KENAPA JEPUN?
Seringkali juga saya ditanya oleh rakan-rakan nihonjin (Jepun) mahupun daripada negara-negara lain kenapa memilih Jepun sebagai destinasi untuk melanjutkan pengajian? Biasanya suka saya kongsikan kepada mereka mengenai 'Dasar Pandang Ke Timur' (Look East Policy) yang lancarkan oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 8 Februari 1982 yang merujuk Jepun sebagai sebuah negara yang perlu dicontohi. Ia rentetan daripada dasar yang diperkenalkan beliau iaitu 'Buy British Last' yang telah mencetus kontroversi. Setelah beberapa usaha dijalankan, akhirnya memaksa sendiri bekas Perdana Menteri Britain iaitu Margeret Thatcher untuk berjumpa sendiri Tun Dr. Mahathir berbincang bagi menamatkan kempen 'Buy British Last' dan menyelesaikan isu berkaitan Commonwelth Heads of Government Meeting (GHOGM) yang seakan 'diboikot' oleh Tun Dr. Mahathir pada masa itu.
PENGALAMAN DI JEPUN
Semenjak September 2014 saya di sini atas kapasiti sebagai seorang pelajar di Tohoku University dan sepanjang seluruh isi keluarga saya berada di Sendai, Jepun pada November lalu sememangnya tidak dinafikan banyak budaya masyarakat Jepun yang boleh dicontohi. 'Dasar Pandang Ke Timur' ini yang diperkenalkan sejak 33 tahun lalu telah banyak mengubah struktur, budaya kerja, amalan, sikap dan sehinggalah meliputi aspek perindustrian serta teknikal. Kini, diteruskan lagi dengan bidang baharu dan berinovasi seperti teknologi termaju, teknologi hijau, teknologi lestari dan juga bioteknologi. Saya dan keluarga malah rakyat Malaysia lain yang berada disini melihat dan merasainya sendiri sebab-munasabah Tun. Dr. Mahathir sangat yakin menjadikan dasar tersebut sebagai salah satu agenda dan dasar negara. Sudah pasti tidak dinafikan ada juga kelemahan atau kekurangan yang kami lihat dalam masyarakat Jepun. Namun secara umumnya masih banyak amalan dan budaya mereka yang boleh kita contohi dan serap masuk dalam kehidupan individu dan tidak kurang juga dalam aspek pentadbiran negara.
'BONGKOK TIGA'
Di Sendai mudah untuk kami melihat orang-orang tua yang masih kuat berjalan, menunggu bas dan menguruskan kehidupan mereka sendiri. Sangat mudah juga untuk kami melihat mereka yang boleh dikategorikan sebagai 'bongkok tiga' melintasi jalanraya yang sesak khususnya di bandar. Tiba-tiba tergambar di kotak pemikiran saya bagaimana pula kehidupan saya di hari tua nanti. Adakah saya telah bersedia dengan amalan dan persediaan pengurusan kewangan jika diizinkanNya di kala usia mencapai tahap 'bongkok tiga' nanti? Atas sebab itulah, saya merasakan amalan kehidupan beragama perlu dimulai lebih awal sewaktu usia muda. Begitu juga dalam aspek pengurusan kewangan khususnya dalam penetapan matlamat kewangan juga perlu difahami dan dimulakan seawal usia mungkin.
5 FASA MATLAMAT KEWANGAN
FASA #1 - (18 - 22 Tahun)
Pada usia ini kebanyakan kita berada di institusi-institusi pengajian tinggi. Pada usia ini majoriti mereka telah mulai menguruskan perbelanjaan dan budget harian sendiri. Ada yang mendapat biasiswa, tajaan mahupun pinjaman yang menjadi sumber kewangan mereka sendiri. Pada usia ini, dicadangkan memberikan fokus kepada PELABURAN ILMU dengan menjadikan buku-buku dan bacaan-bacaan berkaitan pengurusan kewangan sebagai bacaan santai dan panduan. Ini dapat membantu dalam penerapan amalan berjimat-cermat, memahami konsep catatan kewangan, pendapatan dan perbelanjaan serta sebagainya. Semasa saya diperingkat diploma di UiTM dahulu saya telah mula berjinak-jinak dalam mencari pendapatan tambahan. Masih teringat kenangan menjual kacang, keropok dan juga menawarkan perkhidmatan mencetak (print) kepada rakan-rakan yang lain. Saya juga masih teringat seorang rakan yang mampu membeli motor EX5 secara tunai dengan hanya mengambil komisyen menjual nasi lemak. Barangkali perkongsian MULAKAN SECARA KECIL-KECILAN boleh dijadikan panduan dan inspirasi. Aspek kewangan perlu memberikan fokus kepada:
- Membiasakan diri dengan konsep mencatat kewangan
- Fahami aliran kewangan
- Kurangkan perbelanjaan
- Memupuk budaya menyimpan
- Belajar kemahiran berniaga
- Belajar dan tingkatkan kemahiran lain
- Melibatkan diri dengan aktiviti yang bermanfaat
- Bersederhana dan tidak terikut-ikut dengan fesyen
FASA #2 - (23 - 30 Tahun)
Perangkap Hutang |
Di kala usia ini ramai mulai memasuki alam pekerjaan. Tidak kurang juga yang akan menamatkan zaman bujang dalam lingkungan usia ini. Fasa ini merupakan fasa yang mulai mencabar dan sangat-sangat memerlukan kita berhati-hati dalam aspek pengurusan kewangan. Pemilihan terhadap keputusan yang dibuat akan memberikan impak kepada perjalanan kita seterusnya. Elakkan diri daripada terbiasa dan terjerat dengan perangkap kad kredit. Mereka yang telah berada di alam pekerjaan akan mudah mendapat tawaran kad kredit. Jika tidak berhati-hati ketika berbelanja, dikhuatiri terjebak dengan hutang kad kredit yang boleh merosakkan rekod kewangan serta dibebani hutang yang tinggi. Letakkan matlamat kewangan untuk:
- Saguhati/ Sumbangan kepada Ibu Bapa
- Bayaran Balik Hutang Pendidikan
- Utamakan Kad Debit dan Hindari Kad Kredit
- Pemilihan Gaya Hidup Sederhana
- Persediaan Kewangan Perkahwinan
- Azam 'Tiada Pinjaman Peribadi Untuk Perkahwinan'
- Tabungan 'Mahligai Pertama'
- Jana 'Dana Kecemasan'
- Pembelian Sebuah Kereta
- Simpanan di Amanah Saham yang rendah risiko
- Tabung Haji
- KWSP AKAUN 1
Untuk matlamat kewangan ini saya pernah kongsikan dalam 8 STRATEGI PENGURUSAN KEWANGAN GRADUAN MUSLIM.
FASA #3 - (31 - 40 Tahun)
KWSP untuk Haji |
- Hutang-hutang yang dimiliki
- Seharusnya hutang-hutang pendidikan mulai berkurangan/ lunas
- Masih mengekalkan rekod kewangan yang baik tanpa hutang kad kredit
- Melihat peluang menambah hartanah
- Pembelian rumah yang lebih besar (jika perlu)
- Pemantapan 'Dana Kecemasan'
- Perlindungan (Takaful untuk diri dan keluarga)
- Peningkatan Simpanan di Tabung Haji
- Manjana pendapatan pasif/ pendapatan tambahan
- Merancang dan menabung pendidikan anak-anak di masa hadapan
- Penjagaan Kesihatan berterusan
Boleh mulai belajar dan mulai memahami konsep pelaburan. Barangkali perkongsian LEBIH BAIK 'LABUR' DARIPADA 'LEBUR' boleh dijadikan panduan.
FASA #4 - (41 - 50 Tahun)
Fasa ini merupakan masa yang perlu difokuskan kepada perkara-perkara yang lebih berkualiti. Masa bersama keluarga dan peruntukan masa kepada ilmu perlu ditingkatkan. Barangkali sebelum ini, kesibukan membesarkan anak, kesibukan bekerja, mencari harta dan 1001 alasan yang menjadi penghalang untuk menuntut ilmu khususnya ilmu agama. Maka, pada waktu ini seharusnya jangan terleka dan masih tenggelam dengan dunia kesibukan. Tumpukan kepada beberapa perkara seperti:
- Sentiasa tingkatkan kesihatan (aset yang perlu dijaga dan dikekalkan)
- Tingkatkan ilmu dan amalan kerohanian.
- Pemantapan tabungan menuju pencen/ bersara
- Memikirkan hartanah atau lokasi untuk menetap di umur pencen
- Menjana pelaburan tetap dan berisiko rendah yang dapat menjana pendapatan tetap di kala umur pencen
- Pemantapan pendapatan pasif melalui hartanah
- Penjanaan pendapatan berterusan melalui perniagaan
- Pemantuan pelaburan-pelaburan yang lepas
- Utamakan kesihatan
- Tingkatkan sedekah dan sumbangan
Masih tinggal beberapa tahun untuk menempuhi alam bersara atau dunia pencen. Pada fasa usia ini seharusnya tidak melibatkan diri dengan pelaburan yang berisiko. Jangan terlibat dengan konsep-konsep perniagaan mahupun pelaburan yang meragukan sehinggakan duit simpanan lebur. Berhati-hati dengan strategi 'memancing' golongan pencen untuk melibatkan diri dalam perniagaan dan pelaburan yang dikatakan menjanjikan keuntungan yang lumayan. Matlamat kewangan fokus kepada:
- Tiada hutang dan tidak membuat hutang
- Fokus 'Zero Hutang' khususnya 'Hutang Mudarat'
- Fokus 'Biar Meninggalkan Harta, Bukannya Meninggalkan Hutang'
- Ada pendapatan pasif untuk saraan bulanan di hari tua
- Memikirkan wasiat
- Fikirkan hobi-hobi yang manfaat dan tidak berisiko
- Mantapkan amalan kerohanian
- Target menunaikan haji sebelum pencen
- Sedekah, meningkatkan amalan
- Berterusan menyumbang dalam masyarakat
ANAK-ANAK HARTA TAK TERNILAI
Indahnya hidup ini bila berpaksikan agama dalam kehidupan. Kadang-kala simpati juga dengan kehidupan golongan tua di sini yang diberikan umur yang panjang sehingga ada yang 'bongkok tiga' tetapi pengisian di hari senja dengan berjalan berseorangan, ada yang membawa haiwan peliharaan berjalan-jalan di kala matahari mulai terbenam atau tinggal sendirian di rumah berseorangan. Tetapkan matlamat kewangan dan bersedialah dalam semua perkara sama ada kewangan, kesihatan, ilmu dunia dan akhirat serta pengisian rohani dalam menempuh fasa kehidupan yang kita sendiri tidak pasti. Jangan juga terlalu mengejar harta duniawi sehingga lupa bahawa ANAK-ANAK MERUPAKAN HARTA TAK TERNILAI harganya. Tetapkan matlamat dan sebaiknya merancang daripada hanya berserah kepada takdir!
5 Fasa Matlamat Kewangan
4
/
5
Oleh
Unknown