Tuesday, September 29, 2015

Taman Trafik (Kotsu Koen) di Jepun

Taman Trafik (Kotsu Koen) 1




TAMAN BUAT ANAK-ANAK

Di Sendai terdapat beberapa taman permainan dan riadah buat untuk membawa ahli keluarga bersama. Di musim bunga dan luruh, mudah kelihatan beberapa keluarga Jepun yang mendirikan khemah sambil santai-santai di taman khususnya semasa cuti yang panjang. Saya dimaklumkan peranan taman-taman permainan ini juga bertindak sebagai pusat takungan air bagi menggelakkan banjir dan juga pusat perkumpulan apabila berlakunya gempa. Sebagai tip, jika ke taman-taman di sini sangat digalakkan untuk membawa plastik sampah sendiri. Berdasarkan pemerhatian dan pengalaman di sini, jarang sekali kelihatan tong sampah disediakan di taman-taman awam. Kebiasaannya, masyarakat di sini akan membawa pulang sampah mereka sendiri.

PENCARIAN TAMAN

Baru-baru ini berdasarkan pencarian maklumat di laman web, saya menemui Taman Trafik atau lebih dikenali sebagai Kotsu Koen yang terletak tidak jauh dari kawasan perumahan kami di Sanjomachi. Pada asalnya, saya ingin mencari tempat untuk anak-anak bermain basikal memandangkan kawasan rumah sewa kami tidak sesuai untuk anak-anak berlatih dan bermain basikal. Tanpa disangka-sangka saya menemui tempat ini. Syukur Alhamdullilah dipermudahkan olehNya untuk mencari kawasan bagi anak-anak bermain basikal sepuasnya. Maklumlah dikala 'berusia' dengan anak-anak yang sedang membesar, memerlukan saya turut mencari tempat-tempat yang bersesuaian bagi anak-anak bermain dan bergembira.

BERJALAN KAKI

Anak-anak saya pada peringkat awal sesi persekolahan sememangnya saya merasakan agak risau untuk melepaskan mereka pergi dan pulang dari sekolah sendiri walaupun jarak perjalanan dari rumah ke sekolah hanyalah 1 km. Namun, setelah hampir 5 bulan anak-anak bersekolah di sini, mereka yang meminta kebenaran kami untuk pergi dan pulang sendiri ke sekolah. Sehinggakan anak saya yang ke-3 (darjah satu) di sini turut meminta keizinan kami untuk pergi dan pulang dari sekolah bersama-sama rakan yang lain. Oleh kerana, kami tidak mahu melepaskan memori menghantar anak-anak ke sekolah, akhirnya kami akur dengan keputusan anak-anak dengan membenarkan mereka pulang dari sekolah sendiri. Sehingga kini, kami masih ingin menghantar mereka ke sekolah sambil berjalan kaki bersama mereka. 

PERSEKITARAN DAN DIDIKAN

Saya akui selain daripada persekitaran yang 'agak selamat' untuk berjalan kaki ke sekolah, secara peribadi pendidikan di awal usia berkaitan laluan berjalan kaki dan juga undang-undang lalu lintas dilihat penting buat kanak-kanak sebelum 'bersendirian' di jalan raya. Teringat semasa di peringkat permulaan sekolah, anak saya darjah satu turut diajar laluan yang perlu dilalui dan asas undang-undang di jalanraya. Bukan itu sahaja, malah turut diajar tindakan yang perlu dilakukan jika bertemu orang yang tidak dikenali atau menghadapi bahaya. 

TAMAN TRAFIK

Taman Trafik (Kotsu Koen) 2
Begitu juga kewujudan Taman Trafik (Kotsu Koen) di Sendai ini dilihat berperanan dalam mendidik dan memberikan penerapan berkaitan undang-undang lalu lintas dan cara menunggang basikal dengan betul serta selamat. Disini ibu bapa juga boleh memainkan peranan untuk mengajar anak-anak mereka memahami secara praktikal peraturan di jalanraya, lampu isyarat, cara mengambil selekoh, menukar laluan, kaedah yang betul di laluan pejalan kaki dan melintas dengan betul. Taman ini turut menyediakan basikal secara percuma (tanpa sebarang bayaran) dan anak-anak boleh bermain kemudahan yang disediakan tanpa had. Dilihat pendekatan ini barangkali boleh diadaptasi di Malaysia dalam menuju negara maju pada tahun 2020 kelak. 

Sekadar perkongsian salah satu dapatan daripada 'Dasar Pandang Ke Timur' dari Sendai, Jepun.

Semoga bermanfaat.   

Related Posts

Taman Trafik (Kotsu Koen) di Jepun
4 / 5
Oleh

Perkongsian Akan Datang

Anda Suka 'Post' Ini? Anda Akan Lebih Suka 'Post' Yang Akan Datang:).

Menarik Lagi Tertarik! × +

Tudung kanak-kanak