Teringat perbualan saya dengan rakan-rakan Jepun di sini. Dimaklumkan dalam masyarakat mereka 'budaya malu' sememangnya diterapkan sehingga kini khususnya bagi mereka yang masih tinggal di kawasan yang agak jauh dari kemodenan. Sebagai contoh, jika anak-anak menangis di dalam bas atau keretapi, ibu mereka akan berkata "aha, malu tu orang tengok awak menangis". Ini seakan menerapkan 'budaya malu' untuk melakukan perkara yang salah atau tidak beretika sejak kecil lagi. Sudah pasti, tidak semua budaya Jepun baik-baik belaka. Ada juga budaya mereka yang boleh diklasifikasikan sebagai tidak tahu malu. Sebagai contoh, ada yang membawa anak-anak ke pusat perjudian berlesen seperti Pachinco bagi saya sesuatu yang memalukan.
Perjudian Berlesen di Jepun (Pachinco) |
NOMIKAI DAN ONSEN
Contoh lain, 'Nomikai' atau 'minum-minum' sampai mabuk juga bagi saya sangat memalukan. 'Nomikai' ini biasa sahaja dalam kehidupan pelajar di universiti ataupun mereka yang bekerja. Budaya 'nomikai' ini dianggap sebagai salah satu cara berinteraksi dan mengeratkan hubungan di antara satu sama lain. Tidak termasuk lagi dengan syarat mandi tanpa pakaian bagi mereka yang berhasrat untuk berendam dalam air panas atau lebih dikenali sebagai onsen juga dilihat memalukan. Tidak kiralah atas alasan 'kebersihan' dan sebagainya, bagi saya secara peribadi ia agak memalukan. Saya pernah kongsikan berkaitan perkara ini sebelum ini di 10 Info Mengenai Jepun. Namun, disebalik budaya dan cara masyarakat Jepun ini masih banyak lagi budaya baik yang boleh diambil sebagai pengajaran dan diamalkan dalam kehidupan. Sebagai contoh, menepati masa, kebersihan, ketelitian, bersungguh-sungguh dan sebagainya sudah pasti boleh dijadikan sebagai budaya dalam kehidupan kita. Kelihatan 'budaya malu' dalam masyarakat kita di Malaysia pada zaman dahulu, tidak jauh berbeza sepertimana apa yang diamalkan oleh masyarakat Jepun di sini.ZAMAN KANAK-KANAK
Apabila membicarakan tentang 'budaya malu', teringat semasa zaman kanak-kanak dahulu. Sewaktu saya membeli tuala wanita buat ibu saya, pekedai akan membalut tuala wanita yang dibeli dengan suratkhabar lama. Saya tertanya-tanya kenapa perlu dibalut sedemikian? Namun, ketika itu saya terfikir ada baiknya juga dibalut agar saya sendiri tidak malu untuk membawa pulang ke rumah nanti.KEMODENAN
Namun, zaman berubah dan atas nama kemodenan 'budaya malu' yang dilihat baik ini semakin lama semakin menghilang. Iklan-iklan tuala wanita mudah sahaja kelihatan dan kini budaya membeli dan membawa tuala wanita kelihatan biasa sahaja. Alasan yang mudah, "apa yang hendak dimalukan, normallah orang perempuan 'period'. Saya secara peribadi tidak mempertikaikan kenyataan tersebut dan terserahlah kepada individu untuk menilainya.
Namun, anda jangan terkejut jika apabila anda membeli tuala wanita di Jepun ini anda turut akan diberikan beg kertas berwarna coklat atau beg plastik hitam. Ini bagi memastikan orang tidak mengetahui saiz, kuantiti dan jenama tuala wanita yang anda beli. Tidak sangka saya, negara yang diklasifikasikan sebagai negara maju masih lagi mengamalkan 'budaya malu' ini. Saya tidak pasti sama ada 'budaya malu' ini masih diamalkan lagi atau tidak di tanahair. Cuma, pengalaman diberikan beg kertas coklat ini mengingatkan saya nostalgia di zaman kanak-kanak. Terlintas dihati saya, adakah amalan membalut tuala wanita yang dibeli dengan suratkhabar pada zaman dahulu rentetan daripada penyerapan budaya Jepun? Ini kerana, Tanah Malaya juga pernah dijajah oleh Jepun suatu masa dahulu.
Sekadar perkongsian dari kejauhan di Sendai, Jepun.
TERKEJUT
Beg Kertas Untuk Pembelian Tuala Wanita |
PILIHAN
Bagi mereka yang akan berkunjung ke sini, jika diberikan beg plastik hitam atau beg kertas berwarna coklat nanti apabila membeli tuala wanita janganlah terkejut. Anda boleh membuat pilihan sama ada ingin mengambilnya ataupun tidak. Tiada caj tambahan yang dikenakan. Pilihan ditangan anda. Cuma saya sedikit 'terkesan' dengan nostalgia lama yang mengusik jiwa.Sekadar perkongsian dari kejauhan di Sendai, Jepun.
Budaya Malu Di Jepun
4
/
5
Oleh
Unknown