PELUANG PELABURAN
Tidak dinafikan banyak juga ilmu-ilmu dan peluang-peluang pelaburan yang boleh diperolehi melalui media sosial. Sebagai contoh, di dalam facebook kita boleh mengikuti perkongsian daripada pelbagai individu yang berpengalaman dalam sesuatu pelaburan sama ada pelaburan emas, hartanah, saham, menjana pendapatan pasif, pertanian/ penternakan, MLM dan tidak kurang juga skim-skim cepat kaya. Kini, bersesuaian dengan perkembangan teknologi dan kesedaran tentang hukum-hakam agama terdapat juga konsep pelaburan yang seakan-akan 'Patuh Syariah' tetapi hakikatnya merupakan Skim Cepat Kaya (SCK). Saya pernah kongsikan sebelum ini berkaitan SCK ini di SKIM CEPAT KAYA BERTOPENG 'AGAMA'.
PELABURAN DI MEDIA SOSIAL
Pernah saya terbaca perkongsian menarik mengenai pelaburan di media-media sosial. Sebagai contoh, bagi mereka yang mahir dan terlibat dalam pelaburan emas akan menyatakan masa yang terbaik untuk membuat pelaburan emas adalah pada masa sekarang. Begitu juga dengan mereka yang mahir dalam pelaburan hartanah akan turut menyatakan masa sekarang juga terbaik untuk membeli atau membuat perlaburan hartanah. Tidak kurang juga mereka yang mahir dalam perlaburan saham tidak terkecuali menyatakan bahawa sekarang juga merupakan waktu yang terbaik untuk membeli saham dan membuat pelaburan. Maka, mereka yang taksub dengan sesuatu pelaburan akan 'berlumba-lumba' membuat pelaburan berdasarkan kepercayaan mereka masing-masing. Kesannya, seakan-akan boleh disimpulkan bahawa sekarang ini merupakan waktu terbaik dalam membuat apa jua pelaburan. Hakikatnya, dalam membuat sesuatu pelaburan terletak kepada KEMAMPUAN dan MATLAMAT KEWANGAN masing-masing.
5 KESILAPAN MEMULAKAN PELABURAN
Secara umumnya terdapat 5 KESILAPAN bagi kebanyakan di kalangan kita dalam memulakan sesuatu pelaburan.
KESILAPAN #1 - TIADA ILMU
Sebelum ini pernah saya kongsikan pengalaman bekas pelajar saya yang terjebak dengan Skim Pelaburan Emas dan atas sebab itu jugalah saya kongsikan KENALI 8 CIRI 'PERANGKAP PELABURAN EMAS'. Dalam apa jua bentuk dan jenis pelaburan tidak cukup dengan hanya berguru dengan sekadar membaca tulisan di blog, facebook mahupun menjadi follower di media sosial. Dalami ilmu pelaburan yang ingin diceburi dengan menghadiri seminar, menuntut secara 'face to face' dan bagi saya membaca buku-buku berkaitan pelaburan tersebut juga satu KEMESTIAN bagi setiap pelabur. Laburlah untuk ILMU terlebih dahulu sebelum membuat sebarang PELABURAN. Ini bagi memastikan bahawa kita benar-benar yakin dan membuat sesuatu pelaburan berdasarkan ilmu dan bukannya terikut-ikut.
KESILAPAN #2 - TERIKUT-IKUT
Kesilapan yang biasa berlaku apabila membuat pelaburan kerana terikut-ikut dengan ajakan kawan-kawan atau mereka yang rapat dengan kita. Sebagai contoh, telah menjadi modus operandi dalam pendekatan Skim Cepat Kaya (SCK) untuk meminta ahli mereka mempromosikan 'kebaikan skim' tersebut kepada orang-orang yang rapat dengan mereka. Kesannya, terjadikan peristiwa hitam apabila rakan baik bermusuhan, adik-beradik bercakaran dan saudara-mara bermasam muka dek kerana sama-sama kerugian atau tertipu. Elakkan daripada terikut-ikut dan pastikan sekali lagi membuat pelaburan berdasarkan ILMU.
KESILAPAN #3 - KEJAR UNTUNG, LUPA RISIKO
Seringkali berlaku penganjur pelaburan akan menceritakan mengenai keuntungan yang bakal diperolehi, manakala pelabur pula ingin mengetahui laba yang bakal dijana daripada modal pelaburan mereka. Kesannya, mereka hanya akan nampak 'lagi banyak yang dilabur, semakin banyak keuntungan yang diperolehi'. Hakikatnya, ramai yang tidak menyedari bahawa setiap pelaburan pastinya mempunyai risiko termasuklah memulakan sesebuah perniagaan. Oleh itu, setiap penganjur pelaburan janganlah hanya berselindung di sebalik keuntungan semata-mata. Begitu juga setiap pelabur perlulah menjadi pelabur yang BIJAK dengan turut mengetahui RISIKO di sebalik pelaburan yang bakal dihadapi.KESILAPAN #4 - SIMPANAN 'MELEBUR'
Oleh kerana teruja dengan konsep lagi banyak melabur, lagi banyak untung atau tawaran hanya datang sekali maka tanpa berfikir panjang ada mereka yang sanggup mengadaikan duit simpanan atau 'Dana Kecemasan' yang dimiliki. Pastikan kita tidak melabur dengan menggunakan duit simpanan atau dana kecemasan yang dimiliki. Ingat! Dana Kecemasan hanya digunakan apabila berlaku kecemasan dan sekurang-kurangnya perlu ada sebanyak 6 bulan. Sebagai contoh, jika gaji sebulan RM3000 maka dana kecemasan yang perlu ada adalah sebanyak RM3000 x 6 bulan = RM18,000. Lagi banyak dana kecemasan yang dimiliki adalah lebih baik. Bukan itu sahaja, lebih banyak dimiliki, lebih 'mendamaikan' fikiran seseorang itu. Barangkali perkongsian KISAH 'ICHIGO': MENABUNG ATAU MELABUR boleh juga dijadikan bacaan dan panduan.
KESILAPAN #5 - PINJAM MEMINJAM
Akhir sekali, kebiasaannya apabila sifat tamak menguasai diri dan teruja dengan angka-angka keuntungan semata-mata menyebabkan mereka yang tiada modal sanggup membuat pinjaman. Ada yang meminjam daripada rakan-rakan, ahli keluarga dan yang lebih kesian ada yang sanggup mengambil jalan mudah dengan membuat pinjaman peribadi. Akhirnya, barang yang dibeli tidak terjual, keuntungan yang dijanji hanyalah mimpi dan lebih memilukan modal yang dilabur 'hancur lebur'.
GURU PELABURAN
Sebaiknya carilah guru/ sifu/ ustaz/ cikgu/ murabbi untuk mengajar dalam apa jua jenis pelaburan yang diinginkan. Sentiasa ingatkan diri bahawa setiap pelaburan mempunyai risiko yang mendatang. Bergurulah dengan mereka yang benar-benar berpengalaman kerana ia akan dapat mengurangkan risiko yang bakal dihadapi dalam sesuatu pelaburan.
Sekadar perkongsian dan semoga bermanfaat.
5 Kesilapan Memulakan Pelaburan
4
/
5
Oleh
Unknown
5 comments
Write commentsTerima kasih atas ilmu yg berharga ini.
ReplyTerima kasih juga Ela kerana sudi singgah di blog ini. Semoga perkongsian ini boleh memberikan manfaat buat semua.
ReplySy ckup xberkenan bila ada yg konon nk melabur tp prlu meminjam....kalau sekadar nk kejar untung yg byk dlm masa sgkat baik xyah la nk teruskan...secara realitinya mana ada bisnes yg menjnjikan keuntungan melebihi 100% dlm tempoh sebulan dua....tp kalau dh mata asik tgk duit jer maka ramai la yg join...
ReplyBetul tu Deanna Morni ramai yang terpedaya dengan tawaran hebat yang seakan menjanjikan bulan dan bintang. Akhirnya, ada yang terpedaya dan terperangkap dengan pelaburan scam ini. Tiada instrumen kewangan yang menjanjikan 100% keuntungan dan tiada risiko. Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Sayonara, sampai berjumpa lagi.
ReplyBetul tu Deanna Morni ramai yang terpedaya dengan tawaran hebat yang seakan menjanjikan bulan dan bintang. Akhirnya, ada yang terpedaya dan terperangkap dengan pelaburan scam ini. Tiada instrumen kewangan yang menjanjikan 100% keuntungan dan tiada risiko. Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Sayonara, sampai berjumpa lagi.
Reply