JAUH DI MATA, DEKAT DI HATI
Sudah pasti apabila berada di negara orang kita akan merasakan ada kekurangan berbanding semasa berada di negara sendiri. Sebagai contoh, pada tahun ini sambutan Aidilfitri bagi kami sekeluarga sungguh berbeza memandangkan ini merupakan kali pertama menyambutnya di perantauan. Sememangnya tiada cuti umum mahupun sambutan dibuat malah pada hari raya pertama saya sendiri perlu menghadiri sesi pembentangan. Anak-anak seperti biasa ke sekolah di pagi hari, manakala saya akan membentangkan hasil penyelidikan di tengahari. Namun, saya masih dikira bernasib baik kerana terdapat juga rakan-rakan yang perlu melangkah masuk ke dewan peperiksaan di pagi Syawal. Dikala situasi ini, barulah memahami "jauh di mata, dekat di hati".KEMERDEKAAN MALAYSIA
Begitu juga dengan sambutan kemerdekaan Malaysia kali ini sudah pasti tiadanya gantungan dan kibaran bendera serta dendangan lagu #sehatisejiwa di radio mahupun televisyen. Apabila berada diperantauan, kita sendiri yang mencoraknya kerana setiap individu merupakan 'duta kecil' kepada negara. Selalu juga ingatkan diri dan anak-anak walaupun tinggal bertahun di negara orang kita masih tetap warga Malaysia. Tidak mahu apabila melihat keindahan atau kebaikan di negara orang langsung lupa warna-warni pelangi dan memori indah di negara sendiri. Tidak mahu juga apabila selesa di negara orang, terlupa dan alpa sehingga menjadi penjaja cerita yang kurang enak tentang negara sendiri. Berhikmahlah dalam bertindak dan berbicara.
SEHATI SEJIWA
Warnai #sehatisejiwa 2 |
Dihujung musim panas baru-baru ini terfikir untuk mengajak anak-anak mewarni #sehatisejiwa sebagai usaha turut merasai kehangatan kemerdekaan Malaysia dari kejauhan. Asalnya sengaja ingin mengisi cuti musim panas yang masih berbaki sebelum sesi persekolahan kembali bermula. Dikala aktiviti mewarna #sehatisejiwa dapatlah berbual-bual dengan mereka disamping mengingatkan diri dan anak-anak agar 'membugarkan semula' tujuan dan matlamat hidup dengan memahami serta membentuk hati agar sentiasa "kaya dengan memberi". Barangkali ini boleh dijadikan falsafah hidup dalam memandu tujuan hidup. Bagi saya mana mungkin dapat memahami konsep #sehatisejiwa jika masih kabur tentang tujuan hidup.
MEMBERI SEPENUH HATI
Warnai #sehatisejiwa 3 |
Seringkali kita terlepas pandang dengan melihat kekayaan hanya bersifat material semata-mata. Adakala terlupa bahawa ketenangan hati, kesihatan dan kebahagiaan seluruh isi keluarga dalam kehidupan juga merupakan KEKAYAAN. Teringat pesanan guru saya bahawa konsep memberi atau bersedekah bukan hanya bersifat fizikal atau material semata-mata. Mengajar dengan ilmu yang ada juga memberi, berkongsi sesuatu yang berguna juga memberi, menghulurkan bantuan dan pertolongan juga memberi, mengasihi dan mendoakan sepenuh hati juga turut memberi. Jangan tunggu kaya baru hendak memberi kerana khuatir nyawa dijemput sebelum sempat menjadi kaya. Memberi juga membentuk hati, kerana 'tidak mahu hidup rasa kurang ditengah lapang' atau 'rasa miskin, dikala dilimpahkan dengan kekayaan'. Terlalu banyak yang boleh diberikan atas konsep memberi atau bersedekah. Atas dasar itu bersamalah kita berusaha untuk MEMBERI dengan sepenuh #sehatisejiwa.
HATI DAN JIWA
Warnai #sehatisejiwa 4 |
Bagi anak-anak mewarnai #sehatisejiwa sebagai aktiviti menghiasi ruangan dengan warna-warni dan lakaran dalam mencantikkan kertas itu. Sudah pasti setiap individu termasuklah diri kita sendiri melihat kertas putih itu dari sudut pandangan yang berbeza mengikut rentak hati. Melalui hati inilah yang memandu akal dan mengarahkan tindakan seseorang. Jika hati itu baik, maka baiklah juga pemikiran dan tindakannya. Oleh itu, warnai dan didiklah hati untuk sentiasa memberi. Keikhlasan dalam memberi bukan sahaja beroleh kekayaan material, tetapi lebih mendamaikan apabila mendapat KEKAYAAN HATI.
Semoga tagline #sehatisejiwa bukan sahaja dalam menghayati Kemerdekaan Malaysia malah turut membentuk HATI dan JIWA setiap insan.
Bersamalah warnai #sehatisejiwa!
Semoga bermanfaat.
Warnai '#SehatiSejiwa' Dari Jepun
4
/
5
Oleh
Unknown
4 comments
Write commentsPerkongsian yang menarik tuan. Terima kasih.
ReplyTerima kasih Anis kerana sudi singgah. Semoga bermanfaat.
ReplySelamat hari merdeka walau di mana berada
Reply#sehatisejiwa
Salam Kemerdekaan juga dari kami di sini dan selamat menghayati #sehatisejiwa sebaiknya. Terima kasih dan Sayonara, sampai jumpa lagi.
Reply