Tuesday, December 1, 2015

Simpanan Kecemasan: Hutang dan Tidak Berkemampuan

Simpanan Kecemasan: Hutang dan Tidak Berkemampuan
Simpanan Kecemasan: Hutang dan Tidak Berkemampuan

PENDAPATAN DAN SIMPANAN

Sejak kebelakangan ini agak sibuk dengan urusan pengajian di sini, peringkat awal sensei berikan tempoh untuk siapkan 'Chapter Book' sehingga Disember 2015. Namun, kerana optimis dan ingin fokus semula kepada penerbitan artikel jurnal, saya memaklumkan sensei akan hantar 'Chapter Book' tersebut selewat-lewatnya pada akhir November ini. Maka, hampir setiap hari masa ditumpukan kepada kerja-kerja penyelidikan dan menyiapkan 'Chapter Book' tersebut. Akhirnya, tak berkesempatan juga untuk 'up-date' blog ini. Alhamdullilah, hari minggu lalu terbaca kenyataan Bank Negara Malaysia (BNM) yang disiarkan di Malaymail bertajuk "Only 6pc Woking Malaysians Can Survive Beyond Six Months Without Income". Tajuk berita tersebut secara tidak langsung mengingatkan saya semula akan 'kewujudan' blog ini saya sudah lama tidak di 'up-date'.

SIMPANAN KECEMASAN

Hanya 6% rakyat ada simpanan untuk kecemasan
Hanya 6% rakyat ada simpanan untuk kecemasan

Menurut berita tersebut, BNM memdedahkan hanya 6% sahaja pekerja di Malaysia yang boleh bertahan lebih daripada 6 bulan setelah mereka berhenti, diberhentikan atau kehilangan pekerjaan mereka. Ini kerana, mereka bukan sahaja tiada pendapatan lain malah gaji sebagai pekerja merupakan satu-satu sumber pendapatan mereka. Bukan itu sahaja, ini juga disebabkan oleh ketiadaan 'simpanan kecemasan' yang mampu digunakan untuk tempoh 6 bulan selepas tidak bekerja lagi. Pendedahan BNM tersebut dibuat terhadap lebih 3000 penduduk Malaysia dalam 'Financial Capability and Inclusion Study 2015, BNM'. 

KESERONOKAN SEMENTARA

Sudah menjadi lumrah, semua orang akan berusaha dan mengejar apa yang diidamkan dalam hidup mereka. Sebagai contoh, ada yang sanggup mengambil hutang peribadi hanya semata-mata untuk membeli barang yang diidamkan. Ada juga yang sanggup terus menanggung hutang kereta baru setelah hutang kereta lama berjaya dilunaskan. Ada juga yang menggunakan 'kad kredit' berlebihan untuk melancong dan berhibur. Akhirnya, keseronokan yang dinikmati hanyalah sementara setelah 'pemberi hutang' mulai 'menagih' bayaran. Sebagai contoh, keseronokan memiliki kereta baru barangkali hanyalah 1-2 bulan. Selepas mulai menanggung hutang bulanan dan kos-kos lain, barulah kadangkala terfikir ada baiknya jika tidak terus menanggung hutang kereta atau menumpukan hutang yang lebih baik. Sebagai contoh, membeli hartanah atau aset yang kurang mengalami kesan kejatuhan harga yang teruk adalah lebih baik daripada berterusan memiliki sebuah kereta hutang yang lebih bersifat liabiliti. Oleh itu, benarlah apa yang dikatakan dalam kajian tersebut bahawa ramai yang lebih suka dan fokus kepada 'short-sighted gratification' atau saya merujuk perkara ini sebagai keseronokan sementara.

KERETA DAN SIMPANAN

Ramai mereka yang terlibat dalam pengurusan kewangan menganggap 'kereta hutang' sebagai salah satu halangan untuk mengumpul harta dan menambah simpanan. Bacalah mana buku-buku pengurusan kewangan dan hadirilah seminar pengurusan kewangan, ramai mereka yang berada dalam bidang ini kurang bersetuju dengan pembelian 'kereta hutang' yang seakan tiada penghujungnya. Ini kerana, pemilikan kereta mempunyai 'kesan sampingan' yang bukan sahaja komitmen bulanan. Bahkan, kos-kos lain seperti insurans/ takaful, 'wear and tear', minyak dan lain-lain turut perlu difikirkan apabila memiliki 'liabiliti' ini. Sememangnya tidak dinafikan kereta juga merupakan keperluan, namun apa guna memiliki 'kereta hutang' untuk tempoh 7-9 tahun dan kesan daripada pemilikan kereta tersebut menyebabkan duit buat ibu/ ayah di kampung sentiasa beralasan 'tidak berkemampuan'. Boleh memandu 'kereta hutang', tetapi 'sentap' bila ditegur berkaitan 'duit saguhati' buat ibu/bapa tua di kampung. Apa guna juga memandu 'kereta hutang' apabila simpanan untuk diri dan keluarga langsung tiada. Lebih mendukacitakan, bergaya memandu 'kereta hutang' tetapi tidak termasuk dalam 6% golongan yang boleh bertahan selama 6 bulan jika kehilangan pekerjaan.    

SIKIT PENDAPATAN, BANYAK HUTANG

Berdasarkan laporan tersebut juga mendedahkan ramai yang tiada langsung 'simpanan kecemasan' bagi tempoh 6 bulan adalah di kalangan mereka yang berpendapatan rendah. Barangkali ada yang akan berkata dan beralasan "sebab pendapatan sikitlah tak boleh menyimpan". Namun, ramai juga yang tidak menyedari bahawa pendapatan atau gajinya sikit, tetapi nafsu berbelanja dan berhutang setinggi Gunung Fuji. Namun, ramai juga yang mempunyai pendapatan tinggi sering juga 'merunggut' kekeringan duit. Apalah guna jika gaji tinggi dan naik setiap tahun tetapi duit untuk orang tua di kampung masih beralasan tidak berkemampuan. Apabila guna pendapatan isi rumah (suami dan isteri) melebihi paras kemiskinan di bandar tetapi tiada langsung simpanan kecemasan untuk 6 bulan. Kehidupan seperti ini bolehlah diibaratkan sepertimana pantun dua kerat yang popular iaitu:
Keluar Pagi Pulang Petang, Cukup Bulan Bayar Hutang

HUTANG DAN SIMPANAN

Hasil bancian menunjukkan 19% daripada lebih 3000 responden merasakan diri mereka terlalu banyak hutang, manakala hanya 26% sahaja yang berupaya melangsaikan hutang kad kredit dengan penuh di hujung bulan. Lebih parah, ada pula yang menjadikan kad kredit sebagai punca pendapatan sampingan mereka setiap bulan. Maka berterusanlah episod kehidupan "gali lubang, tutup lubang, cukup bulan, bayar hutang". Kesannya, 75% responden akhirnya mengakui mengalami kesukaran menyimpan bagi dana kecemasan walaupun RM1000. 

TIDAK BERKEMAMPUAN

Alasan 'tidak berkemampuan' beri pada ibu bapa
Alasan 'tidak berkemampuan' beri pada ibu bapa

Semoga hasil penyelidikan atau bancian ini dapat mengingatkan kita berkaitan perlunya 'simpanan kecemasan' untuk sekurang-kurangnya bagi tempoh 6 bulan. Selain memberi fokus terhadap meningkatkan simpanan, sebaiknya juga cuba elakkan diri daripada terjebak dalam membuat hutang yang hanya memberikan keseronokan sementara. Fahami juga konsep keberkatan rezeki dengan menghulurkan sedikit bantuan atau sedekah kepada ahli keluarga terdekat terlebih dahulu. Sebagai contoh, jangan berterusan memberikan alasan 'tidak berkemampuan' untuk memberi walaupun sedikit buat orang tua di kampung. Sedarilah dan 'tersentaplah' bagi mereka yang sering beralasan 'tidak berkemampuan' sedangkan periuk memasak ajaib ribuan ringgit mampu dimiliki dengan bayaran secara ansuran. Apa gunalah juga bergaya dan berbangga memandu 'kereta hutang', sedangkan RM50-RM100 pun masih beralasan 'tidak berkemampuan' untuk dihulurkan.

Sekadar perkongsian dari kejauhan. Semoga bermanfaat.    

Related Posts

Simpanan Kecemasan: Hutang dan Tidak Berkemampuan
4 / 5
Oleh

Perkongsian Akan Datang

Anda Suka 'Post' Ini? Anda Akan Lebih Suka 'Post' Yang Akan Datang:).

Menarik Lagi Tertarik! × +

Tudung kanak-kanak