Thursday, December 24, 2015

Budaya Malu Di Jepun

Budaya Malu di Jepun
Budaya Malu di Jepun

BUDAYA MALU

Teringat perbualan saya dengan rakan-rakan Jepun di sini. Dimaklumkan dalam masyarakat mereka 'budaya malu' sememangnya diterapkan sehingga kini khususnya bagi mereka yang masih tinggal di kawasan yang agak jauh dari kemodenan. Sebagai contoh, jika anak-anak menangis di dalam bas atau keretapi, ibu mereka akan berkata "aha, malu tu orang tengok awak menangis". Ini seakan menerapkan 'budaya malu' untuk melakukan perkara yang salah atau tidak beretika sejak kecil lagi. Sudah pasti, tidak semua budaya Jepun baik-baik belaka. Ada juga budaya mereka yang boleh diklasifikasikan sebagai tidak tahu malu. Sebagai contoh, ada yang membawa anak-anak ke pusat perjudian berlesen seperti Pachinco bagi saya sesuatu yang memalukan.

Perjudian Berlesen di Jepun (Pachinco)
Perjudian Berlesen di Jepun (Pachinco)

NOMIKAI DAN ONSEN

Contoh lain, 'Nomikai' atau 'minum-minum' sampai mabuk juga bagi saya sangat memalukan. 'Nomikai' ini biasa sahaja dalam kehidupan pelajar di universiti ataupun mereka yang bekerja. Budaya 'nomikai' ini dianggap sebagai salah satu cara berinteraksi dan mengeratkan hubungan di antara satu sama lain. Tidak termasuk lagi dengan syarat mandi tanpa pakaian bagi mereka yang berhasrat untuk berendam dalam air panas atau lebih dikenali sebagai onsen juga dilihat memalukan. Tidak kiralah atas alasan 'kebersihan' dan sebagainya, bagi saya secara peribadi ia agak memalukan. Saya pernah kongsikan berkaitan perkara ini sebelum ini di 10 Info Mengenai Jepun. Namun, disebalik budaya dan cara masyarakat Jepun ini masih banyak lagi budaya baik yang boleh diambil sebagai pengajaran dan diamalkan dalam kehidupan. Sebagai contoh, menepati masa, kebersihan, ketelitian, bersungguh-sungguh dan sebagainya sudah pasti boleh dijadikan sebagai budaya dalam kehidupan kita. Kelihatan 'budaya malu' dalam masyarakat kita di Malaysia pada zaman dahulu, tidak jauh berbeza sepertimana apa yang diamalkan oleh masyarakat Jepun di sini.  

ZAMAN KANAK-KANAK

Apabila membicarakan tentang 'budaya malu', teringat semasa zaman kanak-kanak dahulu. Sewaktu saya membeli tuala wanita buat ibu saya, pekedai akan membalut tuala wanita yang dibeli dengan suratkhabar lama. Saya tertanya-tanya kenapa perlu dibalut sedemikian? Namun, ketika itu saya terfikir ada baiknya juga dibalut agar saya sendiri tidak malu untuk membawa pulang ke rumah nanti.

KEMODENAN

Namun, zaman berubah dan atas nama kemodenan 'budaya malu' yang dilihat baik ini semakin lama semakin menghilang. Iklan-iklan tuala wanita mudah sahaja kelihatan dan kini budaya membeli dan membawa tuala wanita kelihatan biasa sahaja. Alasan yang mudah, "apa yang hendak dimalukan, normallah orang perempuan 'period'. Saya secara peribadi tidak mempertikaikan kenyataan tersebut dan terserahlah kepada individu untuk menilainya.

TERKEJUT

Beg Kertas Untuk Pembelian Tuala Wanita
Beg Kertas Untuk Pembelian Tuala Wanita

Namun, anda jangan terkejut jika apabila anda membeli tuala wanita di Jepun ini anda turut akan diberikan beg kertas berwarna coklat atau beg plastik hitam. Ini bagi memastikan orang tidak mengetahui saiz, kuantiti dan jenama tuala wanita yang anda beli. Tidak sangka saya, negara yang diklasifikasikan sebagai negara maju masih lagi mengamalkan 'budaya malu' ini. Saya tidak pasti sama ada 'budaya malu' ini masih diamalkan lagi atau tidak di tanahair. Cuma, pengalaman diberikan beg kertas coklat ini mengingatkan saya nostalgia di zaman kanak-kanak. Terlintas dihati saya, adakah amalan membalut tuala wanita yang dibeli dengan suratkhabar pada zaman dahulu rentetan daripada penyerapan budaya Jepun? Ini kerana, Tanah Malaya juga pernah dijajah oleh Jepun suatu masa dahulu.

PILIHAN

Bagi mereka yang akan berkunjung ke sini, jika diberikan beg plastik hitam atau beg kertas berwarna coklat nanti apabila membeli tuala wanita janganlah terkejut. Anda boleh membuat pilihan sama ada ingin mengambilnya ataupun tidak. Tiada caj tambahan yang dikenakan. Pilihan ditangan anda. Cuma saya sedikit 'terkesan' dengan nostalgia lama yang mengusik jiwa.

Sekadar perkongsian dari kejauhan di Sendai, Jepun.  

Wednesday, December 23, 2015

Buku 'Zero Hutang': Bacaan Santai di Jepun

Zero Hutang - Bukan Mudah, Tapi Tak Mustahil!
Zero Hutang - Bukan Mudah, Tapi Tak Mustahil!

CELIK WANG

Berdasarkan pemerhatian saya dari kejauhan, kelihatan fenomena 'Celik Wang' dan juga 'Keusahawanan' di kalangan generasi muda di tanahair semakin berkembang. Ramai di kalangan golongan muda yang sudah menyedari betapa pentingnya memulakan simpanan dan pelaburan sejak dari awal lagi. Rentetan 'gelombang' dan fenomena ini, saya juga berkesempatan mengenali beberapa rakan di 'alam maya' yang turut sudi berkongsi ILMU dan PENGALAMAN sehingga ada yang sanggup menganjurkan seminar/bengkel secara percuma atau dengan bayaran yang agak rendah. Adakala seminar atau bengkel yang dianjurkan turut menjemput mereka yang telah terbukti berjaya dalam bidang masing-masing. Ada speaker yang berpengalaman luas dalam pembelian dan pelaburan hartanah, pelaburan saham, emas sebagai simpanan/ pelaburan dan juga strategi perniagaan melalui internet. Terasa rugi juga diri ini apabila saya di kejauhan tidak berpeluang untuk menyertai seminar atau bengkel seperti ini. Terdetik juga di hati, kenapa situasi seperti ini tidak saya perolehi di kala usia saya masih muda? Jika lebih awal saya mendapat pendedahan, barangkali banyak kesilapan dalam pengurusan kewangan yang pernah kami lakukan dapat dielakkan. Didoakan semoga usaha-usaha murni mereka ini mendapat ganjaran daripadaNya kelak. 

IDEA BER'BLOG'

Pada asalnya idea menulis blog ini lebih kepada ingin berkongsi dan interaksi terus dengan para pelajar saya. Peringkat awal, saya menumpukan kepada perkongsian berkaitan 'Keusahawanan' dan kemudian melihat aspek 'Pengurusan Kewangan' juga perlu diberikan perhatian memandangkan agak ramai golongan muda termasuk bekas pelajar-pelajar saya yang pernah terjebak dengan skim-skim pelaburan yang merugikan. Bukan itu sahaja, malah ada di kalangan mereka yang diisytihar MUFLIS di kala usia masih muda. Kini, apabila saya berada di 'Negara Matahari Terbit', perkongsian pengalaman kami di sini juga turut dikongsikan dalam blog ini. Semoga sedikit-sebanyak perkongsian daripada blog ini boleh menjadi amal sebagai bekalan buat kami menuju 'Destinasi Abadi' di sana nanti.  

HIDUP 'BIASA-BIASA'

Sebagai contoh, saya mengenali secara peribadi Saudara Mohd Zulkifli Shafie sejak dari zaman belajar di universiti lagi. Individu yang boleh digambarkan hidup 'biasa-biasa' sepertimana kebanyakan orang lain termasuklah diri saya. Kami tidak mewarisi harta yang melimpah-ruah sepertimana yang digambarkan dalam drama-drama Melayu mahupun cerita-cerita Sinetron yang masih berlegar dalam saluran tv di tanahair. Hidup seperti ini penuh dengan ilusi dan fantasi serta seringkali tidak berpijak pada dunia yang realiti. Hakikatnya, kami 'orang biasa-biasa' ini juga mempunyai impian untuk mengubah taraf kehidupan dan ingin keluar daripada 'Zon Hutang'.

ZON HUTANG

Jika anda juga hidup 'biasa-biasa' seperti kami dan ada impian untuk keluar dari 'Zon Hutang'. Atau barangkali anda merupakan seorang graduan yang ingin tahu ilmu asas pengurusan kewangan, atau sesiapa sahaja yang ingin mengetahui tip bagi 'Kebebasan Kewangan' atau juga sering merasakan duit gaji tidak 'cukup-cukup'. Maka, buku Zero Hutang - Bukan Mudah Tapi Tidak Mustahil hasil tulisan rakan saya iaitu Saudara Mohd Zulkifli Shafie merupakan buku yang dicadangkan untuk dibaca. Sekadar penafian, ini BUKAN advertorial berbayar! Saya menulis atas kerana "jika ia baik untuk saya, kenapa tidak dikongsikan buat mereka yang lain". 

'WALK THE TALK'

Zero Hutang
Penulis Zero Hutang Individu Yang 'Walk The Talk'

Sepertimana saya kata sebelum ini, saya mengenali penulis ini sejak zaman belajar di universiti lagi. Boleh saya katakan Saudara Zul merupakan penulis yang "walk the talk". Jika beliau menyatakan 'Hidup Di Bawah Kemampuan' ia bukan hanya sekadar kata-kata, malah saya sendiri pernah melihat apa yang beliau katakan. 

MELEBIHI 10.2K SHARE

7 Strategi Saya Bebas Hutang
7 Strategi Saya Bebas Hutang

Saya masih teringat perkongsian beliau yang bertajuk 7 STRATEGI SAYA BEBAS HUTANG yang dikongsikan dalam blog beliau sebelum ini. Kini perkongsian tersebut telah viral dan dikongsikan melebihi 10.2K share (22.12.15)! Sejak dari itu, blog beliau www.mohdzulkifli.com semakin mendapat perhatian lebih-lebih lagi berkaitan pengurusan kewangan dan juga simpanan serta pelaburan emas. 

ZERO HUTANG

Atas permintaan khususnya daripada pembaca blog beliau, buku 'Zero Hutang' telah berjaya diterbitkan melalui syarikat pencetakan Galeri Ilmu. Buku ini memberikan dimensi baru dari sudut pandangan beliau secara peribadi dalam aspek:

# Mengurus Simpanan
# Motivasi Kewangan
# Pengurusan Hutang
# Strategi Kekayaan
# BONUS: Urus Harta Untuk Mati

TEKNIK AJAIB

Perlu diingatkan, buku ini tidak menjanjikan formula luar biasa atau teknik ajaib untuk melangsaikan hutang. Namun, buku ini dilihat sangat bersesuaian bagi mereka yang ingin dan mempunyai prinsip untuk mencapai "kebebasan kewangan". Juga diingatkan, 'Zero Hutang' ini turut menekankan persoalan PRINSIP dan bukannya TEKNIK. Sebagai perbandingan, ramai yang hidup menjana hutang bukan kerana tidak mengetahui TEKNIK berhutang, tetapi kerana tiadanya PRINSIP untuk elak berhutang keliling pinggang. Untuk mengetahui senarai lengkap isi kandungan buku 'Zero Hutang' ini anda boleh layari di http://www.mohdzulkifli.com/zero-hutang.

HARGA BUKU ZERO HUTANG 

Buku Zero Hutang
Buku Zero Hutang

Berapa harga buku ini? Sangat bersesuaian dan boleh dikatakan antara buku pengurusan kewangan yang agak murah harganya iaitu hanya RM15.00 (Semenanjung) / RM17.00 (Sabah dan Serawak) tidak termasuk GST. Anda juga boleh membeli buku Zero Hutang di kedai-kedai buku berhampiran. Malah jika anda mahu, perkhidmatan dan pembelian secara pos turut disediakan dengan tambahan kos sebanyak:

  • RM7 Poslaju Semenanjung (termasuk GST)
  • RM11 Poslaju Sabah/ Serawak (termasuk GST)
  • RM4 Pos Berdaftar Semenanjung (sampai 4-5 hari bekerja)
  • RM5 Pos Berdaftar Sabah/ Serawak (sampai 4-5 hari bekerja)

Berminat dengan buku ini? Sila hubungi isteri beliau Nadjah Mohammad Hussain di 019-927 2780 (SMS, WhatsApp). 


Zero Hutang - Bukan Mudah Tapi Tak Mustahil
Zero Hutang - Bukan Mudah Tapi Tak Mustahil

BACAAN SANTAI

Akhir kata, saya sendiri telah memiliki buku ini dan menjadikan bacaan santai di Jepun. Boleh saya katakan ilmu yang dimiliki daripada perkongsian di dalam buku ini tidak ternilai harganya berbanding dengan harga yang perlu dibayar. 

Semoga perkongsian ini bermanfaat dan salam ukhuwah dari saya di Sendai, Jepun. 

Tuesday, December 22, 2015

ONEXOX Jelajah Jepun

ONEXOX Lebih Jimat
ONEXOX Jelajah Jepun

ADVERTORIAL PERTAMA

Alhamdullilah sebelum menjelang tahun 2016 saya berpeluang untuk membuat review produk bagi salah sebuah syarikat telekomunikasi yang sedang melonjak naik di Malaysia yang dikenali sebagai ONEXOX. Sebelum ini, pernah juga saya menerima tawaran daripada syarikat lain untuk membuat review produk mahupun perkhidmatan mereka. Namun, dek kerana belum bersedia dan saya sendiri masih dalam proses mengadaptasi sesi pengajian disini, maka saya terpaksa menolak tawaran advertorial tersebut. Namun, oleh kerana penggunaan ONEXOX akan turut merealisasikan hasrat saya untuk berjimat. Maka, saya tidak teragak-agak untuk berkongsi pengalaman peribadi kami yang telah beralih kepada syarikat telekomunikasi ONEXOX ini.  

HIJRAH KE JEPUN

Sebelum kami sekeluarga berhijrah ke Jepun pada 2014, sememangnya saya dan isteri telah berusaha untuk ke syarikat telekomunikasi yang kami gunakan selama ini bagi menukar pelan yang lebih murah atau beralih daripada 'post-paid' kepada 'prepaid'. Namun, berdasarkan penerangan yang diberikan oleh pegawai perkhidmatan pelanggan di pejabat cawangan, dimaklumkan kepada kami seakan proses penukaran pelan mahupun beralih kepada syarikat lain agak sukar dilakukan. Selain itu, saya sendiri agak 'sentimental' kerana ingin sangat menggelakkan nombor telefon bimbit yang telah saya gunakan hampir 15 tahun! Bukan itu sahaja, kami turut dimaklumkan bahawa pakej atau pelan RM30 sebulan yang isteri saya gunakan merupakan pakej terendah yang ditawarkan oleh syarikat telekomunikasi tersebut. Disebabkan kesukaran yang kami hadapi, maka akhirnya kami terbanglah ke Jepun bersama talian syarikat telekomunikasi yang sama memandangkan kami juga agak kesuntukan masa untuk memikirkan alternatif yang lain.  

SETAHUN DI JEPUN

Kami Telah Bertukar ke ONEXOX
Kami Telah Bertukar ke ONEXOX

Setelah beberapa bulan kami berada di sini, pada setiap akhir bulan kami sering merasakan kerugian kerana terpaksa membayar perkhidmatan telefon yang kami tidak gunakan. Biarpun kami mengaktifkan perkhidmatan 'roaming', namun tidak pernah kami mengambil dan membuat panggilan. Kebiasaannya, jika terdapat rakan mahupun saudara-mara yang menelefon kami di sini, kami akan menghubungi mereka semula dengan menggunakan perkhidmatan panggilan internet sama ada WhatsApp, LINE mahupun Facebook Messenger. Jika ingin menelefon keluarga di kampung yang tiada talian internet, kami akan menggunakan perkhidmatan VOIP ataupun SKYPE. Perkhidmatan panggilan internet ini boleh dikatakan murah kerana sememangnya kami turut menggunakan talian internet di sini. Maka, keperluan nombor telefon dengan syarikat yang lama kelihatan semakin terhad hanya kepada menerima SMS bagi keperluan Transaction Authorisation Code (TAC) untuk perbankan internet dan juga terus kekal berada dalam beberapa 'group' sosial yang penting di tanahair. Berbulan kami memikirkan kaedah untuk kami berjimat dan ingin sangat menurunkan komitmen bayaran bulanan telefon saya dan isteri daripada RM80 ++ kepada RM30++ sebulan. Namun, sudah pasti ini agak sukar dicapai kerana kami kini telah berada di perantauan.

SEBELUM TAHUN 2016

ONEXOX Yang Menjimatkan
ONEXOX Yang Menjimatkan

Walaupun hasrat kami untuk berjimat dan menukar pelan yang lebih murah seakan menemui jalan buntu kerana kami telah berada di Jepun, namun saya yakin bahawa "di mana ada kemahuan, di situ ada jalan". Pernah juga saya diceritakan mengenai ONEXOX oleh salah seorang rakan saya di sini. Akhirnya, melalui pencarian di enjin carian Google menemukan saya dengan syarikat telekomunikasi ONEXOX yang sinonim dengan penjimatan. Berdasarkan carian tersebut saya bertemu Saudara Muhammad Shafiq Bin Ab. Ghani atau lebih dikenali sebagai Shafiq yang merupakan salah seorang Pengedar Sah ONEXOX. Namun, peringkat awal kami masih ragu-ragu lagi dengan keupayaan ONEXOX kerana namanya yang kurang dikenali dan risau jika tidak mendapat 'coverage' yang baik. Saya dan isteri juga sangat khuatir dengan caj-caj tersembunyi sepertimana yang saya pernah terkena beberapa kali dengan syarikat telekomunikasi sebelum ini apabila dicaj RM1.50 di dalam bil bagi setiap SMS yang tidak diundang.  

'POSTPAID' KE 'PREPAID'

Mudahnya Beli Top-up ONEXOX
Mudahnya Beli Top-up ONEXOX

Sehingga hari ini, ONEXOX hanya menawarkan perkhidmatan 'pre-paid'. Namun, saya dimaklumkan tidak perlu risau untuk membeli tambah nilai (top-up) 'pre-paid' ONEXOX dari luar negara kerana turut boleh dibeli secara on-line dengan menggunakan perkhidmatan perbankan internet. Bukan itu sahaja, tawaran yang sangat berbeza dan begitu menarik perhatian kami apabila dimaklumkan sekiranya kami menggekalkan nombor telefon lama (MNP) dan bertukar kepada ONEXOX, kami turut layak mendapat tempoh sah sehingga 28 bulan (2 tahun 4 bulan) secara percuma! Sudah semestinya tawaran ini berjaya menambat hati kerana sememangnya kami ingin kekal menggunakan nombor telefon bimbit yang sama. Bukan sahaja tempoh sah 28 bulan diberikan percuma, bahkan tiada syarat tambah nilai (top-up) minima yang dikenakan terhadap pengguna ONEXOX bagi mereka yang kekal dengan nombor yang sama (MNP). Namun, bagi mereka yang membuat pembelian simkad dengan nombor baru ONEXOX pula, mereka hanya perlu membuat tambah nilai sebanyak RM50 sekali sahaja dalam tempoh 30 hari selepas diaktifkan bagi turut mendapat tempoh sah 28 bulan tersebut. Wah! Tawaran yang ONEXOX tawarkan ini boleh diibaratkan seperti "orang mengantuk, disorongnya bantal".    

JAUH BUKAN PENGHALANG

Setelah dibuat perbandingan dengan syarikat telekomunikasi yang lain dan terus mendapat maklumat lanjut ONEXOX daripada Saudara Shafiq, akhirnya kami membuat keputusan untuk beralih kepada ONEXOX. Layanan mesra dan penerangan yang jelas serta terperinci oleh Saudara Shafiq menjadikan saya tidak sabar untuk beralih kepada ONEXOX. Memandangkan saya kini berada di Jepun, Saudara Shafiq bersetuju membantu saya untuk menghantar kesemua simkad tersebut kepada kami di sini. Alangkah terkejutnya caj yang dikenakan hanyalah RM30 bagi 2 simkad dan termasuk RM10 bagi kos penghantaran ke sini. Bukan itu sahaja, kesemua komunikasi saya bersama Saudara Shafiq hanya dilakukan melalui aplikasi WhatsApp sahaja.  

2 MINGGU

Hanya dalam tempoh 2 minggu sahaja kesemua urusan peralihan ke ONEXOX termasuk penghantaran berjaya dilakukan. Kini kami merupakan pengguna ONEXOX dan tidak perlu lagi membuat bayaran setiap bulan sebanyak RM70++ sepertimana sebelum ini. Bukan itu sahaja, disebabkan kami jarang sekali menghantar SMS dan membuat panggilan, maka baki kredit RM5 yang sedia ada bagi pembelian simkad yang hanya bernilai RM10 dan boleh terus dikekalkan sehingga 28 bulan. Berdasarkan pengiraan jangka panjang, sememangnya ONEXOX lebih menjimatkan dan sangat berbaloi berbanding sebagai pengguna syarikat telekomunikasi sebelum ini. 

ONEXOX Lebih Penjimatan
ONEXOX Lebih Penjimatan 

LIPUTAN YANG SAMA

Setelah kami menggunakan perkhidmatan ONEXOX, rupa-rupanya benarlah apa yang dikatakan bahawa ONEXOX menggunakan rangkaian komunikasi dan prasarana yang sama sepertimana syarikat telekomunikasi yang kami gunakan sebelum ini. Ia bermakna tiada beza 'coverage' yang kami perolehi termasuklah perkhidmatan 'roaming' di sini yang turut menggunakan syarikat Softbank di Jepun. Istilah yang mudah digambarkan, kami hanya beralih daripada Syarikat XXXXXX kepada ONEXOX disebabkan prasarana yang sama malah lebih murah dan menjimatkan.   

PENGEDAR SAH ONEXOX

ONEXOX Berusaha Patuh Syariah
ONEXOX Berusaha Patuh Syariah

Jika ada yang berminat atau juga ingin menukar kepada ONEXOX seperti kami bolehlah menghubungi Saudara Shafiq di 012-226 5190. Sekiranya anda di luar negara seperti saya, Shafiq juga bersedia membantu anda dengan menghubungi beliau melalui aplikasi WhatsApp ditalian +012-226 5190. Untuk maklumat awal, anda juga boleh layari www.onexoxians.net/sapitque. Berdasarkan pengalaman kami di sini, sebaiknya dapatkan maklumat terus daripada pengedar yang sah seperti Saudara Shafiq bagi mendapatkan informasi terkini dan jelas tentang ONEXOX. Kini dengan ONEXOX, kami boleh menjelajah seluruh Jepun kerana ONEXOX turut mendapat liputan bersama Softbank di sini.   

Terima kasih ONEXOX atas tawaran penjimatan yang luar biasa dan juga syarikat penyedia rangkaian kepada ONEXOX iaitu XOX Berhad yang turut berusaha untuk 'Patuh Syariah' dalam perjalanan perniagaan mereka. Senarai rasmi untuk syarikat lain yang patuh syariah juga boleh rujuk di link http://www.sc.com.my/wp-content/. 

Sekadar perkongsian dari kejauhan di Sendai, Jepun. 

Monday, December 21, 2015

Gomén, Gomen dan Goménnasai

Gomén, Gomen dan Goménnasai
Gomén, Gomen dan Goménnasai

GOMENNASAI

Di Jepun ini seringkali kita akan mendengar orang menyebut perkataan "gomén" yang bermaksud maaf. Anak-anak saya kalau terbuat silap atau terpijak kaki bila bermain akan menyebut "gomén né" yang lebih bermaksud "maaf ya". Maka istilah ini dikira biasa disebut dalam kehidupan seharian di Jepun. Umumnya, bila orang berkata "maaf ya", kita akan berkata "takpa lah". Di sini orang Jepun biasanya akan kata "iie (iyek)" yang bermaksud "takpa/bukan". Istilah yang lebih formal, kalau meminta maaf di Jepun biasanya orang akan menyebut "goménnasai".

Goménasai
Goménasai

GOMEN

Di Malaysia, apabila kita menyebut istilah 'gomen' biasanya merujuk kepada mereka yang bekerja di sektor kerajaan. Perkataan ini sudah semestinya berasal daripada 'government' yang disingkatkan kepada 'gomen'. Pengalaman saya yang pernah bekerja lebih 7 tahun di institusi swasta dan kini di sektor kerajaan sememangnya ada banyak perbezaan.  Sebagai contoh, seakan tidak dinafikan mudah sangat kelihatan risalah, flayers, promosi sama ada 'hardcopy' mahupun email yang memberikan tawaran pinjaman peribadi (personal loan)

PINJAMAN PERIBADI

Teringat perbualan bersama bekas anak murid saya yang kini bekerja di sektor perbankan. Beliau pernah berkata kepada saya, orang bank 'sayang sangat' kepada mereka yang bekerja di sektor 'gomen' ini. Atas sebab itulah strategi pemasaran untuk tawaran promosi pinjaman peribadi sering disasarkan kepada pekerja-pekerja 'gomen'. Kini, strategi penawaran promosi pinjaman peribadi terus kepada sasaran dengan menghantar email mahupun SMS kepada mereka. Saya pernah kongsikan perkongsian ini di 'Lambaian Hutang' Menjengok E-Mail.   

PERSONAL LOAN 'BERTIMBUN'

Kadang-kala saya sendiri keliru dan tertanya-tanya, apakah sebab utama ramai mereka di luar sana yang mengambil pinjaman peribadi. Lebih parah, ada kes yang dimaklumkan oleh bekas pelajar saya yang kini bekerja di bank memaklumkan kepada saya terdapat kes permohonan pinjaman peribadi di mana komitmen pinjaman peribadi isi rumah bagi pasangan yang kedua-duanya bekerja di sektor kerajaan melebihi 60% daripada pendapatan yang diperolehi setiap bulan. Saya turut dimaklumkan, ada kes yang beliau uruskan (suami dan isteri) telah mempunyai 2 pinjaman peribadi bagi setiap orang dan masih ingin membuat pinjaman peribadi yang baru. Kelihatan pasangan ini 'sungguh bersepakat' untuk terus menjana hutang yang bertimbun.

TIDAK PUAS

Gomén, Gomen dan Goménnasai
Pinjaman Peribadi

Pernah juga satu kes yang diuruskan dimana seorang kakitangan kerajaan yang gaji bersih RM1300 bertanyakan berkaitan permohonan beliau untuk membuat pinjaman peribadi. Bila ditanya sebab untuk membuat pinjaman peribadi. Jawapannya, hendak digunakan bagi pembelian sebuah motorsikal berkuasa tinggi. Sebagai pegawai bank, kadang-kala beliau juga kesian melihat mereka yang seakan 'tidak puas' memohon pinjaman peribadi sedangkan "sudah terang lagi bersuluh" yang kadar faedah (interest) yang dikenakan terhadap pinjaman peribadi adalah tinggi. Ini disebut dan diakui sendiri oleh orang yang bekerja di bank dan mereka yang terlibat secara langsung dalam menawarkan 'tawaran menarik' pinjaman peribadi ini.

PESAN GURU SAYA

Akhir kata, selalu teringat pesanan guru saya agar sentiasa (1) Kawal Diri (2) Fokus Ke Hadapan dan (3) Success Selalu. Semestinya dalam menghadapi tawaran-tawaran yang menarik ini perlulah kawal diri. Sudah pasti juga akan ada 'mehnah dan tribulasi' dalam perjalanan mencapai apa yang dihajati dan atas sebab itulah perlu terus fokus ke hadapan. Jangan lupa sentiasa berdoa dan fikirkan yang positif semoga 'success' menjadi destinasi kita semua.

Salam perkongsian dari kejauhan dan semoga bermanfaat.    

Friday, December 18, 2015

PTPTN: Jalan, Separuh Jalan atau Terus Jalan?

PTPTN: Jalan, Separuh Jalan atau Terus Jalan?
PTPTN: Jalan, Separuh Jalan atau Terus Jalan?

PTPTN

Sejak beberapa hari ini, isu berkaitan pemotongan gaji bagi bayaran balik PTPTN mulai mendapat perhatian. Telah berlegar di media-media sosial berkaitan slip gaji pekerja kerajaan yang dipotong ribuan ringgit sehingga menyebabkan baki akhir di slip gaji tersebut hanyalah tinggal beberapa ringgit sahaja. Walaupun ada sumber yang menyatakan berita tersebut adalah palsu dan slip gaji tersebut telah di'edit', namun tidak mustahil hutang PTPTN boleh menjadi masalah besar yang menghantui hidup seseorang. Lebih malang, jika tidak diuruskan dengan baik akan menyebabkan impian memiliki 'Rumah Pertama' atau 'Rumah Impian' hanyalah mimpi di siang hari. 

PTPTN BERGANDA

Saya pernah mengenali individu yang mempunyai pinjaman PTPTN semenjak zaman diploma hinggalah ijazah. Kini jumlah hutang PTPTN yang dimiliki oleh beliau boleh diibaratkan 'PTPTN BERGANDA' kerana pasangan beliau juga turut mempunyai hutang PTPTN yang hampir sama. Ini bermakna, pasangan suami isteri ini mempunyai 4 hutang PTPTN (2 Diploma, 2 Ijazah). Bayangkan berapa banyak komitmen bulanan yang perlu dibayar pasangan ini untuk sebulan bagi melangsaikan hutang PTPTN ini.  

KERAJAAN DAN PTPTN

Sekarang ini di sektor-sektor kerajaan sedang giat dibuat promosi pemotongan gaji bagi pembayaran balik PTPTN. Hampir setiap peminjam PTPTN yang bekerja di sektor kerajaan telah dijemput mesra oleh pihak PTPTN untuk mendengar taklimat dan 'perlu bersetuju' untuk membuat pemotongan gaji bagi bayaran balik PTPTN atau berunding bagi menukar status pembayaran daripada 3% kepada 1% (ujrah). Kegagalan untuk melaksanakan arahan tersebut boleh mengakibatkan perkara-perkara berikut sepertimana yang dimaklumkan kepada kakitangan kerajaan. Antaranya: 
  • Tidak boleh memohon sebarang pembiayaan kredit daripada mana-mana institusi kewangan - disenaraikan di dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS);
  • Dihalang untuk meninggalkan negara untuk sebarang urusan atau disenarai hitam oleh Jabatan Imigeresen Malaysia;
  • Menjejaskan sebarang peluang pemangkuan atau kenaikan pangkat dan Hadiah Latihan Persekutuan (HLP); dan
  • Menyebabkan pegawai dikenakan tindakan tatatertib kerana ingkar perintah di bawah Akta 605 yang akan dikenakan hukuman sehingga dibuang kerja. 
Laman Web CCRIS
Laman Web CCRIS

CCRIS DAN PTPTN

Saya turut dimaklumkan oleh rakan saya, terdapat kes mereka yang ingin membuat pembiayaan ASB di bank ditolak kesan daripada rekod CCRIS tercalar. Apa itu CCRIS? CCRIS berasal daripada Central Credit Reference Information System atau dalam Bahasa Malaysia dikenali sebagai Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat. Ia BUKAN bermaksud anda termasuk dalam nama yang disenarai hitamkan (blaclisted)

PTPTN BERSAMA CCRIS

Contoh Maklumat CCRIS
Contoh Maklumat CCRIS

CCRIS hanyalah sebuah pengkalan data (database) yang memberikan senarai hutang dan kondisi bayaran terhadap hutang yang dimiliki. Maklumat CCRIS menunjukkan sama ada individu tersebut membuat bayaran hutang sama ada 'on time', lewat atau sebagainya. Jika lewat atau mempunyai rekod yang buruk, ia sedikit sebanyak mempengaruhi Debt Service Ratio (DSR) atau Nisbah Hutang Berbanding Pendapatan. Jika rekod CCRIS tercalar, berkemungkinan memberi kesan kepada DSR dan barangkali pihak bank tidak teragak-agak untuk menolak permohonan pinjaman kerana dikhuatiri 'terbawa-bawa' sikap yang sama kepada pinjaman baru yang bakal dibuat.  

PEMINJAM PTPTN

Contoh Surat Pelepasan Hutang PTPTN
Contoh Surat Pelepasan Hutang PTPTN

Barangkali ada yang tidak bersetuju dan sudah mulai kedengaran 'cakap-cakap' belakang berkenaan hutang PTPTN ini. Bagi mereka yang telah meminjam dan kini sama ada telah bekerja mahupun sedang mencari peluang pekerjaaan, hakikatnya tidak terlepas untuk membayar hutang PTPTN ini. Hutang tetap perlu dibayar walaupun dengan hanya RM50 sahaja. Jika tidak mampu, berbincanglah dengan pihak PTPTN. Buat mereka yang masih menuntut sama ada di IPTA/IPTS, ambillah pengajaran daripada kisah 'suka-duka' ini. Berkira-kiralah dalam berbelanja dan janganlah berbelanja sehingga tidak ingat bahawa duit PTPTN yang dibelanjakan itu merupakan hutang yang wajib dibayar kelak. Tanamkanlah azam dalam diri untuk jadikan hutang PTPTN sebagai biasiswa. Saya pernah kongsikan sebelum ini di PTPTN: Azam 'Hutang' Jadi Biasiswa!  

PTPTN/ CCRIS: SEIRING SEJALAN

Jika perlaksanaan ini dibuat sepenuhnya, maka PTPTN dan CCRIS boleh diibaratkan rakan baik yang seiring sejalan. Biar macamana anda mengeluh mahupun tidak bersetuju, PTPTN akan terus melangkah dengan langkah-langkah bagi memastikan setiap peminjam membayar semula hutang PTPTN yang telah diberikan. Bagi yang telah bergraduan, dan PTPTN masih dikira sebagai hutang dan bukannya biasiswa. Maka, pilihan yang ada hanyalah satu iaitu membuat bayaran secara konsisten walaupun sedikit. 

PTPTN: JALAN, SEPARUH JALAN ATAU TERUS JALAN?

CCRIS dan PTPTN
CCRIS dan PTPTN

Sudah ada ura-ura semenjak 2013 untuk PTPTN dimasukkan dalam senarai CCRIS. Kelihatan kini PTPTN masih mahu merealisasikan hasrat ini sama ada (1) jalan sikit-sikit sepertimana bermula di sektor kerajaan, (2) separuh jalan khusus buat mereka yang ingkar atau mendiamkan diri atau (3) terus jalan atau dilaksanakan terus kepada kesemua peminjam PTPTN. Begitu juga buat peminjam PTPTN, anda juga ada 3 pilihan sama ada (1) jalan sikit-sikit dengan membayar mengikut jadual, (2) separuh jalan atau kurangkan bayaran dengan berbincang dengan pihak PTPTN atau (3) terus jalan dengan melangsaikan keseluruhan hutang PTPTN daripada terus menghantui hidup anda. Manakala mereka yang berada dalam kategori 'PTPTN BERGANDA', kawallah diri daripada berbelanja melebihi pendapatan. Sentiasa juga ingatkan diri, tiada hutang yang boleh kita melarikan diri daripada membayarnya. 

Sekadar ingatan buat mereka yang masih mempunyai hutang PTPTN. Semoga bermanfaat. 

8 Tip Kewangan Buat Pengantin Baru

8 Tip Kewangan Buat Pengantin Baru
8 Tip Kewangan Buat Pengantin Baru

MAJLIS PERKAHWINAN

Kebiasaannya, bulan DISEMBER ini ramai bekas pelajar saya yang akan mengakhiri zaman bujang mereka. Kini, jemputan walimah lebih mudah! Saya yang kini berada di perantauan turut mendapat jemputan melalui 'alam maya'. Sejujurnya, saya sangat hargai atas kesudian 'anak murid' yang sudi menjemput kami sekeluarga ke majlis 'raikan cinta' mereka. Selalunya, jika lokasi tidak terlalu jauh dan tiada urusan lain saya akan cuba memenuhi undangan pasangan tersebut. Oleh kerana kami tidak dapat hadir, hanya doa yang dapat dikirimkan dari kejauhan agar segala urusan Majlis Perkahwinan tersebut dipermudahkan olehNya dan semoga pasangan pengantin kekal bahagia hingga ke akhir hayat.

"Pasangan Pengantin Kita Raikan,
Hidup Di Atur Dengan Sepakat,
Bersamalah Kita Mendoakan,
Semoga Majlis Mendapat Berkat."

Tip Kewangan Pengantin Baru
Undangan Majlis Perkahwinan

RAJA SEHARI

Seringkali juga kita dengar 'Majlis Perkahwinan' disinonimkan dengan istilah 'Raja Sehari'. Mempelai diarak, dikompang dan duduk di atas pelamin bak putera/ puteri raja yang diraikan. Namun, benarlah sepertimana apa yang digambarkan, kemeriahan diraikan seperti raja hanyalah sehari, sedangkan kehidupan sebenar dan lebih realiti adalah bermula setelah majlis berakhir.

"Bunga Manggar Kanan dan Kiri,
Pengantin Baru Bak Raja Sehari,
Cincin Sudah Tersarung DiJari,
Tanda Ikatan Sudah Terpatri."


KEHIDUPAN SEBENAR

Dunia bercinta pastinya berbeza dengan kehidupan sebenar sebagai pasangan suami isteri. Apabila sudah sah menjadi suami isteri, sudah pasti setiap pasangan mengharapkan bahtera perkahwinan yang dibina kekal bahagia hingga ke akhir hayat. Dalam mengharungi bahtera rumah tangga ini, dilihat pengurusan kewangan juga sangat penting dan perlu diambil perhatian. Pernah saya mengenali pasangan yang rumahtangga mereka 'bergoyang' dek kerana masalah kewangan. Atas sebab itulah saya juga bersetuju bahawa kedudukan ekonomi rumahtangga juga boleh menjadi salah satu faktor kepada keretakan kebahagian yang telah dibina.  

8 TIP KEWANGAN

Berikut dikongsikan '8 Tip Kewangan' yang boleh diamalkan buat mereka yang baru sahaja berumahtangga atau lebih tepat setelah majlis pernikahan berlangsung.

Tip #1 - Lakarkan Destinasi
Selain berbincang mengenai bilangan anak, tempat tinggal dan lain-lain, ambillah juga masa untuk melakarkan destinasi 'bahtera perkahwinan' yang ingin dibawa ini. Anda dan pasangan dicadangkan turut menetapkan matlamat kewangan bagi jangka pendek dan jangka panjang. Sebagai contoh, bila target (tahun) ingin membeli rumah pertama? Hutang apa yang perlu dilangsaikan dengan segera? Berapa banyak kereta yang anda perlukan? Apabila destinasi yang ingin ditujui jelas, maka perancangan menuju ke destinasi akan mudah dilakarkan.

"Bunga Mawar Harum Mewangi,
Jambangan DiGubah Cantik Berseri,
Tiada Perancangan Memanglah Rugi,
Sakitnya Nanti Tidak Terperi."

Tip #2 - Kenalpasti Kedudukan Kewangan
Selain perkongsian perasaan, suka dan duka dalam melayari bahtera rumahtangga ini, kedudukan kewangan pasangan juga perlu dikenalpasti. Umumnya, tanggungjawab menyediakan keperluan buat keluarga adalah dibawah tanggungjawab suami. Namun, jika isteri ingin membantu bersama, barangkali perlu diperjelaskan bahagian pembayaran yang isteri boleh membantu. Sebagai contoh, kewangan suami boleh digunakan untuk membayar ansuran rumah dan kereta. Manakala, kewangan isteri boleh digunakan bagi keperluan dapur. Namun, bagi suami yang dikurniakan pasangan (isteri) yang berkerjaya, janganlah mengambil kesempatan terhadap mereka kerana secara fitrah menyediakan keperluan keluarga terletak dibahu suami. Barangkali perkongsian 'Bina Hutang' vs 'Bina Keluarga' boleh dijadikan panduan.


"Kasih DiPupuk Kian Bersemi,
Peranan Pasangan Perlu DiFahami,
Bantuan Isteri Meringankan Suami,
Tanggungjawab Sebenar DiBahu Suami."

Tip #3 - Wujudkan Dana Kecemasan
Kesilapan yang biasa dilihat daripada pengalaman rakan-rakan yang lain adalah ketiadaan 'Dana Kecemasan'. Ramai mereka yang terlibat dalam pengurusan kewangan mencadangkan agar setiap orang mempunyai 'Dana Kecemasan' sekurang-kurangnya 6 bulan bersamaan gaji mereka. Bagi situasi pasangan suami isteri, jumlah 'Dana Kecemasan' yang perlu ada adalah sebanyak 6 bulan pendapatan isi rumah iaitu gabungan kedua-dua pendapatan suami dan isteri. 'Dana Kecemasan' hanya digunakan apabila ia benar-benar diperlukan. Sebaiknya diasingkan akaun ini dan jika perlu barangkali boleh dibuat 'Akaun Bersama'. Jika tidak, setiap individu iaitu suami dan isteri perlu berusaha mewujudkan 'Dana Kecemasan' untuk setiap orang. Dicadangkan 10% daripada gaji bersih boleh diasingkan sebagai 'Dana Kecemasan' pada setiap bulan.


"Wajah Pengantin Berseri-Seri,
Bertambah Seri Dengan Hiasan,
Perjalanan Ini Ada Onak dan Duri,
Sediakanlah Juga 'Dana Kecemasan'."

Tip #4 - Haji Sebagai Matlamat
Bersamalah melangkah ke Tabung Haji bagi pendaftaran haji dan jadikanlah juga menunaikan haji sebagai matlamat kewangan. Bayangkan kegembiraan untuk menjadi tetamuNya di sana nanti bersama dengan pasangan anda. Lagi lewat anda mendaftar haji, lagi lewatlah giliran anda untuk menjadi tetamuNya. Barangkali perkongsian Haji Sebagai Matlamat Kewangan boleh dijadikan panduan.

Tip #5 - Sediakan Fail & Tentukan 'Budget'
Sudah pasti bagi memastikan 'matlamat kewangan' yang telah ditetapkan dapat dicapai dengan jayanya, budget dan aliran keluar masuk kewangan perlu ditetapkan pada setiap bulan. Seringkali berlaku apabila budget tidak ditetapkan dan pengaliran wang (keluar/masuk) tidak direkod, diakhir bulan langsung tiada simpanan dan lebih parah ada yang berbelanja melebihi daripada pendapatan yang diperolehi. Tentukan 'budget' dan sebaiknya perlu ada rekod aliran keluar/ masuk kewangan keluarga. Buat catatan bagi setiap perbelanjaan sepanjang bulan. Kenapa tidak dimulakan seawal bulan pertama perkahwinan? Untuk rekod kewangan, fail khas juga perlulah diwujudkan untuk menyimpan segala resit atau bil-bil yang terlibat.


"Usaha dan Doa Tidak Dilupakan,
Jagalah Rezeki dan Keberkatan,
Fail dan 'Budget' Perlu Disediakan,
Elakkan Berbelanja Melebihi Pendapatan."

Tip #6 - Komunikasi 'Bahasa Kewangan'
Selain berkomunikasi dengan menggunakan 'ayat-ayat cinta', jadikan juga bahasa-bahasa 'kewangan' seperti 'hutang mahu', liabiliti, aset, hartanah, debit dan kredit turut menjadi perbualan suami isteri. Ini bagi memastikan pasangan memahami istilah tersebut sebaiknya dan bersama bertindak dengan cara yang betul. Barangkali, pelaburan ilmu dengan membeli buku-buku berkaitan pengurusan kewangan boleh dibuat dan turut dibaca bersama pasangan. 

Tip #7 - Jauhi 'Hutang Mahu'
Elakkan dan bersamalah bertekad untuk menjauhi 'Hutang Mahu'. Sudah pasti untuk membeli rumah majoriti dikalangan kita tidak mampu untuk membeli secara tunai dan akan turut berhutang. Dalam situasi ini, rumah merupakan 'Hutang Perlu' dan bukannya 'Hutang Mahu'. Saya pernah kongsikan isu dan jenis-jenis 'Hutang Mahu' ini di 'Hutang Mahu' vs 'Hutang Perlu'. 

Tip #8 - Jaga Keberkatan Rezeki
Keberkatan rezeki ini bukanlah sekadar bertambahnya rezeki tersebut. Ada kalanya, pendapatan yang diperolehi tidaklah sebesar orang lain jika dibandingkan. Namun, duit yang diperolehi setiap bulan sentiasa mencukupi, tidak diuji dengan musibah atau ujian kehilangan dan sebagainya. Saya teringat pesan guru saya yang keberkatan rezeki boleh diperolehi dengan menjaga amanah kerja atau tugas yang diberikan. Bukan itu sahaja, sumbangan tetap buat ibu/bapa setiap bulan juga akan turut memberikan keberkatan terhadap rezeki. Seringkali berlaku, ramai yang mudah menukar dan bergaya dengan kereta model baru. Namun, apabila membicarakan tentang sumbangan buat orang tua di kampung sentiasa beralasan tidak mencukupi. Jika siaran tv berbayar boleh dilanggan dan komitmen bulanan terhadap kereta model baru tidak 'missed' dibayar, kenapa pula sumbangan buat orang tua hanya diberikan apabila pulang ke kampung 3-4 bulan sekali. Sememangnya orang tua di kampung tidak meminta, namun pemberian yang ikhlas dan konsisten pada setiap bulan anda akan dapat lihat keberkatannya.

SELAMAT PENGANTIN BARU

Akhir kata, selamat pengantin baru diucapkan dan didoakan agar semua pasangan berbahagia hingga ke akhir hayat. Semoga perkongsian tip ini menjadikan pasangan bersedia bukan sahaja dari aspek fizikal dan mental, bahkan turut mengambil kira faktor kewangan atau ekonomi dalam melayari bahtera kehidupan sebagai suami dan isteri.

"Jalani Kehidupan Dengan Sepakat,
Suami dan Isteri Sebagai Teman,
Kami Doakan Majlis Mendapat Berkat,
Laluilah Perjalanan Dengan Aman."

Monday, December 14, 2015

Beli Rumah di Usia Muda

Beli Rumah Di Usia Muda
Beli Rumah Di Usia Muda

BELI RUMAH

Baru-baru ini saya mendapat soalan daripada bekas pelajar saya yang bertanyakan mengenai pembelian rumah di usia muda. Barangkali soalan ini ditanya disebabkan ingin menjadikan pembelian sebuah rumah sebagai salah satu matlamat kewangannya bagi tahun hadapan. Diharapkan nasihat saya tersebut berupaya merealisasikan impian beliau untuk memiliki rumah. Semoga langkah beliau memiliki sebuah rumah juga akan dapat mengelakkan dirinya daripada terjebak dengan hutang yang mudarat. 

Beli Rumah
Mesej Pelajar

RUMAH LELONG

Sememangnya tidak dinafikan pembelian sesebuah rumah boleh menjadi aset dan juga boleh bertukar kepada 'pengalaman ngeri' apabila ia menjadi liabiliti. Berdasarkan pengalaman saya yang pernah membeli 'rumah lelong', agak kesian melihat sendiri ada mereka yang terpaksa keluar dari rumah yang pernah menjadi milik mereka setelah hak milik rumah tersebut bertukar kepada orang lain. Ada juga mereka yang tak sanggup lagi tinggal di kawasan perumahan tersebut kerana malu dengan notis 'lelongan rumah' yang menjengok di pintu pagar.  

PELABURAN RUMAH

Untuk membeli rumah sama ada ingin dijadikan tempat berteduh mahupun sebagai pelaburan masa hadapan, sudah pasti turut memerlukan ilmu. Bahkan kesemua pelaburan sama ada emas, saham dan pelbagai lagi memerlukan ilmu sebelum seseorang itu memulakan langkah mereka dalam sesuatu pelaburan. Ini bagi memastikan rumah yang dibeli tidak menjadi liabiliti dan akhirnya kemungkinan turut dikategorikan sebagai 'rumah lelong'. Atas sebab itulah pelaburan yang paling utama sebelum sesuatu pelaburan dibuat adalah perlaburan terhadap ilmu seperti menghadiri seminar, membeli buku, berguru dengan mereka yang berpengalaman dan sebagainya. Tanpa ilmu, dikhuatiri aset yang diharapkan, liabiliti pula yang ditanggung. 

DUA RUMAH, SATU KERETA

2 Rumah 1 Kereta
Konsep 2 Rumah, 1 Kereta

Saya tertarik dengan perkongsian Saudara Ariff Shah berkaitan konsep 'Dua Rumah, Satu Kereta'. Ada kebenarannya pandangan beliau yang menggalakkan khususnya golongan muda agar membeli rumah terlebih dahulu sebelum membeli kereta. Saya juga pernah kongsikan perkongsian atas maksud yang hampir sama di dalam 'Belilah Kediaman, Bukannya Kereta Idaman'. Sudah terbukti berdasarkan pengalaman peribadi dan rakan-rakan lain ramai yang seakan terpaksa 'ikat perut' apabila memiliki kereta idaman. Ada mereka yang bukan sahaja terpaksa 'ikat perut', bahkan duit buat orang tua di kampung tidak dapat dihulurkan secara konsisten kerana terpaksa menanggung hutang kereta dan kos-kos lain dalam memiliki kereta tersebut. Apa guna bergaya dengan kereta baru, apabila duit buat orang tua sentiasa beralasan tidak cukup. Apalah guna bergaya memandu kereta baru, sedangkan rumah sendiri pun masih belum dimiliki. Kenapa tidak memilih untuk memandu kereta dengan bergaya apabila sudah memiliki 2 buah rumah? Hakikatnya, nilai kereta semakin hari semakin jatuh, sedangkan nilai rumah di lokasi yang strategik semakin lama semakin meningkat nilainya.

BELI RUMAH DI USIA MUDA

Terdapat 3 sebab utama saya mengalakkan untuk membeli rumah di usia muda.

Sebab #1 - Harga Rumah
Jarang sekali kita dengar harga rumah semakin lama semakin menurun. Walaupun ada 'cakap-cakap' yang menyatakan harga rumah akan turun, namun hakikatnya rumah di lokasi yang strategik majoriti semuanya semakin naik. Jika tiada modal yang tinggi barangkali boleh mulakan dengan membeli 'rumah lelong' yang biasanya harga yang ditawarkan lebih rendah dan kos untuk membeli memerlukan 5%-10% daripada harga rumah sebagai deposit. Mulakan langkah pertama dengan membeli 'Rumah Pertama' dan bukannya 'Rumah Impian'. Saya pernah kongsikan konsep ini di 'Rumah Pertama' atau 'Rumah Impian'.  

Sebab #2 - Tempoh Pinjaman
Tidak ramai mereka yang mampu untuk membeli rumah secara tunai. Bahkan saya pernah mendengar pandangan mereka yang pakar dalam bidang hartanah mencadangkan agar membeli rumah melalui pinjaman walaupun mempunyai tunai ditangan. Jika rumah itu boleh disewakan sekurang-kurangnya bersamaan dengan bayaran bulanan di bank, anda berpeluang memiliki sebuah rumah dengan dibayar oleh orang lain. Umumnya, tempoh pinjaman yang diberikan oleh pihak bank bergantung kepada umur seseorang. Lagi muda seseorang, lagi panjang tempoh yang boleh diberikan dan lagi rendahlah komitmen bulanan yang perlu dibayar seseorang itu kepada pihak bank. 

Sebab #3 - Bayaran Takaful/ Insurans
Bukan sahaja umur akan memberi kesan terhadap tempoh pinjaman dan juga komitmen bulanan di bank. Malahan, umur juga akan menentukan jumlah takaful/ insurans yang perlu dibayar bagi pembelian rumah tersebut. Umumnya, takaful/ insurans ini dikenali sebagai Mortgage Reduce Term Assurance (MRTA) dimana pewaris akan mendapat rumah tersebut sekiranya peminjam atau pemilik rumah meninggal dunia. Pihak bank biasanya menetapkan syarat sesebuah rumah perlu mempunyai MRTA sekiranya pembelian menggunakan pinjaman daripada bank. Ada kalanya MRTA ini dimasukkan dalam pinjaman dan ini seterusnya meningkatkan lagi komitmen bayaran bulanan pinjaman tersebut. Sebagai contoh, bagi mereka yang berumur 30-35 tahun, bayaran MRTA adalah sekitar RM7000-RM8000. Manakala bagi mereka yang berumur 40 tahun ke atas, bayaran MRTA boleh mencecah lebih RM20,000. Perlu diingatkan, jika kos guaman dan 'stamp duty transfer' turut dimasukkan dalam pinjaman, bayaran komitmen bulanan juga akan turut meningkat. 

TIP BELI RUMAH

Bagi mereka yang berhasrat untuk membeli rumah di usia yang muda, barangkali 6 tip ini boleh difikir-fikirkan. 

Tip #1 - Elakkan CCRIS
Bagi memastikan anda tidak menghadapi masalah mendapatkan pinjaman daripada pihak bank, pastikan hutang yang dimiliki dibayar dengan konsisten. Sebagai contoh, bagi mereka yang mempunyai hutang pinjaman pelajaran PTPTN perlulah memastikan bayaran dibuat mengikut jadual yang telah ditetapkan atau berbincang dengan pihak PTPTN agar nama anda tidak disenarai hitamkan atau rekod CCRIS anda 'tercalar'. 

PTPTN dan CCRIS
PTPTN dan CCRIS

Tip #2 - Tangguhkan Beli Kereta
Bagi mereka yang berada dalam kategori 'biasa-biasa' atau tidak mewarisi harta kekayaan keluarga barangkali menangguhkan pembelian kereta boleh difikir-fikirkan. Jika masih memerlukan kereta dan sememangnya sebuah kereta merupakan 'keperluan mendesak', barangkali kereta yang murah-murah boleh dijadikan pilihan. Sebagai contoh, bayaran bulanan tidak melebihi RM500 sebulan boleh dimasukkan dalam senarai pilihan. Janganlah sampai dengan memiliki 'Tiguana' di usia yang muda dan menjelma sebagai 'Iguana' yang akhirnya menjadi 'Igauan Ngeri' buat diri sendiri serta menjadi penghalang buat anda memiliki sebuah rumah atau menambah lagi bilangan hartanah yang ingin dimiliki. 

Tip #3 - Jauhi Hutang
Cuba sedaya upaya untuk tidak menambah hutang dalam kehidupan sama ada hutang kad kredit dan juga pembelian gadget seperti telefon pintar, barangan elektrik dan sebagainya. Jangan terpengaruh dengan skim ansuran rendah yang akhirnya akan turut menjejaskan rekod CCRIS anda. 

Tip #4 - Simpan Dulu, Belanja Kemudian
Perlu diingatkan, pembelian sesebuah rumah tetap memerlukan modal sekurang-kurangnya deposit bagi pembelian rumah tersebut. Oleh itu, jadikan amalan sejak mulai bekerja dengan membuat simpanan sekurang-kurangnya 10% daripada gaji bersih. Sebaiknya simpanan ini tidak menggunakan kemudahan ATM bagi menggelakkan simpanan tersebut daripada terusik. 

Tip #5 - Elakkan Pinjaman Peribadi
Bagi mereka yang bekerja di sektor kerajaan, janganlah mudah terpedaya dengan tawaran pinjaman peribadi (personal loan). Perlu diingatkan pinjaman peribadi boleh menjadi penghalang untuk seseorang mendapat pinjaman di bank bagi membeli sesebuah rumah. Bukan itu sahaja, kebiasaannya kadar faedah yang dikenakan bagi pinjaman peribadi adalah di antara 6%-7% setahun. Ramai mereka yang saya kenali tidak dapat mengenal-pasti ke mana duit pinjaman peribadi tersebut dibelanjakan. Ini kerana, telah menjadi lumrah 'senang dapat, maka senanglah habis'.  

Tip #6 - KWSP Sebagai Alternatif
Sememangnya seseorang yang bekerja boleh menggunakan KWSP sebagai deposit untuk pembelian rumah. Namun, berdasarkan pengalaman peribadi saya mencadangkan agar KWSP tersebut digunakan untuk pembelian rumah idaman. Sebagai contoh, semasa saya membeli rumah lelong dan juga merupakan rumah pertama, saya menggunakan simpanan KWSP. Oleh kerana rumah lelong tersebut berharga RM70000, maka jumlah simpanan KWSP yang boleh dikeluarkan hanyalah RM7000 sahaja. Namun, apabila saya ingin membeli rumah ke dua, saya menghadapi masalah untuk mengeluarkan KWSP kerana simpanan KWSP bagi pembelian rumah hanya dibenarkan bagi pembelian rumah pertama sahaja. Oleh itu, rancanglah sebaiknya bila anda ingin menggunakan KWSP sebagai deposit pembelian rumah anda. 

HAKIKAT HARGA RUMAH

Akhir kata, bagi mereka yang masih berharap agar harga rumah akan jatuh, janganlah terlalu berharap kerana tiada siapa yang dapat meramalkan tarikh sebenar harga rumah akan jatuh. Saya pernah kongsikan berkaitan ramalan harga rumah jatuh ini di 'Harga Rumah Turun: Takdir atau Tadbir?' Untuk mereka yang masih muda dan sudah mulai 'celik wang', teruskanlah mendapatkan ilmu pengurusan kewangan di luar sana. Saya percaya dengan ilmu yang mantap dan membeli rumah di lokasi yang strategik di kala usia yang masih muda tidak akan merugikan anda. 

Sekadar perkongsian daripada kejauhan di Sendai, Jepun. 

Semoga bermanfaat.  

Wednesday, December 2, 2015

Insolvensi dan Muflis: Menuju Tahun 2016

Insolvensi dan Muflis: Menuju Tahun 2016
Insolvensi dan Muflis: Menuju Tahun 2016

2015 KE 2016

Kini memasuki bulan Disember dan tahun 2015 akan melabuhkan tirainya dalam beberapa hari sahaja. Saya pasti ramai yang akan membuat 'check and balance' sama ada segala azam dan impian yang disasarkan pada tahun ini sudah dicapai ataupun tidak. Tidak kurang juga ada yang sudah mulai memikirkan apakah azam dan matlamat kewangan mereka bagi tahun 2016. 

KENAIKAN KOS

Berdasarkan pembentangan Baget 2015 yang lalu, bahang kenaikan kos sara hidup sudah mulai terasa. Sebagai contoh, penarikan subsidi Beras Super Tempatan (kadar 15% hancur) yang bakal berkuatkuasa mulai 31 Disember 2015 sudah pasti memberi kesan kepada mereka yang menggunakan beras tersebut (ST15/S15). Menurut maklumat harga terkini beras tersebut adalah RM17.50 dan selepas ditarik balik subsidi harga terbaru mulai 1 Januari 2016 adalah RM23.00. Begitu juga dengan pelupusan subsidi bagi penggunaan eletrik tidak lebih RM20, penarikan subsidi minyak masak dan juga kadar tambang baru bagi pengangkutan awam yang bakal distruktur semula sudah pasti memberikan kesan kepada mereka yang kini sedang menikmatinya. Hakikatnya, kos sara hidup akan terus meningkat dan setiap orang perlu bersedia dan terpaksa menghadapinya. 

NEGARA MAJU

Tahun 2016 yang bakal hadir akan menjadikan sasaran Malaysia dalam mengapai Wawasan 2020 semakin hampir. Sudah menjadi lumrah, status negara maju yang didambakan perlu dibayar dengan harganya. Di Jepun sebagai contoh, tidak dinafikan kos sara hidup juga agak tinggi. Di sini, jika tanpa kad insurans sudah pasti kos rawatan perubatan yang perlu dibayar adalah sangat tinggi. Begitu juga dengan bantuan elaun bagi anak-anak bersekolah yang turut diberikan di sini, pastinya perlu dibayar dengan cukai yang tinggi. Saya pernah bersembang dengan seorang rakan Jepun yang berkerja di universiti kami, turut merungut dengan kadar cukai yang perlu dibayar olehnya setiap tahun. Barangkali perbandingan Malaysia dan Jepun agak jauh dan tidak sesuai dibandingkan. Namun, aspek 'output' dan 'input' daripada cukai dan kebajikan juga boleh difikir-fikirkan bersama. 

INSOLVENSI DAN MUFLIS

Insolvensi dan Muflis: Menuju Tahun 2016
Sumber: www.utusan.com

Sebelum ini saya pernah kongsikan berkaitan insolvensi dan muflis ini di BANKRAP DUNIA, MUFLIS AKHIRAT. Kali ini saya terpanggil untuk mengingatkan semula diri ini dan juga khususnya bekas pelajar saya yang berada dalam kategori umur di bawah 35 tahun agar mengambil perhatian yang serius berkaitan kenyataan yang menyatakan "hampir 25,000 orang mereka yang berumur 35 tahun ke bawah bankrap dalam tempoh 5 tahun". Kenyataan ini juga boleh dibaca di MStar (sila klik). Ini bermakna, hampir 5,000 orang setiap tahun diisytiharkan muflis. Satu fakta yang perlu juga direnungkan bersama. Berdasarkan pengalaman saya sebelum ini yang pernah mengadakan program bersama Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), kebanyakan mereka yang diisytiharkan muflis ini kerana lebih mengutamakan 'Gaya Hidup'. Kesannya, 'Gaya Hidup' inilah yang telah meningkatkan lagi 'Kos Sara Hidup' seseorang atau sesebuah keluarga. Saya juga pernah kongsikan perkongsian ini di 'GAYA HIDUP' TINGKATKAN 'SARA HIDUP'

TAMBAH PENDAPATAN

Insolvensi dan Muflis: Menuju Tahun 2016
Insolvensi dan Muflis: Menuju Tahun 2016

Salah satu cara dalam menghadapi cabaran kenaikan kos sara hidup ini adalah dengan meningkatkan pendapatan. Sudah pasti kenaikan kos sara hidup boleh diibaratkan faktor 'makro' iaitu di luar kawalan kita sebagai individu. Namun, strategi atau faktor 'mikro' yang masih berada dalam kawalan individu seperti menambah pendapatan dan menukar strategi 'gaya hidup' boleh turut difikirkan. Analoginya sepertimana yang digambarkan oleh Robert Kiyosaki iaitu orang yang hanya memberikan fokus terhadap penambahan pendapatan dan tidak mengubah strategi 'gaya hidup' akan penat dan 'stress' sepertimana tikus yang terus berlari laju dalam pusingan gelung. Situasi ini dinamakan sebagai 'Rat Race'. Natijahnya, penat sahaja menambah pendapatan, 'stress' dikala pulang kerja di lewat malam sehinggakan masa bersama anak-anak dan keluarga semakin sedikit dan kehidupan keluarga semakin terabai kerana ibu bapa sibuk menambah pendapatan. Apabila dikira, situasi tersebut boleh diibaratkan 'back to square one' atau barangkali mungkin lebih parah. Sebagai contoh, penambahan pendapatan seiring dengan kenaikan kadar hutang dan liabiliti. Saya begitu khuatir, jika tersalah langkah ramai lagi golongan muda yang berumur 35 tahun ke bawah turut menjadi penyumbang kepada peningkatan statistik mereka yang diisytiharkan muflis pada masa hadapan. 

14 ORANG MUFLIS SETIAP HARI

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan, satu angka yang agak memeranjatkan apabila dianggarkan hampir 14 orang yang diisytiharkan muflis setiap hari. Oleh itu, carilah ilmu pengurusan kewangan, berhati-hati dalam membuat pelaburan agar tidak terjebak dengan mana-mana SCAM dan buat ambillah masa dalam membuat 'check and balance' sama ada 'gaya hidup' yang kini diamalkan turut menyumbang ke arah peningkatan 'kos sara hidup' ataupun tidak. Jika sudah dikenal pasti punca 'gaya hidup' yang menjadi penyumbang kepada peningkatan 'kos sara hidup' ambillah strategi dan langkah dalam menghadapi tahun mendatang (2016). Apabila membaca berita tersebut seakan tidak percaya, namun itulah realiti yang perlu kita hadapi. 

Semoga Allah lindungi kita semua daripada terjebak dengan situasi ini. 

Sekadar perkongsian daripada kejauhan, Sendai, Jepun. 
Tudung kanak-kanak