Sunday, September 27, 2015

SCAM: Inspirasi dan Informasi

SCAM: Inspirasi & Informasi 1

KES PENIPUAN (SCAM)

Sejak akhir-akhir ini kes-kes penipuan wang atau SCAM semakin menjadi-jadi dan melibatkan pelbagai golongan. Berdasarkan pemerhatian, mangsa kes penipuan ini melibatkan pelbagai umur daripada golongan muda sehinggalah mereka yang berada di umur pencen. Bukan itu sahaja, saya juga pernah mengenali mangsa penipuan yang terdiri daripada graduan ijazah sehinggalah PhD. Ini bermakna, ramai yang terpedaya dan menjadi mangsa penipuan wang ini tanpa mengira usia dan kelayakan akademik. 

PENDEKATAN PENIPUAN (SCAM)

Teringat dahulu di zaman belajar pendekatan SCAM ini juga turut berlaku sama ada melalui pendekatan 'alam maya' dan terdapat juga penipuan yang berselindung disebalik konsep Multi Level Marketing (MLM). Ramai rakan-rakan di zaman belajar yang turut terjebak dengan kes sebegini dan akhirnya laba yang diharap hanyalah mimpi semata-mata. Sebelum ini di dalam KENALI 4 PUNCA 'PAPA' SEMASA BELAJAR pernah saya kongsikan berkaitan kes penipuan wang di kalangan pelajar. 

EVOLUSI PENIPUAN (SCAM)

Berdasarkan pengalaman, SCAM ini sentiasa berevolusi dengan pelbagai pendekatan bagi 'memancing' bakal pelabur. Sebagai contoh, perkembangan teknologi terkini dengan kemudahan wifi di kampus menjadikan maklumat sangat mudah diperolehi. Sekarang, sambil baring di katil empuk di kolej kediaman sehingga mata terlelap pelajar boleh melayari capaian internet dengan mudah. Maka, disini mulalah ada mereka yang terpengaruh dengan tawaran hebat yang menjanjikan 'bulan dan bintang' dengan tagline 'Kaya dan Bersara Muda'. Ini menjadikan ada yang sanggup menggunakan duit pinjaman yang berbaki untuk sara hidup bagi semester tersebut sebagai modal pelaburan untuk menjadi kaya di kala belajar. Akhirnya, ada pelajar yang terjebak dan boleh diibaratkan seperti "yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran". Penipuan wang ini terus berevolusi dan terdapat juga yang turut berselindung di sebalik topeng 'agama'. Saya pernah kongsikan sebelum ini di SKIM CEPAT KAYA BERTOPENG 'AGAMA'.

INSPIRASI PENIPUAN (SCAM)

SCAM: Inspirasi & Informasi 2

Seakan menjadi manual prosedur (SOP) penipuan wang menggunakan kereta mewah, pakaian berjenama, pelancongan di luar negara dan pelbagai lagi pendekatan dalam mempamerkan kemewahan kepada bakal pelabur atau 'downline' mereka. Mana mungkin tiada yang terpengaruh sedangkan seorang yang bergelar 'pensyarah' dan menaiki kereta Proton Wira SE boleh turut teruja! Bagi saya, kesemua ini dilihat sebagai pendekatan 'faktor luaran' dalam memotivasi atau memberikan inspirasi agar mereka diluar sana terpesona dengan kemewahan yang dipamerkan. Mereka yang terinspirasi akan mulai membuat pelaburan dan menarik orang lain untuk turut terinspirasi dengan 'faktor luaran' yang sama. Antara kata-kata motivasi yang boleh membuat orang terinspirasi dengan penipuan wang ini seperti:
  • Anda bosan dengan pekerjaan sekarang?
  • Gaji yang tidak cukup-cukup?
  • Mahukan peluang menjana pendapatan pasif tanpa berhenti kerja dan boleh dibuat secara sambilan? 
  • Mahu menjana pendapatan yang lumayan?
  • Sertai kami!
  • Peluang menjana pendapatan serendah RM500 hingga RM3,000 sehari, dan boleh mencecah 6 angka sebulan secara sambilan dan tanpa bekerja keras.
  • TAK PERLU jual barang.
  • TAK PERLU cari orang.
  • TAK PERLU keluar modal besar.
  • TAK PERLU keluar rumah.
  • TAK PERLU tempuh kesesakan setiap hari.
  • TAK PERLU stress.
  • TAK PERLU sakit hati.
  • TAK PERLU sakit kepala
dan pelbagai 'tagline' yang seakan menjanjikan 'bulan dan bintang' atau diibaratkan "too good to be true". 

INFORMASI PENIPUAN (SCAM)

Terlalu banyak informasi dan kes-kes yang difailkan berkaitan penipuan wang atau SCAM ini malah terdapat banyak orang yang turut mengingatkan agar berhati-hati daripada terlibat dengan SCAM, Skim Cepat Kaya (SCK), penipuan MLM dan pelbagai lagi. Ramai yang telah menjadi mangsa penipuan ini sehingga ada yang jatuh muflis, dibebani hutang pinjaman peribadi yang tidak pasti bila akan langsai, hutang kad kredit yang membukit sebagai modal, bermasam muka dan putus saudara serta rakan apabila sama-sama tertipu, malah turut ada yang hampir membunuh diri kerana tidak tertanggung malu dan ditipu. Namun, masih ramai di luar sana yang masih tidak serik dan mengambil iktibar daripada kes-kes penipuan wang ini. Sedarlah, sudah ramai yang telah menjadi mangsa. Janganlah hanya mudah TERINSPIRASI dan carilah INFORMASI mengenai pelaburan dan perniagaan yang patuh syariah, dan kurang berisiko agar diri tidak terjebak serta tertipu dengan penipuan wang ini.

Sekadar perkongsian dan semoga bermanfaat. 

Related Posts

SCAM: Inspirasi dan Informasi
4 / 5
Oleh

Perkongsian Akan Datang

Anda Suka 'Post' Ini? Anda Akan Lebih Suka 'Post' Yang Akan Datang:).

Menarik Lagi Tertarik! × +

Tudung kanak-kanak