Monday, January 4, 2016

ASB Terendah Sepanjang 25 Tahun!

Kadar Dividen dan Bonus ASB (1990-2015)
Kadar Dividen dan Bonus ASB (1990-2015)

MUSIM SEJUK

Baru-baru ini kami berkesempatan untuk menghadiri program di satu daerah yang agak jauh daripada Sendai yang dikenali sebagai Nagano. Ia merupakan kawasan pergunungan dan sememangnya perjalanan ke tempat program perlu melalui lereng bukit yang mencabar tetapi mempersonakan. Sebelum ke sini, anak-anak membayangkan kawasan gunung-ganang yang diselubungi salji memandangkan pada tahun ini salji turun agak lewat berbanding tahun lepas. Namun, apabila berada di Nagano, walaupun suhu pernah mencecah -8 darjah, salji masih tidak tebal sepertimana yang diharapkan lebih-lebih lagi anak-anak yang sememangnya telah bersedia dengan peralatan bermain salji mereka semasa ke sini.

MUSIM ASB

Persoalan Berkaitan Hukum ASB
Persoalan Berkaitan Hukum ASB

Sedang asyik melalui musim sejuk di sini, saya menerima mesej daripada bekas pelajar saya yang bertanyakan mengenai simpanan di ASB. Bila membicarakan tentang ASB, saya teringat hari ini 4 Januari 2016 merupakan fenomena biasa setiap tahun di Malaysia dan saya namakan sebagai 'Musim ASB'. Seakan telah menjadi tradisi, di awal bulan Januari ini akan kelihatan ramai orang yang beratur panjang di kaunter-kaunter ASB sama ada di bank mahupun di pejabat pos hanya semata-mata untuk mengemaskini buku simpanan atau pelaburan ASB mereka. Sudah pasti, ramai yang ingin tahu berapa banyak dividen dan bonus yang mereka perolehi hasil daripada simpanan atau 'loan' yang mereka buat selama ini.

Penangguhan Urus Niaga ASB
Penangguhan Urus Niaga ASB

HUKUM ASB

Apabila ditanya dan membicarakan hukum ASB, saya suka menyerahkan persoalan tersebut kepada ahlinya. Saya BUKANLAH individu yang layak dan pakar dalam bidang tersebut untuk memberikan pandangan mahupun berhujah tentang hukum berkaitan simpanan atau pelaburan ASB ini. Namun, secara umum terdapat 5 pandangan atau perbezaan pendapat yang boleh diberikan perhatian:

Pandangan #1: Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan 
Bagi mereka yang berpegang kepada keputusan muzakarah yang dibuat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan (MFK), turut dicadangkan juga untuk membaca penulisan yang berkaitan dalam menetapkan hukum keharusan menyimpan di dalam ASB ini. Sekurang-kurangnya kita sebagai individu dapat memahami sedikit-sebanyak sandaran dalam menetapkan sesuatu hukum tersebut. Keharusan berkaitan simpanan di ASB boleh dibaca di Pelaburan Dalam ASN, ASB dan Seumpamanya.

Pandangan #2: Fatwa Haram 
Sehingga kini terdapat 3 negeri yang memutuskan simpanan atau pelaburan ASB adalah haram. Antara negeri yang terlibat adalah Selangor, Pulau Pinang dan Pahang. Bagi mereka yang menetap di Selangor, barangkali Keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor ini boleh dijadikan panduan.

Pandangan #3: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia
Keputusan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia Berkaitan ASB
Keputusan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia Berkaitan ASB

Jika kita mengambil pandangan dan keputusan Panel Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, ASB secara secara teknikal diputuskan sebagai tidak patuh syariah. Sebagai contoh, jika kita melihat prospektus atau laporan tahunan bagi tahun kewangan yang berakhir 31 Disember 2014, 20.75% dilaburkan dalam Malayan Banking Berhad dan beberapa syarikat yang tidak patuh syariah. Barangkali selepas ini kita boleh melihat laporan kewangan terkini yang berakhir pada 31 Disember 2015. Berdasarkan pemerhatian, PNB ada usaha yang dijalankan bagi mengurangkan dana ASB daripada dilaburkan dalam pelaburan yang tidak patuh syariah ini.

Pandangan #4: Bercampur-Campur, Tidak Yakin
Disebabkan pandangan yang berbeza, ada di kalangan kita yang merasakan ASB ini seakan-akan bercampur-campur diantara halal dan haram. Kesannya, ada yang tidak yakin untuk membuat simpanan atau pelaburan di ASB ini. Jika ini berlaku, terserah pada individu dalam membuat keputusan. Jika anda tidak yakin atau ragu-ragu, sebaiknya tinggalkan dan carilah simpanan atau pelaburan yang lebih baik serta lebih diyakini.

Pandangan #5: Perbezaan Pendapat
Jika dilihat berdasarkan fatwa yang dikeluarkan oleh negeri-negeri yang lain, ada yang mengharuskan dan ada juga yang mengharamkan. Oleh itu, sebaiknya kita menghormati perbezaan pendapat ini. Tidak perlulah kita berkelahi dan merasakan seakan aku tahu segalanya sehinggakan hanya fokus kepada ekspresi, beremosi dan bukannya memberikan solusi.

3 FAKTOR UTAMA

Berdasarkan dividen dan bonus yang diumumkan pada 29 Disember 2015 yang lalu, diumumkan agihan pendapatan sebanyak 7.25 sen seunit dan bonus 0.50 sen seunit bagi ASB untuk tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2015.

Kadar Dividen dan Bonus ASB (1990-2015)
Kadar Dividen dan Bonus ASB (1990-2015)
Berdasarkan rekod di atas, agihan dividen dan bonus bagi tahun 2015 adalah terendah sepanjang tempoh 25 tahun ASB diperkenalkan. Namun jika diambil kira agihan dividen, ia masih dikira prestasi yang agak baik dikala suasana ekonomi tidak menentu. Sebagai contoh, agihan dividen bagi tahun 2001, 2002 dan 2008 adalah 7.00 sen/unit dan lebih rendah berbanding tahun 2015. Namun, agihan dividen 7.00 sen/unit tersebut diimbangi dengan pemberian bonus yang agak tinggi. Perlu difahami pengiraan ASB bukanlah semudah mencampur dividen dan bonus. Terdapat 2 perkongsian di internet yang saya temui menerangkan berkaitan pengiraan ASB ini iaitu di (1) pakdi.net dan (2) pelaburan asb.

MAKRO EKONOMI

Sudah pasti prestasi agihan dividen dan bonus ini sangat dipengaruhi oleh faktor makro ekonomi yang melanda negara dan juga pasaran dunia. Jika dilihat dari kejauhan, terdapat 3 faktor utama yang menjadi penyumbang kepada kejatuhan agihan dividen dan bonus kali ini.

Faktor #1: Nilai Mata Wang Yang Lemah
Sebelum ini pernah saya kongsikan berkaitan nilai mata wang Ringgit Malaysia (RM) berbanding USD yang semakin lemah di RM vs USD: Apa Solusinya?. Sudah pasti, nilai mata wang yang lemah ini turut mempengaruhi kerancakan sektor-sektor pelaburan di mana dana ASB dilaburkan. Ini kerana, transaksi dagangan antarabangsa dunia secara umum menggunapakai pertukaran mata wang USD sebagai sandaran. Oleh itu, pelaburan dana ASB turut terjejas kesan daripada nilai mata wang RM yang semakin lemah.

Faktor #2: Kejatuhan Harga Minyak Sawit Mentah 
Kejatuhan harga minyak sawit mentah atau lebih dikenali sebagai Crude Palm Oil (CPO) turut memberi kesan kepada agihan dividen and bonus ASB. Jika dilihat rekod sebelum ini, dana ASB juga turut dilaburkan di sektor perladangan. Oleh kerana, CPO diklasifikasikan sebagai komoditi yang agak stabil, sudah pasti PNB akan turut melabur dalam sektor ini. Sebelum ini (2014), Sime Darby Berhad menduduki tangga ke dua tertinggi iaitu 13.18% selepas Malayan Banking Berhad dalam 20 pelaburan terbesar bagi dana ASB. Sudah pasti kejatuhan harga CPO ini memberi kesan kepada agihan dividen dan bonus ASB kerana dana ASB turut dilaburkan dalam sektor perladangan dan komoditi ini.

Faktor #3: Kejatuhan Harga Minyak Dunia
Di Jepun, harga minyak petrol yang dijual berbeza mengikut stesyen minyak. Pengguna boleh membuat perbandingan pada panel harga yang dipaparkan di setiap stesyen minyak. Sejak setahun berada di sini, sudah acapkali kelihatan harga minyak turun kesan daripada kejatuhan harga minyak dunia. Jika dilihat dari aspek pengguna, sudah pasti kejatuhan harga minyak merupakan berita gembira buat mereka. Namun, dari aspek pendapatan negara sudah pasti akan turut terjejas kerana Malaysia juga merupakan pengeluar minyak mentah. Oleh kerana dana ASB juga turut dilaburkan dalam syarikat berasaskan minyak seperti Petronas Gas Berhad dan Petronas Chemical Group Berhad sepertimana laporan kewangan yang berakhir pada 31 Disember 2014, sudah pasti kejatuhan harga minyak turut memberi kesan kepada agihan dividen dan bonus ASB kali ini. Saya merasakan, sektor-sektor pelaburan bagi kewangan berakhir pada 31 Disember 2015 tidak jauh berbeza sepertimana sebelum ini (2014).

Paparan Harga Minyak di Jepun
Paparan Harga Minyak di Jepun

PENGAJARAN

Berdasarkan agihan dividen dan bonus ASB kali ini bolehlah kita mengambil beberapa pengajaran. Pertamanya, tidak ada satu pelaburan yang tiada risiko dan menjanjikan pulangan yang sentiasa konsisten. Sudah pasti ada risiko yang perlu dihadapi bagi setiap pelabur. Namun, dalam aspek ASB ini mungkin sedikit berbeza kerana pelaburan ASB turut dilindungi oleh kerajaan. Bayangkan jika sesuatu pelaburan yang kurang jelas dan langsung tidak dilindungi pasti risiko yang bakal dihadapi lebih besar. Kedua, janganlah kerana merasakan pulangan ASB ini terlalu sedikit, maka ada yang terpedaya dengan skim-skim pelaburan yang menjanjikan 'bulan dan bintang' sehingga duit simpanan lebur entah ke mana. Ketiga, sentiasa tingkatkan ilmu dalam mempelbagaikan pelaburan dan bergurulah dengan mereka yang benar-benar berpengalaman dalam sesuatu pelaburan. Pelaburan yang terbaik adalah pelaburan dalam ILMU!

2016 MENCABAR?

Akhir sekali, perlu disedari bahawa tiada siapa yang boleh meramalkan dengan tepat keadaan ekonomi bagi tahun 2016 ini walaupun ada 'cakap-cakap' dan 'tanda-tanda' yang menunjukkan suasana yang lebih mencabar bakal dihadapi. Sebagai individu, faktor-faktor makro ekonomi seperti kejatuhan harga minyak kelapa sawit, penurunan harga minyak mentah dan juga nilai mata wang negara yang lemah sudah pasti berada di luar kawalan kita. Namun, sebagai individu kedudukan kewangan peribadi masih berada di dalam genggaman dan kawalan kita. Sebagai contoh, persiapan dana kecemasan bersamaan 6 bulan gaji atau pendapatan boleh dijadikan langkah awal dalam menghadapi situasi yang tidak menentu ini.

Sekadar pandangan dari kejauhan di Sendai, Jepun. Semoga bermanfaat.  

Related Posts

ASB Terendah Sepanjang 25 Tahun!
4 / 5
Oleh

Perkongsian Akan Datang

Anda Suka 'Post' Ini? Anda Akan Lebih Suka 'Post' Yang Akan Datang:).

Menarik Lagi Tertarik! × +

2 comments

Write comments
avatar
January 7, 2016 at 12:36 PM

Buka akaun ASB ni kena paksa dulu, zaman sekolah sebab diwajibkan bagi yang dapat biasiswa. Sehingga sekarang hanya simpan ajer, tak pernah terfikir tentang dividen.

Reply
avatar
January 7, 2016 at 4:47 PM

Wah, lama tu kalau buka akaun ASB sejak zaman sekolah. Kalau tak pernah terfikir tentang dividen dan hanya simpan aje, sure simpanan mesti banyak punya ni. Terbaiklah saljuhumairah.

Reply

Tudung kanak-kanak