Tabung Haji: Tabung Untuk Pergi Haji |
TABUNG HAJI
Beberapa hari kebelakangan ini isu berkaitan Tabung Haji (TH) semakin mendapat perhatian dan menjadi perbualan semua pihak. Ramai yang memberikan komen dan ada juga yang bersatira disebalik isu TH ini. Hampir kebanyakan orang sama ada terlibat mahupun tidak berkaitan langsung dengan isu TH ini turut bersuara di media sosial atas alasan kebebasan bersuara. Sekejap sahaja, pelbagai spekulasi dan tanggapan negatif telah dilemparkan terhadap institusi Lembaga Tabung Haji ini. Malah, ada yang memberikan komen negatif dan mencemuh institusi ini sedangkan mereka sendiri tidak langsung menepati syarat wajib untuk menunaikan haji sebagai salah satu rukun Islam dan juga seorang Muslim.
BERHARAP NAK PERGI HAJI
Apabila isu ini semakin diviralkan dan 'sembang kencang' dari bandar sampailah ke kampung, yang paling panik adalah orang-orang tua di kampung yang terlalu berharap sehinggakan 'bermimpi-mimpi' menunaikan haji. Ada pula 'penasihat tidak bertauliah' yang seakan menangguk di air yang keruh dengan mencadangkan supaya dikeluarkan kesemua duit simpanan di TH kerana dikhuatiri akan lesap kononnya akan dikebas oleh 'si penyamun tarbus'. Kesian orang-orang tua ini kerana telah mendapat nasihat yang salah daripada mereka yang merasakan diri mereka cukup ilmu dan maklumat.
MENUNAIKAN HAJI
Bak tajuk lagu Nirwana Band, 'cukup-cukup sudah' daripada berterusan menyebarkan berita yang tidak pasti, dan 'cukup-cukup sudah' memberikan nasihat yang akan merugikan semua orang. Bagi mereka yang berada dalam kategori 'orang senang' barangkali tiada masalah untuk mengeluarkan kesemua simpanan di TH dan menunaikan haji dengan memilih Pakej Haji Swasta. Bagaimana pula dengan orang kampung yang susah, mengharapkan muassasah dan tiada pilihan lain? Harapkan anak, anak sendiri pun selalu beralasan tidak cukup dan kekeringan setiap bulan. Jangan berterusan dibiarkan mereka panik dan dimomokkan dengan cerita ngeri yang penuh fantasi. Sangat dikhuatiri, atas nasihat yang salah ini impian orang tua di kampung yang ingin menunaikan haji hanyalah menjadi mimpi ngeri. Akhirnya, langsung tidak berpeluang menunaikan haji!
IBU AYAH NAK PERGI HAJI
Ingin sangat pergi menunaikan haji |
Bagi ibu ayah, pakcik-pakcik, makcik-makcik dan datuk serta nenek yang telah lama menanti hendak pergi menunaikan haji, janganlah panik untuk dikeluarkan kesemua duit di TH. Manakala, bagi anak-anak sama ada di kalangan generasi X,Y, Z dan alpha yang masih ada orang tua di kampung serta mengetahui mereka juga ternanti-nanti untuk menunaikan haji, berikanlah maklumat dan nasihat yang betul buat mereka. Nasihatkan juga jangan dek kerana isu ini ada pula yang terjebak dengan skim-skim mahupun pelaburan yang akhirnya meleburkan duit mereka. Sedari ramai diluar sana yang sedang memerhati dan menanti untuk menangguk di air yang keruh. Jangan juga dikeluarkan kesemua simpanan di TH dan disimpan pula di bawah bantal. Dikhuatir ada yang cuba lari daripada 'penyamun tarbus' disonglap pula oleh 'si toyol berambut hitam'. Jangan kelak dek kerana isu ini dengan harapan hendak keluar daripada mulut harimau, masuk pula mulut buaya.
TABUNG UNTUK PERGI HAJI
Dividen dan Bonus Tabung Haji (Sumber: Astro Awani) |
Sudah terang lagi bersuluh, namapun pun 'Tabung Haji' tentulah tabungan untuk menunaikan haji. Mana mungkin duit simpanan akan hilang dan yang paling teruk boleh berlaku sama ada tiada bonus dan juga dividen. Situasi di TH telah menjadi isu tabdir urus dan bukannya kesalahan menetapkan matlamat kewangan bagi menunaikan haji. Biarkan duit simpanan yang diniatkan untuk pergi menunaikan haji terus berada di TH. Berdoa agar urusan TH dapat ditadbir urus dan ditanggani sebaiknya oleh mereka yang telah diberikan amanah. Serahkan juga pada Maha Pencipta yang menanti kita di 'sana'. Teringat pesanan emak, kita simpan di TH sebab berniat untuk pergi menunaikan haji dan bukan kerana dividen mahupun bonus. Jika diberikan dividen dan bonus kita bersyukur, yang paling penting kita telah berniat dan membuat simpanan. Didoakan semoga dimakbulkan olehNya untuk kita semua berpeluang menunaikan haji. Selalu juga ingatkan diri, jika hendak melabur dan mengembangkan harta, TH bukanlah tempatnya.
Sekadar pandangan dari kejauhan. Sayonara! Sampai jumpa lagi.
Tabung Haji: Tabung Untuk Pergi Haji!
4
/
5
Oleh
Unknown
2 comments
Write commentsTerima kasih untuk perkongsian ini. Pelbagai maklumat saya telah baca dan perkongsian ini melegakan hati saya.
ReplyTerima kasih juga En. Razak kerana sudi singgah dan komen di blog ini. Saya sangat hargai. Sekadar perkongsian kerana tiba-tiba teringat pesanan emak :). Salam perkenalan dari kejauhan. Sayonara! Sampai jumpa lagi.
Reply