Monday, January 11, 2016

Periuk Nasi Jepun, Tiada Keraknya

Periuk Nasi Jepun
Sumber: http://www.japanesericecookers.net

BESAR PERIUK, BESAR KERAKNYA

Selalunya apabila memperkatakan tentang periuk seringkali kita mendengar peribahasa "besar periuk, besarlah keraknya". Namun, periuk nasi di Jepun sedikit berbeza kerana tidak kelihatan kerak walaupun periuk tersebut dihidupkan (on) sepanjang masa. Berbeza dengan periuk nasi yang kami gunakan sebelum ini di tanahair, jika dibiarkan beberapa jam akan meninggalkan kerak. Akhirnya, kerak nasi tersebut dibuang kerana tiada siapa yang mahu memakannya. Jika di kampung, barangkali kerak nasi tersebut boleh diberikan ayam makan. Sudah tentu peribahasa Melayu tersebut mengingatkan kita supaya tidak membazir dan bukanlah 'berjoli sakan' merupakan perkara biasa bagi mereka yang berpendapatan tinggi. Sebagai contoh, ada yang beranggapan "biasalah, banyak berbelanja sebab gaji dia pun besar". Jika tanggapan ini dibiarkan, maka ramailah yang tersasar daripada falsalah sebenar peribahasa tersebut.

PERIUK NASI

Bagi mereka yang pernah merasai kehidupan di dunia asrama, sudah pasti dapat merasakan betapa pentingnya periuk nasi ini. Pelbagai menu boleh disediakan apabila periuk nasi bersama kita. Ia bukan sahaja boleh digunakan untuk memasak nasi, malah boleh juga digunakan untuk memanaskan makanan, memasak maggi, menggoreng telur, nasi goreng dan pelbagai lagi. Mudah kata, bila periuk nasi bersama kita banyaklah boleh diusahakan dikala lapar. Salah satu persiapan dan persediaan kami apabila berjalan jauh di daerah Jepun ini adalah dengan memastikan periuk nasi tidak ditinggalkan. Ia membantu kami untuk memasak atau memanaskan makanan lebih-lebih lagi apabila berada di daerah yang sukar mendapatkan makanan halal. Ia bukan sahaja memudahkan kami, bahkan yang penting membantu ke arah penjimatan. Namun, bagi mereka yang datang melancong ke sini tidak perlulah membawa periuk nasi dari tanahair. Ini kerana watt elektrik di Jepun berbeza dengan Malaysia.

EMOSI DAN SOLUSI

Kehadiran periuk nasi Jepun yang tiada 'kerak' ini dan juga periuk-periuk lain dengan teknologi terkini yang dapat mengelakkan 'kerak' mengingatkan saya akan pengurusan kewangan peribadi. Sebagai contoh, dalam mengatur dan menguruskan kewangan jika kita tidak terikut dengan emosi dan memberikan fokus kepada solusi barangkali kerak (pembaziran) akan dapat dielakkan. Apabila dilihat daripada perspektif yang lain, jika benar-benar kita ada keazaman dan memberikan tumpuan kepada solusi sudah pasti pembaziran atau 'kebocoran wang' dapat ditangani. Namun, tanpa kita sedari tindakan kita banyak dipengaruhi oleh emosi dan bukannya solusi. Sebagai contoh, gaji tahunan meningkat sudah mula fikirkan model kereta baru. Belum lagi peningkatan gaji tahunan diperolehi sudah merancang untuk 'cuti-cuti' di luar negara. Ada juga apabila ditawarkan periuk 'ajaib' berharga ribuan ringgit dengan bayaran ansuran bulanan, ter'emosi' untuk memilikinya. Kesannya, periuk 'ajaib' yang dibeli dibiarkan berhabuk dek alasan kesibukan.

5 KERAK

Umumnya, terdapat 5 petanda atau 'kerak' yang bakal dihasilkan apabila mereka yang membiarkan "besar periuk, besarlah keraknya". Antaranya:

Kerak #1: Gaji Naik, Simpanan Tiada
Apa guna gaji naik setiap tahun, 10% daripada gaji/ pendapatan pun tidak dapat dijadikan simpanan. Ramai mereka yang berpengalaman dalam pengurusan kewangan mencadangkan agar setiap individu perlu mempunyai simpanan yang boleh dijadikan sebagai 'dana kecemasan'. Sebaik-baiknya dana ini bersamaan 6 bulan gaji/ pendapatan yang diperolehi setiap bulan.

Warren Buffet
Pesanan Warren Buffet

Kerak #2: Saguhati 'Orang Tua' Selalu Beralasan
Seringkali berlaku mereka yang berbelanja dan membiarkan 'keraknya' besar selalu beralasan untuk memberikan saguhati buat 'orang tua' mereka di kampung. Kesannya, beberapa bulan atau mujur  jika setahun sekali pulang ke kampung barulah duit buat orang tua dapat dihulurkan. Alasannya, duit tidak mencukupi sedangkan memandu pulang model kereta baru ke kampung dan iphone plus boleh sahaja bergaya ditangan.

Adab Ibu Bapa
Adab Ibu Bapa

Kerak #3: Kad Kredit, Sumber Pendapatan
Jika gaya hidup tidak diubah, seringkali berlaku nilai hutang melebihi pendapatan yang diperolehi. Apabila emosi menguasai diri, kesannya ada yang menggunakan kad kredit sebagai sumber pendapatan tambahan dan ada pula yang menjadikan 'personal loan' untuk terus memenuhi kehendak dan emosi mereka.

Kerak #4: Baki Hutang Tidak Berubah
Apabila hutang melebihi pendapatan, hutang baru pula terus dijana. Maka, baki hutang tahun lepas tidak berganjak kerana 'interest' terus bertambah dan caj penalti turut dikenakan.

Kerak #5: Biar Menyesal Membeli, Jangan Menyesal Tak Beli
Selalunya apabila emosi mengawal diri, maka solusi tidak ditemui. Kesannya, kehendak mengatasi keperluan dan ada yang beranggapan "biarlah menyesal membeli, daripada menyesal tidak membeli".

PERIUK, BERAS DAN KERAK

Akhir kata, jika periuk dianggap sebagai 'gaya hidup', beras dianggap sebagai 'duit/ pendapatan' dan kerak pula dianggap sebagai 'perbelanjaan'. Apabila difokus kepada solusi, maka kerak (perbelanjaan) akan dapat dikurangkan. Sebagai contoh, bagi mereka yang memperolehi beras (duit/ pendapatan) yang besar pada tahun ini barangkali boleh memberikan fokus kepada periuk (gaya hidup) yang sederhana atau beralih kepada 'hidup di bawah kemampuan'. Saya juga percaya jika ada beras (duit/ pendapatan) yang mencukupi dan dijadikan simpanan (berduit), bukan sahaja kita tidak akan lapar bahkan peluang-peluang yang terbaik untuk pelaburan sentiasa ada dan terbuka luas. Namun, apabila tidak berduit, kerak (perbelanjaan) dan hutang semakin menebal, 'gaya hidup' tingkatkan 'sara hidup', serta terbeban dengan masalah kewangan, maka akan membuat kita beremosi dan tidak tenang. Ini bertepatan dengan hadis Rasullulah SAW yang bermaksud:
"Berhati-hatilah kamu dalam berhutang, sesungguhnya hutang itu mendatangkan kerisauan di malam hari dan menyebabkan kehinaan di siang hari"
(Direkodkan oleh Imam Baihaqi) 

Sentiasa juga ingatkan diri, InsyaAllah peluang-peluang terbaik sentiasa menanti apabila kita berduit dan berusaha mengelakkan hutang mahu. Hakikatnya, kita perlu fokus kepada solusi, elakkan beremosi, berusaha dan terus bersabar dalam mencari kekayaan milikNya. 

Related Posts

Periuk Nasi Jepun, Tiada Keraknya
4 / 5
Oleh

Perkongsian Akan Datang

Anda Suka 'Post' Ini? Anda Akan Lebih Suka 'Post' Yang Akan Datang:).

Menarik Lagi Tertarik! × +

Tudung kanak-kanak