Saturday, August 22, 2015

Budaya Berjiran Di Jepun




JIRAN BARU


Secara rasmi pada 22 Ogos 2015 jiran di sebelah rumah kami menduduki rumah baru mereka. Pemilik rumah tersebut merupakan anak kepada pemilik salah sebuah kedai runcit berhampiran rumah kami. Seusai Musim Bunga bermulanya proses pembinaan, kini mengakhiri Musim Panas rumah tersebut sudah boleh diduduki. Keseluruhan hampir 4 bulan proses pembinaan rumah tersebut. Teringat sebelum ini, tapak pembinaan rumah hanyalah merupakan tempat meletak kereta dan kini telah bertukar kepada sebuah rumah 2 tingkat. Boleh digambarkan rumah ini kompak dan praktikal. 

 'Parking Lot' ke Rumah Bango 2 Tingkat


JIRAN JEPUN

Teringat semasa kami mula-mula masuk ke rumah sewa kami di sini. Menyedari akan budaya Jepun yang turut memberikan hadiah apabila berjiran, kami mengambil masa hampir sebulan baru berbuat sedemikian. Ini disebabkan halangan bahasa (language barrier) menyebabkan kami terpaksa menanguhkan tradisi yang diamalkan oleh kebanyakan orang Jepun. Saya memahami budaya Jepun ini sebelum datang ke sini lagi. Kini semenjak isteri dan anak-anak sudah boleh berbahasa Jepun kami suka untuk berkongsikan menu Malaysia khususnya kuih-muih bersama jiran Jepun yang berhampiran. 

BERI HADIAH BUAT JIRAN

Telah menjadi tradisi dalam budaya masyarakat Jepun untuk memberikan hadiah kepada jiran berhampiran apabila memasuki rumah baru. Hari ini kami pula yang melihat dan merasai sendiri budaya masyarakat Jepun yang memberikan cenderahati kepada kami sebagai jiran yang tinggal berhampiran. Difahamkan ia bertujuan untuk memperkenalkan ahli keluarga mereka kepada jiran-jiran disamping memohon maaf awal sekiranya kehadiran mereka akan menganggu jiran. Lebih-lebih lagi bagi mereka yang mempunyai anak-anak kecil pastinya tidak terlepas dengan kebisingan anak-anak yang barangkali boleh menganggu jiran berhampiran.  

Buah 'momo' sebagai hadiah berjiran

5 Q & A POPULAR (JIRAN JEPUN)

Terdapat 5 Persoalan dan Jawapan (Q&A) yang biasanya ditanyakan berkaitan hadiah yang perlu diberikan apabila menyewa atau berpindah di rumah yang berhampiran dengan kediaman masyarakat Jepun. Berikut saya kongsikan 5 Q&A tersebut:

Q 1 : Apakah hadiah yang boleh diberikan?
Sebenarnya pemberian hadiah adalah subjektif. Ini bermakna, terserah kepada individu tersebut memberikan hadiah yang fikirkan bersesuaian. Namun, secara umumnya digalakkan untuk memberikan hadiah yang praktikal dan boleh digunakan seperti makanan, biskut, tuala, buah-buahan dan ada juga yang memberikan serbuk pencuci. Sepanjang saya berada di sini, kami pernah menerima hadiah makanan, buah-buahan dan juga tuala kecil.

Q 2 : Perlukan dibalut?
Sebaiknya dibalut yang penting sekali di hadapan bungkusan hadiah tersebut ditulis nama ahli keluarga pemberi hadiah. Sebagai contoh, kami suka menulis nama ahli keluarga kami dalam tulisan Katakana yang ringkas bagi memudahkan jiran Jepun mengenali dan mengetahui nama kami sekeluarga. 

Q 3 : Berapa budget harga hadiah?
Berkaitan harga hadiah tersebut juga adalah bersifat subjektif. Nama pun hadiah yang penting keikhlasan dalam memberi. Saya pernah terbaca ada yang menetapkan budget di antara 500 - 1000 yen. Namun, kami lebih suka memilih untuk memberikan kuih-muih yang isteri saya masak sendiri. Mana tahu, bila sudah merasa mereka tertarik dan boleh menjadi topik perbualan bila bertemu lagi. Bukan itu sahaja, boleh juga berkongsi resepi masakan dengan jiran pula selepas ini. 

Q 4 : Bila perlukan berikan hadiah tersebut?
Sepatutnya lebih awal lebih baik. Sebagai contoh, 2-3 hari apabila telah menduduki rumah tersebut. Kami hampir sebulan lebih juga baru berani untuk berjumpa jiran dan memberikan hadiah buat mereka. Falsafah kami, lebih baik lambat daripada langsung tidak buat. Budaya yang baik dilakukan bagi mengambarkan budaya masyarakat Malaysia yang juga santun dan berbudi bahasa. 

Q 5 : Bagaimana untuk memberikan hadiah tersebut?

Berikut perkongsian ringkas untuk sesi perbualan. Contoh perbualan ini barangkali tidak menepati tatabahasa dan penggunaan bahasa yang baik. Bagi kami maksud yang ingin disampaikan boleh difahami. Merujuk kepada mereka yang menguasai Bahasa Jepun yang baik adalah sangat digalakkan. 

Langkah #1 : Ketua Keluarga/ Mereka yang boleh berkomunikasi menjadi ketua.

Langkah #2 : Ketuk pintu atau bunyikan lonceng.

Langkah #3 : Perkenalkan diri (melalui intercom atau bersua muka)

**Contoh (Asas bagi orang baru belajar macam isteri saya). 
Sila rujuk orang yang lebih pakar dan baik Bahasa Jepun)

"Hai, maaf mengganggu. Saya Nora yang baru berpindah di sebelah rumah awak".   

"Konnichiwa, Sumimasen. Tonari no ie ni hikkoshite kita Nora Desu". 

(こんにちは, すみません. となり の いえ に ひっこして きた ノラ です)

"Saya mempunyai 5 ahli keluarga"

Watashino kazokuwa gonin imas.

(わたしの かぞくは ごにん います)

"Ini suami dan anak-anak saya"

Kochirawa watashino otto to musume desu.

(こちらは わたしの おっと と むすめ です)

"Sila berikan tunjuk-ajar kepada kami"

Doozo yoroshiku onegaishimasu. 

(どうぞ よろしく おねがいします)

Langkah #4 : Serahkan hadiah dan tunduk.

"Ini hadiah dari kami. Silalah ambil"

Korewa omiyage desu. Doozo. 

(これは おみやげ です. どうぞ)

Langkah #5 : Jangan lupa tuliskan nama ahli keluarga di pembalut hadiah. 

Sekadar perkongsian dan semoga bermanfaat. 

Yoroshiku onegaishimasu.

Related Posts

Budaya Berjiran Di Jepun
4 / 5
Oleh

Perkongsian Akan Datang

Anda Suka 'Post' Ini? Anda Akan Lebih Suka 'Post' Yang Akan Datang:).

Menarik Lagi Tertarik! × +

6 comments

Write comments
avatar
August 24, 2015 at 5:25 PM

wah,tuan tinggal di jepun ya..jepun merupakan destinasi impian saya..budaya mereka menarik hati saya...terima kasih ats perkongsian menarik ini...salam perkenalan,dr saya dr www.housewifearts.blogspot.com

Reply
avatar
August 24, 2015 at 5:35 PM

Terima kasih Ummul Azkee kerana sudi singgah di blog ini. Saya akui banyak juga yang boleh dicontohi dalam budaya masyarakat Jepun ini. InsyaAllah, semoga perkongsian saya di blog ini boleh dijadikan bacaan berguna buat semua. Terima kasih sekali lagi dan salam perkenalan juga daripada saya sekeluarga.

Reply
avatar
Anonymous
August 24, 2015 at 9:33 PM

wah bagusnya budaya sana... saling bertegur sapa... tak da la dikatakan sombong... kadang2 bila kita lihat disini, jiran pun tak kenal sangat... budaya jepun ni kita boleh jadikan contoh di malaysia..

Reply
avatar
August 24, 2015 at 9:54 PM

Terima kasih Tasha Aqisha kerana sudi singgah di blog ini. Itulah seringkali juga saya ingatkan buat anak-anak saya disini ada juga perkara di Jepun yang tidak perlu kita contohi. Namun, masih banyak lagi budaya yang baik perlu diterapkan semula dalam kehidupan kita di Malaysia. Saya masih dulu masa saya kecil budaya memberi dan bertukar juadah ini masih subur. Cuma makin lama semakin pudar malah sesetengah tempat sudah lenyap. Harapnya perkongsian ini 'membugarkan' kita untuk membudayakan semula amalan yang baik ini. Moga boleh dijadikan contoh.

Reply
avatar
August 29, 2015 at 10:32 AM

Hai saya balas kunjungan....

Mesti seronok tinggal di Jepun yea... ada simpan angan-angan nak kesana 1 hari nanti, hu hu hu

terima kasih atas perkongsian.... best & good info

Reply
avatar
August 29, 2015 at 7:09 PM

Terima kasih Iffah Hussin kerana sudi singgah di blog ini. Jika ke Jepun nanti mailah singgah di Sendai, Jepun. Sayonara, sampai jumpa lagi.

Reply

Tudung kanak-kanak