Saturday, August 8, 2015

Doa, Rezeki dan Kekayaan




DOA, REZEKI & KEKAYAAN

2 Ogos 2015 yang lalu genaplah usia saya menginjak ke 37 tahun. Apabila usia semakin meningkat teringat kata-kata arwah pak mertua yang sering mengingatkan saya "semakin meningkat usia, semakin dekat kita ke arah kematian". Memang tidak dinafikan mati tidak pernah mengenal usia, ada yang meninggal dunia di kala bayi dan ada juga yang Allah SWT berikan bonus usia sehingga umur 80an masih sihat. Sebagai contoh, di Jepun ini sangat mudah kelihatan orang-orang tua yang boleh berjalan sendiri walaupun kelihatan sudah bongkok tiga. 

DOA SAHABAT DAN PELAJAR

Kali ini saya menerima beratus ucapan dan doa daripada sahabat handai dan juga bekas pelajar saya. Apabila mereka mendoakan, terasa begitu tenang hati ini dan saya juga turut berazam untuk mendoakan kesejahteraan hidup mereka. Ini kerana saya yakin bahawa dalam kehidupan kita tidak semestinya Allah SWT berikan kebaikan dan makbulkan permintaan disebabkan doa yang kita pinta padaNya. Namun, boleh jadi doa dimakbulkan kerana doa-doa daripada orang lain terhadap kita. Sebagai contoh, boleh jadi ia doa daripada:

  • Ibu bapa yang tidak henti juga mendoakan anak-anak mereka;
  • Doa daripada suami atau isteri terhadap pasangan masing-masing;
  • Doa anak-anak kita yang suci bersih daripada dosa turut mendoakan kesejahteraan dan murah rezeki terhadap kita dan
  • Doa daripada orang-orang yang pernah kita berikan kebaikan tanpa kita sedari seperti doa daripada rakan-rakan yang dipernah bantu, doa daripada pekerja kepada majikan, doa daripada majikan kepada pekerja, doa daripada orang yang mendapat manfaat daripada sumbangan kita dan sebagainya. 

MENDOAKAN ORANG LAIN

Atas sebab itulah bersamalah kita membuat kebaikan dan kebajikan kepada semua orang kerana kemungkinan orang yang kita bantu juga turut mendoakan kebaikan terhadap kita. Jika tidak mereka mendoakan pun, sudah pasti Allah SWT akan memberikan ganjaran baik terhadap kebaikan yang telah kita buat walaupun hakikatnya tidak pernah kita mengharapkan balasan. Saya percaya banyak perkara yang Allah SWT permudahkan urusan saya sekeluarga dan dilimpahkan rezeki barangkali daripada doa-doa mereka di atas.

Sebagai contoh, perjalanan saya mencari penyelia di sini, proses menyewa rumah, urusan anak-anak sekolah di Jepun, dipertemukan dengan komuniti dan rakan-rakan yang baik serta bersedia membantu di kala memerlukan pertolongan, perjalanan belajar dan penyelidikan di sini dan sebagainya bukanlah secara kebetulan kerana sangat pasti telah diatur sebaiknya olehNya. Ini juga merupakan rezeki yang tidak ternilai dan terjangkau dek akal fikiran.

DOA DAN BERBUAT KEBAIKAN

Bersamalah kita membuat kebaikan dan kebajikan dengan apa yang kita ada. Tidak semestinya membuat kebaikan dengan hanya dengan wang ringgit semata-mata. Tidak semestinya juga kita boleh membuat kebaikan di surau, masjid bahkan di rumah, di tempat kita berada, di tempat kerja bahkan melalui komputer dan telefon juga kita boleh membuat kebaikan. Sebagai contoh, jika kita menggunakan saluran media sosial facebook, WhatsApp, LINE, blog dan pelbagai lagi dengan baik pastinya ia juga boleh memberikan manfaat pada orang lain atau sebaliknya.

DOA DAN REZEKI

Ada mereka yang bertanya kepada saya kenapa berkongsi ilmu dan pengalaman dalam blog ini. Adakah kerana saya mendapat bayaran atau menjual ruang iklan dalam blog ini. Terus-terang saya katakan matlamat utama berkongsi kerana suka melihat ada orang yang boleh manfaatkan ilmu dari blog ini. Berdasarkan pengalaman menulis di blog ini, saya pernah dihubungi secara peribadi yang bertanyakan permasalahan dihadapi dan tidak kurang juga ada yang sekadar mengucapkan penghargaan terima kasih serta mendoakan kesejahteraan terhadap saya sekeluarga atas perkongsian ilmu dan pengalaman yang tidak seberapa ini. Ada juga mereka yang mendoakan agar saya dimurahkan rezeki dan dilimpahkan kesihatan untuk saya terus menulis di blog ini. Pastinya nikmat kesihatan juga merupakan rezeki yang tidak ternilai harganya.

DOA, REZEKI & KEKAYAAN

Saya pernah mengenali mereka yang beroleh kekayaan di dunia kerana dipertemukan dengan rakan kongsi (partner) yang jujur dan beramanah. Ada juga mereka yang mendapat kekayaan daripada rezeki dan peluang perniagaan yang tidak disangka-sangka. Pernah juga saya temui mereka yang Allah SWT kurniakan kekayaan atas asbab 'rezeki terpijak' atau mendapat 'durian runtuh'. Nampak seakan kebetulan, tapi itulah aturan dan perancanganNya.

DOA DILIMPAHI REZEKI & KEKAYAAN



Diharapkan perkongsian ilmu dan pengalaman saya di blog, facebook mahupun majalah boleh memberikan manfaat kepada orang lain. Semoga sumbangan yang tidak seberapa ini juga seiring dengan hadis nabi yang bermaksud:

"Dan sebaik-baik manusia adalah orang yang paling bermanfaat bagi manusia", 
HR Thabrani dan Daruquthni)

Oleh itu, bersamalah kita berlumba-lumba dalam membuat kebaikan dan kebajikan serta memberikan manfaat kepada manusia yang lain. Barangkali sumbangan yang tidak seberapa ini menjadi asbab kepada mereka untuk mendoakan kita agar dilimpahkan rezeki dan kekayaan. 

Semoga bermanfaat. 

Related Posts

Doa, Rezeki dan Kekayaan
4 / 5
Oleh

Perkongsian Akan Datang

Anda Suka 'Post' Ini? Anda Akan Lebih Suka 'Post' Yang Akan Datang:).

Menarik Lagi Tertarik! × +

Tudung kanak-kanak