Friday, May 29, 2015

Nasihat 'Usahawan Muslim' Di Jepun



LELONGAN KERETA DI JEPUN

Tempohari berkesempatan berkenalan dengan penjual kereta lelong warga Pakistan yang telah menjalankan perniagaan kereta di Jepun. Kagum dengan sifatnya yang menjalankan perniagaannya dengan akhlak yang baik di samping mewakafkan tanahnya untuk didirikan sebuah masjid bagi menghidupkan majlis-majlis ilmu di kawasan tersebut.


Teringat pertama kali pengalaman kami membeli kereta lelong dengan beliau bagi KEPERLUAN rakan kami yang baru tiba di sini. Sebaik sahaja kami menang kereta yang dihajati tanpa sebarang bayaran beliau mengarahkan kami untuk membawa balik kereta tersebut. Pembayaran dan urusan dokumentasi kereta boleh dibuat pada bila-bila masa kami lapang. Setiap kali kami berurusan, beliau akan mengajak kami untuk mendengar majlis ilmu dan solat isyak berjemaah di samping dijamu 'kari kambing' dicecah dengan 'roti arab'. Satu kenangan manis berurusan di negara orang dan melihat sendiri konsep berniaga atas dasar jujur, percaya dan tawakkal 100%. 

NASIHAT PENJUAL KERETA


Bila bersama dengan usahawan seperti beliau, suka saya bertanya soalan-soalan berkaitan perniagaan dan meminta nasihat daripada mereka yang berpengalaman dalam dunia keusahawanan ini. Pastinya ada pengalaman yang berbeza khususnya dalam menjalankan perniagaan di negara asing seperti Jepun ini. Umumnya, kesemua usahawan yang pernah saya jumpa akan menceritakan pengalaman susah di saat mula-mula menjalankan perniagaan. Begitu juga pengalaman beliau lebih 10 tahun menjalankan perniagaan kereta di Jepun telah melihat pelbagai kerenah manusia. Secara umum, beliau berkata manusia tidak akan puas dengan apa yang dimiliki jika KEMAHUAN didahulukan dan KEPERLUAN diletakkan di tepi.

Satu tip yang menarik beliau kongsikan adalah jika mahu berbelanja sepuasnya mengikut KEMAHUAN, boleh dengan syarat belilah secara TUNAI. Lebih baik lagi jika bayaran bagi memenuhi KEMAHUAN tersebut sepenuhnya dibayar daripada PENDAPATAN PASIF tanpa perlu kita kerja seteruknya. Sebagai contoh, hasil sewaan tanah, rumah, penulisan buku, jualan e-book, perniagaan yang dijalankan oleh orang lain dan sebagainya. Pastikan ia daripada pendapatan berterusan tanpa perlu kerja teruk secara berterusan. 

CERDIK

Beliau turut berpesan, "kehidupan bermewah-mewah dengan BERHUTANG dan dengan BEKERJA SETERUK-TERUKNYA bukanlah cara yang CERDIK untuk menikmati nikmat kehidupan di dunia ini. Tanah luas beliau miliki di sini dan masih belum diterokai serta masjid yang tersergam indah di bumi asing ini mengingatkan saya kisah ketika Abdullah bin Umar radhiallahu ketika sedang duduk berehat disisi Rasullulah SAW lalu datang seorang lelaki yang memberi salam dan bertanyakan kepada Rasullulah SAW:

"Siapakah yang lebih utama (lebih baik) di kalangan orang yang beriman? 

Rasullulah SAW menjawab:

"Orang yang lebih baik di kalangan orang beriman adalah mereka yang berakhlak mulia."

Kemudian lelaki itu bertanya lagi:

"Siapakah orang yang paling cerdik di kalangan orang yang beriman?"

Lantas Nabi SAW menjawab:

"Orang yang paling cerdik ialah mereka yang banyak mengingati mati, dan banyak membuat persiapan untuk menghadapi mati". 

SEMAK SEMULA



Semak semula ke mana kita membelanjakan harta-harta yang dimiliki. Adakah harta yang dimiliki hanya memenuhi KEMAHUAN dan bukannya KEPERLUAN? Tidak salah berbelanja jika kita benar-benar BERKEMAMPUAN. Namun, adakah kita termasuk dalam golongan yang CERDIK berbelanja di dunia dan juga CERDIK sepertimana yang digambarkan oleh Rasullulah SAW. Bagaimana persiapan kita dalam menghadapi destinasi yang abadi iaitu akhirat nanti. 

Peringatan buat diri sendiri dan mereka yang sudi singgah di blog ini. Salam perkenalan dan salam hormat!

Related Posts

Nasihat 'Usahawan Muslim' Di Jepun
4 / 5
Oleh

Perkongsian Akan Datang

Anda Suka 'Post' Ini? Anda Akan Lebih Suka 'Post' Yang Akan Datang:).

Menarik Lagi Tertarik! × +

Tudung kanak-kanak