Monday, September 7, 2015

Kenali 4 Punca 'Papa' Semasa Belajar

BELAJAR DI UNIVERSITI

Tahniah diucapkan kepada mereka yang telah mendaftar sebagai siswa-siswi di institusi pengajian tinggi khususnya di Universiti Awam (UA) baru-baru ini. Pastinya masih terbayang wajah kegembiraan ibu bapa yang sanggup menghantar anak mereka untuk mendaftar di institusi pengajian tersebut. Bukan itu sahaja malah terdapat adik-beradik, datuk nenek dan sanak saudara yang turut sama meraikan kegembiraan dengan mengiringi bersama di hari pendaftaran. Wajah kegembiraan mereka turut menyimpan harapan agar suatu hari nanti anak yang dihantar ini akan menjadi insan yang berjaya dan berguna pada agama, keluarga, bangsa serta negara. Telah menjadi kebiasaan, di saat lambaian terakhir meninggalkan perkarangan universiti, biasanya bukan sahaja titipan duit saku tidak lupa diberikan, malah pesanan dan doa yang tidak pernah putus sentiasa dipanjatkan oleh ibu bapa buat anak-anak mereka.  

PENGALAMAN DI UNIVERSITI

Sepanjang pengalaman saya sebagai pelajar dan juga berkhidmat di institusi pengajian tinggi hampir 12 tahun, secara umumnya terdapat 4 punca atau sebab yang menjadikan seseorang pelajar 'PAPA' atau 'KESEMPITAN DUIT' di kala belajar. Tanggal 1 Oktober 2014 detik bersejarah apabila saya kembali semula ke zaman belajar, cuma pada kali ini situasinya berbeza kerana berada di luar negara bagi menyahut Dasar Pandang Ke Timur. Walaupun berada di luar negara, tidak banyak berbeza punca utama wujudnya pelajar yang boleh dikategorikan sebagai 'papa' walaupun turut mendapat biasiswa atau pinjaman sepertimana pelajar yang lain.

4 PUNCA 'PAPA' DI KOLEJ/ UNIVERSITI

Terdapat 4 sebab atau punca yang boleh saya ibaratkan seakan pelajar memilih untuk terjadinya 'PAPA' atau 'KESEMPITAN DUIT' semasa belajar. Situasi sebegini boleh dikatakan popular dan berulang-ulang dapat dilihat dalam versi yang berbeza sama ada dahulu sebagai pelajar, sepanjang perjalanan saya sebagai tenaga pengajar sama ada di institusi pengajian tinggi swasta (IPT) atau universiti awam dan terkini kembali semula serta berpeluang menjadi pelajar di negara orang.

Berikut perkongsian 4 PUNCA popular yang boleh dijadikan iktibar buat semua yang berada di IPT.

PUNCA #1 - 'Gaya Hidup' Melebihi 'Sara Hidup'

Berdasarkan pengalaman dan pemerhatian, punca yang menduduki 'carta tertinggi' adalah apabila 'Gaya Hidup' melebihi 'Sara Hidup'. Apabila berada di institusi pengajian tinggi pelajar akan terdedah dengan persekitaran dan rakan-rakan yang baru. Sudah pasti, sedikit sebanyak pengaruh rakan sekuliah atau di kolej kediaman boleh mempengaruhi cara berfikir, bertindak dan ada kala turut mempengaruhi 'Gaya Hidup'. Sebagai contoh, pemilihan aksesori, gadjet, pakaian, kenderaan, makanan dan lain-lain kadang kala tanpa disedari kita terpengaruh atau terikut-ikut dengan gaya serta fesyen terkini. Pernah berlaku, segan pula saya sebagai tenaga pengajar untuk mengeluarkan telefon bimbit yang dimiliki di hadapan pelajar kerana masih belum beralih ke telefon pintar. Bukan itu sahaja, telefon pintar yang mereka miliki lebih canggih, sangat pintar dan semestinya turut lebih mahal berbanding orang yang bekerja.

Terdapat juga di kalangan pelajar yang sebelum ini jarang sekali makan di restoran makanan segera, kini sudah mengenali secara terperinci menu dan menjadi teman setia MCD dan KFC. Itu tidak termasuk lagi 'port-port' terbaik untuk menikmati makanan 'eksklusif' di kala 'stress' belajar kononnya. Pernah juga saya terjumpa mereka yang kekeringan duit semasa belajar kerana terpana dengan 'cinta pandang pertama' di kampus. Duit mengalir laju dek kerana panggilan telefon kerana rindu dan lama tak berjumpa 'bakal pasangan hidup' sedangkan baru sahaja bertemu di dewan kuliah. Tidak termasuk lagi kos atau pelaburan katanya untuk menjaga hubungan dengan pemberian hadiah dan perbelanjaan ketika keluar 'berdating'. Kesemua faktor 'Gaya Hidup' di atas secara langsung atau tidak langsung mendorong ke arah kenaikan kos 'Sara Hidup' di IPT.

PUNCA #2- 'Result' Merundum

Kedua, keputusan peperiksaan (result) yang merundum juga boleh menjadikan pelajar 'papa' atau 'kekeringan duit' di kala memerlukan. Tahukah bagi mereka yang memperoleh keputusan peperiksaan Purata Nilai Gred (PNG)/ Grade Point Average (GPA) kurang 2.00 akan ditahan pembiayaan pinjaman PTPTN mereka. Begitu juga mereka yang memperolehi pinjaman/ biasiswa tidak kira sama ada yang belajar di dalam atau luar negara turut akan mengalami nasib yang sama. Ada mereka yang bernasib baik dengan hanya di potong sebahagian jumlah pinjaman/ biasiswa. Namun, perlu dingatkan bagi mereka yang meminjam melalui PTPTN jangan sampai pinjaman anda ditahan kerana keputusan semester yang merundum teruk. Bersamalah meletakkan sasaran untuk jadikan PTPTN: Azam 'Hutang' Jadi Biasiswa! 

Barangkali ada yang berkata program pengajian kami susah berbanding diploma/ ijazah/ PhD yang lain. Namun, berdasarkan pengalaman menuntut ilmu, bekerja di IPT dan kini kembali semula menyandang gelaran 'seorang pelajar' boleh saya katakan setiap program ada liku dan ranjau yang perlu dilalui. Sebagai contoh, baru-baru ini rakan saya daripada negara China akhirnya terpaksa membuat keputusan untuk tarik diri daripada pengajian PhD kerana tertekan dan 'susah' belajar. Manakala, jika dilihat syarat PNG 2.00 yang ditetapkan oleh pihak PTPTN pula bukanlah sesuatu yang mustahil atau terlalu 'tinggi melangit'. PNG 2.00 saya optimis masih realistik dan berpijak di bumi nyata. Maka istilah program pengajian saya susah itu lebih bersifat subjektif.

PUNCA #3 - SCAM, SCK & MLM Penipu


Perkembangan teknologi terkini dengan kemudahan wifi di kampus menjadikan maklumat sangat mudah diperolehi. Sekarang, sambil baring di katil empuk di kolej kediaman sehingga mata terlelap pelajar boleh melayari capaian internet dengan mudah. Maka, disini mulalah ada mereka yang terpengaruh dengan tawaran hebat yang menjanjikan 'bulan dan bintang' dengan tagline 'Kaya dan Bersara Muda'. Ini menjadikan ada yang sanggup menggunakan duit pinjaman yang berbaki untuk sara hidup bagi semester tersebut sebagai modal pelaburan untuk menjadi kaya di kala belajar.

Masih segar diingatan saya semasa MLM berkembang bak "cendawan tumbuh, selepas hujan" saya terjumpa pelajar yang menjadi 'Duta MLM' ini sehinggakan saya juga diajak mereka. Tidak kiralah ada yang menjual produk yang hanya ditukar label dan dikatakan menjanjikan komisen yang tinggi bagi mencari ahli dan membuat jualan. Saya tidak nafikan ada MLM yang bagus dan banyak di luar sana MLM yang telah melahirkan usahawan-usahawan yang berjaya. Namun, dikala sibuk komitmen belajar dan MLM tersebut baru hidup setahun jagung ada yang sanggup terjun beramai-ramai dengan bermodalkan duit biasiswa atau pinjaman. Tidak ketinggalan juga skim-skim pelaburan internet malah pernah berkenalan dengan Skim Cepat Kaya Bertopeng 'Agama'. Apabila bersembang memang nampak 'gempak', lebih-lebih lagi apabila ada 'upline' yang muda-muda bergaya dengan kereta mewah, pakaian berjenama dan turut singgah bertemu 'downline' di kampus. Mana mungkin pelajar tidak terpengaruh sedangkan seorang yang bergelar 'pensyarah' yang menaiki kereta Proton Wira SE turut teruja! Akhirnya, yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran. 

PUNCA #4 - 'Berhutang' atau 'Beri Hutang'

Punca terakhir yang turut menjadikan ada pelajar yang 'papa' atau 'kesempitan duit' dikala belajar walaupun mempunyai pinjaman/ biasiswa dengan jumlah yang sama seperti yang lain adalah amalan 'berhutang' dan 'beri hutang'. Berhutang sama ada memang terdesak atau disebabkan punca pertama sebelum ini iaitu 'Gaya Hidup' melebihi 'Sara Hidup'. Apabila berhutang sudah sebati dan menjadi amalan, maka hutang yang sedikit kian membukit. Telah menjadi lumrah yang meminjam seakan 'terlupa' atau sengaja membuat lupa dan akhirnya pemiutang terpaksa menimba pengalaman sebagai 'ceti kampus'. Lebih mengecewakan ada hutang yang terpaksa dikategorikan sebagai 'hutang lapuk' dengan bermasam muka dan 'putus kawan' sebagai cagaran.


Tidak salah menolong atau membantu rakan-rakan di kala susah dan sangat memerlukan. Membantu orang di kala susah merupakan amalan yang terpuji dan percayalah pastinya ada ganjaran yang tidak terduga dariNya jika kita membantu orang yang memerlukan. Namun, sebagai pemiutang sebelum memberi pinjaman dinasihatkan untuk membuat jangkaan terlebih dahulu sekiranya hutang tersebut tidak dapat dilunaskan. Adakah kita masih boleh 'survive' jika penghutang gagal untuk membayarnya? Jangan sampai kita mengalami transformasi dan konflik diri daripada 'pemiutang' kepada 'penghutang'.

PELAJAR SUSAH DI KOLEJ/ UNIVERSITI

Akhir kata, tidak nafikan sememangnya terdapat pelajar yang berasal daripada keluarga yang susah. Saya pernah terjumpa dengan pelajar yang terpaksa memberikan duit biasiswa atau pinjaman yang diperolehi membantu keluarga atau adik-beradik yang sangat memerlukan. Disebabkan keperluan dan desakan hidup, pelajar sebegini tidak 'papa' kerana umumnya mereka sangat beringat dan sentiasa berjimat-cermat. Mereka tidak bermewah malah sangat berhati-hati dalam membelanjakan duit biasiswa atau pinjaman yang diperolehi. Terkenang sebuah memori lalu apabila salah seorang pelajar saya yang menitik air matanya apabila dibelanja KFC kerana teringat adik-beradik dan keluarganya di kampung. Simpati dan empati saya mengenangkan pelajar ini.

Oleh itu, sentiasalah berwaspada dan ingatkan diri serta yang lain agar tidak terjebak dengan 4 Punca 'Papa' Semasa Belajar ini. Gunakanlah peluang dan kesempatan berada di IPT untuk mencipta warna-warni memori indah. Jadikan pesanan, harapan ibu bapa dan keluarga yang mengunung tinggi sejak hari pertama melangkah masuk ke IPT sebagai azimat dan penguat semangat untuk lalui 'mehnah dan tribulasi' di kolej/ universiti.

Semoga beroleh kejayaan di hujung destinasi pengajian!

Related Posts

Kenali 4 Punca 'Papa' Semasa Belajar
4 / 5
Oleh

Perkongsian Akan Datang

Anda Suka 'Post' Ini? Anda Akan Lebih Suka 'Post' Yang Akan Datang:).

Menarik Lagi Tertarik! × +

2 comments

Write comments
avatar
September 8, 2015 at 9:35 AM

Terima kasih Eintan Nurfuzie kerana sudi singgah. Sayonara, sampai jumpa lagi.

Reply

Tudung kanak-kanak