Friday, September 18, 2015

Belilah 'Kediaman' Bukannya 'Kereta Idaman'

jpg
Tapak kecil dijadikan rumah

KEDIAMAN DI JEPUN

Pengalaman kami berada di Sendai Jepun,  agak mudah kelihatan kediaman atau rumah-rumah kecil dibina walaupun pada asalnya kawasan tapak tanah tersebut kelihatan agak kecil untuk membina sebuah rumah. Sebagai contoh, sebuah rumah yang baru siap dibina bersebelahan rumah sewa kami dimana tapak asal rumah tersebut pada awalnya hanyalah merupakan tempat meletak kenderaan. Peringkat awal, berdasarkan saiz tapak pembinaan kami ingatkan ia adalah bagi membina stor untuk kemudahan pemilik kedai runcit yang terletak berhampiran dengan rumah kami. Namun, setelah siap pembinaan dalam hampir 4 bulan, tapak yang kecil tersebut rupa-rupanya merupakan sebuah rumah 2 tingkat. Saya pernah kongsikan sebelum ini di Budaya Berjiran di Jepun.  

KEDIAMAN KECIL

jpg
Dulu Tempat 'Parking' Kereta, Kini Rumah 2 Tingkat

Di Jepun memang terkenal dengan rumah-rumah yang kecil atau lebih dikenali sebagai 'compact'. Umumnya, rumah-rumah milik orang Jepun di sini termasuklah rumah-rumah sewa bersaiz kecil. Begitu juga rumah sewa saya di sini, walaupun rakan-rakan kami mengelarkan rumah saya sebagai 'rumah banglo', tetapi ia bukanlah seperti gambaran rumah banglo sepertimana di Malaysia. Rumah saya di sini sangatlah bersesuaian dengan bilangan ahli keluarga dan situasi anak-anak kami yang sememangnya 'riuh dan meriah'. Barangkali jika kami menyewa di apartment, keluarga kamilah yang akan ditegur oleh jiran-jiran Jepun memandangkan mereka tidak berapa suka dengan suasana 'riuh dan meriah' kami ini. Saya juga pernah kongsikan pengalaman kesukaran kami di sini untuk mendapatkan rumah sewa di 3 Kesilapan Beli Rumah (Deposit & Key Money). 




MEMBELI KEDIAMAN

Sekarang ini ramai bekas pelajar saya sudah mendapat pekerjaan dan berumahtangga. Sudah pasti memiliki sebuah rumah menjadi impian bagi setiap mereka yang telah berkeluarga. Sebelum membuat sebarang keputusan membeli rumah, barangkali perkongsian 'Rumah Pertama' atau 'Rumah Impian' boleh dijadikan panduan. Jika lambat bertindak dan kesilapan dalam mengatur strategi, dikhuatiri 'Rumah Pertama' mahupun 'Rumah Impian' hanyalah sekadar 'mimpi'. 

KEDIAMAN DAN KERETA IDAMAN

Berdasarkan pengalaman saya sekeluarga menyewa rumah di sini, ia menyedarkan kami bahawa tidak salah untuk tinggal di rumah yang kecil buat sementara. Barangkali peringkat awal kita merasakan seakan kurang selesa, namun ia bergantung kepada persepsi dan cara untuk mengadaptasi persekitaran tersebut. Tidak salah untuk tinggal di rumah yang kecil dan tidak juga memalukan jika rumah kita agak kecil pada peringkat permulaan kehidupan. Kenapa sanggup menyewa bertahun-tahun dan bergaya dengan rumah yang mahal, sedangkan rumah itu bukan milik kita. Sebab itulah, saya bersetuju bahawa sebagai peringkat permulaan kehidupan letakkanlah sasaran untuk memiliki dan membeli 'Kediaman' dan bukannya 'Kereta Idaman'.

KERETA IDAMAN VS KEDIAMAN

jpg
Kereta Idaman Sentiasa Berubah-ubah

Apabila membicarakan 'Kereta Idaman', sebelum saya ke Jepun pernah terdetik untuk membeli kereta Avanza bagi keperluan keluarga. Setelah itu, apabila Proton mengeluarkan model Exora saya tertarik hati pula dengan konsep MPV yang ditawarkan oleh Proton. Maka saya menukar impian dan 'Kereta Idaman' daripada Avanza kepada Exora. Nah! Sekejap sahaja 'Kereta Idaman' saya berubah apabila datangnya model baru dalam pasaran. Begitu juga situasi di Jepun ini, hampir setiap beberapa bulan pastinya ada model-model kereta baru yang akan diiklankan di televisyen tempatan. Tidak terkejar kita dan pastinya akan terus bertukar 'Kereta Idaman' apabila kelihatan model-model baru yang lebih canggih dan menawan hati. Kini, 'Kereta Idaman' saya bukan lagi Avanza mahupun Exora, bahkan masih keliru dan tidak pasti lagi yang mana pilihan di hati.

BELILAH KEDIAMAN

Menyedari hakikat ini, saya sangat menggalakkan agar golongan muda yang baru memulakan kehidupan berkeluarga dan kerjaya mereka khususnya bekas pelajar saya untuk memilih 'Kediaman' dan bukannya 'Kereta Idaman'. Seringkali diingatkan rumah merupakan aset dan kereta adalah liabiliti. Adalah lebih bergaya dengan 'Kereta Idaman' apabila telah memiliki 'Kediaman'. Janganlah suka sangat bergaya dengan 'Kereta Idaman' sedangkan masih lagi tiada 'Kediaman' atau 'Rumah' yang dimiliki. Zaman orang bergaya dengan 'Kereta Idaman' sudah berlalu.

KUMPUL ASET, KUMPUL KEDIAMAN

Kini, zaman orang untuk mengumpul aset dan 'Kediaman'. Membeli rumah yang kecil sebagai permulaan bukanlah satu kesalahan dan memalukan. Sebaiknya, tangguhkan dahulu 'Kereta Idaman' dan menjadikan pemilikan 'Kediaman' sebagai target utama apabila telah mempunyai pekerjaan. Memiliki 'Kediaman' di lokasi yang strategik membolehkan kita memiliki 'Rumah Impian' dan tidak mustahil juga mendapatkan 'Kereta Idaman' pada suatu hari nanti. Namun, memiliki 'Kereta Idaman' di peringkat permulaaan kehidupan biasanya akan melambatkan lagi perjalanan untuk memiliki 'Rumah Pertama' mahupun 'Rumah Impian'. 

Sekadar perkongsian pengalaman dan pemerhatian dari kejauhan di Sendai, Jepun. 

Semoga bermanfaat. 

Related Posts

Belilah 'Kediaman' Bukannya 'Kereta Idaman'
4 / 5
Oleh

Perkongsian Akan Datang

Anda Suka 'Post' Ini? Anda Akan Lebih Suka 'Post' Yang Akan Datang:).

Menarik Lagi Tertarik! × +

6 comments

Write comments
avatar
September 18, 2015 at 11:09 AM

kereta idaman untuk dapatkan ia

kena dapatkan kediaman dulu..

faham2kan lah

Reply
avatar
September 18, 2015 at 12:12 PM

Betul tu, mulakan dengan 'kediaman' sebelum memiliki 'kereta idaman'. Terima kasih juga kerana sudi singgah di blog ini.

Reply
avatar
September 19, 2015 at 8:02 AM

saya dan isteri telah membeli rumah diawal perkahwinan dan sekarang anak dah semakin membesar ..kini mereka diam di rumah sendiri

Reply
avatar
September 19, 2015 at 8:55 AM

Bagus dan Tahniah Hero Borneo. Bak kata pepatah, 'bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian'. Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Salam perkenalan dari kejauhan. Jumpa lagi.

Reply
avatar
September 23, 2015 at 10:48 PM

Betul2... saya pun beli rumah di awal perkahwinan... tapi disebabkan encik hubby saya kena bekerja di luar KL, maka rumah itu kami sewakan... sekarang encik hubby dah kena kerja di KL semula... tapi disebabkan kesian pulak nak suruh penyewa kami yg baik tu keluar, kami duduklah di rumah pusaka milik arwah mak dan ayah... mujur ada alternatif tmpt tinggal...

Reply
avatar
September 23, 2015 at 11:03 PM

Tahniah Puan Nora Karim kerana membuat keputusan yang bijak dari awal. Pastinya rumah puan dan suami kini semakin meningkat nilainya. Jika rumah tersebut dapat disewakan lebih tinggi daripada komitmen bulanan di bank, puan kini sudah boleh menjana pendapatan pasif. Boleh kumpul modal lagi untuk membeli kediaman lagi di lokasi yang strategik. Didoakan rezeki puan sekeluarga bertambah dan dipermudahkan olehNya. Amin.

Reply

Tudung kanak-kanak