RAKAN BANKRAP
Baru-baru ini apabila terbaca berkaitan Akta Kebankrapan 1967 (Akta 360) yang bakal dibuat penambahbaikan, saya teringat seorang rakan kami yang hampir diisytiharkan bankrap atau muflis hanya kerana beliau menjadi penjamin kepada rakan kami yang lain. Bak kata pepatah "langit tidak selalu cerah, awan tidak sentiasa mendung" apabila rakan yang dijamin, diberhentikan kerja akibat syarikat terpaksa menghadapi situasi 'gulung tikar'. Mujur masih ramai lagi rakan-rakan yang sudi membantu dan rakan dijamin berpeluang memperolehi pekerjaan baru sebelum diisytiharkan bankrap.
ISYTIHAR BANKRAP
Merujuk kepada Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI), seseorang (penghutang) boleh diisytiharkan bankrap oleh pihak Mahkamah Tinggi atas kegagalan atau tidak berupaya membayar hutang sekurang-kurangnya RM30,000. Sememangnya agak menyedihkan jika seseorang diisytiharkan bankrap oleh pihak berkaitan lebih-lebih lagi disebabkan kecuaian atau kealpaan mahupun sikap ambil mudah sehinggakan menjadi mangsa penganiyaan individu ataupun pihak yang tidak bertanggungjawab. Mereka yang diisytiharkan bankrap akan menghadapi kemungkinan diberhentikan kerja oleh majikan, tidak boleh bekerja di mana-mana syarikat, tidak dibenarkan memiliki aset atau hartanah, tidak boleh membuka akaun dan membuat pinjaman serta juga dihalang ke luar negara. Pendek kata, sebarang urusan berkaitan dengan kewangan akan menghadapi masalah dan halangan.PUNCA BANKRAP
Terdapat beberapa punca yang menjadikan seseorang bankrap. Antaranya, pinjaman peribadi, hutang kad kredit, penjamin, pembiayaan pembelian kereta/ rumah dan pelbagai lagi. Perlu difahami terdapat situasi dimana hutang yang dimiliki tidak sampai RM30,000. Namun, setelah dicampur dengan kadar faedah (interest/bunga) dan kos-kos lain mengakibatkan hutang tersebut semakin membukit. Apabila mencapai angka RM30K, barulah pihak pemberi hutang (pemiutang) mengambil tindakan undang-undang dan penghutang sukar mengelakkan diri daripada diisytiharkan bankrap.
GOLONGAN MUDA BANKRAP
Berdasarkan statistik terkini dari 2011 hingga Ogos 2015, mereka yang berusia 35 dan 44 tahun merupakan golongan yang paling tinggi bankrap setiap tahun. Dilaporkan seramai 33,536 orang daripada golongan tersebut yang diisytiharkan bankrap daripada keseluruhan 95,173 individu bankrap. Ini menunjukkan hampir 35% mereka yang berumur 35 - 44 tahun terlibat dengan bankrap ini. Golongan muda ini masih jauh lagi perjalanan dan segala harta serta simpanan yang dimiliki sebelum ini akhirnya terpaksa dibekukan untuk melunaskan segala hutang yang miliki. Umumnya, hutang yang dijana barangkali telah bermula sejak selepas bergraduan dan seusai mendapat pekerjaan. Ini mungkin kesan daripada 'Gaya Hidup' Tingkatkan 'Sara Hidup'.
Sumber: Astro Awani |
AKTA BANKRAP BAHARU
Merujuk kepada maklumat MdI, penambaikan Akta Kebankrapan yang baharu meliputi perlindungan kepada penjamin, peluang kedua buat mereka yang diisytiharkan bankrap, langkah pencegahan sebelum bankrap, mekanisme menyelamat, patuh syariah dan lain lagi. Secara umum, penambahbaikan ini seakan ingin mengurangkan bilangan mereka yang bakal diisytiharkan bankrap dengan mengenakan syarat yang ketat sebelum seseorang dikategorikan sebagai 'individu bankrap'. Ini kerana, apabila ramai golongan muda yang terjebak dengan bankrap ia akan memberikan impak negatif sama ada secara langsung atau tidak langsung kepada negara.
BANKRAP DUNIA, MUFLIS AKHIRAT
Sememangnya setiap individu perlu cakna dengan sebarang tindakan yang dibuat agar tidak terjebak dengan masalah kebankrapan ini. Namun, dalam mengatur strategi agar tidak 'bankrap di dunia', perlu juga kita ambil iktibar dan mengelakkan diri kita daripada 'muflis di akhirat' sepertimana:Daripada Abu Hurairah r.a., Rasullulah SAW telah bersabda:
"Adakah kamu tahu siapakah orang yang MUFLIS pada hari kiamat?"
Jawab sahabat RA:
"Orang yang MUFLIS yang kami tahu ialah orang yang habis wang dan harta bendanya."
Baginda bersabda lagi:
"Sesungguhnya orang yang MUFLIS pada hari itu ialah orang yang mengerjakan sembahyang, puasa dan berzakat, disamping itu mereka suka mencaci atau memaki hamun, menuduh dengan sewenang-wenang, memakan harta orang lain, membunuh manusia dengan kejam dan memukul orang yang tidak bersalah. Segala amal kebajikannya yang dikerjakannya akan digunakan bagi menampung kesalahan dan kejahatan yang dilakukannya. Sekiranya kebajikannya tidak cukup, maka baki kesalahannya akan dicampur dengan kesalahan orang yang dianiaya, lalu dibebankan kepadanya, kemudian ia dicampakkan ke dalam neraka."
(HR Muslim, Hadith No. 2581)
Bersamalah kita ambil iktibar dan mengatur langkah agar tidak 'Bankrap' di dunia dan 'Muflis' di akhirat". Janganlah kita alpa dan leka dalam mencari harta kekayaan serta menyelamatkan diri daripada 'Bankrap' di dunia, sedangkan membiarkan diri kita daripada terus 'Muflis' di destinasi abadi yang dinamakan akhirat.
Renungan buat diri sendiri. Semoga bermanfaat.
Bankrap Dunia, Muflis Akhirat
4
/
5
Oleh
Unknown
2 comments
Write commentsmemang risau tahap gaban bila dah jadi bangkrap..namun ada hikmahnya supayan tidak berhutang lagi manakala misinya untuk membayar hutang sampai clear
ReplyBetul tu En. Hanafi Abdullah. Sememangnya perlu kita risau apabila ingin membuat hutang. Dalam agama kita pun diterangkan perihal hutang panjang lebar bagi menunjukkan urusan hutang tidak boleh dibuat main iaitu ayat paling panjang dalam Al-Quran ialah dari surah Al-Baqarah 282 tentang hutang. Akhir kata, terima kasih kerana sudi singgah dan sayonara, sampai jumpa lagi.
Reply