Biasiswa KPT |
BIASISWA KPT
Sebelum pengumuman dan maklumat rasmi berkaitan Biasiswa KPT diumumkan dalam Pengubahsuaian Bajet 2016 baru-baru ini, telah 'viral' dan kedengaran beberapa berita yang kurang enak kemungkinan berlaku penarikan biasiswa pendidikan dan beberapa tajaan yang lain. Disebabkan penyebaran berita yang 'tidak pasti' ini ada yang seakan beremosi sehinggakan kata-kata, jari-jemari dan bait-bait kata ditulis lebih pantas daripada pemikiran yang rasional. Atas sebab itu suka saya mengingatkan diri saya sendiri dan kita semua untuk menghayati sedalam-dalamnya firmanNya (Al-Hujurat: 6) yang bermaksud:
"Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa satu berita, maka periksalah dengan teliti"
BIASISWA KPT DITERUSKAN
Setelah pembentangan semakan semula Bajet 2016 diumumkan, Alhamdullilah ramai yang menarik nafas lega akan keputusan ini. Pengumuman rasmi yang dibuat bukan sahaja mengekalkan peruntukan sebelum ini, bahkan turut dimaklumkan terdapat tambahan pelajar tajaan baru bagi tahun 2016 iaitu 5000 orang (MyPhD), 15,000 orang (MyMaster) dan Skim Latihan Akademik IPT (SLAI) seramai 300 orang. Menurut maklumat yang diberikan keseluruhan pelajar yang sedia ada adalah seramai 25,000 orang dan akan bertambah lagi pada tahun 2016. Diharapkan kesemua hampir 23,500 orang yang bakal melanjutkan pengajian pada tahun 2016 ini benar-benar memperolehi dan menggunakan peluang tersebut sebaiknya.
Biasiswa KPT di teruskan dalam Pengubahsuaian Bajet 2016 |
EKONOMI DAN BIASISWA KPT
Ramai sudah maklum, gelombang dan pukulan ombak ekonomi kali ini tiada siapa yang dapat menduga bila surutnya. Atas sebab itu sememangnya tidak dinafikan strategi yang terbaik dalam menghadapi limitasi sumber kewangan dan situasi ekonomi yang mencabar adalah dengan menggunakan pendekatan 'potong dan berhemah'. Sebagai contoh, jika saya tidak mampu untuk membuat tambahan pendapatan, kaedah yang terbaik adalah dengan saya membuat pemotongan perbelanjaan yang tidak perlu dan juga berbelanja secara berhemah. Untuk makluman adik-adik 'junior' (kouhai) yang bakal melanjutkan pengajian, terdapat pelajar-pelajar 'senior' (senpai) yang duit biasiswa mereka dipotong hampir 50% kerana keputusan peperiksaan yang kurang membrangsangkan. Sudah tentu jika kita melihat dari satu sisi lain seakan kesian dan simpati dengan situasi yang berlaku terhadap pelajar-pelajar ini. Namun, dari satu sisi pandangan yang lain pula tindakan ini seakan perlu dilaksanakan sebagai langkah 'memotivasikan' mereka semula bagi menamatkan pengajian dengan segera disamping dalam menangani limitasi sumber kewangan yang kian meruncing.
IKAT PERUT
Apabila duit biasiswa yang diperolehi semakin berkurangan, ada senpai yang terpaksa untuk 'ikat perut' seketat-ketatnya. Berdasarkan pengalaman saya sebagai pelajar 'U', bekerja di 'U' dan kini melanjutkan pengajian di nihon dilihat istilah 'ikat perut' merupakan perkara biasa bagi pelajar 'U' ini. Malah ada rakan saya nihonjin (orang Jepun) yang hanya makan sekali sehari dalam usaha untuk berjimat-cermat dan 'ikat perut'. Ramai juga dikalangan mereka yang mengisi masa hari minggu dengan arubaito (kerja 'part-time') bagi mencari sumber tambahan. Bagi saya situasi ini tidaklah menghairankan kerana pelajar 'U' di tanahair juga turut menghayati dan pernah merasai istilah 'ikat perut' serta kerja 'part-time' ini.
SARA HIDUP
Namun, sudah dijangkakan kenaikan kos sara hidup saban tahun tidak dapat dibendung. Begitu juga tanda-tanda kegawatan ekonomi telah menyebabkan semua pihak sama ada pengeluar mahupun penjual 'terpaksa' atau 'beralasan' untuk turut menaikkan harga produk jualan mereka .Malah, ada kedengaran ibubapa pelajar 'U' yang telah kehilangan pekerjaan di kala kegawatan ini menjadikan derita 'ikat perut' semakin memilukan.
LAGU 'BANGAU OH! BANGAU'
Lirik Bangau Oh Bangau |
PUNCA DAN SOLUSI
Berikut perkongsian dan nasihat 6K 'Punca dan Solusi' daripada senpai dalam memastikan duit adik-adik kouhai tidak bocor sehingga di'viral'kan sekali lagi sebagai 'kelaparan'.
Punca dan Solusi #1: Keputusan Peperiksaan
Antara punca yang menyebabkan duit senpai bocor dan terpaksa 'ikat perut' adalah disebabkan keputusan peperiksaan yang merosot. Jika ditanahair, ramai pelajar yang saya kenali pembiayaan PTPTN mereka terpaksa ditahan kerana keputusan peperiksaan Purata Nilai Gred (PNG)/ Grade Point Average (GPA) pada semester sebelum itu kurang 2.00. Begitu juga terdapat pelajar tajaan di luar negara yang saya kenali terpaksa berdepan dengan pemotongan biasiswa hampir 50% kerana keputusan peperiksaan yang merosot. Oleh itu, bagi mereka yang masih menikmati keseluruhan pinjaman mahupun biasiswa pastikan keputusan peperiksaan yang akan datang tidak merundum bagi mengelakkan sama ada pembiayaan ditahan atau dipotong.
Punca dan Solusi #2: Kurang Komunikasi
Terdapat juga mereka yang menghadapi masalah kewangan kurang berkomunikasi sama ada bersama penasihat akademik (PA), mentor ataupun rakan-rakan. Ini menyebabkan masalah kewangan yang dihadapi oleh pelajar tersebut tiada siapa yang mengetahui dan akhirnya bantuan tidak dapat dihulurkan. Terdapat situasi dimana pihak 'U' mempunyai bantuan-bantuan seperti pengecualian atau penangguhan yuran, bantuan zakat dan juga bantuan lain daripada individu-individu tertentu tidak dapat disalurkan kerana ketiadaan maklumat. Oleh itu, jika perlukan bantuan janganlah dibiarkan pendam seribu bahasa sehingga tiada siapa yang langsung mengetahuinya. Jika segan dengan rakan-rakan, berjumpalah dengan PA atau mentor anda untuk mendapatkan pandangan daripada mereka.
Berlaku juga situasi dimana ada pelajar 'U' yang kehilangan identiti sebenar diri mereka kerana terikut-ikut dengan rakan-rakan sekeliling. Pergaulan di kampus melibatkan pelbagai latar-belakang keluarga yang berbeza. Ada mereka yang bernasib baik dan dilimpahkan rezeki daripada keluarga yang agak berada. Ada juga mereka yang merupakan anak bongsu dan abang serta kakak mereka turut memberikan sedikit sumbangan duit bulanan. Begitu juga ada dikalangan pelajar 'U' yang merupakan anak sulung dan harapan keluarga mereka serta daripada latar-belakang keluarga yang susah atau sederhana. Tiada apa yang perlu dimalukan jika kita sememangnya bukan berasal daripada keluarga senang sepertimana rakan-rakan yang lain. Oleh itu, kenali diri, janganlah malu dengan asal-usul dan terus tenggelam dalam dunia 'U' sehingga kehilangan identiti.
Pengalaman sebagai tenaga pengajar di 'U', selalu saya melihat ada pelajar yang 'Gaya Hidup' mereka telah turut menyumbang ke arah peningkatan kos 'Sara Hidup'. Contohnya, ada pelajar yang memiliki telefon pintar dan gajet-gajet lain yang lebih mahal daripada pensyarah mereka. Terdapat juga mereka yang ke kelas dengan baju berjenama dan fesyen terkini seolah-oleh pelajar di depan kami merupakan 'model fesyen' dan golongan yang telah lama berkerja. Bukan itu sahaja, ada pelajar 'U' yang lebih mahir tentang 'port-port' tempat makan yang terbaik dan eksklusif untuk disinggah dikala menghadapi 'stress' belajar kononnya. Begitu juga pemilihan restoran-restoran makanan segera sebagai tempat diskusi untuk 'group study' mereka. Kesannya, bilik perbincangan di perpustakaan yang percuma terus dipandang sepi dan dibiar kosong. Ini secara tidak langsung telah menjadikan kos 'Sara Hidup' terus meningkat disebabkan terpengaruh dengan 'Gaya Hidup'. Solusinya, kenalpasti sesuatu impak sebelum keputusan dibuat sama ada ia akan meningkatkan kos 'Sara Hidup' atau tidak. Usah dibiarkan diri terbiasa mengamalkan 'Gaya Hidup' yang boleh meningkatkan kos 'Sara Hidup'.
Punca dan Solusi #5: Kemampuan
Jika masih ramai pelajar 'U' yang boleh bertahan tanpa pendapatan tambahan atau bekerja 'part-time', ini menunjukkan pinjaman/ biasiswa yang diperolehi masih boleh dikategorikan sama ada mencukupi atau 'cukup-cukup'. Oleh itu, bagi mereka yang berada di dalam kategori ini bolehlah memikirkan untuk 'hidup dibawah kemampuan'. Jika sebelum ini berkemampuan untuk membeli sehelai baju berharga RM50, barangkali boleh mencari baju yang harganya lebih rendah. Jika jenama sabun basuh yang digunakan sebelum ini agak mahal, barangkali boleh beralih kepada produk atau jenama yang lebih murah. Sememangnya kita mampu, namun dengan 'hidup dibawah kemampuan' banyak lagi penjimatan yang boleh kita lakukan.
Sering juga saya perhatikan kesibukan pelajar 'U' ada yang menyebabkan mereka seakan jauh daripadaNya. Ada mereka yang solat di hujung waktu dan ada juga meninggalkan solat dengan sengaja kerana beralasan sibuk dan tidak berkesempatan. Namun, saya juga mampu tersenyum apabila melihat ada juga pelajar 'U' yang mendekatkan diri padaNya. Mereka yang kembali dan mendekatkan diri kepada Maha Pemberi Rezeki selalunya akan dilimpahkan dengan rezeki dan dapat membantu ke arah penjimatan. Sebagai contoh, ada mereka yang berpuasa sunat setiap Isnin dan Khamis. Ia bukan sahaja baik untuk kesihatan, bahkan menyumbang ke arah penjimatan. Seringkali juga mereka yang mengimarahkan 'rumahNya' dijamu oleh pihak masjid/ surau. Ini secara tidak langsung membuktikan orang yang menjaga hubungan dan kembali padaNya sentiasa akan dijamin rezeki buat mereka.
AZAM DAN KAWAL DIRI
Akhir kata, tanamkan azam untuk kita menjadi pemangkin dalam mengubah nasib dan masa depan diri serta keluarga. Apalah guna kita mencari salah orang lain atau berterusan menyanyikan lagu "Bangau Oh! Bangau" dalam versi yang baru. Selalu juga ingatkan diri sendiri bahawa kita sahaja yang dapat mengubah nasib dan kehidupan ini sepertimana firmanNya dalam surah ar-Ra'd ayat 11 yang bermaksud:
"Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah nasibnya"Sekadar perkongsian dan nasihat daripada senpai buat kouhai.
Sayonara! Sampai jumpa lagi.
Biasiswa KPT: Nasihat Senpai Buat Kouhai
4
/
5
Oleh
Unknown