Tuesday, August 11, 2015

Haji Sebagai Matlamat Kewangan


IBADAH HAJI 

IBADAH HAJI merupakan rukun Islam yang ke lima. Setiap umat Islam yang berkemampuan wajib melaksanakan rukun Islam tersebut setidak-tidaknya sekali dalam seumur hidup. Atas dasar itulah, saya melihat dan bersetuju bahawa Haji perlu juga dijadikan salah satu matlamat kewangan. Ini kerana seringkali kita tetapkan matlamat kewangan untuk membeli sebuah kereta, memiliki rumah impian, mempunyai RM 1 juta dalam akaun dan sebagainya dalam kehidupan. Namun, ramai juga yang terlupa untuk meletakkan TUNAIKAN HAJI sebagai matlamat kewangan mereka khususnya bagi mereka yang beragama Islam.  

TABUNG HAJI

Setiap muslim pastinya ada impian dan niat untuk menunaikan haji lebih-lebih lagi ia merupakan salah satu rukun Islam. Atas sebab itu, bagi merealisasikan niat dan impian tersebut perlu diiringi dengan azam dan usaha. Salah satu usaha yang boleh dilakukan sebagai pendekatan menjadikan haji sebagai matlamat kewangan dan merealisasikan hasrat untuk menunaikan haji di awal usia adalah dengan mendaftar haji di TABUNG HAJI (TH) dengan lebih awal.

DAFTAR HAJI

Sebagai salah satu usaha bagi orang kebanyakan untuk membolehkan mereka berpeluang menunaikan haji di awal usia adalah dengan mendaftar melalui TH seawal mungkin. Lagi awal seseorang mempunyai RM1,300 dan mendaftar haji di TH, maka lebih awallah mereka berpeluang menunaikan haji. Barangkali nilai RM1,300 yang perlu disimpan di TH kelihatan agak besar. Namun, apalah nilai RM1,300 tersebut jika dibandingkan dengan deposit memiliki rumah impian atau idaman, bayaran muka kereta atau 'upgrade superbike', menukar gadget mahupun telefon bimbit dan sebagainya. 

PAKEJ HAJI

Umumnya terdapat 2 pilihan kepada muslim di Malaysia untuk menunaikan haji sama ada menggunakan pendekatan Muassasah atau menggunakan Pakej Haji Swasta. Muassasah merujuk kepada pergi menunaikan haji secara biasa melalui pengurusan TH. Ia lebih murah kerana hampir separuh kos menunaikan haji ditanggung oleh pihak TH. Manakala pakej swasta pula lebih mahal dan sebagai contoh jika menggunakan perkhidmatan TH Travel & Service Sdn. Bhd kos yang perlu disediakan sehingga mencecah ratusan ribu ringgit.  

KOS HAJI

Sudah pasti kos menunaikan haji saban tahun semakin meningkat disebabkan kesan kos penerbangan, kos pengangkutan, kos penginapan di Makkah, Madinah dan Jeddah serta kos-kos lain seperti makan-minum semasa di sana. Peningkatan kos tidak mengira sama ada menggunakan Muassasah mahupun pakej swasta. Sebagai makluman, kos menunaikan haji bagi tahun 2015/1456H adalah sebanyak RM17,270 dengan subsidi sebanyak RM7,290. Ini bermakna setiap individu perlu mempunyai mempunyai simpanan bagi menunaikan haji secara Muassasah sebanyak RM9,980. 


Manakala kos bagi menunaikan haji melalui pakej swasta pastinya lebih tinggi berbanding Muassasah. Berikut saya sertakan maklumat pakej haji swasta daripada pihak TH Travel & Tour Sdn. Bhd. dan saya biarkan gambar di bawah berbicara. Ini kerana, barangkali sesetengah orang melihat ia agak mahal, namun bagi saya ia bersifat subjektif dan bergantung kepada kemampuan dan pilihan masing-masing. 

KWSP DAN TABUNG HAJI

Bagi mereka yang mencarum dan mempunyai akaun di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) masih mempunyai peluang untuk mendaftar awal haji di TH. Melalui kaedah ini anda tidak perlu menyimpan RM1,300 dan mengeluarkan duit anda sendiri bagi pendaftaran haji di TH. Ramai juga yang masih tidak cakna bahawa pihak KWSP ada menyediakan perkhidmatan Pendaftaran Haji Ahli KWSP yang membolehkan seseorang ahli membuat pendaftaran haji dengan Lembaga Tabung Haji (LTH) tanpa perlu mendeposit simpanan sebanyak RM1,300 dalam akaun TH. 

DAFTAR HAJI  

Perlu diingatkan kemudahan ini tidak melibatkan sebarang pengeluaran wang simpanan di KWSP. Antara syarat-syarat kelayakan bagi ahli KWSP adalah seperti berikut:

1.  Warganegara Malaysia dan Pemastautin Tetap
2.  Beragama Islam
3.  Mempunyai simpanan KWSP dalam Akaun 1 sekurang-kurangnya RM1,300. 
4.  Belum mencapai umur 55 tahun.
5.  Mempunyai akaun simpanan Tabung Haji.   

Untuk maklumat lanjut rujuk di SINI.

HAJI: NIAT, AZAM DAN USAHA

Semasa peringkat awal kami berada di Jepun, pernah terdetik di hati saya untuk menunaikan haji dari Jepun. Ini kerana dimaklumkan pihak kerajaan Arab Saudi turut memberikan kuota menunaikan haji sebanyak 400 orang kepada pihak Jepun. Namun, setiap tahun kuota tersebut tidak dipenuhi memandangkan di Jepun penduduk Islam merupakan populasi minoriti. Dimaklumkan juga mereka yang tinggal di Jepun sama ada belajar atau bekerja di sini boleh memohon untuk berangkat menunaikan haji dari sini. Mana tahu dengan niat, azam dan usaha ini dipermudahkan olehNya nanti. Sebagai usaha, perkongsian akan datang saya ingin kongsikan pendekatan untuk berangkat menunaikan haji dari Jepun. Bagi mereka yang mempunyai Akaun KWSP dan layak memohon, gunakanlah perkhidmatan dalam ke arah menjadi HAJI SEBAGAI MATLAMAT KEWANGAN. 

Sekadar perkongsian. Semoga bermanfaat.  

Related Posts

Haji Sebagai Matlamat Kewangan
4 / 5
Oleh

Perkongsian Akan Datang

Anda Suka 'Post' Ini? Anda Akan Lebih Suka 'Post' Yang Akan Datang:).

Menarik Lagi Tertarik! × +

2 comments

Write comments
avatar
Asma
August 11, 2015 at 4:04 PM

Terima kasih atas perkongsian yang mengingatkan saya.

Reply
avatar
August 11, 2015 at 8:02 PM

Terima kasih juga Asma kerana sudi singgah di blog ini. Semoga bermanfaat.

Reply

Tudung kanak-kanak