Friday, August 14, 2015

Kimono vs Yukata



MUSIM PANAS DAN YUKATA

Teringat nostalgia semasa di awal permulaan Musim Panas, kami sekeluarga berkesempatan untuk mengikut program 'Yukata Party' anjuran kelas Bahasa Jepun (Nihongo) isteri saya. Kami sekeluarga berpeluang untuk memakai dan mengayakan pakaian Yukata ini. Di peringkat awal, kami sendiri sukar untuk membezakan di antara 'Kimono' atau 'Yukata' kerana secara umumnya ia kelihatan hampir sama. 

'KIMONO' DAN 'YUKATA'

Berdasarkan penerangan daripada sensei, boleh dibuat sedikit kesimpulan terdapat beberapa perbezaan yang ketara di antara 'Kimono' dan 'Yukata'. Menurut sensei, Kimono lebih popular dan dikenali kerana sering ditayangkan di televisyen ia juga sinonim sebagai salah satu daripada budaya Jepun. Namun, Yukata juga merupakan dalam kategori pakaian tradisional Jepun yang kebiasaanya digunakan pada Musim Panas. 

6 PERBEZAAN 'KIMONO' DAN 'YUKATA'

Berdasarkan maklumat yang diberikan, kami boleh buat kesimpulan 6 PERBEZAAN di antara 'Kimono' dan 'Yukata'.

PERBEZAAN #1 - MAKSUD

Dimaklumkan perkataan Yukata merupakan gabungan dua perkataan iaitu 'Yu' dan 'Katabira'. Yu bermaksud mandi, manakala katabira pula  bermaksud pakaian dalam. Atas sebab itu, pengalaman saya berada di hotel Jepun mereka turut memberikan Yukata sebagai pakaian yang boleh digunakan selepas mandi atau berendam di air panas (hot spring). Manakala Kimono pula berasal daripada perkataan 'Ki' dan juga 'Mono'. Ki membawa maksud pakai, dan mono pula bermaksud benda atau sesuatu.

PERBEZAAN #2 - FABRIK

Perbezaan paling asas untuk membezakan 'Kimono' dan 'Yukata' adalah berdasarkan fabrik yang digunakan. Kebiasaanya, Yukata diperbuat daripada kain kapas (cotton) dan Kimono pula daripada sutera (silk). Ini bermakna fabrik yang digunakan dalam pembuatan Yukata rendah kualiti berbanding dengan fabrik yang digunakan untuk menghasilkan Kimono.

PERBEZAAN #3 - HARGA


Harga Yukata Satu Set 9,800 yen bersamaan hampir RM 300
Oleh kerana, fabrik Kimono lebih baik atau berkualiti berbanding Yukata, sudah pasti harga ia juga berbeza. Dimaklumkan, Yukata lebih murah dan saya pernah melihat harga Yukata bagi seorang dewasa yang siap dengan kasut dan sebagainya sekitar 9,800 yen. Manakala, Kimono dijual sehingga ratusan ribu yen. Atas sebab itulah, kebiasaannya Kimono sangat dijaga rapi dan menurut rakan Jepun kami ada Kimono yang seakan diwariskan dari satu generasi ke generasi seterusnya. Sebagai contoh dibawah harga satu set Kimono tersebut menghampiri 300,000 yen bersamaan RM9000.

Harga Kimono 298,000 yen bersamaan hampir RM 9,000

PERBEZAAN #4 - MUSIM

Yukata kebiasaanya dipakai dan mudah kelihatan di Musim Panas. Baru-baru ini di Sendai diadakan Perayaan Tanabata dan juga Pesta Bunga Api (Hanabi). Pada waktu ini kelihatan ramai bukan sahaja orang Jepun yang memakai Yukata, malah terdapat juga warga asing yang kelihatan selesa memakainya. Manakala, Kimono pula jarang sangat dipakai pada masa Musim Panas dan kebiasaannya ia dipakai pada majlis-majlis tertentu.

PERBEZAAN #5 - MAJLIS

Orang Jepun juga menyebut Kimono sebagai Gofuku atau Wafuku kebiasaanya dipakai di majlis-majlis rasmi seperti majlis perkahwinan, upacara menyambut hari kedewasaan atau mencapai usia 20 tahun. Teringat saya perayaan Hari Kedewasaan atau mencapai umur 20 tahun juga disambut pada bulan Jan/Feb setiap tahun. Perayaan ini lebih dikenali sebagai Seijin Shiki (Coming of Age Day Ceremony). Manakala, Yukata sepertimana yang dimaklumkan sebelum ini digunakan sebagai pakaian kasual semasa musim panas bagi acara pesta bunga api dan tarian obon terutama pada bulan Ogos.

Kimono berharga 500,000 yen bersamaan hampir RM15,000
PERBEZAAN #6 - KOLAR/ CORAK



Akhir sekali, perbezaan Kimono dan Yukata juga boleh dilihat dari sudut Kolar dan bentuk corak pada pakaian tersebut. Sebagai contoh, kolar bagi Kimono sekurang-kurang 2 lapis manakala Yukata kebiasaanya hanya 1 lapis. Selain itu, corak yang tertera pada Kimono lebih cantik dan dihiasi dengan warna yang menarik  . Manakala, Yukata lebih ringkas dan menggunakan tona warna yang agak terang.

JEPUN: 'KIMONO' DAN 'YUKATA'

Berdasarkan penerangan, masih banyak perbezaan di antara Kimono dan Yukata. Masih teringat sesi penerangan yang bersungguh-sungguh sensei dalam menerangkan kepada peserta budaya Jepun. Barangkali 6 PERBEZAAN ini boleh dijadikan maklumat baru dalam membezakan Kimono dan Yukata. Berdasarkan pemerhatian dan pengalaman, tampak benar orang Jepun ini sangat berbangga dengan budaya mereka dan teruja untuk menceritakan kepada orang luar akan budaya yang mereka miliki. Arigatou/ Terima kasih atas peluang yang diberikan.

Sekadar perkongsian dan semoga bermanfaat. 

Related Posts

Kimono vs Yukata
4 / 5
Oleh

Perkongsian Akan Datang

Anda Suka 'Post' Ini? Anda Akan Lebih Suka 'Post' Yang Akan Datang:).

Menarik Lagi Tertarik! × +

2 comments

Write comments

Tudung kanak-kanak