Tuesday, September 29, 2015

Sedekah: 'Kira-Kira' atau 'Berkira-Kira'?

Kira-Kira atau Berkira-Kira
'Kira-Kira' atau 'Berkira-Kira'


MASJID DAN SEDEKAH

Alhamdullilah di Sendai terdapat sebuah masjid bagi keperluan muslimin dan muslimat di sini. Masjid Sendai juga didaftar dan dikenali sebagai Islamic Cultural Center of Sendai (ICCS). Dianggarkan komuniti Islam yang berada di Sendai ini melebihi 400 orang. Ia meliputi pelbagai negara seperti Arab, Bangladesh, Indonesia, Pakistan, Turki dan juga tidak terkecuali Malaysia. Kini komuniti keluarga dari Malaysia semakin bertambah dan bermula semester hadapan 3 buah keluarga lagi akan mendaftar sebagai pelajar di Tohoku University, Jepun. Sudah pasti dengan peningkatan warga Muslim di Sendai turut memperlihatkan betapa penting dan perlunya sebuah masjid di sini. 

SUMBANGAN, INFAQ DAN SEDEKAH

Di Jepun, urusan dan kos berkaitan agama adalah di bawah urusan sendiri tanpa bantuan mahupun peruntukan daripada kerajaan Jepun. Sudah pasti, agama Islam yang menjadi minoriti di Sendai memerlukan setiap warga Muslim di sini turut menyumbang bukan sahaja tenaga malah sangat memerlukan sumbangan wang bagi kelangsungan masjid ini. Sebagai contoh, berikut kos-kos yang perlu ditanggung bagi keperluan Masjid Sendai setiap bulan (Ogos 2015).

                           1.    Air                                       23,638 yen
                           2.    Elektrik                               21,303 yen
                           3.    Gas                                       8,416 yen
                           4.    Gasoline/ Petrol                  29,471 yen
                           5.    Peralatan masjid                   9,601 yen
                           6.    Bil-bil lain                          15,049 yen
                           7.    Lain-lain                             30,961 yen
                           8.    Refund                              100,000 yen
                                  Jumlah Keseluruhan      238,439 yen

Berdasarkan jumlah di atas, setiap bulan Masjid Sendai memerlukan hampir RM8656.99 sebulan. Bila ditukar (convert) kepada Ringgit Malaysia (RM) akan kelihatan agak banyak memandangkan setiap 1000 yen hampir bersamaan RM36.31 (kadar pertukaran 25.9.15). Atas sebab itu, berdasarkan keputusan mesyuarat, ahli mesyuarat bersetuju untuk setiap individu memberikan sumbangan sekurang-kurangnya 1000 yen sebulan atau RM36.31. Sudah pasti nilai ini dilihat agak besar jika ditukar kepada RM khususnya bagi mereka yang majoriti adalah golongan pelajar. Ia bukanlah sumbangan 'wajib', tetapi jika boleh setiap individu dapat membantu bagi meringankan kos pengurusan masjid tersebut.

Masjid Sendai, Jepun
Masjid Sendai, Jepun

LATIH BERSEDEKAH

Teringat saya seorang rakan lama yang mana setiap kali solat Jumaat akan membawa dan meminta anak lelakinya yang seawal usia 4 tahun untuk memasukkan duit ke dalam tabung masjid. Kagum saya melihatnya dan amalan tersebut bukan sahaja amalan yang mulia bahkan mendidik anak memahami konsep bersedekah sejak daripada awal usia lagi. Melatih bersedekah dari kecil menjadikan anak kecil terbiasa dan memahami konsep memberi walaupun sedikit tanpa perlu menunggu untuk menjadi kaya baru boleh bersedekah.

ORANG BERNIAGA, BANYAK BERSEDEKAH

Pengalaman saya pernah terlibat sebagai AJK surau di taman perumahan memperlihatkan kepada saya bahawa kebanyakan mereka daripada golongan berniaga yang paling banyak menghulurkan sedekah. Mereka ini saya kategorikan sebagai 'Low Profile, High Profit'. Begitu juga di Sendai, kebanyakan mereka yang sering menghulurkan sedekah, infaq mahupun derma merupakan golongan yang menjalankan perniagaan di sini. Sebelum ini saya pernah kongsikan di 5 RAHSIA 'KAYA DALAM SENYAP' dan NASIHAT 'USAHAWAN MUSLIM' DI JEPUN. Teringat dahulu kami sekeluarga pernah dijamu masakan Pakistan di rumah salah seorang 'Usahawan Muslim' yang turut mendirikan sebuah masjid di atas tanah seluas hampir 500 tempat meletak kenderaan yang dibelinya di salah sebuah daerah di Sendai ini. MasyaAllah berterusan pahala sedekahnya hingga ke akhir hayat. Didoakan semoga perniagaan beliau terus berkembang dan dilimpahkan serta dimurahkan rezeki. Amin.  

'KIRA-KIRA' ATAU 'BERKIRA-KIRA' BILA BERSEDEKAH

Namun dalam bab bersedekah saya sentiasa ingat pesanan guru saya bahawa 'Kira-Kira' dibolehkan, tetapi janganlah terlalu 'Berkira-Kira'. Sebagai contoh, bagi golongan pelajar sudah pasti setiap duit yang dibelanjakan memerlukan untuk kita membuat 'Kira-Kira'. Jika tidak dibuat 'Kira-Kira' dikhuatiri wang biasiswa atau pinjaman yang diterima tidak mencukupi. Namun, bagi nilai 1000 yen di sini hanyalah seperti sepinggan nasi berlaukkan ayam dan air. Barangkali boleh diibaratkan seperti RM10 sahaja. Guru saya juga pernah berpesan, salah satu cara menjemput rezeki dan menggandakan kekayaan adalah dengan bersedekah. Guru saya mengingatkan lagi "bersedekahlah untuk kaya dan bukannya kaya dahulu baru bersedekah". Jika kaya dulu baru bersedekah juga boleh diibaratkan kita 'Berkira-Kira' dengan Pemberi Rezeki iaitu Allah SWT. Atas sebab itu, guru saya berpesan agar dibuat peruntukan khas untuk tabung sedekah, infaq atau derma dalam kita membuat 'Kira-Kira' perbelanjaan. Jadikanlah sedekah sebagai salah satu item perbelanjaan wajib kita bagi setiap bulan.  

'UPGRADE' BERSEDEKAH

Up-grade Sedekah
'Up-grade' Sedekah Anda!

Bagi mereka yang telah konsisten bersedekah selama ini barangkali sudah tiba masanya untuk 'upgrade' nilai sedekah yang kita berikan. Jika dari zaman belajar sehingga kini konsisten nilainya hanyalah si duit biru (RM1) sahaja, sudah masanya untuk beralih kepada si duit hijau (RM5) pula. Bagi mereka yang telah terbiasa dengan si duit hijau, kini sudah masa untuk beralih kepada si duit merah (RM10) dan seterusnya. Seorang rakan saya yang juga merupakan seorang usahawan mengamalkan konsep 10% untuk bersedekah. Ini bermakna, bagi setiap keuntungan yang diperolehi, 10% akan disedekahkan. Sebagai contoh, jika untung RM1000, maka RM100 akan disedekahkan dan seterusnya. Ini secara tidak langsung, memotivasikan beliau dalam perniagaan dan juga bersedekah. Jangan dilihat nilai 'sedekah', tetapi dilihat nilai keuntungan atau ganjaran yang diperolehi. Jika dilihat kepada nilai 'sedekah', dikhuatiri akan turut mempunyai perasaan 'Berkira-Kira'. Bayangkan jika keuntungan RM100,000, maka nilai sedekah yang perlu dikeluarkan adalah sebanyak RM10,000! Selalunya bila banyak, mulalah 'Berkira-Kira'.

NIKMAT BERSEDEKAH

Atas sebab itu, saya sentiasa ingatkan diri akan pesanan guru agar 'Kira-Kira' dibolehkan tetapi janganlah 'Berkira-Kira' dalam bersedekah kerana nikmat dan kurniaanNya tidak terkira banyaknya. Bagi sesetengah orang khususnya yang berniaga atau usahawan, mereka yakin dengan memberi dan bersedekah lebih maka Allah SWT akan melimpahkan lagi ganjaran buat mereka. Manakala bagi mereka yang makan gaji, percayalah dengan bersedekah Allah SWT akan menambahkan lagi nikmat dan rezeki tanpa disangka-sangka. Sebagai contoh, barangkali Allah SWT telah permudahkan urusan kita seharian, mengurniakan anak-anak yang sihat, keluarga yang bahagia, isteri yang menyejukkan pandangan, dikurniakan kesihatan dalam bekerja dan beribadah, kenderaan tidak 'meragam', dan pelbagai lagi nikmat dan kurniaanNya yang tidak terhingga. Akhir kata, 'Kira-Kira' dibolehkan dan janganlah terlalu 'Berkira-Kira' apabila bersedekah.

Sekadar perkongsian dan semoga bermanfaat. 

Related Posts

Sedekah: 'Kira-Kira' atau 'Berkira-Kira'?
4 / 5
Oleh

Perkongsian Akan Datang

Anda Suka 'Post' Ini? Anda Akan Lebih Suka 'Post' Yang Akan Datang:).

Menarik Lagi Tertarik! × +

Tudung kanak-kanak