Monday, January 25, 2016

Futon dan Toto

Futon dan Toto
Futon/ Tilam Tradisional Jepun

TILAM JEPUN

Semenjak berada di sini, futon sentiasa menjadi peneman setia kami sekeluarga di kala tidur. Futon merupakan tilam tradisional masyarakat Jepun yang digunakan untuk beristirehat mahupun melelapkan mata. Walaupun masyarakat Jepun sudah ramai yang telah menggunakan tilam dan katil, namun penggunaan futon masih mendapat pemintaan yang tinggi di kalangan mereka di sini. Berdasarkan pengalaman, penggunaan futon ini sangat praktikal bagi masyarakat Jepun memandangkan rumah-rumah mereka yang boleh digambarkan sebagai 'cute and compact'.

3 DALAM 1

Futon dan Toto
Futon: 3 Dalam 1

Secara umumnya, ketebalan futon yang biasanya digunakan dalam 5-6 cm. Ia biasanya dijual dalam pakej 3 dalam 1 iaitu bersama dengan (1) makura (bantal), (2) shikibuton (alas futon/selimut) dan (3) kakebuton (tilam/ futon). Set futon ini dijual di antara 5000 - 10,000 yen dan harga tersebut berbeza bergantung kepada material serta kualiti futon tersebut.

MAKURA, SHIKIBUTON DAN KAKEBUTON

Terdapat 2 jenis makura (bantal) yang biasanya digunakan di sini. Pertama makura yang berisi manik-manik atau biji-bijian yang diperbuat daripada plastik. Saiz makura ini biasanya kecil dan seakan-akan direka hanya untuk 'muat-muat' belakang kepala. Bagi mereka yang tidak biasa dan selesa, boleh memilih untuk membeli bantal yang agak besar yang diisi kapas atau bulu angsa. Makura yang diisi bulu angsa biasanya lebih selesa dan agak mahal. Shikibuton pula merupakan lapisan nipas yang boleh dijadikan selimut dan sangat selesa digunakan dikala musim sejuk (fuyu). Bahan yang digunakan bagi lapisan dalam shikibuton ini biasanya kapas untuk atau kapas sintetik yang agak ringan agar mudah dijadikan selimut. Manakala kakebuton pula merupakan struktur utama tilam Jepun ini yang juga diperbuat daripada bulu angsa atau kapas sintetik yang lebih tebal. Berdasarkan perbandingan harga, kakebuton merupakan bahagian yang termahal dan perlu dijaga rapi bagi memastikan ia boleh digunakan lebih lama. 

TATAMI

Tatami and Oshiire
Tatami dan Oshiire

Futon biasanya digunakan di atas permukaan lantai tatami yang diperbuat daripada jerami. Dikatakan tatami ini telah digunakan oleh masyarakat Jepun lebih 600 tahun yang lalu. Standard ukuran tatami adalah 910mm x 1820mm dan atas sebab itu juga ukuran lantai sesebuah rumah di Jepun turun dikira berdasarkan bilangan tatami. Futon yang telah digunakan biasanya akan disimpan di dalam oshiire (almari) dua pintu yang biasa kita lihat dalam cerita Doreamon. Masyarakat Jepun percaya tidur di atas futon baik untuk kesihatan dan dapat membantu mereka yang mengalami sakit pinggang dan punggung.

TOTO

Futon dan Toto
Toto Narita Bukan 'Sport Toto'

Jika di tanahair, barangkali boleh saya samakan futon dengan 'toto'. Apabila memperkatakan tentang toto, masih segar dalam ingatan semasa di awal perkahwinan yang hampir 12 tahun yang lalu di mana tiada katil dan tilam 'dunlop' yang menanti isteri di rumah sewa. Kami mulakan dengan barang yang asas seperti dapur, peralatan memasak, peti ais yang paling murah (satu pintu) dan mesin basuh. Berazam dan berusaha untuk penuhkan kediaman sewa kami berdikit secara tunai dan sedaya-upaya menggelakkan diri daripada ansuran mudah. Masih segar diingatan kami membeli peti ais paling murah (satu pintu) dikala isteri sudah mulai bekerja dan sehingga kini peti ais tersebut yang berusia hampir 11 tahun masih boleh digunakan. Terasa sayang untuk kami menukar yang baru walaupun mampu memiliki peti ais yang lebih besar dengan rekabentuk serta teknologi terkini. Begitu juga toto, ia masih boleh digunakan walaupun kelihatan usang.

MENGAMIT MEMORI

Oleh itu, bagi mereka yang baru memulakan 'alam berumahtangga' tidak salah untuk memenuhkan segala keperluan rumah jika mampu atau ada yang sudi menjadi penaja. Jika ada penaja, nak dapatkan set tidur serba-serbi 'pink' pun tiada salahnya. Namun, bagi mereka yang dalam kategori 'biasa-biasa' dan tidak dilimpahi dengan harta, mulakan sedikit demi sedikit bersama pasangan dan berusahalah mengelakkan diri daripada berhutang. Tidak perlulah mengambil pinjaman peribadi mahupun terlibat dengan ansuran mudah hanya kerana mahu memenuhi keperluan rumah atau memiliki set bilik tidur yang indah. Percayalah, pengalaman susah bersama pasangan inilah yang akan mengeratkan lagi kasih sayang hidup berumahtangga. Begitu juga kami, banyak kenangan lalu yang mengamit memori di kala susah dahulu termasuklah di waktu menggunakan futon di sini.

Sekadar perkongsian dan pengalaman. Sayonara! Sampai berjumpa lagi.

Credit pictures:

Related Posts

Futon dan Toto
4 / 5
Oleh

Perkongsian Akan Datang

Anda Suka 'Post' Ini? Anda Akan Lebih Suka 'Post' Yang Akan Datang:).

Menarik Lagi Tertarik! × +

2 comments

Write comments
avatar
February 3, 2016 at 12:45 PM

saya selalu tertanya kenapa masyarakat jepun suka tidur dibawah berbanding mempunyai katil...tuan isma ada jawapan?

Reply
avatar
February 3, 2016 at 1:00 PM

Terima kasih Tuan Arz Moha atas kesudian singgah di blog ini. Berkaitan soalan tuan, pada pandangan saya terdapat 3 faktor yang menyebabkan masyarakat Jepun suka tidur di bawah berbanding mempunyai katil. Pertama, telah menjadi tradisi berzaman mereka menggunakan futon (tanpa katil) dalam kehidupan mereka. Kedua, rumah masyarakat Jepun agak kecil/ kompak. Saya lihat kehadiran katil akan menyempitkan lagi ruang rumah mereka. Ke tiga, mereka percaya tidur dibawah baik untuk kesihatan punggung dan pinggang mereka. Atas 3 faktor itu, saya berpendapat mengapa nihonjin suka menggunakan futon. Sekadar pandangan. Terima kasih.

Reply

Tudung kanak-kanak