Bergaya atau 'Gaya Hidup' |
'SARA HIDUP' DI JEPUN
Tidak dinafikan kos 'Sara Hidup' semakin hari semakin meningkat dan menuntut untuk kita terus gigih menghadapi kos kehidupan seharian. Begitu juga di sini, menurut rakan Jepun saya kos kehidupan di Jepun juga mencatatkan peningkatan berterusan khususnya di kota metapolitan seperti Tokyo. Namun, saya kagum dengan kesungguhan masyarakat Jepun di mana hampir semua kerja daripada kerja-kerja mencuci tandas, memotong rumput, mengangkat sampah, pelayan restoran, pengawal keselamatan, pembinaan sehinggalah kerja-kerja profesional masih dilaksanakan oleh mereka sendiri.KOS 'SARA HIDUP'
Di Malaysia, kerja-kerja ini sudah mulai diambil alih oleh orang atau 'warga luar'. Sebagai contoh, kerja-kerja mencuci dan menjaga tandas kelihatan warga asing yang telah mengambil alih. Manakala, di kawasan perumahan saya di Bandar Seri Putra (BSP) mereka yang datang dari rumah ke rumah menawarkan khidmat potong rumput juga 'warga luar'. Begitu juga, keselamatan taman-taman perumahan dan juga bangunan komersial 'dijaga' oleh 'warga luar'. Bayangkan sehinggakan isu keselamatan kita sendiri terpaksa meminta khidmat 'warga luar'. Saya tidak pasti di mana silapnya. Namun, isu yang ingin saya ketengahkan di sini adalah berkaitan 'usaha dan kesungguhan' diri kita dalam menghadapi kos 'Sara Hidup' yang semakin meningkat. Apa yang seharusnya kita lakukan dalam menghadapi situasi ekonomi yang tidak menentu?'GAYA HIDUP' DAN 'SARA HIDUP'
Jika kita perhatikan, ramai 'warga asing' yang merebut peluang menambah pendapatan dan masih boleh mengumpul wang untuk dibawa balik ke negara mereka. Memang tidak dinafikan, di kalangan mereka ada yang sanggup makan nasi dengan banyak tetapi hanya berlaukkan kuah sahaja malah ada juga yang sanggup hidup berhimpit di rumah yang disediakan majikan serta sanggup pula meninggalkan keluarga bertahun lamanya demi mencari rezeki di negara kita. Mereka berjimat-cermat dan menukar 'Gaya Hidup' untuk memastikan objektif datang ke Malaysia dapat direalisasikan. Saya tidak meminta kita menjadi seperti mereka, cuma sesekali terfikir bagaimana kerja-kerja tersebut boleh didominasi oleh mereka?'GAYA HIDUP' BERKELUARGA
Bagaimana pula mereka yang bekerja dengan penuh 'bergaya', bertali leher, kerja di bawah hembusan pendingin hawa dan memandu pulang dengan kereta model terkini masih mengeluh duit tidak mencukupi. Pernah saya terjumpa, mereka yang bergaya sakan, boleh menukar kereta model terkini, berbicara tentang fesyen pakaian, suami isteri bekerja dan mampu membeli periuk memasak ajaib yang boleh memasak selama 7 minit dengan bayaran bulanan, tetapi apabila membicarakan duit untuk orang tua di kampung dikatakan duit tidak mencukupi. Ada pula yang boleh beralih daripada 'plasma tv' kepada 'LED tv' dan kini dengan skrin lebih besar dan dikenali sebagai 'Smart tv' tetapi semua itu hanyalah melalui skim pembiayaan mudah dan fleksibal. Teringat dialog rakan saya yang merupakan seorang guru pernah berkata, "ada ibu bapa yang mampu membayar dan melanggan siaran televisyen berbayar di rumah mereka, tetapi apabila meminta bayaran untuk aktiviti anak di sekolah mahupun yuran PIBG ada juga tertangguh sehingga hampir masuk ke sesi persekolahan yang baru".'GAYA HIDUP' PELAJAR
Belajar memasak masakan Jepun |
Di universiti juga situasi yang hampir sama di mana mudah sekali saya temui pelajar yang memiliki gadjet seperti tablet, komputer dan juga smartphone lebih mahal dan bergaya daripada orang bekerja. Bukan itu sahaja, pilihan jenama pakaian dari hujung rambut sampailah ke hujung kaki kelihatan sangat bergaya dan mewah sekali. Sudah pasti gaya ini akan terbawa-bawa apabila masuk ke dunia pekerjaan nanti. Mana mungkin hendak 'downgrade' jenama sedangkan sudah biasa 'upgrade' ke jenama mewah dan mahal. Mana mungkin sanggup memakai jenama 'Abibas' jika sentiasa 'Adidas' dan original menjadi pilihan. Atas sebab itu masih terdapat di kalangan pelajar yang merasakan duit biasiswa atau pinjaman yang diperolehi (1) sangat mencukupi, (2) cukup-cukup atau (3) langsung tidak mencukupi meskipun mereka mendapat jumlah yang sama banyak. Perbandingan ini dibuat berdasarkan situasi yang sama, iaitu program pengajian yang hampir sama dan tidak menghadapi situasi dipotong atau ditangguhkan pinjaman atau biasiswa yang diperolehi.
GAYA HIDUP TINGKATKAN SARA HIDUP
Tidak dinafikan ramai di kalangan kita yang sememangnya mampu untuk mengamalkan 'Gaya Hidup' mewah atas hasil usaha dan kerja keras mereka. Tidak salah untuk memilih 'Gaya Hidup' begitu sekiranya benar-benar mampu kerana sememangnya itu merupakan wang hasil titik peluh mereka sendiri. Namun, perkongsian ini khusus buat mereka yang seringkali merungut kesempitan untuk memberi wang kepada orang tua di kampung, duit sekolah anak terpaksa dicatu, surat dan panggilan telefon menuntut hutang yang semakin kerap serta menyalahkan semua orang atas kegawatan ekonomi yang berlaku sedangkan diri sendiri masih mengamalkan 'Gaya Hidup' yang mendorong ke arah kenaikan kos 'Sara Hidup'.PEMILIHAN GAYA HIDUP
Sumber: http://paradigmlife.net/ |
Kenaikan kos 'Sara Hidup' sememangnya tidak dapat dibendung dan langsung tidak pernah meminta izin untuk kenaikannya. Namun, pemilihan 'Gaya Hidup' masih merupakan faktor yang berada dalam kawalan setiap orang. Ada mereka yang bertungkus lumus menambahkan pendapatan dalam menghadapi kegawatan ekonomi dan juga peningkatan kos 'Sara Hidup'. Namun, sangat dikhuatiri jika tidak mengubah 'Gaya Hidup', mereka ini seakan terperangkap dalam situasi 'Rat Race' yang digambarkan oleh Robert Kiyosaki. Bayangkan seekor tikus yang diletakkan dalam sangkar bergelung, semakin laju tikus itu berlari semakin kuat dan laju pusingan gelung yang memerangkap tikus tersebut. Hakikatnya, tikus tersebut masih tetap berada di tempat yang sama malah yang hanya diperolehi adalah penat dan lelah berlari laju.
'GAYA HIDUP' TENTUKAN KOS 'SARA HIDUP'
Oleh itu, pemilihan dan menukar 'Gaya Hidup' juga boleh mempengaruhi kepada peningkatan mahupun penurunan kos 'Sara Hidup'. Amalan 'Gaya Hidup' semua golongan sama ada daripada pihak atasan sehinggalah kita sebagai isi rumah atau individu mampu membendung kenaikan kos 'Sara Hidup' ini. Bagi mereka yang masih muda, pilihlah 'Gaya Hidup' yang bersesuaian. Manakala, yang telah bekeluarga jangan sampai amalan 'Gaya Hidup' sekarang menjadikan tanggungjawab sebagai anak kepada orang tua kita terabai. Berikanlah contoh yang baik buat anak-anak, agar kita tidak menerima nasib yang sama pada masa akan datang.
'Gaya Hidup' Tingkatkan 'Sara Hidup'
4
/
5
Oleh
Unknown
4 comments
Write commentsSaya suka penulisan dan perkongsian tuan. Semoga tuan diberikan kemudahan dan kesihatan untuk terus berkongsi.
ReplyTerima kasih tuan Azam kerana sudi singgah di blog ini. Terima kasih juga atas doa tuan. Semoga tuan Azam juga turut diberikan kesihatan olehNya. Amin.
Replykami sekeluarga masih guna tv jenis lama..dan akan guna selagi ia berfungsi..
ReplyBagus tu HB. Simpan duit berbaki untuk kegunaan masa hadapan. Sebagai contoh, pendidikan anak-anak atau keperluan mendesak suatu hari nanti. Bersamalah kawal peningkatan kos 'Sara Hidup' yang disebabkan oleh 'Gaya Hidup'.
Reply