shikanzen), bas dan juga kapal terbang. Bukan itu sahaja, anda boleh merancang untuk mendapatkan perjalanan yang lebih cepat dan murah melalui penggunaan aplikasi ini.  

Boleh Cari Tiket Murah Melalui Aplikasi Hyperdia

Aplikasi #4 - Google Map

Sangat Membantu Untuk Memandu di Jepun

Bagi mereka yang gemar memandu sendiri ke destinasi menarik di Jepun, Google Map dilihat sangat membantu untuk menjadi peneman dan petunjuk arah yang boleh dipercayai. Namun, pastikan anda membuat carian di laman web terlebih dahulu alamat atau destinasi yang ingin ditujui. 

Aplikasi #5 - Currency Converter Plus

Buat mereka yang sentiasa membuat budget atau 'berkira-kira' dalam berbelanja di sini, aplikasi ini dilihat boleh membantu anda untuk mengira dengan tepat pertukaran wang asing berbanding Yen. Namun, percayalah setiap kali jika anda ingin berbelanja dan sekiranya anda membuat perbandingan dengan matawang Yen dengan Ringgit Malaysia (RM) akan membuatkan anda teragak-agak untuk berbelanja. Kini (3.10.15) kadar pertukaran wang bagi 1000 yen adalah sebanyak RM36.80.

Kira-Kira atau Berkira-Kira

Aplikasi #6 - Yurekuru

Saya pernah terdengar cerita atau mitos yang menyatakan ikan keli berupaya mengesan awal akan terjadinya gempa bumi. Oleh itu, barangkali aplikasi ini boleh membantu anda bagi memberikan petanda awal jika terdapat bencana gempa bumi di lokasi anda berada. Pastikan juga anda membuat penetapan (setting) yang betul apabila menggunakan aplikasi ini. Dikhuatiri hanya gempa yang kecil dan tidak membahayakan anda menjadi panik tidak menentu. 

Berikan Maklumat Berkaitan Gempa (Yurekuru)

HARDWARE, SOFTWARE & HEARTWARE

Akhir sekali tidak dinafikan terdapat banyak aplikasi yang berguna dan dapat membantu urusan seharian kita sepanjang berada di bumi sakura ini. Seringkali saya ingatkan diri saya dan anak-anak bahawa HARDware dan SOFTware juga tidak kurang penting. Namun, dalam kehidupan kita seharian, janganlah melupakan HEARTware iaitu rasa kehambaan, pengharapan dan kebergantungan kita kepada Maha Pencipta juga perlu juga sentiasa ditingkatkan (upgrade) dari semasa ke semasa.

Akhir sekali bagi yang Muslim, 6 APLIKASI MOBILE BUAT MUSLIM DI JEPUN boleh juga dijadikan panduan.  

Semoga bermanfaat.  
Tudung kanak-kanak