|
Beli Rumah Di Usia Muda |
BELI RUMAH
Baru-baru ini saya mendapat soalan daripada bekas pelajar saya yang bertanyakan mengenai pembelian rumah di usia muda. Barangkali soalan ini ditanya disebabkan ingin menjadikan pembelian sebuah rumah sebagai salah satu matlamat kewangannya bagi tahun hadapan. Diharapkan nasihat saya tersebut berupaya merealisasikan impian beliau untuk memiliki rumah. Semoga langkah beliau memiliki sebuah rumah juga akan dapat mengelakkan dirinya daripada terjebak dengan hutang yang mudarat.
|
Mesej Pelajar |
RUMAH LELONG
Sememangnya tidak dinafikan pembelian sesebuah rumah boleh menjadi aset dan juga boleh bertukar kepada 'pengalaman ngeri' apabila ia menjadi liabiliti. Berdasarkan pengalaman saya yang pernah membeli 'rumah lelong', agak kesian melihat sendiri ada mereka yang terpaksa keluar dari rumah yang pernah menjadi milik mereka setelah hak milik rumah tersebut bertukar kepada orang lain. Ada juga mereka yang tak sanggup lagi tinggal di kawasan perumahan tersebut kerana malu dengan notis 'lelongan rumah' yang menjengok di pintu pagar.
PELABURAN RUMAH
Untuk membeli rumah sama ada ingin dijadikan tempat berteduh mahupun sebagai pelaburan masa hadapan, sudah pasti turut memerlukan ilmu. Bahkan kesemua pelaburan sama ada emas, saham dan pelbagai lagi memerlukan ilmu sebelum seseorang itu memulakan langkah mereka dalam sesuatu pelaburan. Ini bagi memastikan rumah yang dibeli tidak menjadi liabiliti dan akhirnya kemungkinan turut dikategorikan sebagai 'rumah lelong'. Atas sebab itulah pelaburan yang paling utama sebelum sesuatu pelaburan dibuat adalah perlaburan terhadap ilmu seperti menghadiri seminar, membeli buku, berguru dengan mereka yang berpengalaman dan sebagainya. Tanpa ilmu, dikhuatiri aset yang diharapkan, liabiliti pula yang ditanggung.
DUA RUMAH, SATU KERETA
|
Konsep 2 Rumah, 1 Kereta |
Saya tertarik dengan perkongsian Saudara Ariff Shah berkaitan konsep
'Dua Rumah, Satu Kereta'. Ada kebenarannya pandangan beliau yang menggalakkan khususnya golongan muda agar membeli rumah terlebih dahulu sebelum membeli kereta. Saya juga pernah kongsikan perkongsian atas maksud yang hampir sama di dalam
'Belilah Kediaman, Bukannya Kereta Idaman'. Sudah terbukti berdasarkan pengalaman peribadi dan rakan-rakan lain ramai yang seakan terpaksa 'ikat perut' apabila memiliki kereta idaman. Ada mereka yang bukan sahaja terpaksa 'ikat perut', bahkan duit buat orang tua di kampung tidak dapat dihulurkan secara konsisten kerana terpaksa menanggung hutang kereta dan kos-kos lain dalam memiliki kereta tersebut. Apa guna bergaya dengan kereta baru, apabila duit buat orang tua sentiasa beralasan tidak cukup. Apalah guna bergaya memandu kereta baru, sedangkan rumah sendiri pun masih belum dimiliki. Kenapa tidak memilih untuk memandu kereta dengan bergaya apabila sudah memiliki 2 buah rumah? Hakikatnya, nilai kereta semakin hari semakin jatuh, sedangkan nilai rumah di lokasi yang strategik semakin lama semakin meningkat nilainya.
BELI RUMAH DI USIA MUDA
Terdapat 3 sebab utama saya mengalakkan untuk membeli rumah di usia muda.
Sebab #1 - Harga Rumah
Jarang sekali kita dengar harga rumah semakin lama semakin menurun. Walaupun ada 'cakap-cakap' yang menyatakan harga rumah akan turun, namun hakikatnya rumah di lokasi yang strategik majoriti semuanya semakin naik. Jika tiada modal yang tinggi barangkali boleh mulakan dengan membeli 'rumah lelong' yang biasanya harga yang ditawarkan lebih rendah dan kos untuk membeli memerlukan 5%-10% daripada harga rumah sebagai deposit. Mulakan langkah pertama dengan membeli 'Rumah Pertama' dan bukannya 'Rumah Impian'. Saya pernah kongsikan konsep ini di '
Rumah Pertama' atau 'Rumah Impian'.
Sebab #2 - Tempoh Pinjaman
Tidak ramai mereka yang mampu untuk membeli rumah secara tunai. Bahkan saya pernah mendengar pandangan mereka yang pakar dalam bidang hartanah mencadangkan agar membeli rumah melalui pinjaman walaupun mempunyai tunai ditangan. Jika rumah itu boleh disewakan sekurang-kurangnya bersamaan dengan bayaran bulanan di bank, anda berpeluang memiliki sebuah rumah dengan dibayar oleh orang lain. Umumnya, tempoh pinjaman yang diberikan oleh pihak bank bergantung kepada umur seseorang. Lagi muda seseorang, lagi panjang tempoh yang boleh diberikan dan lagi rendahlah komitmen bulanan yang perlu dibayar seseorang itu kepada pihak bank.
Sebab #3 - Bayaran Takaful/ Insurans
Bukan sahaja umur akan memberi kesan terhadap tempoh pinjaman dan juga komitmen bulanan di bank. Malahan, umur juga akan menentukan jumlah takaful/ insurans yang perlu dibayar bagi pembelian rumah tersebut. Umumnya, takaful/ insurans ini dikenali sebagai Mortgage Reduce Term Assurance (MRTA) dimana pewaris akan mendapat rumah tersebut sekiranya peminjam atau pemilik rumah meninggal dunia. Pihak bank biasanya menetapkan syarat sesebuah rumah perlu mempunyai MRTA sekiranya pembelian menggunakan pinjaman daripada bank. Ada kalanya MRTA ini dimasukkan dalam pinjaman dan ini seterusnya meningkatkan lagi komitmen bayaran bulanan pinjaman tersebut. Sebagai contoh, bagi mereka yang berumur 30-35 tahun, bayaran MRTA adalah sekitar RM7000-RM8000. Manakala bagi mereka yang berumur 40 tahun ke atas, bayaran MRTA boleh mencecah lebih RM20,000. Perlu diingatkan, jika kos guaman dan 'stamp duty transfer' turut dimasukkan dalam pinjaman, bayaran komitmen bulanan juga akan turut meningkat.
TIP BELI RUMAH
Bagi mereka yang berhasrat untuk membeli rumah di usia yang muda, barangkali 6 tip ini boleh difikir-fikirkan.
Tip #1 - Elakkan CCRIS
Bagi memastikan anda tidak menghadapi masalah mendapatkan pinjaman daripada pihak bank, pastikan hutang yang dimiliki dibayar dengan konsisten. Sebagai contoh, bagi mereka yang mempunyai hutang pinjaman pelajaran PTPTN perlulah memastikan bayaran dibuat mengikut jadual yang telah ditetapkan atau berbincang dengan pihak PTPTN agar nama anda tidak disenarai hitamkan atau rekod CCRIS anda 'tercalar'.
|
PTPTN dan CCRIS |
Tip #2 - Tangguhkan Beli Kereta
Bagi mereka yang berada dalam kategori 'biasa-biasa' atau tidak mewarisi harta kekayaan keluarga barangkali menangguhkan pembelian kereta boleh difikir-fikirkan. Jika masih memerlukan kereta dan sememangnya sebuah kereta merupakan 'keperluan mendesak', barangkali kereta yang murah-murah boleh dijadikan pilihan. Sebagai contoh, bayaran bulanan tidak melebihi RM500 sebulan boleh dimasukkan dalam senarai pilihan. Janganlah sampai dengan memiliki 'Tiguana' di usia yang muda dan menjelma sebagai 'Iguana' yang akhirnya menjadi 'Igauan Ngeri' buat diri sendiri serta menjadi penghalang buat anda memiliki sebuah rumah atau menambah lagi bilangan hartanah yang ingin dimiliki.
Tip #3 - Jauhi Hutang
Cuba sedaya upaya untuk tidak menambah hutang dalam kehidupan sama ada hutang kad kredit dan juga pembelian gadget seperti telefon pintar, barangan elektrik dan sebagainya. Jangan terpengaruh dengan skim ansuran rendah yang akhirnya akan turut menjejaskan rekod CCRIS anda.
Tip #4 - Simpan Dulu, Belanja Kemudian
Perlu diingatkan, pembelian sesebuah rumah tetap memerlukan modal sekurang-kurangnya deposit bagi pembelian rumah tersebut. Oleh itu, jadikan amalan sejak mulai bekerja dengan membuat simpanan sekurang-kurangnya 10% daripada gaji bersih. Sebaiknya simpanan ini tidak menggunakan kemudahan ATM bagi menggelakkan simpanan tersebut daripada terusik.
Tip #5 - Elakkan Pinjaman Peribadi
Bagi mereka yang bekerja di sektor kerajaan, janganlah mudah terpedaya dengan tawaran pinjaman peribadi (personal loan). Perlu diingatkan pinjaman peribadi boleh menjadi penghalang untuk seseorang mendapat pinjaman di bank bagi membeli sesebuah rumah. Bukan itu sahaja, kebiasaannya kadar faedah yang dikenakan bagi pinjaman peribadi adalah di antara 6%-7% setahun. Ramai mereka yang saya kenali tidak dapat mengenal-pasti ke mana duit pinjaman peribadi tersebut dibelanjakan. Ini kerana, telah menjadi lumrah 'senang dapat, maka senanglah habis'.
Tip #6 - KWSP Sebagai Alternatif
Sememangnya seseorang yang bekerja boleh menggunakan KWSP sebagai deposit untuk pembelian rumah. Namun, berdasarkan pengalaman peribadi saya mencadangkan agar KWSP tersebut digunakan untuk pembelian rumah idaman. Sebagai contoh, semasa saya membeli rumah lelong dan juga merupakan rumah pertama, saya menggunakan simpanan KWSP. Oleh kerana rumah lelong tersebut berharga RM70000, maka jumlah simpanan KWSP yang boleh dikeluarkan hanyalah RM7000 sahaja. Namun, apabila saya ingin membeli rumah ke dua, saya menghadapi masalah untuk mengeluarkan KWSP kerana simpanan KWSP bagi pembelian rumah hanya dibenarkan bagi pembelian rumah pertama sahaja. Oleh itu, rancanglah sebaiknya bila anda ingin menggunakan KWSP sebagai deposit pembelian rumah anda.
HAKIKAT HARGA RUMAH
Akhir kata, bagi mereka yang masih berharap agar harga rumah akan jatuh, janganlah terlalu berharap kerana tiada siapa yang dapat meramalkan tarikh sebenar harga rumah akan jatuh. Saya pernah kongsikan berkaitan ramalan harga rumah jatuh ini di
'Harga Rumah Turun: Takdir atau Tadbir?' Untuk mereka yang masih muda dan sudah mulai 'celik wang', teruskanlah mendapatkan ilmu pengurusan kewangan di luar sana. Saya percaya dengan ilmu yang mantap dan membeli rumah di lokasi yang strategik di kala usia yang masih muda tidak akan merugikan anda.
Sekadar perkongsian daripada kejauhan di Sendai, Jepun.
Semoga bermanfaat.